Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
Selamat Melayari Blog Saya!
- CIKGU TAN CL
- Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN
12 April 2022
KENALILAH "DALAM" YANG SUNGGUH DALAM DALAM USAHA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU YANG BETUL DI DALAM BILIK DARJAH ATAU DALAM TAJUK BERITA
KENALILAH "DALAM" YANG SUNGGUH DALAM DALAM USAHA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU YANG BETUL DI DALAM BILIK DARJAH ATAU DALAM TAJUK BERITA
Kata adjektif "dalam" jarang-jarang disalah tulis oleh pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana ayatnya mudah difahami dan maksudnya pun sampai. Sebagai contohnya, baca ayat-ayat di bawah:
(1) Cintaku padanya dalam seperti laut.
(2) Longkang itu sungguh dalam dan berbahaya.
(3) Parit di kampung itu sama dalam dengan parit di kampung saya.
Kata arah "dalam" dan kata sendi nama "di dalam" pula mudah menyebabkan pengguna bahasa keliru. Pengguna bahasa keliru kerana mereka tidak dapat membezakan kata sendi nama dengan kata arah. Sebagai contohnya, baca ayat-ayat di bawah.
(4) Murid berada di dalam auditorium. (kata arah "dalam")
(5) Doktor sedang menjalankan pembedahan di dalam dewan bedah. (kata arah "dalam")
(6) Guru sedang bermesyuarat di dalam bilik persidangan. (kata arah "dalam")
(7) Kakak saya dalam usaha menyelesaikan tugasnya. (kata sendi nama "dalam")
(8) Wanita itu dalam perjalanan ke lapangan terbang. (kata sendi nama "dalam")
(9) Guru subjek Bahasa Melayu itu berani bercakap dalam mesyuarat. (kata sendi nama "dalam")
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata adjektif.
(1) boleh menerima atau diikuti kata penguat
Contoh: Kolam renang itu sangat dalam.
(2) boleh dibandingkan dengan awalan se- dan menerima "sama" yang diikuti kata sendi nama "dengan" dan “seperti”.
Contoh:
(a) Kolam renang itu sedalam 4 meter.
(b) Kolam renang di rumah saya sama dalam dengan kolam renang di hotel.
(c) Kolam renang di resort itu dalam seperti kolam di rumah orang kaya itu.
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata arah yang membentuk frasa sendi.
(1) hadir selepas kata sendi "ke" atau "di" dan diikuti kata nama konkrit.
(a) Ali masuk ke dalam dewan peperiksaan.
(b) Ikram berada di dalam bilik guru besar.
(2) membawa maksud ruang atau melibatkan maksud ruang dan arah.
Tip untuk membezakan penggunaan "dalam" sebagai kata sendi nama.
(1) boleh diikuti kata nama
Contoh: Kerajaan berusaha dalam usaha meningkatkan gaji minum rakyat.
(2) tidak boleh diikuti kata kerja
Contoh:
(a) Kerajaan berusaha dalam meningkatkan gaji minimum rakyat.
(b) Kerajaan berusaha dalam urusan meningkatkan gaji minimum rakyat.
Kesilapan paling umum dalam kalangan pengguna bahasa
(10a) *Kakak berada dalam kereta. (salah)
(10b) Kakak berada di dalam kereta. (betul)
(11a) *Ibu bijak dalam menyelesaikan masalah itu. (salah)
(11b) Ibu bijak dalam usaha menyelesaikan masalah itu. (betul)
(12a) *Kejayaannya di dalam bidang sukan membanggakan keluarga. (salah)
(12b) Kejayaannya dalam bidang sukan membanggakan keluarga. (betul)
(13a) *Kakak sudah masuk dalam bilik doktor. (salah)
(13b) Kakak sudah masuk ke dalam bilik doktor. (betul)
(14a) *Adik di dalam perjalanan ke Johor. (salah)
(14b) Adik dalam perjalanan ke Johor. (betul)
Saya berharap agar pengguna bahasa akan cakna akan perbezaan antara kata sendi nama “dalam”, dengan kata arah “dalam” yang membentuk frasa sendi nama “di dalam” dan kata adjektif “dalam”. Demikianlah uniknya bahasa kebangsaan kita.
Oleh sebab itu, frasa “dalam menjaga” dalam gambar sepatutnya “untuk menjaga” atau “dalam usaha menjaga”.
Kalimat bertanda intonasi bergaya,
Bahasa bersahaja memikat jiwa.
Unsur bergabung tutur bersambung,
Logik dan gramatis pasti tergabung.
Kemasnya ejaan bernasnya bacaan,
Indahnya tulisan jadi pedoman.
Kalimat bersusun ayat bersantun,
Terukir syair mahupun pantun.
Kalimat bersendi ayat berpaksi.
Kukuh berdiri kata dan diksi.
Ejaan makanan
Bersempena dengan bulan yang mulia lagi suci ini, sama-samalah kita menyambutnya dengan penuh keinsafan ketika menggunakan bahasa Melayu, terutamanya dari segi ejaan makanan. Rujuklah Kamus Dewan Edisi Keempat agar kesilapan ejaan dapat dielakkan.
Lihat contoh di bawah:
1. murtabak (salah) martabak (betul)
2. mee (salah) mi (betul)
3. serunding (betul - rujukan Kamus Dewan Perdana)
serondeng (betul) - rujukan Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Perdana
4. koey tiaw (salah) kuetiau (betul)
5. beehoon (salah) mihun/bihun (betul)
6. nasi impit (salah) nasi himpit (betul)
7. bergedil (salah) bergedel (betul)
8. sandwhic (salah) sandwic (betul)
9. ais-krim (salah) aiskrim (betul)
10. tosai (salah) tose (betul)
11. satey (salah) sate (betul)
12. BBQ (salah) barbeku (betul)
13. bahulu (salah) baulu (betul)
14. kuih kapit (salah) kuit sepit (betul)
15. tom yam (salah) tomyam (betul)
16. vade (salah) wade (betul)
17. dimsum (salah) dim sum (betul)
18. lasagnia (salah) lasagne (betul)
19. waffer (salah) wafer (betul)
20. putu mayam (salah) putu mayang (betul)
21. mi wan tan (salah) mi wantan (betul)
22. bubur lambok (salah) bubur lambuk (betul)
23. su hun goreng (salah) suun goreng(betul)
24. hotdog (salah) hot dog (betul)
25. roti prata (salah) roti perata (betul)
26. kek majerin (salah) kek marjerin (betul)
27. krosant (salah) kroisan (betul)
28. nasi beriyani (salah) nasi beriani (betul)
29. sushi (salah) susyi (betul)
30. chap chay (salah) capcai (betul)
31. tambahlah menu di ruang komen jika anda sudi.
Selamat menyambut bulan Ramadan.
Salam Ramadan al-Mubarak.
Sebarkan dan tularkan! (viralkan)
Subscribe to:
Posts (Atom)