Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

24 October 2012

PERSEDIAAN MENGHADAPI SOALAN TATABAHASA SPM - SAMBUNGKAN AYAT

Sesiapa yang ingin mendapatkan jawapan untuk latihan ini, e-mel permintaan anda kepada cikgutancl@hotmail.com. Sila nyatakan perkara berikut:
1. Nama
2. Tempat tinggal
3. Pelajar atau guru atau tutor atau ibu bapa
4. Jawapan permintaan untuk catatan bertarikh _______

Terima kasih atas sokongan anda.

Cikgu Tan
LATIHAN 1
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Banjir kilat yang melanda bandar-bandar besar banyak memusnahkan harta benda. Selain itu, terdapat juga banyak nyawa yang terkorban. Banjir ini menyusahkan rakyat. Banjir kilat ini berpunca daripada longkang yang tersumbat. Banyak sampah sarap yang dibuang ke dalam tanah. Masalah dapat diatasi sekiranya masyarakat berubah sikap dengan tidak membuang sampah ke merata-rata tempat. Sistem perparitan dibaiki dan diuruskan dengan lebih sistematik.
[ 6 markah ]

LATIHAN 2
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Buah manggis terkenal sedap. Buah manggis enak dimakan mentah. Buah manggis mempunyai kulit tebal. Kulitnya tidak boleh dimakan. Buah manggis mempunyai isi yang putih dan manis. Kulit manggis mempunyai pewarna atau getah yang sukar hilang jika terkena baju. Buah manggis kaya dengan Xantho. Xantho merupakan sejenis antioksida. Buah ini dikatakan boleh membantu memulihkan sistem imunisasi badan.
[ 6 markah ]
LATIHAN 3
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Bunga melur banyak digunakan dalam perubatan. Bagi masyarakat Melayu antara kegunaannya adalah untuk mengubati sakit mata (merah mata). Bunga melur juga dapat mengubati bengkak akibat sengatan lebah. Jika mendapat sakit mata ambil segenggam daunnya. Kemudian ditumbuk halus dan ditampal pada dahi. Setelah kering, tampal yang lain pula. Lakukan hingga berasa lega (sembuh). Bagi mengubati bengkak akibat gigitan lebah lupa ambil segenggam bunganya. Kemudian diramas hingga hancur dan ditampal pada bahagian yang terkena sengatan itu.
[ 6 markah ]

LATIHAN 4
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Beberapa jenis makanan segera boleh menyebabkan kanser. Makanan tersebut mempunyai terlalu sedikit khasiat untuk badan. Makanan segera boleh menambahkan berat badan sehingga menjurus kepada masalah kegemukan. Pelbagai penyakit berpunca daripada masalah kegemukan. Penyakit-penyakit seperti paru-paru, payu dara, dan pangkal rahim dibuktikan disebabkan oleh masalah kegemukan berlebihan. Penyakit-penyakit ini sangat berbahaya. Masyarakat perlu berhati-hati memilih makanan dan mengamalkan pemakanan seimbang. Masyarakat yang tidak peka dengan menu yang diambil menyebabkan terdedah kepada masalah kegemukan . Mereka akan mendapat penyakit-penyakit yang berkaitan kegemukan.
[ 6 markah ]

LATIHAN 5
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan buangan. Tujuannya adalah untuk mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan sampah. Selain itu, kaedah ini dapat mengurangkan longgokan sampah juga. Kitar semula sangat penting. Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan sumber semula jadi. Di samping itu, kitar semula dapat menjamin kebersihan alam sekitar. Pelaksanaan kaedah ini tidak sukar. Untuk menjayakannya, kerjasama semua pihak diperlukan. Kesungguhan semua pihak diperlukan juga. Semua pihak inilah yang memahami pentingnya kebersihan dalam kehidupan.
[ 6 markah ]
LATIHAN 6
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Isu bas sekolah timbul lagi. Isu ini berjaya diselesaikan dengan baik. Pengusaha bas sekolah bersetuju dengan kadar baharu tambang bas sekolah. Mereka tidak bersetuju dengan syarat usia bas. Syarat ini akan membebankan tanggungan kos para pengusaha. Tambang baharu ditetapkan oleh kerajaan. Tambang baharu itu melegakan ibu bapa. Tambang baharu menjaga kepentingan pengusaha bas sekolah.
[ 6 markah ]

LATIHAN 7
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Wabak denggi masih lagi menular dan mengancam nyawa sesiapa sahaja. Begitu juga dengan wabak chikungunya yang masih merebak. Banyak kes kematian yang telah dilaporkan oleh media massa. Sikap kita yang alpa dengan kebersihan sekitar tempat tinggal menjadi penyebab utama. Tin-tin kosong dan tayar-tayar buruk menyebabkan air bertakung. Tempat-tempat ini akan menjadi sarang pembiakan nyamuk-nyamuk tersebut. Langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan segera. Orang ramai perlu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal. Pesakit-pesakit hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera. Pihak berwajib pula perlu membuat pemantauan. Tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa yang membiarkan kawasan sekitar rumahnya menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes ini. [ 6 markah ]

LATIHAN 8
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Kemasukan pelajar-pelajar asing kian banyak. Kemasukan mereka mendatangkan keuntungan kepada negara. Kedatangan mereka memesatkan industri pendidikan. Mereka menuntut ilmu di sini. Mereka menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Di samping menuntut ilmu mereka membelanjakan wang yang banyak di situ. Mereka membelanjakan wang untuk membeli buku. Mereka membelanjakan wang untuk membayar yuran pengajian. Mereka membelanjakan wang untuk perkhidmatan yang digunakan.               [ 6 markah ]

LATIHAN 9
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Banyak bangunan pencakar langit telah dibina di ibu kota. Kos untuk membina bangunan tersebut amat tinggi. Kerajaan tetap membina bangunan tersebut. Banyak keuntungan yang bakal dinikmati oleh masyarakat kita. Ramai pelancong akan datang untuk menyaksikan kehebatan negara kita.                                                                              [ 6 markah ]

LATIHAN 10
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pembina bangsa terletak di atas bahu seorang pendidik. Hakikat ini telah bermula sejak sekian lama. Sambutan Hari Guru diadakan pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Sambutan diadakan di seluruh negara sebagai menghormati jasa para guru. Guru mendidik anak bangsa ke arah pembangunan jati diri cemerlang. Bersesuaian dengan matlamat untuk menjadi negara yang maju dan aman. Rahsia untuk menjadi guru cemerlang. Keseronokan dan minat yang mendalam terhadap profesion yang diceburi.                                                                                                                         [ 6 markah ]

LATIHAN 11
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Rasuah ialah penyakit masyarakat. Gejala rasuah berlaku di negara kita. Gejala itu agak membimbangkan. Masalah ini perlu dibanteras pada semua peringkat. Pemberi dan penerima rasuah perlu dikenakan hukuman berat. Penghapusan rasuah adalah perlu. Rasuah mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Rasuah dapat melumpuhkan ekonomi negara juga. Penghapusan rasuah dapat menjamin keharmonian masyarakat dan negara. Penghapusan rasuah dapat menjamin ketenteraman masyarakat dan negara.          [ 6 markah ]

LATIHAN 12
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supayaenjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Kementerian Pelajaran berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. Langkah ini merupakan langkah yang bijak. Usaha ini memang tepat pada masanya. Dengan ini, institusi pendidikan negara dapat diperkukuh. Agenda besar ini sudah pasti meletakkan martabat bangsa di tempat yang sewajarnya. Hasrat ini perlu dilaksanakan bagi mengisi Wawasan 2020 yang bakal menjelang tiba. Kejayaannya ditentukan oleh sokongan padu masyarakat. Kepercayaan masyarakat yang tidak berbelah bahagi diperlukan untuk menjayakannya.                                                                                 [ 6 markah ]

LATIHAN 13
Sambungkan ayat-ayat di bawah semula supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud asalnya.

Bank Simpanan Nasional telah melancarkan skim tabungan. Bank Simpanan Nasional melancarkan skim pinjaman. Skim ini dapat membantu orang miskin memerlukan perniagaan. Skim ini dilancarkan oleh Perdana Menteri. Majlis ini turut dihadiri para menteri. Mereka amat menyokong usaha murni ini. Sumbangan dari bank ini dapat memacu ekonomi negara. Sumbangan tersebut dapat mengurangkan kadar kemiskinan. Sumbangan ini dapat memajukan negara.                                                              [ 6 markah ]

18 October 2012

KARANGAN - PERANAN IBU BAPA (PENGGUNAAN KATA-KATA BOMBASTIK YANG TIDAK DIGALAKKAN)



NASIHAT CIKGU TAN
(a) Jangan guna kata-kata bombastik kerana dilarang dalam SPM oleh lembaga peperiksaan
(b) Anda haruslah memperbanyak penggunaan peribahasa
(c) Anda tidak wajar menyalahgunakan penanda wacana
(d) Anda juga tidak digalakkan menggunakan bahasa Arab, bahasa Sanskrit, dan bahasa asing yang terlalu bombastik sehingga menyukarkan penandaan karangan anda.
(e) Gunakan kata-kata yang mudah difahami, ringkas dan padat isinya. Anda bukan menyertai pertandingan menulis ayat BOMBASTIK, anda menduduki peperiksaan penulisan bahasa Melayu SPM.
(f) kamu telah menulis perkataan BOMBASTIK yang salah, dan yang tidak boleh digunakan.

15 October 2012

Kesalahan ejaan dan imbuhan (Kertas Percubaan dari seluruh negara yang menyumbangkannya dalam blog)


Latihan 1 (SPM PERCUBAAN 2012- SELANGOR)

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Penggunaan email pada hari ini banyak memberi kemudahan untuk berkumunikasi dengan cepat. Sesuatu mesej dapat disampaikan dalam berapa saat sahaja, walaupun pada peringkat antara bangsa. Mesej juga dapat dihantar kepada lebih daripada seorang penerima dan diguna secara meluas dewasa ini.

[6 markah]

Latihan 2 (SPM PERCUBAAN 2012- WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN)
(i) Ibu menghadiahkan ayah kupiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
(ii) Pokok kakabu yang tumbuh berhampiran dengan rumah saya ditebang oleh ayah kerana ditakutkan akan menimpa rumah.
(iii) Mesin pencetak dijital ini sangat berkualiti kerana tidak pernah rosak selama tiga tahun saya gunakannya.

[6 markah]
Latihan 3 (SPM PERCUBAAN 2012- SARAWAK)
(i) Para pelajar yang ponteng sekolah suka berhabis masa di pusat snooker dan kafe siber.
(ii) Penetapan gaji minima tidak akan memuflis negara sebaliknya dilihat sebagai pemangkin kepada golongan pekerja untuk meningkatkan produktiviti.
(iii) Kita perlu mengembeleng tenaga untuk memajukan negara dalam semua aspek penghidupan dengan mengekalkan budaya tempatan yang murni.

[6 markah]

Latihan 4 (SPM PERCUBAAN 2012- PULAU PINANG)
(i) Encik Othman telah membawakan keluarganya untuk menikmati keenakan mi goreng dan murtabak ayam di kedai itu.
(ii) Yang Dipertuan Agong telah mencemar duli untuk menyempurnakan majlis perletakan batu asas masjid baharu di kampung itu.
(iii) Perdana Menteri telah menitipkan ucapan balasungkawa kepada keluarga mangsa tanah runtuh yang hilang ahli keluarga mereka.
[6 markah]

Latihan 5 (SPM PERCUBAAN 2012- PAHANG)
Dalam zaman pasca modenisasi negara terpaksa menghadapi dengan penyakit merbahaya yang mampu meranapkan peradaban bangsa, yakni pembuangan bayi. Perbuatan ini berupa tanda kepincangan manteliti gulongan muda.
[6 markah]

Latihan 6 (SPM PERCUBAAN 2012- NEGERI SEMBILAN)
(i) Kemajuan industri pelancongan memerlukan tenaga professional dan buruh yang banyak sama ada yang terlibat dengan kerja binaan mahupun pengurusan.

(ii) Kerja-kerja mendalami Sungai Muda telah dijalankan agar dapat membantu mengatasi masaalah banjir kilat di bandar Seri Setia.

(iii) Kerajaan Malaysia telah menghadkan kemasukan buruh asing demi kesejahteraan rakyat dinegara ini.

[6 markah]

Latihan 7 (SPM PERCUBAAN 2012- MAKTAB RENDAH SAINS MARA)
(i) Kehilangan anak sulong Puan Rahimah sejak seminggu lalu dirisaukan ahli keluarga.

(ii) Pekerja salun itu telah mencucikan rambut adik yang kerinting sebelum mewarnakannya.

(iii) Kerim muka yang digunakan oleh kakak mudah mendapatkan di pasar raya seluruh negara.

[6 markah]

Latihan 8 (SPM PERCUBAAN 2012- JOHOR)
(i) Meneroka angkasa lepas merupakan bidang baharu yang dicebori oleh generasi muda agar kemajuan negara kita setanding dengan negara-negara lain.

(ii) Pertandingan merwarna yang disertai oleh pelajar pra sekolah itu dapat meningkatkan kemahiran seni lukis mereka.

(iii) Remaja hendaklah mengelak diri daripada melepak di komplek beli-belah kerana perbuatan sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah.

[6 markah]

Latihan 9 (SPM PERCUBAAN 2012- KELANTAN)
(i) Pada setiap tahun, kerajaan telah memperuntukan jutaan ringgit untuk membiayai pusat-pusat serenti dan menjalankan kempen anti-dadah.

(ii) Peraduan menulis essei sewajarnya diperbanyak demi meningkat kemahiran menulis bahan ilmiah.

(iii) Rakyat Malaysia turut berbangga dengan penglibatan dan pencapaian atlit kurang upaya dalam beberapa acara yang bertanding pada peringkat antarabangsa.

[6 markah]

Latihan 10 (SPM PERCUBAAN 2012- KEDAH)
(i) Alangkah terkejutnya apabila mengetahui bahawa suara puntianak menggilai itu bukanlah suara sebenar tetapi rakaman daripada telefon bimbit milik rakanku.

(ii) Langkah kerajaan menurunkan ta’arif elektrik bagi penggunaan domestik dan komersial akan mengurangkan kos operasi pelbagai sektor industri bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara.

(iii) Tanah runtoh berlaku akibat pembangunan tanpa mengambil kira atau memahami peranan hutan dan bukit-bukau sebagai kawasan tadah hujan yang penting.

[6 markah]

Latihan 11 (SPM PERCUBAAN 2012- SBP)
Setelah jalan raya dinaiktaraf menjadi lebuh raya, pengguna dapat menikmati berbagai kemudahan sepanjang perjalanan. Bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga Johor Bahru, pengguna dapat mempergunakan kemudahan yang disediakan di kawasan rehat dan rawat. Di kawasan rehat dan rawat ini, pengguna dapat beristirehat bagi menghilangkan rasa penat-lelah di samping menjamu selera di gerai makan yang mampu memenuhkan cita rasa semua kaum.

[6 markah]

Latihan 12 (SPM PERCUBAAN 2012- YIK)
(i) Pilihanraya kecil akan diadakan di kawasan parlimen Kulim dalam tempoh 60 hari kerana wakil rakyatnya telah mengisytiharkan muflis oleh mahkamah.

(ii) Perjanjian itu terpaksa dibatalkan oleh pihak suruhanjaya kerana dua orang saksi enggan diturunkan tanda tangan dalam borang yang disediakan.

(iii) Spesis tumbuh-tumbuhan semula jadi di hutan Sarawak perlu melestarikan untuk mengelakkan daripada berlakunya kepupusan.

[6 markah]



Latihan 13 (SPM PERCUBAAN 2012- TIMES)
Satu kajian sainstifik telah dijalankan terhadap pegaga dan terdapat bahawa pegaga berkesan dalam merangsang pembetukan kolojen, iaitu sejenis serat yang memainkan peranan penting di dalam tisu menyambung kulit. Kajian juga menunjukan bahawa pegaga banyak terkandung vitamin dan galian, khususnya Vitamin C dan Vitamin E. Satu cara mudah untuk memanfaatkannya adalah dengan cara membuat jus.

[6 markah]

Latihan 14 (SPM PERCUBAAN 2012- TERENGGANU)
(i) Kawasan yang disyaki menjadi tempat bersembunyi kuncu-kuncu pemberontak itu sedang diawasi oleh pihak tentera.

(ii) Ketua Panitia Sejarah telah mengarahkan semua guru mata pelajaran mengemaskini fail Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di bawah seliakan masing-masing.

(iii) Setiap pelajar yang mengikuti seminar itu diminta mengecam struktur ayat yang menyalahkan hukum tata bahasa.

[6 markah]

Latihan 15 (SPM PERCUBAAN 2012- PERLIS)
(i) Pihak pengurusan pasar raya itu memperkenal tiket pra-bayar untuk kemudahan pengunjung meletakkan kenderaan di premis tersebut.

(ii) Dia tetap memegang pada adat dan budaya timur walaupun berada di luar negara lebih daripada dua puluh tahun.

(iii) Hubungan antara bangsa yang dijalin erat membolehkan negara dikenali seantero dunia.

[6 markah]

Latihan 16 (SPM PERCUBAAN 2012- PERAK)
Kebanyakan ahli sukan negara kita belum dapat bersaing pada peringkat antara bangsa walaupun telah menjalankan latihan intensif. Contohnya, sukan rugbi tidak pernah dirangkul sebarang pingat dalam pertandingan bertaraf dunia. Masalah ini mungkin berlaku disebabkan ketiadaan juru latih berwibawa yang boleh memacu bidang sukan negara pada tahap yang boleh membanggakan.

[6 markah]

Latihan 17 (SPM PERCUBAAN 2012- MELAKA)
(i) Guru-guru hendaklah memperkukuhkan ilmu saikologi bagi menghadapi murid pada zaman teknologi maklumat.

(ii) Puan Hajjah Rogayah telah menghadiahkan anak tunggalnya sebuah rumah sempena ulang tahun kelahiran anaknya itu.

(iii) Gejala hedonisme telah mempengaruhi remaja kita dengan pelbagai pembuatan yang bersifat anti-sosial.

[6 markah]

Latihan 18 (SPM PERCUBAAN 2012- SABAH)
(i) Usaha untuk menunjolkan bakat muda dalam seni pertahanan diri perlulah mengambil segera.

(ii) Semua penduduk kampung itu telah kerjasama untuk menjayakan majelis ulang tahun yang kelima puluh.

(iii) Pihak kerajaan telah meluluskan perbelanjaan untuk progeram mengindahkan pantai yang sudah lama terbiar itu.

[6 markah]





30 August 2012

FORMAT BAHARU SPM – BINA KARANGAN BERDASARKAN PERIBAHASA YANG DIBERIKAN.


LATIHAN 1
(SOALAN SEBENAR KERTAS PERCUBAAN BM SBP -2012)
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          bagai lebah menghimpunkan madu
          belakang parang kalau diasah lagikan tajam
          genggam bara api biar sampai jadi arang
          di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
[6 markah]


LATIHAN 2
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          panjang tangan
          lidah bercabang
          sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga
          sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

[6 markah]
LATIHAN 3
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          usaha tangga kejayaan
          sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit
          hati hendak semua jadi
          berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

[6 markah]

LATIHAN 4
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          guru bagai lilin yang membakar diri demi menerangi hidup muridnya
          berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
          guru kencing berdiri, murid kencing berlari
          berputus asa
[6 markah]

LATIHAN 5
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          beraja di mata, bersultan di hati
          pandu cermat jiwa selamat
          biar lambat asalkan selamat
          sediakan payung sebelum hujan
[6 markah]

LATIHAN 6
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          yang baik dijadikan kawan, yang buruk dijadikan lawan
          hidung tinggi
          bagai mencurahkan air ke daun keladi
          menconteng arang di muka
[6 markah]

LATIHAN 7
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          bagai aur dengan tebing
          anak buah
          pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
          bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
[6 markah]

LATIHAN 8
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak berombak
          ikut hati mati, ikut rasa binasa
          manusia ada asa, Tuhan ada kuasa
          tiada kekusutan yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan
[6 markah]

LATIHAN 9
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

          Anak emas
          bagai menatang minyak yang penuh
          lebih banyak makan garam
          nasi sudah menjadi bubur
[6 markah]
LATIHAN 10
(e) Bina satu perenggan yang mengandungi tiga daripada peribahasa yang disenaraikan.

           membaca itu jambatan ilmu
           katak di bawah tempurung
           terang hati
           ilmu pelita hidup
[6 markah]

25 July 2012

Kesalahan Tatabahasa Umum

Kesalahan tatabahasa yang dilakukan oleh pelajar merupakan salah satu faktor kegagalan mereka mendapatkan markah yang baik dalam penulisan dan pembinaan ayat. Hal ini berlaku demikian kerana kelemahan guru yang mengajar tatabahasa yang salah sehingga murid mengikut kesalahan mereka. Fenomena ini dikatakan seperti guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Walau bagaimanapun, saya berharap kesalahan dalam ayat-ayat di bawah dapat anda kesan dan betulkan kesalahan tersebut dengan mengamalkan prinsip "betulkan yang salah, biasakan yang betul".

Pengunjung blog bolehlah menghantar e-mel kepada saya (cikgutancl@hotmail.com) untuk mendapatkan jawapannya. Selamat mencuba!

Betulkan kesalahan di bawah dengan menulis semula ayat yang betul selepas membetulkan kesalahannya.


