Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

16 January 2011

Novel "Interlok" tidak rendahkan martabat sesiapa

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Majlis Belia Malaysia (MBM) merumuskan bahawa novel Interlok hasil karya sasterawan Abdullah Hussein tidak mempunyai motif untuk menghina atau merendahkan martabat mana-mana individu atau kumpulan kaum dalam negara.

Perbincangan meja bulat MBM dari Perspektif Belia Malaysia mengenai novel berkenaan hari ini turut merumuskan bahawa ia merupakan satu karya yang jujur serta sarat dengan pengajaran untuk menjadikan pembaca lebih kritis dan menerima peristiwa-peristiwa sejarah yang mengiringi proses pembentukan negara.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee semasa menyampaikan resolusi meja bulat itu kepada pemberita di sini, turut merumuskan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penggunaan novel ini perlu diberi perhatian serius agar tidak terjadi sebarang kekeliruan tafsiran sehingga boleh menyinggung mana-mana pihak.

Panel meja bulat itu terdiri daripada pakar sastera Dr. Fatimah Busu, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ambigapathy Pandian dan Presiden Persatuan Penulis Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, dengan Mohamed Maliki bertindak sebagai pengerusinya.

Perbincangan meja bulat itu turut menyelar tindakan individu serta pemimpin politik yang dilihat semakin berani memainkan isu perkauman dan agama demi meraih sokongan serta pengaruh daripada rakyat.

Dr. Ambigapathy ketika ditemui pemberita pula berkata teks Interlok yang diajar dalam subjek Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk pelajar tingkatan lima perlu diajar oleh guru-guru yang berpengalaman serta memahami maksud sebenar konteks teks itu secara keseluruhannya.

"Sebagai seorang ahli akademik, saya berpendapat teks itu sangat bagus, tetapi bagaimana cara ia diintrepretasikan di dalam kelas adalah penting supaya maksud sebenar sampai dan ia tidak disalah erti oleh para pelajar,” katanya. - Bernama

No comments: