Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

30 June 2021

NOTA PDPR 12 : AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN HARAPAN

 NOTA PDPR 12

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN HARAPAN


Ayat majmuk pancangan keterangan harapan ialah ayat yang paling banyak digunakan dalam jawaban bahagian pemahaman mahupun penulisan. Oleh sebab itu, berikan perhatian pada bahagian keterangan harapan. Keterangan harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan adalah seperti supaya, agar, semoga, moga-moga, dan kalau-kalau. 

Contohnya: 

1. Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati. 

(1a) Kita mesti bertolak ansur.

(1b) Semua pihak berpuas hati.


2. Supaya suasana menjadi aman damai, mereka semua bersetuju dengan cadangan pemimpin muda itu. 

(2a) Mereka semua bersetuju dengan cadangan pemimpin muda itu.  Suasana menjadi aman damai.

(2b) Suasana menjadi aman damai.


NOTA: Ayat di atas ialah ayat bersusunan songsang. Jika ditukar kepada ayat bersusunan biasa, ayatnya ialah 

Mereka bersetuju dengan cadangan pemimpin muda itu supaya suasana menjadi aman damai. Oleh sebab ayat asalnya dalam keadaan ayat bersusunan songsang, maka bahagian di depan ayat itu ialah ayat kedua. Perkara ini perlu dijelaskan kepada murid.


3. Cuba bertanya pada orang tua itu kalau-kalau dia mengetahuinya. 

(3a) (Engkau) cuba bertanya pada orang tua itu. 

(3b) Dia mengetahuinya. 


NOTA: Ayat di atas mengalami pengguguran subjek. Oleh sebab itu, subjek yang biasanya digugurkan melibatkan kata ganti nama yang sesuai. Sekiranya sesuai dengan konteks, semua kata ganti nama diri kedua yang sesuai diterima.

 

Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:

UJI PDPR 12

Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.


(i) Kami menyertai bengkel ini supaya mendapat maklumat penting.

(ii) Kakak membantu ibu di dapat agar kepenatan ibu dapat dikurangkan.

(iii) Saya berdoa semoga pembedahan Puan Roose berjalan dengan lancarnya.

(iv) Kami berharap moga-moga Perintah Kawalan Pergerakan akan dilonggarkan. 

(v) Tanyalah ibu kalau-kalau ibu mahu mengikut ayah ke Paris. 

(vi)  Semua guru harus mengongsikan ilmu supaya anak-anak murid mendapat manfaatnya.

(vii) Selebriti itu bijak berkata-kata agar mendapat kepercayaan peminatnya.

(viii) Kami berdoa agar wabak Covid-19 akan dapat dikawal tidak lama lagi. 

(ix) Saya berharap moga-moga Tuhan memberkati usaha ini. 

(x) Risiklah ibu bapanya kalau-kalau mereka sudi menerima awak sebagai menantu. 


Kalau ada kesilapan, mohon murnikan. 


Rajin dan usaha tangga kejayaan.

Selamat menjalankan PdPR

28 June 2021

NOTA PDPR 10 : AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN WAKTU

 NOTA PDPR 10

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN WAKTU 


Selepas mempelajari 4 jenis kata majmuk pancangan keterangan, hari ini kita masuk pula jenis yang ke-5. Jenis yang ke-5 ialah ayat majmuk pancangan keterangan waktu. Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara, tatkala, dan ketika. 

Contohnya: 

1. Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu. 

(1a) Polis segera tiba.

(1b) Polis mendapat maklumat tentang pergaduhan itu.


2. Saya belum berkunjung ke rumah Ali semenjak ia berpindah ke sana. 

(2b) Saya belum berkunjung ke rumah Ali.

(2b) Ia berpindah ke sana.


3. Sementara menanti padi masak, petani itu menanam jagung. 

(3a) Petani itu menantu padi masak.

(3b) Petani itu menanam jagung.


4. Tatkala hujan mula turun, mereka masih di sawah. 

(4a) Hujan mula turun.

(4b) Mereka masih di sawah.


5. Ketika masih kecil dahulu, mereka selalu berkelah di pantai. 

(5a) Mereka masih kecil dahulu.

(5b) Mereka selalu berkelah di pantai.


NOTA PENTING

(1) Selepas mencerakinkan/memisahkan ayat, pastikan ayat-ayat yang ditulis itu ada subjek dan predikat yang sesuai. Ayat kedua yang biasanya tiada subjek perlu mengikut subjek yang diberikan dalam ayat pertama.

(2) Kadangkala, pengguguran subjek juga berlaku pada ayat pertama. Oleh sebab itu, lihatlah subjek pada ayat kedua, dan gunakan subjek itu. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguguran yang berlaku disebabkan oleh subjek yang sama dalam satu ayat majmuk.

(3) Jangan tokok tambah perkataan seperti "ini", "itu", "akan" dan "telah" jika soalan asal tidak menyatakannya. 


Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:

UJI PDPR 10


Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.


(i) Ibu mendapatkan adik setelah mengetahui api di dapur semakin marak. 

(ii) Guru penolong kanan itu dinaikkan pangkat setelah berjaya melonjakkan prestasi sekolah. 

(iii) Kawasan rekreasi di taman perumahan saya belum dibuka kepada orang ramai semenjak penularan wabak berlaku.

(iv) Ibu bapa saya belum berkenalan dengan jiran baharu semenjak berpindah ke rumah baharu.

(v)  Sementera menunggu ayah tiba, adik suka membaca komik.

(vi) Sementara menunggu ibu siap menyediakan sarapan, kami membersihkan ruang tamu.

(vii) Tatkala gempa bumi berlaku, mereka masih berada di dalam rumah.

(viii) Tatkata ibu jatuh di bilik air, kami masih berbual-bual di beranda rumah.

(ix) Ketika masih hidup, ayah acap kali memberikan nasihat kepada kami.

(x) Ketika masih mampu, ibu pernah bekerja sebagai pengasuh.


Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selamat menjalankan PdPR

25 June 2021

NOTA PDPR 9: AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN SYARAT

 NOTA PDPR 9 

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN SYARAT 


Dalam PdPR 8, kita sudah mengetahui ayat majmuk pancangan keterangan akibat. Dalam PdPR ini, kita akan mempelajari ayat majmuk pancangan keterangan yang keempat, iaitu ayat majmuk pancangan keterangan syarat. Keterangan syarat amat sinonim dengan kehidupan murid tetapi ayat-ayat yang ditulis oleh murid masih banyak kesilapannya. Sebenarnya, skterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata hubung keterangan syarat adalah seperti "sekiranya", "andai kata", "jikalau", "jika", dan "kalau". Contohnya: 

1. Sekiranya saya lulus peperiksaan ini, saya akan berpuasa sepuluh hari. 

(1a) Saya lulus peperiksaan ini.

(1b) Saya akan berpuasa sepuluh hari.


2. Andai kata mereka menyerang, kita akan bertahan bersungguh-sungguh. 

(2a) Mereka menyerang.

(2b) Kita akan bertahan bersungguh-sungguh.


3. Ali akan ikut serta rombongan itu kalau ayah membenarkannya. 

(3a) Ali akan ikut serta rombongan itu.

(3b) Ayah membenarkannya. 


4. Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi tahun hadapan. 

(4a) Kami diizinkan Tuhan

(4b) Kami akan datang lagi tahun hadapan.


5. Pemimpin-pemimpin itu akan terus berjuang sekiranya mereka mendapat sokongan rakyat. 

(5a) Pemimpin-pemimpin itu akan terus berjuang. 

(5b) Mereka mendapat sokongan rakyat.


NOTA PENTING

(1) Selepas mencerakinkan/memisahkan ayat, pastikan ayat-ayat yang ditulis itu ada subjek dan predikat yang sesuai. Ayat kedua yang biasanya tiada subjek perlu mengikut subjek yang diberikan dalam ayat pertama.

(2) Kadangkala, pengguguran subjek juga berlaku pada ayat pertama. Oleh sebab itu, lihatlah subjek pada ayat kedua, dan gunakan subjek itu. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguguran yang berlaku disebabkan oleh subjek yang sama dalam satu ayat majmuk.


Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:

UJI PDPR 9

Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.


(i) Pekerja-pekerja itu akan mogok jikalau perundingan gagal.

(ii) Kami akan merayu andai kata permohonan itu ditolak .

(iii) Jika mendapat kebenaran, murid-murid itu akan menyertai pertandingan.

(iv) Andai kata hujan turun, pertandingan bola sepak akan ditangguhkan.

(v) Andai kata murid tidak hadir ke sekolah, guru harus mengambil tahu sebabnya.

(vi) Jika semua syarat dipatuhi, peserta boleh menyertai kuiz. 

(vii) Ibu saya mudah naik angin jikalau anak-anak tidak mendengar kata.

(viii) Pihak sekolah tidak akan menjalankan aktiviti tersebut andai kata ibu bapa tidak membenarkannya. 

(ix) Guru saya akan bertindak sekiranya anak murid beliau tidak menghantar tugasan.

(x) Kerajaan terpaksa menutup sektor pelancongan sekiranya kes Covid-19 meningkat.


Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Selamat menjalankan PdPR

24 June 2021

NOTA PDPR 8: AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN AKIBAT

 NOTA PDPR 8

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN AKIBAT


Dalam PdPR 7, kita telah mempelajari ayat majmuk pancangan keterangan musabab. Hari ini, kita belajar pula ayat majmuk pancangan keterangan akibat. Kata hubung pancangan keterangan akibat ialah jenis kedua daripada sembilan ayat majmuk pancangan keterangan. Dalam ayat ini, keterangan akibat ialah unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan. Kata hubung keterangan akibat adalah seperti hingga dan sehingga. 

Contohnya: 

1. Dia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya. 

2. Pelajar itu berusaha bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya. 


Dalam ayat 1, hasil pencerakinannya ialah

(1a) Dia bersorak terlalu kiat.

(1b) Serak suaranya. 


Dalam ayat 2, hasilnya pula apabila dipisahkan kepada ayat tunggal ialah

(2a) Pelajar itu berusaha bersungguh-sungguh.

(2b) Pelajar itu berjaya. 


Ada yang mengatakan bahawa "hingga" dan "sehingga" ada bezanya, iaitu "hingga" untuk menjelaskan akibat/perbuatan yang ada hat dan "sehingga" pula menjelaskan had perbuatan/akibat yang paling hujung. Contohnya,

3. Dia belajar dari pagi hingga petang. (ada had)

4. Dia berbuat jasa kepada ibu bapa sehingga hujung nyawanya. (tiada had). 


Walau bagaimanapun, Tatabahasa Dewan tidak menjelaskan keadaan ini secara terperinci. Jika ada sumber rujukan lain yang menyatakannya, bolehlah kita membincangkannya lebih lanjut. 


Dalam Tatabahasa dewan, "hingga" dan "sampai" juga merupakan kata sendi nama. Oleh sebab "hingga" juga kata sendi nama, murid-murid harus tahu membezakannya dengan kata hubung. "Hingga" yang hadir dalam ayat kata majmuk keterangan boleh diuji dengan memisahkan ayat tersebut tetapi "hingga" yang hadir dalam ayat sebagai kata sendi nama pula tidak dapat dipisahkan. Lihat beberapa contoh di bawah:

5. Pegawai itu berjaga {hingga/ sampai} pagi. 

6. Anak-anaknya belajar {hingga/ sampai} peringkat universiti. 

7. Mereka mengaji al-Quran {hingga/ sampai} dinihari. 


Ketiga-tiga ayat di atas tidak dapat dipisahkan kerana fungsi "hingga/sampai" ialah kata sendi nama, bukan kata hubung.



UJI PDPR 8

Pisahkan ayat-ayat majmuk pancangan keterangan akibat di bawah kepada ayat tunggal. Ayat yang anda pisahkan perlulah ada subjek dan predikat dan gramatis.


(i) Penyebaran bahasa Melayu ke daerah sekitaran tersebut sehingga bahasa Melayu terus menapak serta memperkukuh peranannya sebagai lingua franca di Kepulauan Nusantara.

(ii) Dia memperkacang harta orang tuanya hingga habis semuanya. 

(iii) Perselisihan itu berlanjutan sehingga mereka berpisah pada akhir tahun. 

(iv) Anak lelaki itu berjaga hingga ibunya sedar.

(v) Mereka menguli adunan itu sehingga adunan itu menjadi lembut. 

(vi) Pegawai itu menjelaskan perkara itu hingga kami faham.

(Vii) Koheren merupakan kesinambungan idea dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna.

(viii) Kita harus belajar hingga berjaya.

(ix) Kakak menunggu ibu di depan pintu sehingga ibu pulang.

(x) Wanita itu sanggup berkorban hingga anak-anaknya berjaya memasuki universiti.


Selamat menyebarluaskan ilmu bahasa.

Salam sejahtera.

23 June 2021

NOTA PDPR 7 AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN MUSABAB

 NOTA PDPR 7 

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN MUSABAB


Ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat berbagai-bagai keterangan yang disampaikan oleh ayat kecil jenis ini, bergantung pada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang terkandung di dalamnya. Terdapat sembilan jenis keterangan, seperti yang dihuraikan di bawah. Pada Hari ini, kita akan belajar satu demi satu (9 jenis) ayat majmuk pancangan keterangan.  Kita mulakan PdPR dengan jenis pertama, iaitu Ayat majmuk keterangan musabab.


(i) Keterangan musabab 

Keterangan musabab ialah unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab adalah seperti kerana, lantaran, sebab, dan oleh sebab. Contohnya: 

1. Saya tidak dapat hadir kerana saya kurang sihat. 

(1a) Saya tidak dapat hadir.

(1b) Saya kurang sihat.


2. Mereka tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan sebab mereka datang lambat. 

(2a) Mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan. 

(2b) Mereka datang lambat. 


3. Oleh sebab mereka mengamalkan dasar aparteid, negara itu dahulu dikenakan sekatan ekonomi. 

(3a) Mereka mengamalkan dasar aparteid.

(3b) Negara itu dahulu dikenakan sekatan ekonomi.


4. Pelajar itu berjaya lantaran rajin berusaha.

(4a) Pelajar itu berjaya.

(4b) Pelajar itu rajin berusaha.


5. Jamil kehilangan dua batang jarinya lantaran bermain mercun buatan sendiri.  

(5a) Jamil kehilangan dua batang jarinya.

(5b) Jamil bermain mercun buatan sendiri. 


UJI PDPR

Tukar ayat majmuk pancangan keterangan kepada ayat-ayat tunggal.


(i) Kami akan membuat keputusan secepat mungkin sebab tarikh akhir tidak lama lagi.

(ii) Sekolah saya ditutup esok kerana kes penularan wabak.

(iii) Kakak mahu pergi ke klinik sebab dia sakit kaki.

(iv) Nenek saya dirawat di hospital lantaran strok. 

(v) Komputer itu dihantar ke kedai kerana perlu dibaiki. 

(vi) Oleh sebab belum disahkan oleh pihak DBP, istilah "kuncitara" tidak wajar digunakan

(vii) Kerajaan akan mempertingkatkan pemberikan vaksin sebab mahu mengurangkan kes penularan wabak.

(viii) Pengemis itu tinggal di lorong lantaran tidak memiliki rumah. 

(ix) Oleh sebab mahu membuat kek, ibu membeli tepung. 

(x) Murid-murid semakin yakin kerana mereka mempunyai asas penguasaan tatabahasa.


Maafi hamba atas kelewatan mengongsikan bahan PdPR hari ini kerana hamba menerima vaksin pagi tadi. 


Terima kasih kerana sudi menggunakan bahan ini.

22 June 2021

BENGKEL BAHASA MELAYU STANDARD

NOTA PDPR 6 Ayat Komplemen

 NOTA PDPR 6

Ayat Komplemen 

Perhatikan ayat-ayat berikut: 

1. Murid yang sakit itu telah pulang 

2. Dia menerangkan bahawa murid itu sakit. 


Ayat 1 ialah ayat relatif. Seperti yang telah diterangkan di atas, perkataan yang dalam frasa yang sakit itu menggantikan frasa yang diulang, iaitu murid itu seperti yang terdapat dalam ayat-ayat asal dalam ayat 1(a) dan ayat 1(b) yang berikut: 

(1a) Murid itu telah pulang. 

(1b) Murid itu sakit. 


Ayat Murid itu sakit telah dipancangkan sebagai ayat relatif ke dalam ayat Murid itu telah pulang. 

Dalam ayat 2, ayat bahawa murid itu sakit merupakan objek kepada kata kerja transitif menerangkan. Dalam ayat tersebut, terdapat subjek dia dan kata kerja transitif menerangkan, dan ayat bahawa murid itu sakit seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu.


Dari satu segi, ayat di sebelah tidak jauh bezanya daripada ayat yang berikut: 

3. Ahmad membeli buku. 


Dalam ayat ini, buku pun berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif membeli. Perbezaan terletak pada struktur kedua-dua ayat. Buku ialah objek bagi kata kerja membeli sementara bahawa murid itu sakit ialah ayat yang bertugas sebagai objek kepada kata kerja menerangkan. Ayat Dia menerangkan bahawa murid itu sakit terdiri daripada dua ayat, iaitu: 

(2a) Dia menerangkan (sesuatu). (Ayat induk) 

(2b) Bahawa murid itu sakit. (Ayat komplemen) 


Ayat (2b) telah dipancang ke dalam ayat (2a) untuk melengkapkan kata kerja dalam ayat tersebut. Hubungan seperti ini, yang berbeza daripada hubungan ayat relatif, disebut hubungan komplemen. Dalam ayat Dia menerangkan bahawa murid itu sakit, ayat induknya ialah ayat (2a) sementara ayat (2b) merupakan ayat komplemen. Pembentukan ayat majmuk komplemen biasanya disertai penggunaan beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai kata komplemen untuk menandakan hubungan ini. Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu, iaitu untuk dan bahawa. 

Perhatikan contoh di bawah ini. 

4. Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara. 

5. Bahawa ekonomi negara kita pada masa itu merosot adalah kurang tepat. 

6. Untuk Ali melakukannya sangat sukar. 

7. Untuk dia lulus ujian itu amatlah senang. 

8. Penduduk kampung itu menyedari bahawa nasib mereka terancam. 


Tiap-tiap satu daripada ayat di atas itu terdiri daripada dua ayat. iaitu satu ayat induk dan satu ayat komplemen yang dipancangkan. seperti yang berikut: 

4.Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara. 

(4a) Dia mengetahui (sesuatu) 

(4b) Ahmad telah bersara. 


5.  Bahawa ekonomi negara kita pada masa itu merosot adalah kurang tepat. 

(5a) Sesuatu itu kurang tepat. 

(5b) Ekonomi negara kita pada masa itu merosot. 


6. Untuk Ali melakukannya sangat sukar. 

(6a) Ali melakukannya. 

(6b) (Perkara itu) sangat sukar. 


7.  Untuk dia lulus ujian itu amatlah senang. 

(7a) Perkara itu amatlah senang. 

(7b) Dia lulus ujian. 


8. Penduduk kampung itu menyedari bahawa nasib mereka terancam. 

(8a) Penduduk kampung itu menyedari (sesuatu). 

(8b) Nasib mereka terancam. 


UJI PDPR 

Tukar ayat majmuk pancangan komplemen di bawah kepada ayat-ayat tunggal.


(1) Untuk ibu memasak nasi beriani sangat mudah. 

(2) Nenek mengatakan bahawa herba memberikan manfaat kepada kesihatan.

(3) Bahawa peperiksaan UPSR dimansuhkan adalah benar. 

(4) Pegawai itu menjelaskan bahawa borang perlu dihantar esok.

(5) Bahawa sekolah akan dibuka tidak lama lagi adalah benar. 

(6) Untuk murid berjaya menulis karangan cemerlang bukanlah mudah.

(7) Untuk ibu bapa mendidik anak-anak tidak mudah. 

(8) Pegawai polis itu menjelaskan bahawa sekatan jalan raya akan dijalankan.

(9) Untuk telefon pintar berfungsi dengan kelajuan tinggi sudah tentu boleh. 

(10) Guru subjek Bahasa Melayu mengatakan bahawa ayat komplemen mudah sahaja. 


Selamat menjalankan PdPR

21 June 2021

NOTA PDPR 5 Ayat Majmuk Pancangan

 NOTA PDPR 5

Ayat Majmuk Pancangan 

Ada ayat majmuk yang terdiri daripada beberapa ayat yang kedudukan antara ayat itu tidak sama. Seperti yang telah diterangkan, dalam ayat majmuk gabungan terdapat dua ayat atau lebih yang bersifat sama taraf, yakni masing-masing dapat berdiri sendiri. Sebaliknya, dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. 

Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu, yang ditentukan oleh cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu: 

(i) Ayat relatif.

(ii) Ayat komplemen.

(iii) Ayat keterangan. 



Hari ini kita belajar satu daripadanya, iaitu "Ayat Relatif" 

Ayat relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan yang, seperti contoh yang berikut: 

1. Saya membeli baju yang berwarna merah. 

2. Mereka menonton wayang yang amat lucu. 

3. Budak yang sedang membaca majalah itu anak saya. 

4. Lembu yang menanduk kereta saya itu lari ke dalam semak. 

5. Bas yang dinaiki adik saya itu bas ekspres. 

6. Emak menggosok baju yang dijahit oleh Lina. 


Ayat 1 sebenarnya terdiri daripada dua ayat, iaitu: 

49. (a) Saya membeli baju. 

49. (b) Baju itu berwarna merah. 


Apabila kedua-dua ayat itu dimajmukkan, ayat Baju itu berwarna merah dipancangkan ke dalam ayat induk Saya membeli baju. Oleh sebab ungkapan baju diulang, maka baju yang kedua itu digugurkan dan digantikan dengan kata hubung relatif yang. Proses ini boleh dianggap sebagai mengalami tingkat-tingkat perubahan seperti yang berikut: 

Pertama : Saya membeli baju + Baju itu berwarna merah 

Kedua : Saya membeli baju + Baju itu berwarna merah 

Ketiga : Saya membeli baju yang berwarna merah. 


Dalam ayat Saya membeli baju yang berwarna merah, ayat induknya ialah Saya membeli baju, sementara ayat kecil relatif yang dipancangkan ke dalamnya ialah Baju itu berwarna merah yang kemudiannya menjadi yang berwarna merah. Demikian juga halnya dengan ayat (3) Budak yang sedang membaca majalah itu anak saya yang terdapat dua ayat di dalamnya, iaitu: 

3. (a) Budak itu anak saya. 

3. (b) Budak itu sedang membaca majalah. 


Ayat Budak itu sedang membaca majalah dipancangkan ke dalam ayat Budak itu anak saya. Oleh sebab frasa budak itu diulang, maka frasa nama kedua yang serupa digugurkan dan diganti dengan kata relatif yang. Secara kasar, proses ini boleh digambarkan seperti yang berikut: 

Pertama : Budak itu anak saya + Budak itu sedang membaca majalah. 

Kedua : Budak itu + Budak itu sedang membaca majalah + anak saya. 

Ketiga : Budak yang sedang membaca majalah itu anak saya. 


Perbezaan antara ayat 1 dengan ayat 3 terletak pada hakikat bahawa dalam ayat 1 ayat kecil yang dipancangkan ke dalam predikat ayat itu bertugas sebagai objek, sementara ayat 3 menerima ayat pancangan sebagai subjeknya dengan menukarkan bentuk ayat itu kepada budak yang sedang membaca majalah itu. Ayat 5 berbeza lagi daripada kedua-dua ayat sebelumnya. Seperti ayat relatif lain, ayat ini juga terdiri daripada ayat induk dengan ayat kecil seperti yang berikut: 

Ayat induk : 5. (a) Bas itu bas ekspres. 

Ayat kecil : 5.(b) Adik saya menaiki bas itu. 


yang dijadikan ayat pasif: Bas dinaiki adik saya. 


Pemajmukan ayat induk 5 (a) dan ayat kecil 5 (b) melahirkan ayat baharu, ayat majmuk relatif: 

Bas yang dinaiki adik saya itu bas ekspres. 


LATIHAN PDPR 1

Pisahkan ayat-ayat relatif di bawah kepada ayat tunggal.


1. Mereka melihat lukisan yang sungguh indah itu. 

2. Pihak pengurusan membantu pekerja yang ditimpa kemalangan di tempat kerja. 

3. Guru sukan memuji murid-murid yang berjaya dalam pertandingan itu. 

4. Orang yang baru datang itu membawa buah tangan. 

5. Udara yang nyaman menyegarkan. 

6. Pemuda yang berusaha bersungguh-sungguh itu memenangi hadiah. 

7. Mereka menunggu di bilik yang telah dibersihkan. 

8. Buku yang dibeli oleh Ali amat tebal. 

9. Mereka melihat anak bulan di Bait al-Hilal yang terletak di Teluk Kemang. 

10. Perompak yang menembak polis telah ditangkap. 


Selamat menjalankan PdPR.

20 June 2021

NOTA PDPR 4 Frasa Sendi Nama

 NOTA PDPR 4

Frasa Sendi Nama 

Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama itu. Kata sendi nama ialah bentuk morfem atau kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah: di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh, dengan, tentang, sampai, dan sebagainya. Frasa sendi nama boleh juga, sebagai pilihan, didahului oleh kata bantu. 



Binaan Frasa Sendi Nama 

Frasa sendi nama boleh terbentuk daripada salah satu binaan berikut: 

(i) Kata Sendi Nama + Frasa Nama 

Contoh: Surat itu daripada ayah saya.


Dalam ayat (i) "daripada " ialah kata sendi nama dan “ayah saya” ialah frasa nama.


(ii) Kata Sendi Nama + Kata Arah + Frasa Nama 

Contoh: Ibu memasukkan beg ke dalam almari yang besar. 


Dalam ayat (ii) "ke " ialah kata sendi nama, “dalam” ialah kata arah dan “almari yang besar” ialah frasa nama.


(iii) Kata Sendi Nama + Frasa Nama + Frasa Keterangan 

Contoh: Ayah hendak pergi ke pejabat pos untuk menghantar dokumen.


Dalam ayat (iii) "ke" ialah kata sendi nama, “pejabat pos” ialah frasa nama dan “untuk menghantar dokumen” ialah frasa keterangan.

Dalam ayat yang mempunyai frasa keterangan, “untuk” yang diikuti kata kerja menyebabkan ayat itu dapat dicerakinkan/dipisahkan. Oleh sebab itu, “untuk” dalam ayat tersebut ialah kata hubung.

Sekiranya “untuk” diikuti kata nama, maka “untuk” tersebut ialah kata sendi nama, bukan kata hubung keterangan tujuan.


(iv) Kata Sendi Nama + Kata Arah + Frasa Nama + Frasa Keterangan 

Contoh: Wanita itu berdiri di luar pintu rumah kerana mahu menunggu anaknya pulang.

Dalam ayat (iv) "di" ialah kata sendi nama, “luar” ialah kata arah, “pintu rumah” ialah frasa nama dan “kerana mahu menunggu anaknya pulang” ialah frasa keterangan.


Dengan mengajarkan bentuk-bentuk binaan frasa nama ini kepada anak-anak murid, saya yakin bahawa mereka dapat membezakan kata sendi nama dan kata hubung. Ingat, kata sendi nama yang terdapat dalam ayat menyebabkan ayat itu tidak dapat dipisahkan manakala kata hubung yang terdapat dalam ayat membolehkan ayat tersebut dipisahkan. 


UJIAN PENGUASAAN PDPR

Baca ayat-ayat di bawah, kemudian nyatakan bentuk binaan frasa sendi nama dalam kurungan bagi setiap ayat tersebut.


(1) Lelaki itu (daripada kerabat diraja).

(2) Buku itu diletakkan (di atas kaunter peminjaman buku agar mudah dilihat oleh murid).

(3) Kenderaan itu bergerak (ke dalam bangunan).

(4) Telefon pintar diletakkan oleh ibu (di atas meja bulat).

(5) Kejayaan negara bergantung (pada usaha rakyat). 

(6) Adik masuk ke dewan peperiksaan (untuk menduduki ujian).

(7) Penolong kanan SMK Westland mendapat anugerah lonjakan saujana (daripada JPN Pulau Pinang). 

(8) Cikgu Meganathan meletakkan fail (di tepi para-para buku kerana dia perlu menghantarnya kepada pengetua).

(9) Guru yang gigih itu mencari maklumat (dengan pelbagai sumber demi meningkatkan penguasaan bahasa anak-anak muridnya).

(10) Pengetua sekolah itu memandu kereta (ke utara untuk bermesyuarat).


SELAMAT MENJALANKAN PDPR

18 June 2021

NOTA PDPR 3 - KATA PEMERI

 NOTA PDPR 3

"Ialah" dan "Adalah"

Banyak murid masih melakukan kesilapan ketika menulis kata pemeri "ialah" dan "adalah". Hal ini disebabkann oleh mereka tidak sedar bahawa kedua-dua kata pemeri ini ada rumus dan ketetapannya. Di samping itu, penggunaan "adalah" dan "ialah" dalam media massa dan iklan serta buku-buku di pasaran juga kurang tepat. Oleh sebab itu, kesilapan yang dipandang entang ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan kualiti ayat, karangan dan pertuturan murid sekiranya kata pemeri digunakan. Jom kita belajar sama-sama.


Kata pemeri "ialah" menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala "adalah" menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. 


Contoh penggunaan "ialah" 

i. 

Anak ialah anugerah Allah.

ii. 

Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan. 


Contoh penggunaan "adalah" 

i. 

Kursus ini adalah untuk peningkatan kefahaman peserta. 

ii. Harga kotak itu adalah mahal kerana diperbuat daripada bahan berkualiti.


Kesalahan Umum

i. 

Hobi saya ialah menanam pokok bunga. (Salah)

Hobi saya adalah menanam pokok bunga. (Salah)

Hobi saya menanam pokok bunga. (Betul)


ii

Lelaki itu adalah bapa saya. (Salah)

Lelaki itu ialah bapa saya. (Betul)


(untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, hal.263)


UJI MINDA

1. Peperiksaan itu __________ SPM. 

2. Wanita yang berbaju kebaya itu __________ ibu Izzat. 

3. Beg yang dibeli oleh ibu itu __________ untuk adik.

4. Surat yang diterima oleh ayah itu __________ daripada pihak kerajaan tempatan.

5. Masalah kewangan __________ kekangan utama program yang tidak dapat dijalankan itu. 

6. Bungkusan itu ____________ dari Kuala Lumpur ke Kuala Namu. 

7. Bersenam __________ aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.

8. Pertandingan itu __________ pertandingan melukis gambar pemandangan.

9. Kawasan di tepi pantai itu __________ indah dan mengasyikkan. 

10. Kedudukan raja di negara itu __________ tertinggi.


Sekian, terima kasih.

Selamat menjalankan PdPR.

17 June 2021

NOTA PDPR 2 - FRASA KERJA DENGAN DUA OBJEK

 NOTA PDPR 2

FRASA KERJA DENGAN DUA OBJEK

Frasa kerja yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya boleh mengandungi dua frasa nama yang menjadi objek kepada kata kerja tersebut. Objek-objek ini mempunyai fungsi yang berbeza dan disebut sebagai objek tepat dan objek sipi. Objek tepat ialah objek yang menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerjanya sementara objek sipi ialah objek yang tidak menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerjanya. Contohnya,


1. Ridzuan menghadiahkan sebuah buku kepada Azizah.

2. Lelaki itu membeli baju untuk anaknya.


Ayat-ayat di atas boleh diubah menjadi ayat berikut:


1(a). Ridzuan menghadiahi Azizah sebuah buku.

2(a). Lelaki itu membelikan anaknya baju.


Apabila dipasifkan, hanya frasa nama yang menjadi objek tepat akan mengalami penjudulan, iaitu menjadi subjek atau unsur yang diterangkan. Contohnya,


1(c) Azizah dihadiahi sebuah buku oleh Ridzuan.

2(c) Anaknya dibelikan baju oleh wanita itu.


Sebaliknya, ayat-ayat pasif berikut yang menjudulkan objek sipi tidak dianggap gramatis.


1(d) *Sebuah buku dihadiahi oleh Ridzuan.

2(d) *Baju dibelikan anaknya oleh Lelaki itu.


Pembetulannya ialah:

1(e) Sebuah buku dihadiahkan oleh Ridzuan kepada Azizah.

1(e) Baju dibeli oleh lelaki itu kepada anaknya.


Yang berikut ialah contoh-contoh ayat yang mengandungi frasa kerja dengan dua objek.


3. Dia mencarikan isterinya sehelai selendang.

4. Dia mencari sehelai selendang untuk isterinya.

5. Tuhan mengurniai kita rahmat.

6. Tuhan mengurniakan rahmat kepada kita.

7. Baginda menganugerahi negarawan itu bintang kehormatan.

8. Baginda menganugerahkan bintang kehormatan kepada negarawan itu.

9. Ibu memasakkan tetamu makanan.

10. Ibu memasak makanan untuk tetamu.

11. Anak Ali menghidangi kami sedulang kuih.

12. Anak Ali menghidangkan sedulang kuih kepada kami.


Ayat 4,6,8,10, dan 12 hanya mengandungi satu objek. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat-ayat tersebut diubah susunannya, iaitu objek tepat asal diletakkan di bahagian belakang ayat dengan didahului oleh kata sendi nama “untuk” atau “kepada” dan menjadikannya frasa sendi nama. 


Ada juga frasa kerja yang seolah-olah mengandungi dua objek seperti yang berikut:

13. Sultan Mahmud menamai tempat itu Melaka. 

14. Emak menjadikan budak itu anak angkatnya.

15. Anak kecil itu menyangka orang itu bapanya.

16. Hasbullah menganggap saya lawannya.

17. Dima menamai kucing itu Si Tompok.


Sebenarnya, ayat-ayat di atas mengandungi satu objek sahaja, iaitu frasa nama yang mengikuti kata kerja secara langsung manakala “Melaka”, “anak angkatnya”, “bapanya”, “lawannya”, dan “Si Tompok” hanya berfungsi sebagai penerang kepada objek yang tidak boleh dijadikan objek tepat kerana ayat-ayat berikut jelas menampakkan kesilapannya:


13. (a) *Sultan Mahmud menamakan Melaka untuk tempat itu.

14. (a) *Emak menjadikan anak angkatnya bagi budak itu.

15. (a) *Anak kecil itu menyangka bapanya untuk orang itu.

16. (a) *Hasbullah menganggap lawannya kepada saya.

17. (a) *Dima menamakan Si Tompok untuk kucing itu.


Untuk menjelaskan dan membaiki kesalahan bahasa dalam ayat-ayat di atas, perkataan “sebagai” boleh diletakkan di hadapan unsur-unsur penerang itu, contohnya:


13. (b) Sultan Mahmud menamakan tempat itu sebagai Melaka.

14. (b) Emak menjadikan budak itu sebagai anak angkatnya.

15. (b) Anak kecil itu menyangka orang itu sebagai bapanya.

16. (b) Hasbullah menganggap saya sebagai lawannya.

17. (b) Dima menamakan kucing itu sebagai Si Tompok.


Sebagai latih tubi, guru-guru bolehlah menjadikan ayat-ayat di bawah ini sebagai latihan kepada anak murid. Selain mempelajari ilmu transformasi ayat aktif kepada ayat pasif, anak-anak murid kita juga dapat mempelajari kepentingan objek tepat yang berkaitan dengan kata kerja dan objek sipi yang diterangkan oleh kata kerja. Penguasaan ilmu frasa kerja dengan dua objek ini penting demi persediaan menghadapi soalan tatabahasa dalam peperiksaan.


18. (a) Ibu memberi Ali nasihat

18. (b) Ibu memberikan nasihat kepada Ali.


19. (a) Hakim menjatuhi penjahat itu hukuman mati.

19. (b) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada penjahat itu.


20. (a) Polis menemui Md Ali di tepi jalan.

20. (b) Polis menemukan dompet di tepi jalan.


21. (a) Ibu mengirimi Ikram sepucuk surat.

21. (b) Ibu mengirimkan sepucuk surat kepada Ikram.


22. (a) Raja itu mengutusi menteri sepucuk surat.

22. (b) Raja itu mengutuskan sepucuk surat kepada menteri.


23. (a) Guru memberitahu Ali hal itu.

23. (b) Guru memberitahukan hal itu kepada Ali.


24. (a) Cikgu Mei Lan mengajar murid-muridnya tatabahasa.

24. (b) Cikgu Mei Lan mengajarkan tatabahasa kepada murid-muridnya.

16 June 2021

NOTA PDPR 1 (KATA KERJA TAN TRANSITIF)

 NOTA PDPR 1

(1) Ali menjadi guru sandaran.
(2) Pak Samad ada sawah di kampung.
Jika kita baca seimbas lalu, ayat di atas macam ayat aktif transitif. Ayat aktif transitif ialah ayat yang boleh dipasifkan. Sebenarnya tidak. Ayat-ayat di atas mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu ayat yang tidak dapat dipasifkan. Hal ini dikatakan demikian kerana "guru sandaran" dalam ayat (1) dan "sawah di kampung" hanyalah kata nama sebagai pelengkap bagi kata kerja tak transitif dalam ayat tersebut.
Kata nama boleh menjadi pelengkap pada kata kerja tak transitif "menjadi" dan "ada". Kata nama juga boleh menjadi pelengkap pada kata kerja tak transitif yang menerima imbuhan ber-...-kan. Oleh sebab itu, kita tidak memerlukan kata sendi nama selepas kata kerja tak transitif berimbuhan ber-...-kan.
(3a) Kami tidur berbantalkan lengan. (gramatis)
(3b) Kami tidur berbantalkan dengan lengan. (tidak gramatis)
Walau bagaimanapun, kata kerja tak transitif berimbuhan ber- boleh menerima kata sendi nama sebagai pelengkap dan diikuti kata nama. Hal ini dikatakaan demikian kerana kata sendi nama boleh diikuti kata nama. Lihat contoh di bawah:
(3c) Kami tidur berbantal dengan lengan. (gramatis)
Banyak lagi contoh lain seperti "bertilamkan", berbatangkan", "berselimutkan" dan sebagainya.
Kesilapan yang dapat dibaiki dalam ayat berkata kerja tak transitif ini pasti dapat membantu murid-murid dalam ujian tatabahasa atau peperiksaan nanti. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan-soalan beginilah yang akan diuji dan menjadi kesilapan umum dalam kalangan pengguna bahasa.
UJIAN TATABAHASA BERPANDUKAN NOTA DI ATAS
Arahan: Berikan 2 ayat pembetulan bagi kesalahan kata kerja tak transitif dalam setiap ayat di bawah.
(1) Kami tidur berbantalkan dengan dengan.
(2) Pengemis itu tidur bertilamkan dengan rumput.
(3) Pokok padi Wan Empuk berbatangkan dengan emas.
(4) Pengembara itu tidur berselimutkan dengan embun.
(5) Kami memasuki hutan berpandukan pada peta.
Selamat belajar.