Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

22 January 2016

INFORMASI BAHASA - HUKUM D-M

INFORMASI BAHASA
HUKUM D-M
Hukum D-M ialah yang diterangkan dan yang menerangkan. Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Dalam penggunaan harian, terdapat penerang yang mendahului unsur yang diterangkan. Hal ini boleh berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan dan diterima sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu. 

1. kelapa tua = buah kelapa yang sudah tua
2. orang muda =orang yang masih muda
3. guru sains =guru yang mengajarkan subjek Sains
4. serbuk cili =serbuk yang dibuat daripada cili
5. sos tomato = sos yang dibuat daripada tomato
6. Restoran Zaleha = restoran kepunyaan Zaleha
7. Kedai Buku Hamid =kedai buku kepunyaan Hamid
8. keledek goreng =keledek yang telah digoreng
9. kacang rebus =kacang yang sudah direbus
10. rendang daging =rendang yang dibuat daripada daging.
11. susu lembu =susu yang diambil daripada lembu
12. lembu susu = lembu yang mengeluarkan susu
Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris “Restoran Yusof” disebut sebagai “Yusof Restaurant”. 
Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan “Restoran” yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur “Restoran” pada kedudukan pertama sebagai aspek yang “Diterangkan” barulah diikuti oleh “Yusof” sebagai unsur yang “Menerangkan” iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai “Restoran Yusof”. Dari sudat makna, jika disebut “Yusof Restoran”, maka sebenarnya kita merujuk kepada “Yusof” sebagai “restoran”. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran?

Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama “susu lembu” merujuk maksud “susu yang diambil daripada lembu”. Manakala “lembu susu” merujuk maksud “lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya”. Oleh hal yang demikian, dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. 
Contohnya;
1. Meganathan minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Abang Meganathan memelihara beberapa ekor lembu susu.
Jika dilihat dari sudut makna, ayat 1 merujuk kepada susu manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada “lembu susu” maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin “Meganathan minum lembu” sedangkan hakikatnya “Meganathan minum susu”. 
Sementara itu, ayat 2 pula jika diubah kepada “susu lembu” juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Abang Meganathan memelihara susu”, sedangkan maksud yang tepat ialah “Abang Meganathan memelihara lembu”.

Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan adalah seperti yang berikut:

1.
lain-lain hal (salah)
hal-hal lain (betul)
2.
lain-lain perkara (salah)
perkara-perkara lain (betul)
3.
lain-lain masalah (salah)
masalah-masalah lain (betul)
4.
lain-lain kata (salah)
kata-kata lain (betul)
5.
warung goreng pisang (salah)
warung pisang goreng (betul)
6.
Salleh Kedai Runcit (salah)
Kedai Runcit Salleh (betul)
7.
tomato sos (salah)
sos tomato (betul)
8.
pencuci serbuk (salah)
serbuk pencuci (betul)
9.
Wong Klinik Gigi (salah)
Klinik Gigi Wong (betul)
10.
petroleum gas (salah)
gas petroleum (betul)
Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (“Diterangkan”) terletak di belakang unsur yang “Menerangkan”. Hal ini dikatakan demikian kerana semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris. Akhir kata, betulkan yang salah, biasakan yang betul, pastikan yang betul, kekalkan yang betul, dan amalkan yang betul.

19 January 2016

INFORMASI BAHASA - BINAAN FRASA NAMA: INTI + INTI

INFORMASI BAHASA
BINAAN FRASA NAMA: INTI + INTI

binaan frasa nama inti + inti tidak mempunyai unsur penerang. Hal ini dikatakan demikian kerana makna keseluruhan frasa nama itu didukung oleh kedua-dua kata nama inti. Oleh sebab itu, binaan jenis ini tidak mempunyai makna penerang.

Ada dua golongan frasa nama daripada jenis inti + inti, iaitu berdasarkan makna yang didukung oleh perkataan-perkataan:

1. Inti + inti dengan maksud sama erti
2. Inti + inti dengan maksud lawan erti

1. Inti + inti dengan maksud sama erti
Perkataan-perkataan yang mengisi kedua-dua inti dalam binaan frasa nama demikian membawa makna sama erti, iaitu merupakan semacam ulangan.
Contohnya:
(a) tubuh badan
(b) rakan taulan
(c) wang ringgit
(d) ribut taufan
(e) hutan rimba
(f) pinggan mangkuk
(g) sawah ladang
(h) hamba abdi
(i) kampung halaman
(j) rumah kediaman
(k) hujan gerimis

2. Inti + inti dengan maksud lawan erti
Perkataan-perkataan yang mengisi kedua-dua inti dalam binaan frasa nama jenis ini membawa makna yang berlawanan. Contohnya:

(a) kerusi meja
(b) lelaki perempuan
(c) jantan betina
(d) abang adik
(e) ibu bapa
(f) datuk nenek
(g) teruna dara
(h) saudara saudari
(i) tuan puan
(j) turun naik
(k) suka duka

Demikianlah konstituen atau unsur yang menjadi pengisi frasa nama. Walau bagaimanapun, kita harus berhati-hati dalam pembinaan inti + inti kerana bimbang akan unsur kelewahan berlaku sehingga menjejaskan konstituen frasa nama yang dibina.

Sebagai latihan, kita bolehlah menyenaraikan frasa inti + inti yang sama maksud dan berlawanan maksud seperti yang berikut:
                                                  
(Inti + inti dengan sama maksud sama erti)
1. fakir miskin
2. ampun maaf
3. hamba sahaya
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.

(Inti + inti dengan maksud lawan erti)
1. hujung pangkal
2. suami isteri
3. tua muda
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.

Kalimat bertanda intonasi bergaya,
Unsur bergabung tutur bersambung,
Kemasnya ejaan bernasnya bacaan,
Kalimat bersusun ayat bersantun,
Kalimat bersendi ayat berpaksi.


Selamat mencuba!

13 January 2016

INFORMASI BAHASA - “JURU” YANG TIDAK POPULAR

INFORMASI BAHASA
“JURU” YANG TIDAK POPULAR

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “juru” membawa maksud orang yang mempunyai keahlian dalam sesuatu perkara (biasanya dipakai dalam kata majmuk dan dieja bersambung atau bercantum sebagai satu perkataan. Antaranya, jurulatih, jurutera, juruteknik, jururawat, dan juruselam yang popular. Banyak lagi kepakaran popular yang tidak kita ketahui waima jarang kita temukan dalam bahan ilmiah dan majalah. Perhatikan contoh yang berikutnya:

1.
jurubatu – anak buah perahu yang tugasnya mengukur dalamnya laut.

2.
jurucerakin – ahli kimia yang kerjanya membuat penyelidikan di makmal dan biasanya mencerakinkan bahan kimia.

3.
jurudalam – tukang perhiasan di rumah orang besar-besar.

4.
jurugas – orang yang tugasnya memeriksa meter gas, menyelenggarakan radas gas domestik dan sebagainya.

5.
jurugegas – orang yang mahir memasang atau melaraskan bahagian-bahagian mesin dan sebagainya.

6.
jurukaki – pesuruh, bentara  (pesuruh raja yang menyampaikan titah atau membawa alat kerajaan)

7.
jurukater – jurusaji / katerer (orang yang menyediakan dan menyajikan makanan untuk sesuatu majlis)

8.
jurukelat – anak perahu yang kerjanya memagang tali kelat (untuk menarik kapal layar)

9.
juruketik – jurutaip (orang yang kerjanya menaip dokumen)

10.
jurulelang – orang yang mengurus lelong (jurulelong)

11.
jurulito – orang yang mencetak buku dengan cap batu.

Banyak lagi pekerjaan mulia yang tidak lazim kita ketahui. Ketahuilah, fahamilah, dan cernakanlah minda kita dengan kosa kata yang lebih luas. Dengan peluasan kosa kata, perbendaharaan kata dalam kamus kehidupan ini menjadi lebih bermakna.

Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa!

8 January 2016

INFORMASI BAHASA - ASPEK MAKNA PENGGANDAAN KATA NAMA

INFORMASI BAHASA
ASPEK MAKNA PENGGANDAAN KATA NAMA

Kata nama yang digandakan memiliki sekurang-kurangnya lima aspek. Penguasaan kelima-lima aspek ini membolehkan kita memahami makna yang dibawa oleh kata ganda yang berakarumbikan kata nama. Perhatikan aspek-aspeknya seperti yang berikut:

1.
Gandaan sebagai penanda jamak, iaitu menandakan jumlah yang banyak. Contohnya:
meja – meja-meja
ketua – ketua-ketua
jabatan – jabatan-jabatan
gunung – gunung-ganang
saudara – saudara-mara

2.
Gandaan sebagai penanda beberapa nama haiwan. Contohnya:
biri-biri
rama-rama
kupu-kupu
kunang-kunang
kura-kura atau kekura
labi-labi atau lelabi

3. Gandaan sebagai penanda makna kesamaan atau keserupaan.
gula – gula-gula
anak – anak-anak
orang – orang-orang
langit – langit-langit atau lelangit
siku – siku-siku atau sesiku
kuda – kuda-kuda atau kekuda

4.
Gandaan sebagai penanda kepelbagaian jenis. Contohnya:
sayur – sayur-mayur
kuih – kuih-muih
lauk – lauk-pauk
kayu – kayu-kayan
rempah – rempah-ratus

5.
Gandaan sebagai penanda tidak tentu. Contohnya:
apa – apa-apa
siapa – siapa-siapa atau sesiapa
mana – mana-mana
bila – bila-bila
suatu – sesuatu

Kesilapan umum yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah mereka mencipta kata ganda sendiri dan merancukan bahasa kebangsaan kita. Kesilapan ini sering kali kita baca dalam buku cerita, buku rujukan subjek-subjek lain waima majalah. Hal ini amat mengecewakan pengkaji bahasa waima pencinta bahasa.  Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua perkataan boleh digandakan bagi menyatakan maksud banyak atau lebih daripada satu. Bagi perkataan-perkataan (kata nama) yang sudah menunjukkan jumlah yang banyak atau tidak dapat dikira jumlahnya, maka perkataan itu tidak wajar menerima bentuk gandaan. Lihatlah contoh kesalahan kata nama yang digandakan seperti yang berikut:

1.
Pihak urus setia menyediakan air-air minuman untuk tetamu yang hadir. (salah)
Pihak urus setia menyediakan air minuman untuk tetamu yang hadir. (betul)

2.
Penculik itu mengira wang-wang tebusan yang diperoleh daripada bapa mangsa. (salah)
Penculik itu mengira wang tebusan yang diperoleh daripada bapa mangsa. (betul)

3.
Ibu memasukkan serbuk-serbuk kari ke dalam kuali. (salah)
Ibu memasukkan serbuk kari ke dalam kuali. (betul)

4.
Kanak-kanak di pedalaman itu melalui lumpur-lumpur katam ke sekolah. (salah)
Kanak-kanak di pedalaman itu melalui lumpur katam untuk ke sekolah. (betul)
*lumpur katam = lumpur yang terdapat di pantai

5.
Ahli bomba memadamkan api-api kebakaran. (salah)
Ahli bomba memadamkan api kebakaran. (betul)

6.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menembak gas-gas pemedih mata ke arah perusuh. (salah)
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menembak gas pemedih mata ke arah perusuh. (betul)

7.
Dalam hujan-hujan, adik masih berbasikal ke sekolah. (salah)
Dalam hujan, adik masih berbasikal ke sekolah. (betul)
*hujan-hujan – nama sejenis pokok

8.
Pesawah itu memotong padi-padi pada musim menuai. (salah)
Pesawah itu memotong padi pada musim menuai. (betul)

9.
Ibu memasukkan beras-beras ke dalam periuk nasi elektronik. (salah)
Ibu memasukkan beras ke dalam periuk nasi elektronik. (betul)

10.
Ayah sedang memerhatikan cahaya matahari menembusi awan-awan biru. (salah)
Ayah sedang memerhatikan cahaya matahari menembusi awan biru. (betul)

7 January 2016

INFORMASI BAHASA - KATA NAMA TERBITAN

INFORMASI BAHASA
KATA NAMA TERBITAN
Kata nama terbitan ialah kata nama yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses menggandingkan imbuhan kata nama pada kata-kata dasar. Terdapat empat jenis imbuhan kata nama (awalan, akhiran, apitan, dan sisipan) yang boleh berganding dengan lima jenis kata dasar untuk menghasilkan kata nama terbitan seperti yang berikut:
1.
akar, bentuk morfem terikat yang bukan imbuhan:
tapa – pertapaan
tawa – ketawa
mudi – kemudi
2.
kata tunggal, perkataan yang dibentuk oleh satu morfem bebas:
laut – lautan
syor – pengesyoran
ikut – ikutan
hakis – hakisan
pulihara – pemuliharaan
3.
kata terbitan, perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan:
berangkat – keberangkatan
berkesan – keberkesanan
sinambung – kesinambungan
4.
kata majmuk yang dibentuk oleh dua morfem bebas atau lebih:
daya serap – daya serapan
ibu bapa – keibubapaan
satu padu – bersatu padu
5.
rangkaian kata, bentuk binaan sintaksis yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua perkataan:
tidak adil – ketidakadilan
salah guna – penyalahgunaan
tidak sempurna – ketidaksempurnaan
Berikut ialah kesilapan pengguna bahasa:
1.
ketidak bertanggungjawaban (salah)
ketidakbertanggungjawaban (betul)
2.
ketidak fahaman (salah)
ketidakfahaman (betul)
3.
ketidak berpengetahuan (salah)
ketidakberpengetahuan (betul)
Betulkan yang salah, biasakan yang betul!

6 January 2016

INFORMASI BAHASA - PENGIMBUHAN KATA MAJMUK

INFORMASI BAHASA
PENGIMBUHAN KATA MAJMUK

Kata majmuk boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Demikianlah indahnya bahasa Melayu yang diwarnai kehadiran imbuhan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk, iaitu:

Bentuk pertama, apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Walau bagaimanapun, bentuk kedua pula ialah kata majmuk yang menerima imbuhan apitan pula menyebabkan ejaannya menjadi bercantum. Contohnya:

1.
campur aduk (kata majmuk)
campuradukkan (salah)
mencampur adukkan (salah)
campur adukkan (betul)
bercampur aduk (betul)
mencampuradukkan (betul)

2.
litar selari (kata majmuk)
litarselarikan (salah)
melitar selarikan (salah)
litar selarikan (betul)
berlitar selari (betul)
melitarselarikan (betul)

3.
ambil alih (kata majmuk)
ambilalihkan (salah)
mengambil alihkan (salah)
ambil alihkan (betul)
mengambil alih (betul)
mengambilalihkan (betul)
pengambilalihan (betul)

4.
temu bual (kata majmuk)
temubualkan (salah)
menemu bualkan (salah)
menemu bual (betul)
menemubualkan (betul)
penemubualan (betul)

5.
daya serap (kata majmuk)
dayaserapkan (salah)
berdayaserap (salah)
mendaya serapkan (salah)
berdaya serap (betul)
mendayaserapkan (betul)
pendayaserapan (betul)

6.
garis kasar (kata majmuk)
bergariskasar (salah)
menggariskasar (salah)
menggaris kasar (betul)
menggariskasarkan (betul)
digariskasarkan (betul)

7.
satu padu (kata majmuk)
bersatupadu (salah)
menyatu padukan (salah)
bersatu padu (betul)
menyatupadukan (betul)
disatupadukan (betul)

8.
urus niaga (kata majmuk)
berurusniaga (salah)
mengurus niagakan (salah)
diurus niagakan (salah)
berurus niaga (betul)
mengurusniagakan (betul)
diurusniagakan (betul)

Jika pengguna bahasa dapat menguasai penggunaan kata majmuk dan penjanaan kata majmuk berimbuhan dan menggandakan kata majmuk, saya yakin bahawa pelbagai kata yang menarik akan muncul dalam penulisan. Oleh sebab itu, penguasaan kata majmuk ialah kunci utama untuk menulis perkataan berbahasa Melayu yang betul dan indah. Pengindahan kata dan pemurniannya memerlukan pengetahuan asas imbuhan dan konsep yang utuh.
Oh, indahnya bahasa kebangsaanku!

5 January 2016

INFORMASI BAHASA - PENGGANDAAN KATA MAJMUK

INFORMASI BAHASA
PENGGANDAAN KATA MAJMUK

Dalam peperiksaan waima ujian, kata majmuk sering menjadi topik pilihan guru. Oleh sebab itu, penguasaan murid dalam topik penggandaan kata majmuk memainkan peranan penting. Hal ini dikatakan demikian kerana kepelbagaian kata majmuk yang ditulis dalam karangan juga menjadi bonus kepada murid untuk mendapat markah yang baik dalam penulisan. Sebenarnya, penggandaan kata majmuk melibatkan unsur pertama kata sahaja. Banyak kesilapan dilakukan oleh pengguna bahasa telah dikesan melalui media dan penulisan. Contohnya:

1.
alat tulis-alat tulis (salah)
alat-alat tulis (betul)

2.
gambarajah-gambarajah (salah)
gambar-gambar rajah (betul)

3.
balai raya-balai raya (salah)
balai-balai raya (betul)

4.
suku kata-suku kata (salah)
suku-suku kata(betul)

5.
jirim organik-jirim organik (salah)
jirim-jirim organik (betul)

6.
kapal terbang-kapal terbang (salah)
kapal-kapal terbang (betul)

7.
garis pusat-garis pusat (salah)
garis-garis pusat (betul)

8.
model linear-model linear (salah)
model-model linear (betul)

Dalam penggandaan kata majmuk yang melibatkan kata nama khas, pengekalan huruf besar harus diambil perhatian. Contohnya:

1.
Menteri-menteri Besar (salah)
Menteri-Menteri Besar (betul)

2.
Naib-naib Canselor (salah)
Naib-Naib Canselor (betul)

3.
Penolong-penolong Pendaftar (salah)
Penolong-Penolong Pendaftar (betul)
4.
Ketua-ketua Menteri (salah)
Ketua-Ketua Menteri (betul)

Menurut Tatabahasa Dewan, satu kekecualian dalam penggandaan ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Hal ini dikatakan demikian kerana penggandaan kata majmuk mantap haruslah melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya:

1.
pesuruh-pesuruhjaya (salah)
pesuruhjaya-pesuruhjaya (betul)

2.
warga-warganegara (salah)
warganegara-warganegara (betul)

3.
tanda-tandatangan (salah)
tandatangan-tandatangan (betul)

4.
jawatan-jawatan kuasa (salah)
jawatankuasa-jawatankuasa (betul)

5.
setia-setiausaha (salah)
setiausaha-setiausaha (betul)


Akhir kata, betulkan yang salah, biasakan yang betul!

4 January 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI INDAH BAHASA - PANTUN ALAM REMAJA

ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 2
TAHUN 2016
(BAIK BUDI, INDAH BAHASA)
PANTUN ALAM REMAJA
Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang;
Tidak terkatakan besar hati,
Melihat ibu sudah pulang.
Dibawa itik pulang petang,
Dapat di rumput bilang-bilang;
Melihat ibu sudah pulang,
Hati cemas menjadi hilang.
Ayam kinantan terbang mengekas,
Hinggap di ranting bilang-bilang;
Melihat bonda pulang lekas,
Hatiku besar bukan kepalang.
Kita menari keluar bilik,
Sebarang tari kita tarikan;
Kita menyanyi adik-beradik,
Sebarang nyanyi kita nyanyikan.
Hanyut batang berlilit kumpai,
Terdampar di ujung Tanjung Jati;
Bonda pulang bapa pun sampai,
Kita semua berbesar hati.
Ramai orang bersorak-sorak,
Menepuk gendang dengan rebana;
Alang besarnya hati awak,
Mendapat baju dengan celana.
Mahulah kami hendak melapun,
Lapun dibawa orang menjaja;
Jangan marah kami berpantun,
Budak kecil biasa manja.
Sumber:
Puisi Melayu Tradisi,
(penyunting) Mohd. Yusof Md. Nor dan Dr. Abd. Rahman Kaeh,
Penerbit Fajar Bakti, 1996.

Pantun di atas sebenarnya berasal daripada Pantun Bersukacita, yakni bertemakan perasaan anak-anak yang bergembira dan bersuka ria apabila menyambut kepulangan ibu bapa mereka. Kegembiraan mereka bukan sahaja diiringi hati yang ria, tetapi juga bersorak-sorak apabila dibelikan pakaian oleh ibu bapa yang amat memanjakan anak-anak. Dalam konteks lain, anak-anak zaman dahulu suka akan apa-apa sahaja yang dibeli oleh ibu bapa sebagai tanda kesyukuran dan kasih sayang. Ironinya, anak-anak zaman ini lebih selesa dihulurkan wang oleh ibu bapa lalu memilih pakaian dan membeli mengikut cita rasa tersendiri. Impaknya, anak-anak mudah membeli pakaian yang tidak sesuai, mencolok mata, waima tidak mengikut keperluan majlis, perayaan, atau upacara yang akan dihadiri. Selain itu, anak-anak zaman ini juga hilang perasaan syukur dan berterima kasih serta kurang berbangga akan pakaian yang dipilih dan dibeli oleh ibu bapa lantaran menganggap cita rasa orang tua mereka sudah tidak mengikut peredaran zaman. Tuntasnya, anak-anak zaman dahulu lebih bergembira daripada anak-anak sekarang yang mementingkan gaya daripada gembira.

INFORMASI BAHASA - KATA MAJMUK MANTAP

INFORMASI BAHASA
KATA MAJMUK MANTAP

Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sebilangan kecil kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
1.                  antarabangsa
2.                  beritahu
3.                  bumiputera
4.                  jawatankuasa
5.                  kakitangan
6.                  kerjasama
7.                  olahraga
8.                  matahari
9.                  setiausaha
10.           sukarela
11.           suruhanjaya
12.           tandatangan
13.           tanggungjawab
14.           warganegara
15.           pesuruhjaya

Selain bentuk kata majmuk yang dibincangkan di atas, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum, contohnya:
1. kata nama
peribadi
peribahasa
dinihari
perikemanusiaan
hari bulan

2. kata adjektif
sukacita
dukacita

3. kata sendi nama
kepada
daripada

4. kata hubung
apabila
manakala
padahal
darihal
barangkali
kadangkala
apakala
walhal

5. kata tanya
bagaimana
kenapa


Dengan mengenali kata majmuk mantap, kita dapat mengelakkan kesilapan bahasa, terutama dari segi ejaan. Ingatlah bahawa "kadangkala" yang ditulis "kadang-kala" waima "kadang kala" ialah kesalahan penjarakan aksara yang juga dianggap sebagai kesilapan ejaan.