Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

6 October 2015

TEMA RAMALAN PT3 - LANGKAH MENJALANI GAYA HIDUP SIHAT

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa bangunan-bangunan pencakar langit yang megah berdiri di Malaysia telah berjaya mengangkat nama Malaysia, iaitu sebuah negara membangun di persada antarabangsa.  Tempias arus deras globalisasi yang melanda dunia pada hari ini turut dirasai oleh masyarakat pascamoden di Malaysia, sehingga rata-rata daripada komuniti kita bersifat lebih mementingkan kejayaan dan kecemerlangan berbanding kesihatan diri kita sendiri. Harus diingat bahawa kesihatan merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya, malahan pepatah Inggeris ada mengungkapkan bahawa kesihatan adalah kekayaan kerana seandainya kita jatuh sakit, kita tidak dapat merasai nikmat dunia.  Menyedari hakikat ini, kita haruslah mengambil langkah-langkah pragmatik bagi menjalani kehidupan yang sihat.

                Kunci utama kepada kesihatan tubuh badan ialah kita seharusnyamengamalkan pemakanan secara seimbang berlandaskan piramid makanan yang disarankan oleh pakar-pakar kesihatan .  Hal ini demikian kerana kuantiti atau kadar makanan yang kita ambil sehari-hari akan mempengaruhi tahap kesihatan kita pada masa hadapan.    Setiap makanan mengandungi gizi atau khasiat yang berbeza-beza, penting untuk tubuh badan dan harus diambil secara seimbang.  Biar saya mengemukakan contoh, karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana nutrien ini membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita.  Sementelahan itu, sayur-sayuran dan buah-buahan wajar diambil dalam kuantiti yang agak banyak kerana makanan tersebut merupakan sumber fiber atau serat dan vitamin yang merupakan elemen-elemen penting dalam mengekalkan kesihatan badan.  Sehubungan dengan itu, kita juga disarankan agar minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari kerana proses biokimia dalam tubuh kita memerlukan air bagi melancarkannya.  Protein dan lemak sepatutnya dikawal atau dihadkan pengambilannya bagi mengelakkan masalah kesihatan yang kronik seperti obesiti, penyakit kardiovaskular dan diabetes.  Tegasnya, amalan pemakanan secara seimbang dapat menyihatkan tubuh badan kita.

                Selain itu, kita harus menjalani kehidupan yang sihat dengan bersenam dan bersukan sekurang-kurangnya selama 30 minit dan dilakukan tiga kali seminggu.  Aktiviti riadah seperti bermain badminton, bersenam di taman rekreasi bersama dengan keluarga dan berenang dapat meningkatkan stamina dan ketahanan fizikal seseorang.  Sejajar dengan isu ini, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda, “ajarlah anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda”,  yang secara izharnya menunjukkansignifikan atau peri pentingnya aktiviti riadah ini.  Setelah bersukan, kita akan mendapati bahawa kita mengalami perpeluhan serta berasa lebih sihat dan cergas.  Badan kita semestinya akan menjadi lebih aktif setelah mengeluarkan toksin dari dalam badan melalui proses perkumuhan tersebut.  Pada waktu malam, kita akan berasa letih serta ingin mendapatkan rehat yang secukupnya melalui tidur.  Impaknya, kita tentunya akan dapat tidur dengan nyenyak dan tidaklah mengalami penyakit insomnia, iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan pesakitnya sukar tidur malam.   Justifikasinya, melalui gaya hidup sihat seperti bersenam dan berehat dengan secukupnya, kita dapat menghindarkan diri daripada menghidapi pelbagai jenis penyakit.

                Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat tidak sekadar berhenti di situ.  Bagi memastikan tubuh badan kita sihat, kita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.  Pendekatan ini adalah sangat penting bagi mengesan dan mengenal pasti sebarang penyakit yang kita hadapi sama ada kita sedar ataupun tidak.  Langkah ini merupakan langkah awal yang sinonim dengan memoir peribahasa Melayu yang berbunyi sediakan payung sebelum hujan.  Sebelum penyakit berbahaya bersarang dan bermaharajalela dalam tubuh badan kita, doktor dapat mencegah penyakit itu daripada terus membelenggu diri kita.   Sesungguhnya, bijak pandai ada mengungkapkan bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati Deduksinya, pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu menjamin kesihatan tubuh badan kita.


                Sebagai intihanya, setiap lapisan masyarakat di Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan seharian mereka.  Sesungguhnya, kita harus sedar bahawa kesihatan tidak dapat dibeli oleh emas dan permata.  Dalam kesibukan dan keghairahan kita mengejar kemewahan dunia, aspek kesihatan perlu dititikberatkan dan diambil kira bagi menjamin kebahagiaan hidup kita di bumi yang fanaini.  Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, yang cuba menyedarkan masyarakat supaya lebih mengutamakan kesihatan diri sebelum penyakit datang menyinggah agar tidak menyesal pada hari kemudian.  Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, baru amalan gaya hidup sihat mahu dipraktikkan.  Harus kita sedar bahawa penjagaan kesihatan merupakan pelaburan yang menguntungkan bagi menjamin kehidupan hari esok yang lebih sejahtera.

No comments: