Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

15 August 2019

Pengenalpastian pola ayat FN + FA yang mengelirukan pengguna bahasa.

Pengenalpastian pola ayat FN + FA yang mengelirukan pengguna bahasa.
Frasa adjektif (FA) antara pola ayat yang paling mudah dikenal pasti tetapi ada juga antara kita yang tidak dapat mengenal pastinya. Ada beberapa cara untuk mengenal pasti pola FN + FA seperti yang berikut.
(1) Bahagian predikat yang bermula dengan kata penguat sama ada kata penguat depan, belakang, atau bebas. Lihat contoh di bawah.
(i) Kata penguat depan
(a) Baju itu agak longgar. (FN+FA)
(ii) Kata penguat belakang
(b) Baju itu ketat nian. (FN+FA)
(iii) kata penguat bebas
(c) Baju itu sungguh cantik. (FN+FA)
(d) Baju itu cantik sungguh. (FN+FA)
(2) Bahagian predikat yang bermula dengan kata penguat tetapi diikuti kata kerja juga membentuk pola FN + FA kerana kata penguat yang hadir sebelum atau selepas kata kerja itu sudah membentuk frasa adjektif. Lihat contoh di bawah.
(e) Filem itu menyedihkan hati saya. (FN+FK)
(f) FIlem itu amat menyedihkan hati saya. (FN+FA)
(g) Penerbit filem itu mementingkan kualiti. (FN+FK)
(h) Penerbit filem itu memang mementingkan kualiti (FN+FK)
(i) Penerbit filem itu mementingkan kualiti benar. (FN+FK)
(3) Imbuhan ke-...-an yang membentuk frasa adjektif yang terletak pada predikat ayat tetapi tidak dikenali oleh pengguna bahasa. Lihat contoh di bawah.
(j) Langit hari ini kemerah-merahan. (FN+FA)
(k) Pakaian penceramah itu kemelayuan.(FN+FA)
(4) penggunaan imbuhan se- yang disambut kata kerja atau kata adjektif yang berunsur perbandingan. Lihat contoh di bawah.
(l) Imran sepandai abangnya. (FN+FA)
(m) Imran pandai seperti abangnya. (FN+FA)
(5) Predikat yang bermula dengan (kata adjektif + kata adjektif) dan (kata adjektif + kata nama)
[Predikat berbentuk FA+ FA]
( n ) Adik saya riang gembira apabila melihat ibu bapa. (FN+FA)
[Predikat berbentuk FA+ FA]
(o) Baju adik saya merah jambu. (FN+FA)
(p) Lelaki itu muda remaja. (FN+FA)
(6) Frasa adjektif yang membawa maksud kiasan juga berpola FA yang selalu menjadi pengganggu dalam soalan.
(q) Budak lelaki itu panjang tangan.
(r) Wanita dari Pulau Pinang itu lancang mulut.
(7) FA juga mengelirukan calon peperiksaan atau pengguna bahasa jika ayatnya bersusunan songsang.
(s) Nyenak tidurnya. (FN+FA)
(t) Tinggi lampai anak mami itu. (FN+FA)
(8) Predikat yang bermula dengan kata bantu dan diikuti kata adjektif.
(u) Bangunan itu masih kuat. (FN+FA)
(v) Nenek saya belum sihat. (FN+FA)
(9) Kata adjektif yang diikuti kata penguat dalam ayat komplemen.
(w) Wanita itu sedar sungguh bahawa perkahwinannya sudah berakhir. (FN+FA)
(x) Guru saya yakin amat bahawa peperiksaan ini mencabar murid.
(10) Pengguna bahawa harus tahu bahawa frasa adjektif yang terdiri daripada dua kata adjektif boleh disertai oleh kata bantu tetapi tidak boleh disertai kata penguat.
( y ) Kanak-kanak di wad itu masih riang gembira.
(z) Pensyarah yang tersohor itu sudah kaya raya.
Banyak soalan boleh digubal untuk menguji calon peperiksaan tentang pola ayat FN+FA. Oleh sebab itu, rujuklah Tatabahasa Dewan untuk mempertingkatkan aras soalan dan kualiti soalan demi menguji calon peperiksaan. Dengan cara ini, kita dapat membentuk keterampilan berbahasa Melayu dalam kalangan calon peperiksaan yang bakal menjadi pengguna bahasa Melayu.
Kalau ada silap dan salah, maafkan saya.
Kita belajar sama-sama.
Selamat membaca.

PENGENALPASTIAN POLA AYAT FN+FS YANG MENGELIRUKAN PENGGUNA BAHASA DAN CALON PEPERIKSAAN

PENGENALPASTIAN POLA AYAT FN+FS YANG MENGELIRUKAN PENGGUNA BAHASA DAN CALON PEPERIKSAAN
Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa nama yang yang menjadi pelengkap kepada pola FS, yang juga dahulunya disebut (FSN) oleh sesetengah penulis buku tatabahasa.
Ada 3 binaan Frasa sendi nama yang perlu kita kuasai jika mahu menguasai sintaksis pola ayat. Lihat maklumat di bawah dengan telitinya. Predikat yang mempunyai ciri-ciri berikut menjadikannya berpola FN+FS. Lihat contoh di bawah.
(1) Kata Sendi Nama + Frasa Nama
(1a) Wanita tua itu di jambatan. (FN+FS)
NOTA:
Kelemahan calon peperiksaan ialah mereka keliru apabila ternampak kata sendi nama walaupun fungsinya hanya menjadi keterangan predikat sahaja. Satu patah perkataan sahaja sudah boleh menjadi pengganggu dalam soalan yang mengelirukan calon peperiksaan jika mereka tidak menguasai kata sendi nama dengan baiknya. Lihat contoh di bawah.
(1b) Wanita tua itu berdiri di jambatan. (FN+FK)
(1b) Wanita tua itu lama berdiri di jambatan. (FN+FA)
(2) Kata Sendi Nama + Kata Nama Arah + Frasa Nama
2(a) Ibu saya di belakang rumah. (FN+FS)
2(b) Ibu saya ke belakang rumah. (FN+FS)
2(c) Ibu saya dari belakang rumah. (FN+FS)
NOTA:
Calon juga boleh dikelirukan dengan pengganggu yang terletak sebelum kata sendi nama sehingga mereka yang goyah ilmu kata sendi nama dan subjek + predikat menyebabkan mereka terpengaruh oleh soalan, akhirnya menulis pola ayat yang salah. Lihat contoh di bawah.
2(b) Ibu saya menanak nasi di belakang rumah. (FN+FK)
2(c) Ibu saya berkebun di belakang rumah. (FN+FK)
2(d) Ibu saya datang dari belakang rumah. (FN+FK)
(3) Kata Sendi Nama + Kata Nama Arah + Frasa Nama + (Frasa Keterangan)
3(a) Ayah saya ke utara negara Jepun pada tahun lalu. (FN+FS)
3(b) Ayah saya dari selatan Johor dengan bapanya. (FN+FS)
3(c) Anak kecil itu di atas pangkuan ibunya setiap waktu. (FN+FS)
NOTA:
Kelemahan calon yang berikutnya ialah kekeliruan antara kata nama dengan kata sendi nama dan kekeliruan antara kata hubung dengan kata sendi nama.
3(d) Untuk anak mami berdiam diri memang susah. (FN+FA)
3(e) Bahawa berita esok cuti am adalah palsu. (FN+FA)
3(f) Kakak memotong kek dengan menggunakan pisau. (FN+FK)
Sekian dulu untuk hari ini, jika ada silap dan salah, mohon betulkan. Kita belajar sama-sama. Tiada gading yang tidak retak, tiada laut yang tidak berombak, tiada bumi yang tidak ditimpa hujan.

11 August 2019

Teknik mengenal pasti pola ayat FN + FN

Marilah kita mengenal pasti imbuhan yang menentukan frasa nama (FN) dalam predikat yang diuji dalam soalan pola ayat (KSSM) dalam pola ayat FN+FN yang mudah mengelirukan pengguna bahasa. Ada banyak cara untuk mengenal pasti pola FN+FN, mari kita saksikan 4 daripadanya.
1. Semua imbuhan akhiran -an membentuk frasa nama. Jika terbaca perkataan berakhiran -an pada awal predikat, sah jawapannya FN+FN
CONTOH:
Pertandingan itu anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning.
POLA AYAT: FN + FN
2. Predikat yang bermula dengan kata pemeri "ialah" wajib diikuti frasa nama. Maka, pola frasa nama (FN) semestinya menjadi penanda pola predikat.
CONTOH:
Pemenang pertandingan itu ialah murid dari daerah Petaling Perdana.
POLA AYAT: FN + FN
3. Predikat yang terbentuk daripada kata bilangan dan penjodoh bilangan juga membentuk frasa nama (FN). Hal ini dikatakan demikian kerana hanya kata nama yang boleh menerima kata bilangan dan kata penjodoh bilangan.
CONTOH:
Bilangan murid yang menyertai pertandingan itu lima ratus dua puluh orang.
POLA AYAT: FN + FN
Hadiah kakak saya yang paling mahal sebentuk cincin berlian.
POLA AYAT: FN + FN
4. Predikat yang terbentuk daripada kata tanya juga berbentuk FN. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tanya terletak di bawah payung golongan kata nama. Biasanya ayat tanya bersusunan biasa berakhir dengan kata tanya tanpa partikel -kah.
CONTOH
Nama lelaki itu siapa?
POLA AYAT: FN + FN
Umur wanita itu berapa?
POLA AYAT: FN + FN
Benda itu apa?
POLA AYAT: FN + FN
Demikianlah beberapa cara untuk mengenal pasti pola ayat berbentuk FN+FN. Mungkin pada perkongsian akan datang, teknik mengenal pasti pola ayat lain boleh saya kongsikan jika ada yang sudi membacanya. Perkongsian di atas adalah untuk menjawab soalan daripada seorang rakan guru yang buntu dalam usaha mengajarkan pola ayat kepada anak-anak muridnya yang lemah dalam bahagian ini.
Peringatan saya ialah kita harus menguasai subjek dan predikat sebelum menguasai pola ayat. Jika kelemahan asas, iaitu subjek dan predikat tidak dikuasai, maka kita akan terus buntu dalam pengenalpastian pola ayat.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.