Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

8 June 2008

Penggunaan Teknik Tranformasi untuk Menyelesaikan Masalah Tatabahasa


Sejak akhir-akhir ini, timbul kekeliruan penggunaan ungkapan “salah satu” yang telah digunakan sekian lama. Ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan ungkapan tersebut tidak tepat kerana wujud perkataan "salah" dalam rangkai kata tersebut. Katanya, rangkai kata yang tepat ialah "Satu daripada". Untuk menyelesaikan masalah ini, pengguna bahasa hendaklah menggunakan teknik transformasi. Teknik tranformasi ialah satu teknik yang menukarkan bentuk tatabahasa kepada bentuk yang lain, tetapi masih sama dari segi maksud dan tujuan ayat itu diungkapkan.
Terdapat 5 jenis transformasi yang dapat digunakan oleh pengguna bahasa untuk menyelesaikan masalah tatabahasa ini. Teknik transformasi tersebut ialah :

Tranformasi kata
Tranformasi struktur
Tranformasi makna
Transformasi pengguguran
Tranformasi jenis ayat

Untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan tadi, kita hendaklah menggunakan teknik tranformasi makna. Dengan menggunakan teknik tranformasi makna, kita akan mengetahui bahawa aspek sesuatu bahasa itu betul atau salah. Dalam artikel ini, aspek kesalahan bahasa yang ditumpukan ialah aspek kelewahan bahasa. Untuk itu, marilah kita merujuki Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 1372. Menurut Kamus Dewan, salah satu (sebuah, seorang) bermaksud satu antara dua atau banyak (orang, buah, dan lain-lain).
___________________________________________________________
Lihat penggunaan rangkai kata tersebut dalam ayat yang di bawah ini:

Salah satu punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
Salah seorang murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
Salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.
Dengan berdasarkan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Dewan tersebut, ayat 1 hingga 3 di atas, dapat juga ditulis seperti yang berikut:
1a. Satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2a. Seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3a. Sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.
Seterusnya, ayat 1 hingga 3 di atas dianggap lewah jika ditulis seperti yang di bawah ini:
1b. *Salah satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2b. *Salah seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3b. *Salah sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.

Kelewahan bahasa ayat 1a. hingga 1c di atas dapat dilihat apabila transformasi makna dilakukan pada ungkapan salah satu seperti yang di bawah ini:

1c. *Satu daripada daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2c. *Seorang daripada daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3c. *Sebuah daripada daripada kereta yang terbabit dalam kemangan itu telah terbakar.
___________________________________________________________
Teknik tranformasi juga dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah kelewahan bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat di bawah ini:

Ahli saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.
Ayat 4 di atas tidak tepat kerana rangkai kata ahli saintis ada unsur kelewahan bahasa. Dalam bahasa Melayu, saintis bermaksud ahli sains. Jika makna rangkai kata tersebut ditransformasikan, kita dapat melihat kelewahan bahasa dalam rangkai kata tersebut dengan jelas seperti yang di bawah ini.

4a. Ahli ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.

Ayat 4b. di atas sepatutnya seperti yang berikut:
4b. Ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkanpenyakit selesema burung, atau;
4c. Saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.
___________________________________________________________
Lihat ayat 5 di bawah ini pula.
*Murid sekolah itu saling tolak-menolak ketika menaiki bas.
Ayat 5a di atas juga mempunyai unsur kelewahan bahasa. Dalam ayat tersebut, kata ganda tolak-menolak membawa maksud saling. Oleh itu, perkataan yang tepat ialah saling menolak atau tolak-menolak. Lihat proses transformasinya di bawah ini:
5a. *Murid sekolah itu saling saling-menolak ketika menaiki bas.
Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:
5b. Murid sekolah itu saling menolak ketika menaiki bas.
5c. Murid sekolah itu tolak-menolak ketika menaiki bas.
___________________________________________________________
Penggunaan rangkai kata “pada masa kini” juga memperlihatkan unsur kelewahan bahasa. Lihat penggunaan ungkapan tersebut dalam ayat yang di bawah ini:

Pada masa kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

Dalam bahasa Melayu, kini bermaksud pada masa ini atau sekarang. Apabila makna perkataan kini ditranformasikan kepada pada masa ini, kita dapat melihat unsur kelewahan bahasa dalam rangka kata tersebut. Lihat ayat 6a di bawah ini:

6a. Pada masa pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

6b. Sekarang sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:
6c. Pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
6d. Sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
6e. Kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
Seterusnya, lihat penggunaan rangkai kata sejak kebelakangan ini dalam ayat 7 di bawah ini;

*Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Menurut Dewan Edisi Keempat, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini bermaksud sejak akhir-akhir. Oleh hal yang demikian ini, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini dapat bertukar ganti dengan rangkai kata sejak akhir-akhir ini. Jadi, penggunaan rangkai kata *sejak kebelakangan ini atau *sejak belakangan ini dianggap lewah. Lihat rangkai kata tersebut di bawah ini apabila ditransformasikan mengikut maksud kamus:

7a. *Sejak sejak akhir-akhir ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Ayat yang betul adalah seperti yang di bawah ini:
7b. Kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

7c. Belakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
___________________________________________________________
Bagaimanakah pula ayat yang di bawah ini? Adakah frasa adjektif "terkenal sekali" dalam ayat 8 di bawah ini betul?

8. Penyanyi yang terkenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.

Frasa adjektif terkenal sekali dalam ayat 8 di atas adalah betul. Hal ini demikian kerana frasa tersebut tidak menunjukkan kelewahan bahasa. Awalan ter- dalam perkataan terkenal tidak membawa maksud paling. Jika kita membuat transformasi makna ter- sebagai paling seperti ayat 8a di bawah ini, ayat tersebut kelihatan janggal.

8a. Penyanyi yang paling kenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.
___________________________________________________________
Lihat ayat 9 yang di bawah ini pula.

9. *Kerajaan telah menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.

Dalam bahasa Melayu, infrastruktur bermaksud kemudahan atau perkhidmatan asas. Oleh itu, jika kita menulis rangkai kata kemudahan infrastruktur, kita telah menggunakan bahasa yang lewah. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut mestilah menggunakan rangkai kata “menyediakan infrastruktur” seperti yang di bawah ini:

9a. Kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.
___________________________________________________________
Ayat 10 di bawah ini pula kelihatan salah. Sebenarnya, ayat tersebut gramatis. Hal ini demikian kerana penanda "–kan" dalam ayat tersebut ialah benefaktif, iaitu membuat pekerjaan untuk orang lain.

10. Ibu sedang menjahitkan adik pakaian seragam sekolah.

Ayat 10 tersebut dapat dibuktikan betul dengan cara membuat transformasi makna seperti ayat 10a. di bawah ini:

10a. Ibu sedang menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.

Dengan berdasarkan tranformasi di atas, frasa kerja transitif menjahitkan adik pakaian seragam sekolah bermaksud menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.

Kesimpulannya, penggunaan teknik transformasi dapat meningkatkan pemahaman murid tentang aspek kelewahan bahasa dalam bahasa Melayu dan juga kekeliruan yang timbul dalam bahasa Melayu. Cara ini didapati lebih berkesan kerana pengguna bahasa, khususnya murid dapat melihat sebab-sebab kelewahan bahasa tersebut dengan jelas . Oleh hal yang demikian, guru mata pelajaran Bahasa Melayu digalakkan untuk menggunakan teknik ini dalam pengajaran, khususnya untuk menerangkan aspek kelewahan bahasa.
DARIPADA MUNSYI DEWAN,
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

No comments: