Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

22 June 2015

PERBEZAAN “ADAT’, “ADAB”, DAN “ADAP” YANG SAMA BUNYI TAK SAMA MAKSUD

INFORMASI BAHASA
22.06.2015
PERBEZAAN “ADAT’, “ADAB”, DAN “ADAP” YANG SAMA BUNYI TAK SAMA MAKSUD
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, berikut ialah maksud adat, adab, dan adap:
“Adat”
1. peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun
2. cara yang sudah menjadi kebiasaan
“Adab”
1. tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan
2. cara seseorang berkelakuan dalam situasi tertentu
“Adap”
1. kata majmuk “nasi adap” atau adap-adapan ialah pulut berwarna kuning yang biasanya dihidangkan dalam upacara perkahwinan.
Lihat contoh ayat di bawah:
(a)
(i) Apabila mengunjungi rumah kawan berbangsa Melayu, Ah Meng menghormati adab makan mereka. (tidak gramatis)
(ii) Apabila mengunjungi rumah kawan berbangsa Melayu, Ah Meng menghormati adat makan mereka. (gramatis)
(b)
(i) Dalam majlis perkahwinan itu, pengantin lelaki menyuapkan nasi adat kepada pengantin perempuan. (tidak gramatis)
(ii) Dalam majlis perkahwinan itu, pengantin lelaki menyuapkan nasi adap kepada pengantin perempuan. (gramatis)
(c)
(i) Wanita yang memakai skirt pendek ke kuil itu dianggap tidak beradab. (gramatis)
(ii) Wanita yang memakai skirt pendek ke kuil itu dianggap tidak beradat. (tidak gramatis)
(d)
(i) Anak yang beradab tidak akan meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa. (gramatis)
(ii) Anak yang beradat tidak akan meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa. (tidak gramatis)
(e)
(i) Penduduk Kadazan Dusun itu mengenakan pakaian beradat ketika menghadiri upacara keagamaan. (gramatis)
(ii) Penduduk Kadazan Dusun itu mengenakan pakaian beradab ketika menghadiri upacara keagamaan. (tidak gramatis)
(f)
(i) Artis popular yang berhijab tetapi tidak beradat dari segi pakaian ditegur oleh pemimpin agama. (tidak gramatis)
(ii) Artis popular yang berhijab tetapi tidak beradab dari segi pakaian ditegur oleh pemimpin agama. (gramatis)
Kesimpulannya, “adat” merujuk kepada peraturan yang sudah lama diamalkan manakala “adab” pula merujuk kepada amalan sopan atau baik yang sudah lama berakar umbi dalam kehidupan kita.
Sewaktu berbahasa Melayu, kita mestilah beradab dalam penggunaan kata dan bersusila dalam percakapan. Dengan berbuat begitu, konsep budi bahasa budaya kita terus menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia sebagai penduduk yang beradab walaupun memiliki adat resam yang berbeza. Ingatlah bahawa adat bersendi syarak, syarak bersendi adat. Janganlah lupa akan adat lama pusaka usang kerana setiap perbuatan ada peraturannya. Oleh sebab itu, saya yakin bahawa adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung. Akhir kata, kita mestilah mengamalkan prinsip hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

No comments: