Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

29 November 2008

Kata-kata Mutiara Dalam Karangan

KATA-KATA MUTIARA DALAM KARANGAN
Penggunaan kata-kata mutiara sememangnya dapat memberi satu nafas baharu kepada karangan pelajar sekali gus memberi "impression" yang positif kepada pemeriksa kertas. Perhatikanlah beberapa contoh kata mutiara di bawah ini sebagai pedoman.

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya. Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak akan melahirkan masyarakat yang berjaya”

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya. Menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Keris Mas
“Kesalahan aturan bahasa sehingga mengikut aturan bahasa Inggeris bukanlah stail yang menunjukkan ketegasan fikiran, melainkan betapa tidak teraturnya fikiran itu dinyatakan atau betapa keinggerisannya kita berfikir”.

William A.Ward
"Guru yang sederhana memberitahu. Guru yang baik menjelaskan. Guru yang hebat menunjukkan cara. Guru yang agung menjadi inspirasi."

Karl Menninger
"Siapakah guru itu adalah lebih penting daripada apa-apa yang diajarkannya."

Tun Abdul Razak
"Kita juga telah berjaya memberikan satu keperibadian yang sama kepada negara dengan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara ini dan usaha-usaha masih lagi dicari bagi menjadikan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dengan erti kata yang sebenarnya."

Abdullah Ibnu Abbas
"Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir"

Munsyi Abdullah
”Jika orang Melayu hendak menjadi bangsa yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermat-cermatnya bahasa Melayu, di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu.”

SN S. Othman Kelantan
“Peradaban dan tamadun sesuatu bangsa dibina dengan bahasanya sendiri, baik dalam bentuk prosa ataupun dalam bentuk kreatif kerana bahasa menjadi jiwa sesuatu bangsa. Keindahan estetika sebagai emosi kepada jiwa itu ialah karya kreatif”.

Arena Wati
Kita boleh ramah, tapi pantang berkasar. Kita boleh marah, tapi ketawalah, dan jangan kehilangan senyum. Kita pasrah miskin, tapi jauhkan diri dari keinginan mengemis. Orang yang kehilangan wang, cuma rugi benda. Tetapi orang yang kehilangan amanah dia rugi harga diri.

Noordin Hassan
Pasang telinga baik-baik. Jangan dengar saja apa orang kata, fikirkan mengapa orang kata begitu. Kalau orang ketawa, dengar betul-betul jenis ketawanya. Ketawa berisikah atau ketawa jenis apa.

Arena Wati
Menegur dengan bahasa sukma dan bertanya dengan bahasa hati nurani.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya, tiada kebenaran pada manusia yang tidak dapat melihat kenyataan.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya.

Abdullah Hussain
KEMERDEKAAN yang sudah dicapai itu seperti sebuah gelas kosong lalu tiap-tiap golongan itu mahu mengisi gelas itu dengan minuman yang disukainya.

Keris Mas
KEMERDEKAAN hanya suatu jambatan. Yang kita tuju di seberang jambatan itu ialah kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai.

Muhammad Salleh
Derita yang dijeritkan tanpa suara ialah bahasa ternyaring bangsa kita.

Muhammad Salleh
Bangsa itu diperibadikan bahasanya.

20 November 2008

Sinopsis Novel Tingkatan 1,2,3

Kepada pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3, Sila rujuk catatan blok saya pada 10 Oktober untuk mendapatkannya.
pautannya ialah : http://cikgutancl.blogspot.com/2008_10_01_archive.html
CIKGU TAN

12 November 2008

Pola Ayat (Soalan Sebenar SPM (N) 2008)



Jawaban Cadangan

(i) Baju sutera itu (FN) untuk ibu (FS)
Jawaban = FN + FS

(ii) Kuda putih itu (FN) berlari pantas (FK)
Jawaban = FN + FK

(iii) Sekolah baharu itu (FN) sungguh cantik lanskapnya (FA)
Jawaban = FN + FA

(iv) Tun Abdul Razak (FN) Bapa Pembangunan Malaysia (FN)
Jawaban = FN + FN

(v) Penduduk kampung (FN )akan bergotong-royong pada hujung minggu ini. (FK)
Jawaban = FN + FK

(vi) Encik Ramli (FN) guru mata pelajaran Bahasa Melayu di SMK Seri Murni (FN)
Jawaban = FN + FN

Jawaban di atas ialah jawaban cadangan saya secara peribadi, tiada kena-mengena dengan jawaban rasmi daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Namun begitu, saya berharap mana-mana individu jangan menyalah anggap jawaban cadangan saya di atas sebagai jawaban rasmi. Jawaban rasmi tidak akan saya muat naik dalam blog ini atas sebab-sebab tertentu.

Harap maklum.

Cikgu Tan

11 November 2008

Selamat Menduduki Peperiksaan



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada calon SPM 2008 yang bertungkus-lumus menyiapkan diri menghadapi peperiksaan SPM. Sejak awal tingkatan empat lagi, tapak dan langkah sudah dibuka untuk memperkukuh penguasaan bahasa dan penulisan pelajar. Saya berharap dalam masa dua tahun ini, kita telah melalui kesusahan dan kesenangan bersama-sama. Semoga anda bersiap sedia menghadapi peperangan peperiksaan penting dalam kehidupan.


SELAMAT MENJAWAB SOALAN!

SEMOGA SUKSES SELALU!


CIKGU TAN

9 November 2008

FOKUS KOMSAS DAN NOVEL SPM 2008

Soalan 2 (b) Prosa Moden
1. Lambaian Malar Hijau (cerpen tingkatan 4)
2. Annyss Sophillea (cerpen tingkatan 4)
3. Serunai Malam (drama tingkatan 4)
4. Di Sisi Rinda (cerpen tingkatan 5) KELUAR DALAM SPM 2008
5. Virus Zel untuk Abah (cerpen tingkatan 5)
6. Kerusi (drama tingkatan 5)

Soalan 2 (c) Prosa Tradisional
1. Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya (prosa tradisional tingkatan 4)
2. Peminangan Puteri gunung Ledang (prosa tradisional tingkatan 4) KELUAR DALAM SPM 2008
3. Sabor (prosa tradisional tingkatan 5)
4. Kezaliman Membawa Padah (prosa tradisional tingkatan 5)

Soalan 2(d) Puisi
1. Pantun Kiasan (puisi tingkatan 4)
2. Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih (puisi tingkatan 4)
3. Pantun Enam Kerat (puisi tingkatan 5)
4. Pantun Lapan Kerat (puisi tingkatan 5) KELUAR DALAM SPM 2008
5. Anak Laut (sajak tingkatan 4)
6. Jalan-jalan Raya Kotaku (sajak tingkatan 4)
7. Duhai Pentafsir (sajak tingkatan 5)
8. Di Ruang Gemanya (sajak tingkatan 5)

BAHAGIAN NOVEL
1. Latar Masa
2. Latar Masyarakat (persamaan perbezaan) KELUAR DALAM SPM 2008
3. Teknik Plot (persamaan)
4. Nilai kemasyarakatan
5. Kejadian yang dapat memberi kesan dalam kehidupan pembaca
6. Peristiwa yang memilukan dan menggembirakan pembaca
7. Plot
8. Gaya bahasa
9. Plot puncak novel


Semua soalan dan tajuk yang dikemukan di atas ialah ramalan daripada analisis terperinci yang saya lakukan. Jika soalan novel dan tajuk komsas keluar dalam SPM, anda beruntung kerana melawati laman blog ini. Kepada semua pelajar kelas tuisyen saya, ingat soalan-soalan karangan da komsas yang telah saya cadangkan.
Sebagai penutup bicara, semua soalan di atas hanyalah ramalan semata-mata. Anda seharusnya membuat persiapan rapi dalam semua tajuk sejak awal lagi.
Sekian, terima kasih.

FOKUS KERTAS 2 SPM 2008

FOKUS BAHAGIAN RINGKASAN

Berikut ialah perkara yang perlu diambil perhatian.

BAHAGIAN PENDAHULUAN
1. Jangan lupa berikan satu perkataan yang sama maksud dengan arahan pertama soala.

Contoh soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing dan cara menangani perkara tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Jawaban: Petikan membincangkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing yang bekerja di Malaysia.
(Anda mesti menggunakan formula "tukar depan", tambah belakang. Walau bagaimanapun, jika anda tidak menambah sedikit perkataan pada akhir pendahuluan, anda tidak akan ditolak markah.)
Berikut adalah antara fokus soalan dan penukaran jawabannya:
1. Langkah = cara-cara / pendekatan / formula / strategi / rencam / usaha
2. Punca = sebab-sebab
3. Kesan = implikasi / natijah / akibat
4. Kepentingan = kemaslahatan
5. Kebaikan = manfaat / faedah
6. Keburukan = perkara negatif / kejahatan
7. Tujuan = objektif / agenda utama
BAHAGIAN ISI TERSURAT
1. Jangan salin bulat-bulat daripada petikan sebagai mengelak daripada markah bahasa anda dipotong 5 markah daripada 10 markah.
2. Seelok-eloknya tukar satu atau dua perkataan ataupun membina ayat sendiri dengan isi yang ada dalam petikan.
3. Mulakan isi tersurat dengan "Antara ... ialah" seperti contoh soalan di bawah:
Contoh soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing dan cara menangani perkara tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Isi Tersirat:
Antara perkara negatif yang dilakukan oleh warga asing ialah ......
(Anda mesti menggunakan arahan soalan yang asal dan jangan tulis "antara perkara-perkara" kerana anda hanya ada SATU isi dalam satu ayat)
4. Penggunaan penanda wacana seperti selain itu, lebih-lebih lagi, di samping itu, seterusnya, boleh digunakan jika perlu. Jangan bimbang, penanda wacana dikira SATU perkataan kerana kata-kata ini membawa SATU makna.
5. Jangan masukkan contoh dalam isi penting kerana membuang masa dan tidak dikira sebagai isi penting kecuali contoh tersebut BENAR-BENAR diperlukan untuk mengukuhkan isi tersebut.
BAHAGIAN ISI TERSIRAT
1. Jangan salin mana-mana isi penting daripada petikan kerana bahagian ini perlu anda jawab dengan kata-kata sendiri. Perhatikan contoh soalan di bawah:
Contoh soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing dan cara menangani perkara tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Jawaban isi tersirat:
Cara untuk menangani masalah tersebut ialah mendisiplinkan para pembantu rumah sebelum mereka masuk bekerja di Malaysia. Selain itu, pihak agensi pekerjaan warga asing perlulah menyediakan kursus yang sesuai kepada warga asing supaya mereka mematuhi segala peraturan sepanjang bekerja di Malaysia.
BAHAGIAN KESIMPULAN
1. Anda bolehlah menggunakan formula ( C + H )
[ C= cadangan, + = kata hubung seperti agar, supaya, demi, H= harapan]
Contoh jawaban:
Kesimpulannya, semua agen pembawa pekerja asing mestilah memastikan pekerja yang dibawa oleh mereka bersih daripada rekod jenayah (cadangan) supaya (+) kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan. (harapan)

7 November 2008

Ramalam Karangan SPM 5 - Karangan Topik Kesesakan lalu lintas

Soalan
Kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang belum dapat diatasi di kota besar seperti Kuala Lumpur walaupun sistem pengangkutan awam di negara ini semakin hari semakin canggih. Huraikan sebab-sebab berlakunya kesesakan lalu lintas yang berkaitan dengan sistem pengangkutan awam.
[ 100 markah ]
Dalam mengharungi arus globalisasi pada masa ini, sistem pengangkutan awam di nusa kita makin hari makin maju dan giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan syarikat pengangkutan awam di negara kita kian banyak, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan oleh pihak kerajaan yang berjiwa rakyat untuk penduduk di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas seperti teksi, bas, Monorel Kuala Lumpur, Sistem Aliran Ringan (LRT), Komuter dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pengangkutan disediakan, malangnya, senario kesesakan lalu lintas di nusa kita masih tidak pernah mencapai titik noktah selama ini. Fenomena ini berubah menjadi lebih kronik dan membimbangkan semua pihak terutamanya pada waktu puncak. Masalah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Hal yang tidak dapat dinafikan ialah kesesakan dan pengangkutan awam adalah simbiosis. Nescaya, beberapa punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tetap berlaku saban waktu dalam perjalanan walakin pengangkutan awam disediakan.

Jadual perjalanan yang tidak sistematik merupakan punca utama menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Haruslah kita menerima hakikat bahawa jadual perjalanan yang tidak sistematik disebabkan kelemahan pihak pengurusan jadual perjalanan. Hal ini demikian kerana pihak berkenaan tidak memahami keadaan sebenar secara mendalam, mereka menyediakan jadual berdasarkan waktu mereka. Sebagai contohnya, waktu pemandu akan berehat bermula pada pukul satu tengah hari hingga pada pukul dua petang. Waktu rehat mereka merupakan waktu rehat warga kantor dan waktu pelajar pulang dari sekolah. Natijahnya, pelajar yang menaiki bas untuk balik ke rumah atau yang ingin menghadiri kelas tambahan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas. Secara ringkasnya, kesesakan lalu lintas berlaku kerana kesibukan ibu bapa membawa anak-anak mereka balik ke rumah atau menghadiri kelas tuisyen.

Memang yang tidak dapat dinafikan, tambang yang mahal juga menjadi salah satu faktor kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini demikian kerana kenaikan harga minyak yang disebabkan peningkatan permintaan dalam pasaran dunia dan kejatuhan nilai Dolar Amerika telah menjejaskan taraf hidup dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa minyak petrol akan dinaikkan lagi jika kerajaan tidak mampu menanggung subsidi harga petrol. Jumlah kenaikan harga minyak sebanyak beberapa kali ini telah meningkatkan beban hidup masyarakat. Penataran ini menyebabkan penumpang terpaksa menanggung lagi kos kehidupan yang lebih tinggi. Selain itu, beban ibu bapa juga akan dipertingkatkan kerana sesetengah pelajar menaiki bas ke sekolah atau menghadiri kelas tuisyen. Oleh sebab terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi, masyarakat sanggup berkereta sendiri supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Natijahnya, kesesakan lalu lintas terus berlaku.


Tambahan pula, bilangan bas dan teksi yang tidak cukup juga merupakan satu sebab yang sukar dinafikan. Tidaklah menghairankan jika peruntukan belanjawan kerajaan dikatakan kurang untuk kemudahan awam kerana kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal negara berbanding dengan meningkatkan kebajikan masyarakat. Hal ini juga disebabkan oleh hanya beberapa bas syarikat yang ditubuhkan seperti Transnasional, Metro, Intrakota dan sebagainya. Dengan itu, bas awam tidak menjadi pilihan utama penumpang dari suatu destinasi ke suatu destinasi yang berdekatan atau sebaliknya. Fenomena ini berlaku kerana golongan muda pada zaman ini tidak mahu membazir masa dengan setakat untuk menunggu ketibaan bas ke suatu tempat Mereka berpendapat bahawa “masa itu emas”. Oleh hal yang, mereka rela memandu sendiri. Impaknya, masalah kesesakan lalu lintas terus membengkak dalam arus pembangunan negara.

Satu lagi punca berlakunya kesesakan lalu lintas ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti dan kurang efisien. Pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama generasi kini merupakan perkara yang lumrah. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pemandu teksi dan bas yang biadab terhadap penumpang. Di samping itu, kebanyakan bas berada dalam keadaan yang kotor, panas, busuk, dan kurang selesa. Misalnya, pemandu bas tidak menghormati penumpang dengan memarahi mereka mahupun warga tua hanya kerana mereka membawa makanan ke dalam bas, tertekan loceng di destinasi yang salah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna berasa tidak puas hati terhadap pemandu bas. Hal ini juga menyebabkan pengguna tidak yakin akan perkhidmatan pengangkutan awam. Justifikasinya, pengguna terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Impak daripada hal ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kian hari kian serius.

