INFORMASI BAHASA
09.06.2015
PERBEZAAN ANTARA "AGEN" DENGAN "EJEN"
Banyak pengguna bahasa bertanya kepada saya, "Cikgu Tan, mengapakah "agensi insurans" betul tetapi "agen insurans" salah?
Adakah ejen bekerja untuk agensi atau ejensi?
Mengapakah berlaku fenomena seperti ini?
Marilah kita lihat maksud "agen" dan "ejen" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
agen - sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dan sebagainya)
ejen - orang yang menjalankan perniagaan untuk orang lain atau wakil dalam urusan jual beli atau dalam perdagangan atau wakil penjual
Lihat ayat-ayat di bawah:
1.
Ayah bekerja sebagai agen hartanah di sebuah agensi hartanah. (salah)
Ayah bekerja sebagai ejen hartanah di sebuah agensi hartanah. (betul)
2.
Flora dan fauna berfungsi sebagai ejen pendebungaan. (salah)
Flora dan fauna berfungsi sebagai agen pendebungaan. (betul)
3.
Wanita itu agen insurans yang rajin. (salah)
Wanita itu ejen insurans yang rajin. (betul)
4.
Asid ialah ejen kimia yang penting. (salah)
Asid ialah agen kimia yang penting. (betul)
Secara ringkas, lihat perbezaan ketara antara kedua-dua perkataan tersebut:
(i) ejen (manusia)
(ii) agen (bukan manusia)
Kesimpulannya, kedua-dua perkataan agen dan ejen merujuk perkataan Inggeris yang sama, iaitu "agent".
"Agen" digunakan untuk bidang sains dan bidang-bidang lain yang bermaksud sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas, proses dan sebagainya manakala "ejen" digunakan untuk orang, syarikat dan sebagainya yang menjalankan perniagaan untuk orang lain.
Dalam hal ini menunjukkan kedua-dua perkataan itu digunakan mengikut konteks dan bidang yang berbeza.
Saya berharap agar penerangan saya jelas dan mudah difahami.
Selamat belajar!
Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
Selamat Melayari Blog Saya!
- CIKGU TAN CL
- Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN
7 comments:
Terima kasih!!
Terima kasih!!
Terima kasih
terima kasih atas info yg sangat bermanfaat..
Jadi saya nak tanya, kenapa AGENSI INSURAN itu betul, dah bukan EJENSI INSURAN. Adakah "agensi" itu kata khas yang tidak berkaitan dengan Ejen?
Terima kasih.
Perkongsian yang sangat...bagus👆🏻👆🏻👆🏻👍🏻👍🏻👍🏻👌🏻😊😊🥰🥰
Saya suka...semoga cikgu..ada lagi perkongsian...saya mudah faham😊😊🥰🥰🙂🙂😁😁
Post a Comment