Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

24 March 2020

MODUL KOMSAS GRUP GURU BM SPM

20 March 2020

SKEMA JAWABAN - KERJA RUMAH TATABAHASA (SINTAKSIS) CUTI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Surat Siaran Lembaga Peperiksaan : FORMAT BAHARU SPM 2021

Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 4 Tahun 2020
Format Instrumen Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) Mulai Tahun 2021 Bagi Mata Pelajaran Akademik Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)

16 March 2020

PENGHASILAN UNSUR KOHESI DALAM PENULISAN MELALUI KATA TERBITAN

PENGHASILAN UNSUR KOHESI DALAM PENULISAN MELALUI KATA TERBITAN

Nampaknya cuti sekolah ini membolehkan saya merehatkan fizikal dan minda sehingga mencipta suatu unsur kohesi dalam penulisan melalui kata terbitan. Perkongsian ini dapat membantu anak-anak murid kita yang masih tidak mampu menulis karangan yang berunsur kohesi atau ada unsur pertautan antara ayat. Oleh sebab itu, perkongsian ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada guru-guru dari segi idea sewaktu mengajarkan penulisan.

TEMA 1 - AMALAN MEMBACA
SENARAI KATA TERBITAN:

MELANCARKAN - PELANCARAN - DILANCARKAN - KELANCARAN - MELANCARKAN

Kerajaan perlulah melancarkan kempen membaca secara besar-besaran di seluruh negara untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat. Pelancaran kempen ini tidak haruslah dijalankan seperti melepaskan batuk di tangga semata-mata sehingga tidak berjaya membentuk masyarakat yang suka membaca buku. Sebagai contohnya, Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) telah dilancarkan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia. Kempen ini perlu dipantau dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh demi memastikan kelancaran sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu mahu meningkatkan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-53 sebagai negara membaca, menurut "World Most Literate Nation" kepada tangga yang lebih produktif dan maju. Oleh hal yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan mestilah melancarkan kempen membaca dengan bersungguh-sungguh agar cita-cita Malaysia yang mahu menjadi bangsa membaca bangsa berjaya suatu impian yang mampu menjadi realiti.

TEMA 2 - GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

SENARAI KATA TERBITAN:
MENDIDIK - PENDIDIKAN - DIDIDIK - DIDIKAN - MENDIDIK

Ibu bapa haruslah memberikan didikan moral dan agama sebagai benteng paling kuat untuk mengekang anak-anak daripada terlibat dalam gejala sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan awal anak-anak seyogianya bermula dari rumah, bukannya dari prasekolah. Sebagai contohnya, anak-anak yang masih kecil dan suci bagai kain kapas perlu dididik dan dicorakkan dengan ilmu didikan agama dan moral. Didikan ini ada kebenarannya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar anak-anak mudah dilentur menjadi insan yang berakhlak mulia dan berjati diri kukuh untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala yang kurang sihat. Oleh sebab itu, tugas mendidik anak-anak dengan didikan agama dan moral ialah formula paling tepat untuk mengekang masalah sosial yang kian menular dalam kalangan anak remaja di negara kita.

TEMA 3 - AMALAN MENABUNG

SENARAI KATA TERBITAN:
MEMBELI - PEMBELIAN - DIBELI - MEMBELIKAN - MEMBELI

Ibu bapa haruslah membeli tabung sebagai hadiah kepada anak-anak mereka untuk menggalakkan mereka supaya menabungkan wang. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelian tabung ialah hadiah terbaik yang berunsur pendidikan kewangan paling baik kepada anak-anak yang berkaitan dengan kata mutiara orang tua-tua, "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit". Sebagai hadiah kepada anak-anak, tabung yang cantik dan menarik bentuknya bolehlah dibeli oleh ibu bapa untuk mendorong anak-anak mereka supaya menabung. Dengan membelikan anak-anak tabung sebagai alat paling efektif agar mereka tidak bersikap boros, anak-anak dapat memasukkan wang baki daripada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak mereka. Tegasnya, ibu bapa haruslah membeli tabung untuk dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak supaya amalan menabung dapat disemai dengan suburnya di dalam sukma jiwa anak agar mereka berpegang pada prinsip dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

TEMA 4 - SUKAN

SENARAI KATA TERBITAN:
BERLATIH - LATIHAN - DILATIH - MELATIH - BERLATIH

Untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan sukan, murid-murid perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh pada setiap petang di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana latihan sukan yang diadakan di sekolah pada setiap petang untuk atlet amat penting untuk memastikan atlet yang mewakili sekolah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi persaingan pada pertandingan sukan. Sebagai contohnya, murid-murid yang berbakat dalam bidang sukan perlu dilatih oleh jurulatih yang diupah atau diundang oleh pihak sekolah mahupun guru bertugas yang berpengalaman. Jurulatih yang gigih melatih anak-anak murid mereka dan memberikan dorongan serta sokongan kepada murid akan dapat meningkatkan keyakinan mereka dalam pertandingan. Saya yakin bahawa murid yang rajin berlatih akan beroleh kejayaan dalam pertandingan sukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

TEMA 5 - KESELAMATAN DI JALAN RAYA

SENARAI KATA TERBITAN:
MENGUATKUASAKAN - PENGUATKUASAAN - DIKUATKUASAKAN - PENGUAT KUASA - BERKUAT KUASA

Pihak berkuasa haruslah menguatkuasakan undang-undang di jalan raya untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana penguatkuasaan undang-undang dapat memberikan didikan dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya. Sebagai contohnya, undang-undang had laju di lebuh raya perlu dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sekatan jalan raya dan memasang kamera Penguatkuasaan Undang-undang Jalan Raya Automatik (AES) di lebuh-lebuh raya seperti di Lebuh Raya Kesas, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Persekutuan yang acap kali menjadi medan perlumbaan haram. Pegawai polis trafik dan penguat kuasa yang bertugas perlulah menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti tanpa dicemari unsur rasuah pasti mampu mengurangkan kemalangan di jalan raya sekali gus mendisiplinkan pemandu dengan slogan pandu cermat jiwa selamat. Ringkasnya, undang-undang yang berkuat kuasa serta-merta dapat mengurangkan kemalangan di jalan raya agar kemalangan jiwa juga dapat dikurangkan.

TEMA: BAHASA
KATA TERBITAN:
PENCEMARAN - DICEMARKAN - MENCEMARKAN - TERCEMAR - PENCEMARAN
Cara utama untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ialah kita harus mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa kebangsaan kita banyak dicemarkan oleh pengguna bahasa dengan bahasa pasar dan bahasa rojak. Sebagai contohnya, guru-guru harus mendidik anak murid mereka supaya tidak menggunakan simbol "x" untuk menggantikan "tidak" dalam sembang maya dan perbualan dalam media sosial seperti Whatsapps dan Telegram sehingga mencemarkan bahasa Melayu. Impaknya, bahasa kebangsaan yang tercemar ini akan dapat dikurangkan daripada terus menjejaskan imej negara kerana bahasa menunjukkan bangsa, hilang bahasa lenyaplah bangsa. Oleh hal yang demikian, kita harus sedar akan hakikat bahawa masalah pencemaran bahasa mestilah kita atasi agar dapat mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Cukuplah dengan enam contoh ini. Murid-murid boleh diberi ilmu penulisan seperti ini dengan pelbagai tema dalam perbengkelan di sekolah atau di mana-mana sahaja. Penggunaan kata terbitan yang berkait dan berkesinambungan yang bukan sahaja mesra kohesi tetapi juga mampu meningkatkan penguasaan ilmu penggunaan dan fungsi pelbagai jenis imbuhan dalam kalangan murid.
Guru tidak kedekut ilmu,
Murid pasti tidak buntu.
Selamat belajar.


15 March 2020

PENGGUNAAN 10 LIRIK LAGU TERBAIK DALAM PENULISAN CEMERLANG SPM


PENGGUNAAN 10 LIRIK LAGU TERBAIK
DALAM PENULISAN CEMERLANG SPM

(LAGU 1)

Demi negara yang tercinta
Di curahkan bakti penuh setia
Demi raja yang disanjung tinggi
Kesetiaan tak berbelah bagi

Kepada pemimpin kepada rakyat
Khidmat diberi penuh taat
Sama bekerja sama berusaha
Setia berkhidmat untuk semua

Rela berkorban apa saja
Amanah bangsa tetap dijaga
Kami berikrar penuh setia
Untuk agama, bangsa dan negara

Setiap kali lagu bertajuk "Setia" ini berkumandang di udara, meremang bulu roma kita. Demikianlah betapa pentingnya pengorbanan dan kesetiaan rakyat kepada bangsa dan negara. Dengan kesetiaan dan pengorbanan ini, kita dapat membina rakyat yang cinta akan negara dan masyarakat yang hidup bersatu padu agar perpecahan dapat dielakkan. Hal ini dikatakan demikian kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

(LAGU 2)
Anak pipit jangan tak dihirau
Gusar esok ke sarang si rimau
Anak didik harusnya dirisau
Gusar esok engkau yang dipisau

Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam lagunya bertajuk 7 Nasihat ini membawa pelbagai unsur nasihat dan didikan yang penting kepada masyarakat kita, terutamanya golongan yang menjadi harapan bangsa dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Rangkap pertama lirik lagu ini menyampaikan mesej yang begitu jelas iaitu anak-anak didik atau golongan muda perlu dipantau dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan hati-hati bak peribahasa bagai menatang minyak yang penuh. Jika tidak, mereka akan terlibat dalam pelbagai gejala negatif yang akhirnya mampu menjadi duri dalam daging dalam pembangunan bangsa dan negara.

(LAGU 3)
Hei! sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat mengisi uratku
Agar bisa ku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan sijantan yang berkokok
Di mana bumi ku pijak
Di situ langit ku junjung
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan

Lagu "Mentera Semerah Padi Nyanyian seniman ulung negara, Dato' M. Nasir ini benar-benar menusuk kalbu dan membakar semangat rakyat Malaysia agar bekerja keras dan tidak berputus asa dalam perjuangan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana lirik lagu ini memaparkan keberanian dan kegagahan pahlawan untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Oleh sebab itu, kita mestilah tabah menghadapi onak dan duri dalam kehidupan demi membentuk masyarakat yang berminta kelas pertama dan berjati diri kukuh.

(LAGU 4)
Kisah duka ulang-berulang
Hati luka cinta kecundang
Bagaikan bunga kembang dipuja
Layu dibuang.

Bercintalah berpada-pada
Usah serah segala
Turutkan hati turutkan rasa
Diri sendiri akan binasa

Demi masa depanmu
Berhati-hati selalu
Kaji asal usulnya
Jangan sampai terpedaya

Lagu "Kalau Mencari Teman" nyanyian penyanyi tersohor negara, Ziana Zain ini menyampaikan mesej yang kukuh dan berkesan kepada anak-anak muda. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak muda pada hari ini mudah terpengaruh oleh rakan sebaya. Mereka tidak menyiasat asal usul rakan sebelum meniru perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Akhirnya, mereka akan menyesal tetapi sudah terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

(LAGU 5)
Beribu bintang dilangit kini menghilang
Meraba aku dalam kelam
Rembulan mengambang kini makin suram
Pudar ilhamku tanpa arah

Sedetik wajahmu muncul dalam diam
Ada kerdipan ada sinar
Itukah bintang ataupun rembulan
Terima kasih kuucapkan

Lagu nyanyian Manbai, "Kau Ilhamku" sesuai dikaitkan dengan pengorbanan ibu bapa dan guru-guru terhadap kita. Hal ini dikatakan demikian kerana merekalah yang memberikan ilham dan ilmu kepada kita untuk melangsungkan kehidupan ini. Tanpa mereka, kita akan menjadi seperti layang-layang putus teraju dan anak ayam kehilangan ibu. Untuk menghargai jasa mereka, kita haruslah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa ilmu yang diberikan oleh mereka kepada kita tidaklah sia-sia. Oleh sebab itu, anak-anak muda harus menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa dan guru-guru, sebaliknya janganlah kita bersikap seperti kacang lupakan kulitnya.

(LAGU 6)
Pahit getir hidup dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi, demi kejayaan
Terdidik sejak mula, tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah, tak ke mana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara dijiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Lagu "Standing In The Eyes Of The World" nyanyian Ella ini amat sinonim dengan kesungguhan dan iltizam anak-anak muda dalam perjuangan mereka. Perjuangan dalam bidang pendidikan, sukan, dan kerja perlu diteruskan tanpa semangat yang lemah. Dengan semangat "Malaysia Boleh" ini juga kita dapat membentuk minda rakyat yang berdaya saing agar kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia ini.

(LAGU 7)
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Rangkap pertama lagu Gurindam Jiwa nyanyian Seniman Ulung Negara, Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee ini memberikan pedoman kepada kita agar menghargai jasa dan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa lama-kelamaan melupakan jasa dan pengorbanan mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak perlulah menziarahi ibu bapa dan menjenguk mereka serta memastikan kebajikan mereka terjaga dengan baiknya. Dengan berbuat begitu, ibu bapa tidak akan kecewa dengan sikap bagai ulat lupakan daun yang ada pada anak-anaknya.

(LAGU 8)
Oh, Ibu!
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian

Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat ku layarkan

Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati

Kutatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Lagu "Ibu" nyanyian Mamat, Exist ini menusuk hati dan jiwa kita tentang pengorbanan ibu kepada anak. Pengorbanan ini jelas terpancar apabila seorang anak meratapi pemergian ibunya yang telah pulang ke pangkuan Tuhan. Kesedihan, kesunyian, dan kehilangan kasih sayang yang amat terasa ini perlu kita hadapi apabila kehilangan ibu bapa. Oleh hal yang demikian, anak-anak perlu menghargai jasa dan menyayangi ibu bapa sebelum terlambat. Sebaliknya, fenomena yang berlaku hari ini ialah anak-anak terlalu mementingkan diri sehingga bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sehingga mengabaikan nasihat ibu bapa kepadanya. Mereka juga lupa akan hakikat bahawa didikan ibu bapa sangat penting untuk mereka agar dapat merencanakan kehidupan. Oleh hal yang demikian, anak-anak perlulah menghargai pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak.

(LAGU 9)
Kalau menebang si pohon jati
Papan di Jawa dibelah-belah
Kalaulah hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah

Indahnya lirik lagu "Pantun Budi" nyanyian Allahyarham Tan Sri. S.M Salim yang menjelaskan betapa pentingnya budi dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang tidak tahu berbudi dikiaskan bagai pokok yang tidak berbuah. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia haruslah menghayati lirik lagu ini kerana kekayaan ilmu dan nasihat yang disampaikan kepada kita. Janganlah kita lupa akan budi dan jasa siapa-siapa sahaja yang pernah membantu kita. Sebaliknya, insan yang melupakan budi ini pasti tidak akan bahagia kehidupannya.

(LAGU 10)
Berjuta bintang menyanyi
Ku di antara yang satu
Mungkin cahaya dan impianku
Di sini gemilang
Lalu ku redah onak duri
Dan lautan api
Kemuncaknya ingin ku tawan
Aku jelajahi oh
Kini gemilang itu
Semakin pasti ku genggam
Gemilang suara keyakinan kian dalam

Lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor ini pernah mencetuskan suatu fenomena di negara kita lebih satu dasawarsa yang lalu. Lagu ini memberikan semangat dan meniupkan api perjuangan dalam diri anak-anak muda untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Jika lautan cabaran ini dapat direnangi, anak-anak kita akan sampai di puncak kejayaan. Oleh sebab itu, remaja perlulah........

Jika bermanfaat, kongsikan kepada anak-anak murid.
Terima kasih.

Cikgu Tan CL
www.cikgutancl.blogspot.my


13 March 2020

OLEH SEBAB/ OLEH KERANA / SEBAB / KERANA / LANTARAN

OLEH SEBAB/ OLEH KERANA / SEBAB / KERANA / LANTARAN

Saya tidak hadir oleh kerana demam. ❌
Saya tidak hadir kerana demam. ✅
Saya tidak hadir oleh sebab demam. ✅
Saya tidak hadir sebab demam. ✅
Saya hadir lantaran aktiviti ini penting. ✅

(rujuk gambar) Bahagian kiri dalam gambar ialah halaman 493, Tatabahasa Dewan Edisi Baharu manakala bahagian kanan dalam gambar ialah halaman 515, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Ada perbezaan dan entri baharu dalam kategori "Kata Hubung Pancangan Keterangan Musabab", iaitu "sebab" dimasukkan. Adakah hal ini membuktikan bahawa "sebab" diterima sebagai kata hubung pancangan keterangan musabab? Jawabannya ya.

Dalam analisis saya, kesalahan "oleh kerana" belum pernah diuji dalam kesalahan bahasa dalam soalan 3 (d), Kertas 2, BM SPM setakat ini. Jika diuji, adakah "sebab" boleh diterima? Jika panel penggubal soalan merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, yakni terbitan terkini, ternyata kemunculan "sebab" sebagai entri baharu dalam kata hubung pancangan keterangan musabab dan kemasukan ayat baharu, ayat 115 dalam halaman 515 wajar diterima kerana kemantapannya dalam lisan dan pertuturan harian. Lebih-lebih lagi, masyarakat kia suka menggunakan "sebab" untuk menggantikan "kerana" dalam perbualan. Demikian pandangan saya. Murnikan jika ada khilaf.

 Mengapakah "oleh kerana" tidak gramatis?

"oleh kerana" tidak gramatis kerana "oleh" ialah kata sendi nama manakala "kerana" ialah kata hubung. Kata sendi nama tidak boleh menerima kata hubung, sebaliknya mesti menerima kata nama. Oleh hal yang demikian, "oleh kerana" tidak gramatis berbanding dengan "oleh sebab". Hal ini dikatakan demikian kerana "sebab" ialah kata nama. Jika "oleh sebab" sama maknanya dengan "kerana", maka "oleh kerana" bermaksud "oleh oleh sebab".

Setuju?

7 March 2020

Bengkel Pemartabatan Guru Subjek Sejarah SPM & Pemesraan Konsep KSSM dalam Penilaian Tingkatan 4 & Tingkatan 5 (SPM)

Bengkel Pemartabatan Guru Subjek Sejarah SPM & Pemesraan Konsep KSSM dalam Penilaian Tingkatan 4 & Tingkatan 5 (SPM)
Tarikh: 12 APRIL 2020 (Ahad)
Masa: 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Penceramah: 2 orang yang berpengalaman, berpengetahuan, dan berkewibawaan
Yuran: RM100 (Ilmu + Nota + makanan)
Lokasi: Dewan Kuliah Auditorium GT - LRT - 02
UOW Malaysia KDU University College, Utropolis Glenmarie, Shah Alam, Selangor
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSd_Jqi6cUgeqbVs5mmca6m6ca7i0_Xx11DBYWRh3Eh8wnPfXQ/viewform?usp=pp_url

Sila hantar kepada rakan yang mengajarkan subjek Sejarah KSSM + SPM

Bengkel Pemartabatan Guru Subjek Biologi SPM & Pemesraan Konsep KSSM dalam Penilaian Tingkatan 4 & Tingkatan 5 (SPM)

Bengkel Pemartabatan Guru Subjek Biologi SPM & Pemesraan Konsep KSSM dalam Penilaian Tingkatan 4 & Tingkatan 5 (SPM)
Tarikh: 12 APRIL 2020 (Ahad)
Masa: 8.00 pagi hingga 6.00 petang
Penceramah: 3 orang yang berpengalaman, berpengetahuan, dan berkewibawaan
Yuran: RM100 (Ilmu + Nota + makanan)
Lokasi: Dewan Kuliah Auditorium GT - LRT - 03
UOW Malaysia KDU University College, Utropolis Glenmarie, Shah Alam, Selangor

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSd-brC-TVT2B7p8tjCAHyZClGK7NYBKDLuA7pHmWHbnF1fKMg/viewform?usp=pp_url


Sila sebar luaskan kepada rakan-rakan guru yang mengajarkan subjek BIOLOGI

3 March 2020

PROGRAM MENTOR-GURU-TUTOR

PROGRAM MENTOR-GURU-TUTOR
ALAM BIMBINGAN CIKGU TAN

Kebaikan menyertai program ini:

1. Anda mendapat bimbingan peribadi daripada saya untuk menjadi sekolah guru subjek Bahasa Melayu yang cemerlang. Anda akan dimasukkan ke dalam grup khas yang akan saya tadbir dan selenggara.

2. Anda akan mendapat bahan dan dibimbing untuk menjanakan/menggubal bahan berkualiti berdasarkan DSKP dengan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang efektif agar Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) mencapai objektifnya.

3. Anda akan diberikan latihan/bengkel/ceramah/seminar secara percuma sebanyak sekali setiap dua bulan mengikut masa dan tempat yang saya tetapkan.

4. Anda berpeluang untuk menjadi penulis modul dan meningkatkan keyakinan diri dalam pembinaan modul demi menaikkam imej diri.

5. Saya akan menjawab soalan kemusykilan daripada anda dalam subjek Bahasa Melayu peringkat PT3 dan SPM sehinggalah anda menjadi lebih yakin dan berani untuk menyampaikan ilmu.

6. Jika ada program kerajaan dan swasta yang terbuka kepada luar, andalah yang pertama akan saya undang untuk menyertainya.

