Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 September 2009

Karangan Pelajar - Langkah Mengatasi Kemalangan di Jalan Raya

Soalan:
Kemalangan di jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota yang tersayang. Tulis satu karangan tentang usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Contoh Karangan Pelajar:
“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang lebih berat.”

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patut diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?

Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.


Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan.

Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.

Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”

23 September 2009

Karangan tahap SPM


Soalan :

Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.


[ 100 markah ]


“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai” “
“sungai di Pahang telah teruk dicemar”.


Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia.

Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.


Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.


Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan kehidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.


Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.


Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.


Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.


Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.
(diubah suai daripada karangan asal
milik Vincent Kok Chin Keong,
vick.kok@hotmail.com)

16 September 2009

Karangan Pelajar Tahap PMR

Sejak akhir-akhir ini, banyak pelajar terlibat dalam kegiatan samseng di sekolah seperti kes buli, merosakkan harta benda sekolah, mengancam guru, dan sebagainya.
Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan kegiatan ini semakin berkembang.
[ 40 markah ]

“Pelajar Tingkatan 5 menyebat guru tingkatannya.”
“Kes buli kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.”
“Kegiatan samseng mesti dibanteras hingga akar umbi!”
“Menurut statistik, banyak pelajar telah menyertai kongsi gelap.”

Dewasa ini, banyak tajuk berita seperti di atas sering disiarkan melalui media massa sama ada dalam media elektronik mahupun media cetak. Isu-isu hangat mengenai kegiatan ini sering menjadi buah mulut segenap lapisan masyarakat. Persidangan akhbar juga kerap diadakan untuk membincangkan masalah yang semakin kritikal ini. Senario ini telah memuncakkan kebimbangan segenap lapisan masyarakat. Namun, setiap masalah yang timbul mesti mempunyai sebabnya yang tertentu. Apakah punca-punca utama yang menyebabkan kegiatan samseng atau gengsterisme yang menggusarkan minda masyarakat ini semakin berkembang?

Masalah gengsterisme tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Tenaga semua pihak mesti digembleng,
Iltizam jangan berbelah bagi.

Pada hemat saya, pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya kegiatan samseng. Kata pepatah Cina, “di dalam rumah, kita bergantung pada ibu bapa, di luar, kita bergantung pada rakan.” Peranan rakan sebaya dalam kehidupan kita memang tidak dapat kita sangkal. Pemilihan rakan amat signifikan bagi seseorang remaja. Hal ini akan menentukan haluan remaja tersebut pada masa hadapan. Pemikiran mereka yang bergaul dengan rakan sebaya yang jahat memang akan terpengaruh dan dipesongkan. Jikalau mereka tidak berani melakukan sesuatu yang meruntuhkan akhlak moral, mereka akan dianggap bacul atau penakut. Untuk membuktikan ketulusan mereka terhadap “kawan sejati” mereka, mereka akan melakukan apa-apa yang diajak. Mereka juga ingin mencanangkan kehebatan dan keberanian mereka di depan rakan-rakan mereka. Jadi, pengaruh rakan sebaya memang tidak boleh dipandang enteng.

Setahu kita, ibu bapa merupakan guru pertama bagi anak-anak. Kata orang, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Bidalan ini membawa maksud tersirat, iaitu tingkah laku ibu bapa akan disusuli lalu dipelajari oleh anak-anak mereka. Perangai ibu bapa yang kerap melakukan kegiatan samseng dan tidak menjaga kelakuan itu pasti akan diikuti oleh anak-anak mereka. Implikasinya, ibu bapa mestilah menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Rentetan daripada itu, ibu bapa yang sibuk mencari rezeki lalu mengejar nawaitu materialistik sentiasa mengabaikan anak-anak mereka. Mereka hanya tahu merealisasikan keinginan anak-anak sebagai “pampasan” terhadap anak-anak mereka. Anak-anak yang tidak disirami kasih sayang ibu bapa dikatakan umpama layang-layang terputus tali. Akibatnya, mereka akan mencari keseronokan baharu di luar rumah dengan melakukan kegiatan samseng. Lain daripada itu, ibu bapa yang cenderung membebel dan memarahi anak tanpa sebab akan memberi kesan negatif kepada emosi seseorang remaja. Keluarga yang porak-peranda sentiasa menghantui minda seseorang remaja. Lantaran itu, mereka akan berasa tertekan lalu memberontak serta melepaskan geram di luar rumah melalui perbuatan gengsterisme. Konklusinya, keluarga berpengaruh besar dalam perkara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa, guru-guru sekolah juga merupakan salah satu faktor yang merangsang seseorang pelajar terlibat dalam kegiatan samseng. Sesetengah guru sekolah yang tidak tahu mengawal emosi mereka sering meradang dan memarahi pelajar yang tidak melaksanakan kewajipan mereka seperti menghantar buku latihan pada masa yang ditentukan. Penyindiran guru yang agak keterlaluan terhadap seseorang pelajar akan memuncakkan perasaan marah pelajar tersebut. Ada kalanya, pelajar yang lemah dalam bidang akedemik mungkin tidak dapat menyiapkan kerja rumah mereka tepat pada masa. Guru yang tidak menerima hakikat ini dan menganggap perkara ini cuma satu alasan tersebut akan terus merotan pelajar tersebut. Pelajar yang disebat akan menyimpan dendam. Apabila berpeluang, mereka tentu akan membalas dendam. Tamsilnya, mereka akan membocorkan tayar kenderaan guru, menyebat guru, mengancam guru dan sebagainya. Jelaslah bahawa guru juga turut merupakan satu faktor yang tidak boleh diketepikan.

Walhasil, pelajar-pelajar mesti dikekang daripada melibatkan diri dalam kegiatan samseng. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan orang yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara. “Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa.” Segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga demi membanteras kegiatan samseng ke akar umbi. Masalah ini nescaya dapat ditangani dengan adanya penggemblengan tenaga daripada semua pihak kerana “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Marilah kita bersama-sama membulatkan tekad untuk mencapai aspirasi negara sifar jenayah dan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara tercinta yang aman dan bahagia buat selama-lamanya!

11 September 2009

Ramalan SPM 2 - Usaha Mengekalkan Budaya Warisan Rakyat Malaysia

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]

Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak basah dek hujan, tak lekang dek panas”. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

6 September 2009

Antologi Komsas baharu 2010 untuk Tingkatan 1 dan 4

Mulai sesi persekolahan 2010, pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks KOMSAS yang baharu bagi menggantikan antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan sejak tahun 2000. Teks KOMSAS tersebut juga telah diuji dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2001 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002. Perubahan ini memang wajar dilakukan kerana teks berkenaan telah digunakan selama 10 tahun dan sebahagian besar karya sastera yang termuat dalam kedua-dua antologi tersebut telah pun diuji sama ada sekali ataupun lebih daripada itu. Antologi KOMSAS yang baharu bagi Tingkatan 1 berjudul "Kasut Kelopak Jantung" berdasarkan cerpen tulisan Ghazali Lateh dan antologi KOMSAS bagi Tingkatan 4 pula berjudul "Harga Remaja" berdasarkan sajak yang dihasilkan oleh Rahman Shaari. Proses penghantaran buku-buku tersebut ke sekolah-sekolah menengah di seluruh negara kini sedang dilakukan oleh pihak pengedar yang telah diamanahkan. Oleh itu, sesuai dengan perubahan ini diharap para guru di seluruh negara akan bersedia untuk mengajarkan bahan KOMSAS yang terbaharu kepada bakal pelajar tahun hadapan di sekolah masing-masing. Selamat membaca dan mengkaji setiap genre yang dimuatkan di dalam kedua-dua antologi tersebut.
Sumber - MunshiBM





HARGA REMAJA
Berapakah sebenarnya harga remaja

Yang bersih dari gelora kecewa

Berapakah sebenarnya harga remaja

Bagai kehijauan pohon di perjalanan

Dengan apakah akan kau penuhi

Piala remajamu adakah cuka

Kesangsian dari cinta murah atau madu

Ajaran dari ilmu susah

Remaja amat mahal sesungguhnya

Tiada terbeli oleh perjanjian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Harga remaja pendirian keberanian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Tiada terbeli oleh perjanjian

Remaja amat mahal sesungguhnya

Harga remaja pendirian keberanian

Harga remaja pendirian keberanian...

4 September 2009

RAMALAN PMR 1 - KEPENTINGAN KEMPEN BUDI BAHASA DAN NILAI MURNI

Kepentingan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni merupakan usaha kerajaan Malaysia yang murni. Kempen yang dijalankan ini banyak memberikan kepentingan kepada kita.

Kempen ini amat penting untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana budi bahasa yang tinggi dalam diri seseorang mencerminkan maruah dirinya. Oleh sebab itu, slogan “budi bahasa budaya kita” mestilah dijadikan prinsip hidup.

Selain itu, kempen yang bermanfaat ini juga dapat mengurangkan masalah sosial dan jenayah di negara kita. Hal ini dapat dibuktikan apabila kajian mendapati kes jenayah dan kebejatan sosial menurun sehingga 29 peratus. Oleh sebab itu, kempen ini wajarlah diperluas dan diuar-uarkan melalui media massa.

Di samping itu, kerajaan juga berharap rakyat Malaysia dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong asing melalui kempen ini. Sebagai contoh, rakyat digalakkan bersenyum kepada pelancong kerana setiap senyuman yang kita ukirkan tidak memerlukan modal malah memberikan pulangan yang lumayan kepada kehidupan kita.

Kesimpulannya, Kempen Budi bahasa dan Nilai-nilai Murni wajar diadakan sepanjang masa. Bak kata peribahasa, “orang berbudi, kita berbahasa; orang memberi, kita merasa”