Soalan 1 :Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah
dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara
negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing dan cara
menangani perkara tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Sehingga Mei 2004, terdapat kira-kira
25 ribu orang pembantu rumah warga asing di Malaysia. Daripada jumlah itu, 90
peratus merupakan warga Indonesia dan bakinya warga Filipina, Thailand, India
dan Nepal. Pengambilan pembantu rumah yang terdiri daripada warga asing
membuktikan bahawa ramai rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat pembantu rumah
untuk membantu menguruskan kerja-kerja rumah. Dengan ini majikan dapat
menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja di pejabat atau menguruskan
perniagaan mereka.
Malangnya ramai antara kita yang
mengambil jalan singkat untuk mendapatkan pembantu rumah melalui agensi-agensi
yang tidak berdaftar. Malah selepas mendapat pembantu rumah, majikan biasanya
tidak menyelidik dan bertanya lebih lanjut tentang latar belakang pembantu
rumah mereka. Tindakan mereka ini selalunya akan mengundang musibah yang tidak
terduga kemudian hari. Hal-hal yang tidak diingini ini terjadi kerana majikan
biasanya akan menyerahkan sepenuhnya pengurusan rumah tangga kepada pembantu
rumah.
Walaupun tidak semua pembantu rumah
warga asing ini menjadi duri dalam daging kepada majikan tetapi terdapat
kes-kes pembantu rumah yang mendera anak majikan mereka sehingga cedera. Sering
juga kita mendengar pembantu rumah yang cuai dalam melakukan tugasan mereka
sehingga anak-anak yang dijaga itu terbiar atau terabai. Mereka hanya
bersungguh-sungguh bekerja ketika majikan ada di rumah. Apabila majikan keluar
bekerja, mereka akan curi tulang dengan berehat atau menonton televisyen.
Ada seketikanya masalah pembantu rumah
boleh memeningkan kepala majikan. Bayangkan sahaja majikan terpaksa menanggung
bayaran bil telefon sehingga beratus-ratus ringgit semata-mata kerana pembantu
rumah menggunakan telefon untuk berhubung dengan sanak-saudara di negara asal
mereka. Bukan setakat itu sahaja, ada pula pembantu rumah yang membenarkan
orang luar atau kenalannya masuk ke rumah semasa ketiadaan tuan rumah. Kerenah
pembantu rumah yang sebegini pastinya menimbulkan tekanan kepada majikan.
Seandainya majikan bertindak memberhentikan khidmat mereka, tentulah
menimbulkan kesukaran kepada majikan untuk mencari pengganti. Mahu tidak mahu
majikan hanya mendiamkan diri sahaja demi memastikan anak-anak dan rumah tangga
mereka terjaga.
Pada tahun 2003, Human Right Watch
Malaysia melaporkan bahawa kira-kira 18 ribu orang pembantu rumah warga asing
di Malaysia melarikan diri daripada majikan. Hal ini juga amat mengecewakan
majikan kerana mereka yang melarikan diri ini turut mencuri barang-barang
berharga milik majikan mereka. Tentu kita masih ingat akan peristiwa pembantu
rumah menculik bayi majikannya untuk dibawa lari atau dijual kepada pihak
ketiga. Walaupun perkara ini merupakan kes terpencil, namun kita perlu
berwaspada terhadap pergerakan dan tindak tanduk pembantu rumah kita sebelum
nasi menjadi bubur.
Kita sememangnya tidak menyalahkan
mana-mana pihak kerana masih ramai lagi warga asing yang bekerja di negara ini
telah menunjukkan prestasi kerja dan tingkah laku yang baik. Perkara-perkara
negatif yang melibatkan pembantu rumah warga asing ini sebenarnya ibarat seekor
kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Oleh yang demikian, jalan
penyelesaian perlu dicari agar warga asing yang bekerja sebagai pembantu rumah
mengetahui dan memahami etika bekerja yang betul. Lebih penting lagi ialah
majikan tidak tertekan dengan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh pembantu
rumah mereka.
(Diubahsuaikan
daripada
Profesionalisme
Isu Pembantu Rumah
oleh Fazli
Abdul Hamid,
Dewan
Masyarakat, September 2004)
Petikan Umum
Berdasarkan petikan rumusan
di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata sebelum nasi menjadi bubur.
[2 markah]
(ii)
Mengapakah berlakunya pelbagai masalah yang melibatkan
pembantu rumah di negara kita?
[3 markah]
(iii)
Pada pendapat anda, wajarkah kerjaya sebagai pembantu
rumah diceburi oleh anak-anak muda tempatan?
[4 markah]