Pembinaan stesen di lokasi yang tidak strategik juga satu punca yang sukar dinafikan. Hal ini disebabkan kawasan pembinaan stesen Komuter amat jauh dari pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Cheras dan sebagainya. Pembinaan stesen Komuter di kawasan yang jauh malam di dalam hutan menyebabkan pengguna berasa sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di stesen Komuter. Senario ini membuktikan bahawa pengangkutan awam yang disediakan tidak memberi kemudahan secara langsung kepada pengguna. Pengguna terpaksa menukar stesen dari satu stesen ke suatu stesen, Namun begitu, pengguna juga sukar mendapat pengangkutan perantara dari stesen Komuter ke destinasi yang hendak dituju. Untuk menjimatkan masa dan wang untuk bertukar stesen dari satu stesen, pengguna lebih rela menggunakan kenderaan sendiri. Habis, kesesakan lalu lintas di nusa kita terus berlaku dan tidak pernah diselesaikan.

Secara tuntas, walaupun negara kita canggih dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis pengangkutan awam giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, senario kesesakan lalu lintas tidak dapat berjaya dibendung selama ini khasnya di bandar-bandar utama pada waktu bekerja. Hal ini telah membebankan rakyat dari pelbagai segi seperti masa dibazirkan pada waktu kesesakan, kelewatan menguruskan urusan yang penting. Daripada membiarkan masalah ini kronik, pelbagai langkah yang efisien dan praktikal harus diambil dengan serta merta. Oleh itu, kerajaan haruslah sensitif terhadap isu-isu kesesakan dan mengambil tindakan dengan bijak menggunakan peruntukan supaya lalu lintas dilancarkan semula.

6 November 2008

Karangan Ramalam SPM 5 - Industri Desa

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini.
Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.

[ 100 markah ]

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!
Karangan ini diubah suai dan diperbaik.
Karangan asal dihantar oleh
Lee Ying
(pei_ying18@hotmail.com)

5 November 2008

Ramalam Karangan SPM 4 - Karangan Topik keibubapaan

KARANGAN JENIS RENCANA
Peranan Ibu Bapa Dalam Mengurangkan Gejala Sosial
Oleh: Loh Suk Hwa

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang menerusi dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi ini diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh. Malah, institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen “Rumahku Syurgaku” diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara.
Diubah suai daripada hasil karangan pelajar
nama: Suk Hwa

3 November 2008

Ramalam Karangan SPM 3 - Karangan Topik Pertanian

Tajuk: Kegiatan Pertanian Di Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara pertanian sejak dulu lagi. Negara kita merupakan pengeluar utama pelbagai jenis hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah, beras dan sebagainya. Sektor pertanian di Malaysia menduduki tangga ketiga sebagai penyumbang kepada pendapatan dan kemajuan ekonomi negara. Walaupun sektor ini telah diabaikan suatu ketika dahulu, namun kegawatan ekonomi yang melanda negara kita pada tahun 1997 telah menyedarkan kerajaan bahawa sektor pertanian masih penting dan merupakan sektor penyelamat negara kita. Melalui sektor pertanian, negara kita mampu mengharungi kegawatan ekonomi tanpa sebarang bantuan daripada International Monetary Fountation (IMF).

Sebagaimana yang kita tahu, kelapa sawit merupakan tanaman yang paling menguntungkan negara kita. Oleh itu, kebanyakan tanah di Malaysia digunakan untuk menanam kelapa sawit. Ladang kelapa sawit boleh dilihat di merata-rata tempat di seluruh Malaysia kerana penanaman kelapa sawit giat dijalankan dan sektor ini telah membuka banyak peluang kerja kepada masyarakat kawasan pedalaman kerana ada gula ada semut. Kelapa sawit juga merupakan eksport utama Malaysia ke negara-negara asing seperti Amerika Syarikat dan Kanada. Hal ini demikian kerana kelapa sawit boleh digunakan untuk menghasilkan minyak kelapa sawit dan pelbagai barangan yang berguna. Malah, daun-daun dan sabut kelapa sawit boleh dijadikan baja yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan digunakan secara meluas oleh para petani dan pekebun. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kelapa sawit banyak memanfaatkan kita dan merupakan salah satu punca pendapatan negara kita yang terpenting.

Penanaman getah di Malaysia juga wujud sejak berdekad-dekad yang lalu, iaitu semasa negara kita dijajah oleh pihak British. Pihak British telah memperkenalkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan pengeluaran getah, Kini, getah merupakan salah satu tanaman yang diusahakan secara meluas di seluruh Malaysia. Pokok getah mengeluarkan susu getah dan getah keping yang dikatakan amat berguna dalam sektor pembuatan tayar, kasut and sarung tangan getah. Sehubungan dengan itu, para penoreh getah juga diberikan gaji yang tinggi kerana getah merupakan bahan yang tidak ternilai harganya dalam zaman modenisasi ini. Penoreh getah pada zaman ini juga diiktiraf sebagai individu yang mampu menjana ekonomi negara dan tidak lagi dipandang rendah oleh masyarakat. Pengeksportan bahan mentah seperti kelapa sawit dan getah ke negara-negara asing telah meningkatkan status negara kita di arena antarabangsa dan kita sudah berupaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Walaupun kerajaan telah mencurahkan banyak usaha dalam sektor pertanian negara dan kesan positifnya amat ketara, namun banyak pihak yang berpendapat bahawa industri ini masih berpotensi untuk dimajukan lagi. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang lebih efektif dan proaktif harus diambil untuk memajukan lagi sektor pertanian di negara kita.Teknologi baharu dan kaedah pertanian moden bolehlah diperkenalkan untuk meningkatkan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani hari ini masih menggunakan kaedah pertanian tradisional tradisional yang dianggap tidak berkesan lagi. Oleh itu, kaedah dan teknologi pertanian yang moden dari luar negara, seperti New Zealand dan Australia harus dibawa masuk. Contohnya, penggunaan kaedah “tabur terus” dari Australia telah meningkatkan hasil pengeluaran padi sebanyak dua kali ganda. Selain itu, sistem pengairan yang moden harus dibina agar sektor pertanian dapat berkembang pesat. Misalnya,Rancangan Perairan Muda di Kedah telah membolehkan penanaman padi dijalankan dua kali setahun.Tuntasnya, kaedah pertanian moden bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malahan meningkatkan produktiviti sektor pertanian lagi.

Di samping itu, kajian dan pembangunan (R&D) harus dijalankan sejajar dengan penggunaan kaedah pertanian moden untuk meningkatkan hasil dalam industri pertanian negara kita. Antara agensi yang memainkan peranan yang penting dalam usaha ini termasuklah MARDI dan PORIM. Penyelidikan haruslah dijalankan dari semasa ke semasa untuk menghasilkan benih yang cepat matang dan lebih bermutu. Tamsilnya, Institut Penyelidikan Minyak Kelapa sawit Malaysia (PORIM) telah berjaya menghasilkan benih kelapa sawit yang bermutu, iaitu “Tenera” yang dapat menghasilkan minyak yang lebih banyak. Oleh itu, kita berharap agar PORIM dapat menghasilkan benih yang lebih bermutu untuk meningkatkan produktiviti kelapa sawit di Malaysia. Kita juga boleh saling bertukar pendapat dengan negara-negara luar dalam usaha memperbanyak hasil pertanian di negara kita. Malaysia haruslah pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan institut penyelidikan pertanian luar negara sebagai rujukan supaya industri pertanian kita dapat berkembang maju di persada dunia.

Intihanya, negara kita berpotensi besar dalam sektor pertanian dan aktiviti pertanian perlu diketengahkan supaya setaraf dengan sektor perindustrian negara. Sektor pertanian sememangnya banyakn mendatangkan kebaikan kepada masyarakat mahupun negara kita. Oleh itu, pihak kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian di negara kita kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.Dengan ini Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang,gemilang dan terbilang! Satu hari nanti, Malaysia akan menjadi nadi pertanian global yang disegani dan disanjungi tinggi oleh setiap negara di seantero dunia. Malaysia Boleh!
Karangan ini diubah suai dan diperbaik.
Karangan asal dihantar oleh Lee Ying