Program Seminar/Bengkel Tahun 2020

Tarikh: 31 Mei 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 28 JUN 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 19 JULAI 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 30 OGOS 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 26 SEPT 2020 (SABTU)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 31 OKTOBER 2020 (SABTU)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 15 NOVEMBER 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

Tarikh: 20 DISEMBER 2020 (AHAD)
9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: (akan ditentukan nanti)

BAYARAN: RM1000 (SEKALI BAYAR SAHAJA UNTUK TAHUN 2020)
NOTA: Bayaran sudah termasuk bimbingan dan bengkel sepanjang tahun.

CARA BAYARAN:
ALAM BIMBINGAN CIKGU TAN
10801002719
HONG LEONG BANK

Selepas anda membuat bayaran, anda perlu menghantar informasi:
(1) NAMA DALAM KAD PENGENALAN:
(2) NO. KAD PENGENALAN:
(3) ALAMAT LENGKAP:
(4) INSTITUSI BEKERJA:

Hantar kepada saya melalui whatsapp: +60122099440 (Cikgu Tan CL)
Jika ada soalan, boleh hubungi saya juga.

Terima kasih.

22 February 2020

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU
1. SUMBER RUJUKAN
Semua guru subjek
Bahasa Melayu mestilah memiliki sumber rujukan yang betul, tepat, dan memenuhi keperluan peperiksaan. Antara sumber rujukan yang wajib dimiliki adalah seperti Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Tatabahasa Dewan, Buku Teks, dan Gaya Dewan. Bukan semua buku dalam senarai ini telah anda miliki, bukan? Maka, carilah buku-buku tersebut dengan melayari laman web kedai buku DBP.
2. MINAT
Semua guru haruslah memiliki minat yang mendalam terhadap tatabahasa dan sentiasa tidak jemu mencari maklumat serta menyimpan fail-fail/dokumen/buku berkaitan dengan tatabahasa. Minat terhadap tatabahasa bukanlah dapat ditimbulkan dalam masa sehari dua, tetapi memerlukan usaha yang berpanjangan dan langkah yang berterusan untuk mencari gali ilmu.
3. CAKNA BAHASA
Guru yang memiliki tahap kecaknaan terhadap bahasa, terutamanya ejaan dan kesalahan bahasa iklan, akhbar, poster, majalah, buku, dan lirik lagu serta bahan-bahan lain akan dapat menguasai tatabahasa dengan mudahnya. Bahan-bahan tersebut bolehlah dirakamkan dalam bentuk gambar untuk dijadikan bahan bantuan mengajar (BBM) dalam kelas tatabahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kesilapan umum dan kesilapan yang lazim inilah yang berulang dalam peperiksaan dan kertas-kertas peperiksaan. Jika guru cakna bahasa, murid bijak berbahasa.
4. PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Guru subjek bahasa Melayu mestilah mengikuti mana-mana kursus tatabahasa atau bengkel audit tatabahasa mahupun ceramah tatabahasa yang dianjurkan oleh DBP atau pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Para Munsyi Dewan juga banyak mengadakan kursus sebegini secara persendirian mahupun berkumpulan. Tuntutlah ilmu bahasa dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin bahawa cikgu akan berjaya. Janganlah segan menuntut ilmu bahasa kerana peribahasa Melayu juga sering mengingatkan kita bahawa malas berkayuh perahut tak hanyut, segan bertanya sesat jalan.
5. MODUL TATABAHASA
Guru-guru boleh membina modul tatabahasa berlandaskan DSKP dan soalan berbentuk model peperiksaan. Jika setiap minggu ada satu model bahan, pada setiap tahun cikgu dapat menerbitkan buku tatabahasa yang sesuai dengan tahap murid di sekolah dan murid di dalam kelas. Murid-murid juga boleh dibimbing untuk menggubal soalan tatabahasa, terutamanya soalan kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa. Guru-guru boleh memurnikan bahan tersebut lalu menjadikannya bahan bantuan mengajar murid yang sangat efektif. Bengkel pembinaan item tatabahasa juga penting untuk diadakan di sekolah agar dapat membantu guru memahami konsep, format, standard, dan kemahiran menggubal soalan dengan memasukkan unsur kesahan, unsur pengganggu, dan unsur penentu jawaban dalam soalan.

Setitis perkongsian daripada pengalaman hamba ini diharapkan dapat memberikan pedoman dan maklumat berguna kepada guru-guru, terutamanya ketua panitia subjek Bahasa Melayu. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.