Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

29 May 2019

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP SIRI 2

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP SIRI 2
Pada hari ini, saya akan menjelaskan teknik penulis “tema” dalam pendahuluan sebagai lapisan pertama daripada 3 lapisan dalam Teknik TKS (Tema, Kelompok, Soalan). Tema ialah tunjang utama yang menjadi tulang belakang penulisan. Tema haruslah menjelaskan perkara asas dalam penulisan karangan dengan menjawab kehendak soalan. Dalam erti kata lain, pemilihan tema yang tepat dapat menyelamatkan calon peperiksaan daripada tergelincir ke gerabak yang terpesong daripada tajuk/tema karangan.
Contoh Soalan 1:
Klon Soalan SPM 2018:
Kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah memberikan faedah kepada murid-murid.
Huraikan faedah menyertai kegiatan kokurikulum.
Dalam soalan di atas, “kegiatan kokurikulum” ialah tema yang dibincangkan dalam soalan. Murid atau calon peperiksaan boleh membina 5-7 ayat berkaitan dengan “kegiatan kokurikulum” dengan kata tanya sebagai bantuan ayat yang perlu dibina.
(1) Apa?
(2) Di mana?
(3) Bila?
(4) Siapa?
(5) Berapa?
(6) Bagaimana?
(7) Mengapa?
(1) Apa?
Kegiatan kokurikulum ditakrifkan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah.
(2) Di mana?
Kegiatan kokurikulum dijalankan di kawasan sekolah, terutamanya di padang, kelas, bilik persatuan, kelab dan gelanggang permainan mahupun di bilik latihan khas.
(3) Bila?
Kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan pada hari Selasa, Rabu, dan Sabtu di sekolah saya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah kecuali pada bulan peperiksaan.
(4) Siapa?
Kegiatan kokurikulum melibatkan murid-murid dan guru-guru di sekolah.
(5) Berapa?
Murid-murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kegiatan dalam kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform, dan sukan dan permainan.
(6) Bagaimana?
Aktiviti kokurikulum ini dijalankan secara sepasukan dan melibatkan konsep bagai aur dengan tebing antara murid dengan guru-guru pembimbing.
(7) Mengapa? Kaitkan dengan “kelompok”
Kegiatan yang bermanfaat kepada murid-murid ini semakin lama semakin diabaikan.
Selepas membina ayat demi ayat di atas, murid-murid perlu menggabungkannya dalam bentuk perenggan dengan mengggunakan penanda wacana yang sesuai untuk membina pertautan atau kohesi antara ayat agar perenggan pendahuluan ini nampak kukuh. Lihat contoh lapisan “tema” dalam pendahuluan yang telah dihasilkan di bawah selepas penanda wacana dimasukkan.
Hasil lapisan “tema” dalam pendahuluan karangan:
Kegiatan kokurikulum ditakrifkan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah. Oleh hal yang demikian, kegiatan kokurikulum dijalankan di kawasan sekolah, terutamanya di padang, kelas, bilik persatuan, kelab dan gelanggang permainan mahupun di bilik latihan khas. Lazimnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan pada hari Selasa, Rabu, dan Sabtu di sekolah saya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah kecuali pada bulan peperiksaan. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum melibatkan murid-murid dan guru-guru di sekolah. Selain itu, murid-murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kegiatan dalam kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform, dan sukan dan permainan. Aktiviti kokurikulum ini dijalankan secara sepasukan dan melibatkan konsep bagai aur dengan tebing antara murid dengan guru-guru pembimbing. Walau bagaimanapu, kegiatan yang bermanfaat kepada murid-murid ini semakin lama semakin diabaikan.
Yang di atas ini hanyalah 1 lapisan daripada 3 lapisan dalam teknik TKS. Lapisan “K” akan saya bincangkan dalam hantaran seterusnya jika masa mengizinkan. Penerbangan saya ke Pulau Pinang akan berlepas dalam beberapa minit lagi. Saya berharap agar perkongsian ini dapat memberikan idea kepada calon peperiksaan dan guru-guru untuk menjelaskan cara mudah untuk menulis karangan.
Semua ilmu yang ada pada diri kita haruslah juga mendapat tempat di dalam hati rakan-rakan guru dan anak-anak murid. Ilmu pengetahuan tidak ada batasnya kerana manusia yang gigih menimba ilmu akan menjadi manusia yang tahu akan kepentingan pengetahuan daripada ilmu yang dipelajarinya. Hal ini dikatakan demikian kerana jauhari juga yang mengenal manikam.
Kongsikan ilmu sekelumit ini kepada anak-anak murid dan rakan guru agar sama-sama mendapat pahala ilmu pada bulan yang mulia ini. Petua penulisan lapisan pertama ini bukanlah yang terbaik tetapi mudah difahami anak-anak murid kita.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Selamat belajar.
Cikgu Tan CL
0122099440
www.cikgutancl.blogspot.my

28 May 2019

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP (SIRI 1)

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN MANTAP
Banyak rakan dan pengikut yang ingin tahu teknik yang saya gunakan untuk mengajarkan pendahuluan yang baik kepada anak-anak murid serta peserta seminar penulisan saya. Perkongisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kebolehan tetapi bertujuan untuk membantu murid sederhana untuk menulis karangan yang mantap. Oleh hal yang demikian, saya berharap agar perkongsian ini dapat membantu guru dan murid yang menghadapi masalah untuk menulis pendahuluan karangan.
Saya menggunakan pendekatan TKS, yakni Tema, Kelompok, dan Soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya tidak mahu murid yang sederhana ini lupa akan soalan dan arahan apabila mereka mula menulis karangan. Hakikatnya, kebanyakan calon peperiksaan lupa menyemak soalan dan tidak mahu memeriksa kata kunci yang ada pada arahan untuk digunakan sebaik-baiknya dalam penulisan mereka. Ada juga yang mengabaikan arahan soalan kerana taasub dengan formula penulisan pendahuluan yang dihafal semata-mata. Janganlah kita menghafal pendahuluan atau menggunakan karangan pasang siap yang dihafal kerana "impression" pasti merosot. Walau bagaimanapun, jika anda bukan calon yang mahu mendapat gred cemerlang dalam penulisan, anda boleh menghafal pendahuluan pasang siap atau yang siap dipasang oleh guru-guru untuk membantu anda dalam penulisan.
T dalam formula saya bermakna "Tema".
K dalam formula saya bermakna "Kelompok"
S dalam formula saya bermakna "Soalan".
Tema
Setiap soalan karangan ada temanya. Tema ialah tajuk utama atau tunjang penulisan yang menjadi tulang belakang penulisan. Dengan pengenalpastian tema karangan yang betul, calon dapat menulis karangan tanpa memesongkannya ke bidang yang berlainan. Bidang yang dibincangkan dalam arahan karangan haruslah tepat agar temanya menepati kehendak soalan. Saya yakin bahawa "tema" ada dalam arahan soalan walaupun kadangkala diabaikan oleh calon peperiksaan.
Kelompok
Setiap karangan ada kelompok yang dibincangkan. Kata kunci untuk kelompok biasanya seperti "remaja". "ibu bapa", "pihak sekolah", "pihak kerajaan" dan sebagainya. Oleh sebab itu, sasaran kelompok yang dibincangkan dan ditulis dalam karangan mestilah tepat agar pemeriksa tidak tercari-cari dalam penulisan anda. Oleh hal yang demikian, "kelompok" yang ditulis oleh calon mestilah menepati kehendak soalan dan tidak menggunakan kelompok yang berbeza daripada yang diinginkan oleh penggubal soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana skema penulisan tidak banyak berubah tetapi kelompok yang diuji dalam penulisan sentiasa berubah. Saya yakin bahawa "kelompok" itu dapat dicari dalam arahan.
Soalan
"Soalan" ialah hidangan utama dalam penulisan. Setiap soalan pasti ada arahan khusus yang menguji calon. Antara kata kunci yang penting adalah seperti langkah/cara/usaha, kesan/impak/implikasi, punca/sebab/faktor, kepentingan/manfaat/kebaikan dan banyak lagi. Kata kunci ini mestilah dikenal pasti oleh calon peperiksaan. Janganlah kita memberikan isi penting dalam pendahuluan, sebaliknya memberikan gambaran kepada pemeriksa semata-mata.
Contoh soalan 1:
Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup.
Huraikan kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja tersebut.
Kerangka Pendahuluan:
Tema - Zaman remaja
Kelompok - remaja
Soalan - kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu saya lakukan untuk mengisi zaman remaja
Contoh soalan 2:
Minat membaca dalam kalangan murid belum mencapai tahap yang memuaskan.
Huraikan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca.
Kerangka Pendahuluan:
Tema: Amalan membaca/Minat Membaca
Kelompok : murid-murid/anak-anak
Soalan: peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca
Selepas anda mengenal pasti "tema", "kelompok", dan "soalan", binalah 3-5 ayat berkaitan dengan "tema" dan "kelompok" bergantung pada kemampuan diri murid kemudian binalah 1 ayat tanya untuk "soalan". Dengan adanya ayat tanya, kita dapat memvariasikan jenis-jenis ayat dalam penulisan. Hal ini dapat membuktikan kefleksibilitian dan kemampuan kita menulis pelbagai jenis ayat dalam penulisan. Janganlah lupa bahawa ayat tanya mestilah diikuti ayat penyata (jawaban) dalam ayat pertama perenggan isi penting. Dengan berbuat demikian, kita dapat menjawab soalan penulisan dengan tepatnya.
Sewaktu menulis karangan, pastikan anda menulis karangan dengan memasukkan unsur kohesi seperti penanda wacana yang betul, pengulangan sebahagian kata daripada ayat sebelumnya atau menggunakan kata ganti nama diri, tempat, dan tunjuk yang betul. Pertautan antara ayat mestilah mesra, erat, dan harmoni dan disertai ungkapan menarik seperti peribahasa dan sebagainya.Murid yang menghadiri bengkel dan menghayatinya dapat menulis pendahuluan ini dalam masa 10-12 minit.
Saya akan menunjukkan gambar-gambar tulisan peserta bengkel penulisan saya. Perhatikan huruf "T", "K", dan "S" dalam karangan tersebut. Abaikan kesilapan bahasa dan ejaan dalam gambar tersebut kerana saya melatih mereka menulis karangan dahulu sebelum membetulkan kesilapan dalam penulisan kerana DSKP setiap tingkatan juga menyatakan kepentingan mengajarkan pelbagai jenis pendahuluan dan teknik penulisan kerangka karangan sebelum menulis dan mengedit karangan. Oleh sebab itu, penulisan ialah proses yang paling rumit kerana melibatkan pelbagai kemahiran. Saya berharap agar perkongsian ini dapat membantu anda menulis karangan yang baik.




Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Kongsikanlah kepada sesiapa sahaja yang sudi menerima ilmu ini. Ilmu yang ada pada diri kita juga haruslah ada pada diri anak murid kita, rakan kita, dan sesiapa sahaja agar ilmu itu terus tersebar luas dan memanfaatkan semua. Teknik ini bukanlah yang terbaik tetapi memudahkan calon yang mahu memanfaatkan kata-kata kunci dalam soalan.

22 May 2019

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 4)

INFORMASI BAHASA

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 4)
ASPEK MAKNA KATA KERJA BER- DENGAN KATA DASAR DARIPADA KATA NAMA
Apakah yang didukung oleh maka sesuatu perkataan yang dasarnya kata nama tetapi diberikan imbuhan beR-?
Imbuhan beR- yang diikuti kata nama dapat membentuk 5 aspek makna yang berbeza. Dengan menguasainya, kefahaman kita terhadap penggunaan imbuhan beR- akan segar dalam ingatan dan nota ini mudah digunakan dalam PdPc nanti.
(a) Imbuhan ber- yang digabungkan dengan kata nama membawa maksud "mempunyai". Contohnya:
baju - berbaju (mempunyai baju)
rumah - berumah (mempunyai rumah)
pelajaran - berpelajaran (mempunyai pelajaran)
isteri - beristeri (mempunyai isteri)
hak - berhak (mempunyai hak)
(b) Imbuhan ber- yang digabungkan dengan kata nama juga membawa pengertian "memakai" atau "menggunakan". Contohnya:
kasut - berkasut (memakai kasut)
kereta - berkereta (menggunakan kereta)
bedak - berbedak (memakai bedak)
basikal - berbasikal (menggunakan basikal)
bahasa - berbahasa (menggunakan bahasa)
(c) Imbuhan ber- yang digabungkan dengan kata nama juga membawa pengertian "mengerjakan sesuatu" atau "mengusahakan sesuatu".
sawah - bersawah (mengusahakan sawah)
kebun - berkebun (mengerjakan kebun)
ladang - berladang (mengusahakan ladang)
kedai - berkedai (mengusahakan kedai)
rotan - berotan (mengerjakan rotan)
(d) Imbuhan ber- yang digabungkan dengan kata nama juga membawa erti "menghasilkan", "melahirkan", atau "mengeluarkan sesuatu". Contohnya:
buah - berbuah (menghasilkan buah)
telur - bertelur (mengeluarkan telur)
anak - beranak (melahirkan anak)
tunas - bertunas (mengeluarkan tunas)
akar - berakar (mengeluarkan akar)
(e) Imbuhan ber- yang digabungkan dengan kata nama juga membawa pengertian "meminta bantuan daripada". Contohnya:
guru - berguru (meminta bantuan daripada guru)
dukun - berdukun (meminta bantuan daripada dukun)
Selamat Hari Guru!
Selamat belajar.
Setakat ini sahaja untuk hari ini.
Esok kita sambung lagi.

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 3)

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 3)
ASPEK MAKNA KATA KERJA BER- DENGAN KATA DASAR DARIPADA KATA KERJA
Pada dasarnya, perkataan yang berawalan beR- ialah kata yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar. Walau bagaimanapun, ada juga yang membawa pengertian khusus, bergantung pada golongan kata tertentu. Aspek makna pada perkataan yang berawalan beR- dengan kata kerja membawa empat aspek makna.
(1) Imbuhan beR- yang memberikan makna melakukan perbuatan dengan maksud seperti yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya:
tukar - bertukar
senam - bersenam
kayuh - berkayuh
runding - berunding
undur - berundur
rehat - berehat
(2) Imbuhan beR- memberikan pengertian refleksif, iaitu perbuatan yang melibatkan atau mengenai sendiri. Contohnya:
cukur - bercukur
hias - berhias
jemur - berjemur
sembunyi - bersembunyi
sandar - bersandar
(3) Imbuhan beR- memberikan pengertian perbuatan bersalingan, iaitu saling melakukan perbuatan yang terkandung dalam kata kerja.
tumbuk - bertumbuk
temu - bertemu
janji - berjanji
kelahi - berkelahi
laga - berlaga
(4) Satu lagi fungsi imbuhan ber- ialah imbuhan ini memberikan pengertian suatu keadaan yang sudah sedia berlaku, yang mirip dengan pengertian pasif. Bahkan, dalam penggunaan pengertian itu, kata kerja yang berawalan ber- ini dapat bertukar ganti dengan awalan di-
tulis .. menjadi bertulis (sedia ditulis)
hidang.. menjadi berhidang (sedia dihidang)
jawab... menjadi berjawab (sedia dijawab)
susun ... menjadi bersusun (sedia dijawab)
jahit... menjadi berjahit (sedia dijahit)
Jangan lupa, penggunaan bentuk ber- dengan pengertian ini lazimnya dilalui oleh kata bantu aspek "belum" atau "sudah", atau "telah". Oleh sebab itu, imbuhan ber- juga merupakan kata kerja yang melibatkan perbuatan sama ada sudah berlaku, sedang berlaku, atau belum berlaku.
Setakat ini sahaja untuk hari ini.
Esok kita sambung lagi.

15 May 2019

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 2)

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 2)
Pengguna bahasa sering keliru sama ada sesuatu kata itu dapat atau tidak digabungkan dengan kata kerja. Sebenarnya, awalanm be-R boleh digabungkan pada kata dasar yang terdiri daripada keempat-empat golongan kata yang utama iaitu:
(a) kata nama
(b) kata kerja
(c) kata adjektif
(d) kata tugas
Contohnya:
(a) kata nama
buah - berbuah
kereta - berkereta
baju - berbaju
haba - berhaba
kedai - berkedai
(b) kata kerja
buat - berbuat
ubah - berubah
baring - berbaring
lari - berlari
tukar - bertukar
(c) kata adjektif
susah - bersusah
gembira - bergembira
sedih - bersedih
dukacita - berdukacita
lapar - berlapar
(d) kata tugas
satu - bersatu
tiga - bertiga
oleh - beroleh
serta - berserta
Awalan beR- membentuk kata kerja bersifat tak transitif. Sebagaimana kita sedia maklum, kata kerja tak transitif ada dua jenis, iaitu berpelengkap dan tanpa berpelangkap, kan?
Antara kata kerja transitif tanpa pelengkap ialah:
berjalan
berkereta
bernyanyi
bercukur
bergurau
Yang berpelengkap pula bagaimana? Tentunya ada kata yang menjadikan kata kerja tak transitif itu lebih jelas dan mantap serta mudah difahami. Antaranya adalah seperti berikut:
(a) beransur (baik)
(b) berbuat (jahat)
(c) bertukar (tangan)
(d) berterima (kasih)
(e) berdatang (sembah)
(f) berkunjung (tiba)
(g) bersembang (riang)
Ada contoh yang lain? Sila kemukakan. Cukuplah setakat ini, esok kita sambung lagi dengan tajuk "Aspek Makna Awalan beR-" yang akan menjelaskan makna yang dimainkan oleh imbuhan beR- dalam pelbagai aspek.
Salam keilmuan.
Nak kongsi kepada kawan, silakan.
Tak perlu minta kebenaran.

13 May 2019

IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN


IMBUHAN BER- YANG MENGELIRUKAN (SIRI 1)
Budak itu bernama Azizi.
Apakah pola ayat di atas?
Banyak yang akan menjawab FN + FN kerana intinya "Azizi" tanpa melihat pada kata kerjanya yang berimbuhan ber-.
Awalan beR- membentuk kata kerja. Hal ini bermakna awalan ini boleh membentuk kata kerja bersifat tak transitif sama ada memerlukan pelengkap atau tidak. Oleh sebab itu, pola ayat di atas ialah FN + FK. Pada dasarnya, awalan ber- dapat digabungkan dengan semua kata dasar.
angkat = berangkat
ikut = berikut
ekor = berekor
baju = berbaju
dayung = berdayung
nyanyi = bernyanyi
fikir = berfikir
gelut = bergelut
jiran = berjiran
lari = berlari
Walau bagaimanapun, imbuhan ber- yang bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf r akan menjadi satu r melalui proses peleburan bunyi.
ber + rasa = berasa
ber + renang = berenang
ber + raja = beraja
ber + rendam = berendam
Meskipun begitu, awalan ber- dapat bergabung dengan perkataan yang konsonan awalnya diikuti -er- KECUALI "kerja" yang membentuk 'bekerja" sebagai unsur KEKECUALIAN. Begitu juga KEKECUALIAN diberikan kepada perkataan "ajar" yang menjadi "belajar" dan "unjur" yang menjadi "belunjur".
Lihat contoh pembentukan ber- dengan konsonan awalnya yang diikuti -er-:
ber + derma = berderma
ber + serta = berserta
ber + serban = berserban
ber + ternak = berternak
ber + tertib = bertertib
ber + gerbang = bergerbang
ber + terawang = berterawang
ber + cermin = bercermin
ber + cermat = bercermat

2 May 2019

Penggunaan "oleh" dalam ayat pasif.

INFORMASI BAHASA
Penggunaan "oleh" dalam ayat pasif.
Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat.
Beg itu digalas oleh Ali.
Beg itu digalas Ali.
Jika ayat pasif berimbuhan ter- (pasif semu), maka "oleh" ialah unsur WAJIB.
Beg berat itu tergalas saya.
Beg berat itu tergalas oleh saya.
Jika ayat pasif dengan "kena", maka "oleh" juga unsur WAJIB.
Budak itu kena pukul Ali.
Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka "oleh" tidak boleh digugurkan.
Kek itu dimakan semalam ibu.
Kek itu dimakan semalam oleh ibu.
Selamat belajar.

1 May 2019

FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA

FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA
Kata Bantu + Kata Penguat + Kata Adjektif + Kata Adjektif + Kata Penguat + Unsur Keterangan + Ayat Komplemen
Frasa adjektif boleh mengandungi kata bantu, dua kata penguat, dua kata adjektif, unsur keterangan, dan ayat komplemen. Kata adjektif yang pertama merupakan inti yang wajib bagi seluruh binaan itu, sementara unsur-unsur lain ialah unsur tambahan yang bersifat pilihan yang menerangakan unsur inti.
Jika dua kata adjektif hadir berderetan yang membawa makna yang berlawanan, maka kedua-duanya tidak boleh digugurkan. Misalnya:
(a) tinggi rendah
(b) baik buruk
(c) kecil besar
Sebaliknya, jika unsur adjektif yang kedua membawa maksud keserasian atau berunsur rima, maka perkataan yang kedua boleh digugurkan. Contohnya:
(a) riang gembira
(b) hitam legam
(c) gemok gedempol
Di bawah ini diberikan contoh frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya.
1
Kata bantu + kata adjektif
(a) masih kuat
(b) sudah kurus
(c) belum sihat
(d) mahu cantik
(e) telah gering
2
Kata penguat + kata adjektif
(a) sunguh cantik
(b) amat dalam
(c) lebih baik
(d) paling tinggi
(e) agak kecil
3
Kata bantu + kata penguat + kata adjektif
(a) masih agak kecil
(b) belum terlalu lewat
(c) mahu benar pandai
(d) masih terlalu banyak
(e) sudah amat jelas
4
Kata adjektif + kata penguat
(a) besar sekali
(b) cantik sekali
(c) baik benar
(d) banyak sungguh
(e) panjang sangat
5
Kata bantu + kata adjektif + kata penguat
(a) masih awal sangat
(b) sudah baik sungguh
(c) belum masak benar
(d) mahu pandai sekali
(e) sudah tua betul
6
Kata penguat + kata adjektif + kata penguat
(a) amat cantik sekali
(b) sangat indah sekali
(c) sungguh tinggi sekali
(d) sungguh indah nian
(e) sungguh permai nian
7
Kata penguat + kata adjektif + unsur keterangan
(a) sangat manis pada bahagian pangkalnya
(b) sungguh cinta akan tanah airnya
(c) sangat sibuk dengan pekerjaan
(d) amat malas oleh sebab kejemuan
(e) sungguh halus ibarat sutera
8
Kata penguat + kata adjektif + ayat komplemen
(a) sungguh yakin bahawa mereka telah tiba
(b) amat percaya bahawa budak itu pernah datang
(c) sangat sedar bahawa kita masih lemah
(d) amat insaf bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) agak ragu bahawa berita itu benar
9
Kata adjektif + kata penguat + ayat komplemen
(a) sedar sungguh bahawa persiapannya tidak mencukupi
(b) percaya benar bahawa anaknya telah berjaya
(c) yakin betul bahawa pasukannya akan menang
(d) insaf benar bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) percaya sungguh bahawa ayahnya akan pulang
10
Kata bantu + kata adjektif + kata adjektif
(a) masih riang gembira
(b) tetap gagah berani
(c) sudah besar panjang
(d) pasti letih lesu
(e) pasti gemuk gedempol
Ingatlah bahawa frasa adjektif yang terdiri daripada dua kata adjektif boleh didahului oleh kata bantu tetapi tidak boleh disertai kata penguat. Contohnya:
(a) *masih amat riang gembira
(b) *tetap sangat gagah berani
(c) *sudah besar panjang sungguh
(d) *pasti terlalu letih lesu
(e) *pasti amat gemuk gedempol
Kesimpulannya, kita harus menguasai frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya. Dengan penguasaan tatabahasa ini, penulisan kita menjadi lebih gramatis dan kesalahan bahasa dalam soalan mudah kita kenal pasti. Saya yakin bahawa soalan tatabahasa dalam peringkat UPSR, PT3, SPM, mahupun SPTM akan menguji calon tentang topik frasa adjektif. Saya berharap semoga nota di atas dapat membantu kita menguasai frasa adjektif dengan lebih baik agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan keyakinan yang tinggi.