1. Semua pekerja-pekerja kilang itu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
2. Encik Shahnon tidak dapat menghadiri mesyuarat itu kerana kepala sakit.
3. Sesetengah pelajar menyiapkan kerja-kerja rumah mereka di perpustakaan.
4. Seluruh penduduk-penduduk di negara ini digalakkan membeli barangan buatan Malaysia.
5. Bagi menambah pendapatan, Kak Alicia menjual goreng pisang pada waktu petang.
6. Sri Muda Restoran menghidangkan bubur kacang sebagai pencuci mulut.
7. Tiap-tiap pelajar-pelajar hendaklah menjaga kebersihan kelas masing-masing.
8. Beberapa keping-keping cakera padat mata pelajaran Bahasa Malaysia ditunjukkan oleh Murad kepada saya petang semalam.
9. Abang Nicole membeli sebuah digital kamera model terbaharu di kedai elektrik itu.
10. Lima belas orang pemuda di kampung saya telah dipilih untuk menternak telur ayam dan ayam daging.
11. Beberapa buah kereta-kereta di Kota Kemuning telah dirosakkan dan peralatan di dalamnya dicuri.
12. Setengah-tengah pelajar suka menghabiskan masa mereka di perpustakaan awam.
13. Encik Jay Juin bangga melihat keempat-empat orang anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
14. Segak-segak belaka peragawan-peragawan itu.
15. Beberapa buah mini estet akan dibuka di Kemuning Rimbayu.
16. Kelima anaknya menjadi guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua.
17. Dua buah kereta-kereta yang terlibat dalam kemalangan itu telah ditarik oleh Majlis Perbandaran Klang.
18. Persembahan semasa perasmian Sukan Malaysia di Kuantan itu semalam paling hebat sekali hingga mempesonakan penonton.
19. Rumah banglo di tepi Tasik Anggerik Vanilla itulah yang tercantik sekali di kawasan Kota Kemuning.
20. Yi Jue yang takut akan anjing itu lari dengan sungguh pantas sekali tanpa menoleh ke belakang.
21. Kehidupan Mak Yin Jue yang dahulunya susah, kini sudah senang-lenang amat setelah anaknya berjawatan tinggi.
22. Pameran buku di PWTC adalah yang paling terbesar sekali.
23. Orang yang tertinggi sekali di dunia itu telah diumumkan oleh Guiness World of Record.
24. Jeremy Cheong amat girang sekali setelah dumumkan sebagai pemenang pertandingan memancing.
25. Ketua kumpulan ekspedisi itu memandu anggota-anggotanya meredah hutan dengan berpandukan pada peta.
26. Penduduk kampung tidak lalu jalan utama untuk ke pekan kerana jalan itu dinaiki air.
27. Cikgu Kavinash cuba menasihatkan pelajar di kelas itu agar belajar bersungguh-sungguh kerana UPSR semakin hampir.
28. Kami sekeluarga terpegun dengan pemandangan indah di Pantai Port Dickson.
29. Oleh sebab terlalu sibuk, Puan Samantha lupa janjinya dengan jiran sebelah rumah.
30. Semua pelajar di kelas itu berkerjasama untuk menyiapkan poster antidadah sempena Kempen Antidadah.
31. Permandangan di perkampungan itu indah dan permai pada waktu petang.
32. Pihak penganjur itu memberikan saya peluang kedua sebelum disingkirkan daripada pertandingan.
33. Tok Bomoh menceritakan tentang pengalamannya sepanjang 30 tahun mengubati penyakit misteri.
34. Kai Ping mengirimkan ibunya sekeping poskad dari kota London.
35. Kerajaan telah menurunkan harga petrol ROM97 daripada RM2.70 ke RM2.60.
36. Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk merasmikan pembukaan Pusat Beli-belah Pavillion Kuala Lumpur.
37. Ayah akan memperbarui lesen memandunya secepat mungkin supaya tidak terlupa.
38. “Tolong jangan buat bising,” kata Puan Puvani kepada murid-murid 3 Anggerik.
39. Pelajar sekolah digalakkan membaca pelbagai-bagai bahan bacaan yang berguna meningkatkan pengetahuan mereka.
40. Beberapa buah rumah di kawasan yang rendah itu telah ditenggelami air bila hujan lebat turun melebihi 5 jam.
41. Koleksi lagu-lagu tradisional akan diperdengarkan kepada peminat lagu klasik melalui saluran Radio Asli milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).
42. Suatu pergerakan besar-besaran telah diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2012 bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.
43. Beberapa ikatan buah langsat telah dibeli oleh ayah daripada kawannya yang memiliki gerai buah-buahan di hujung jalan utama itu.
44. Paras air di Empangan Kuala Langat semakin surut akibat kemarau yang menimpa kawasan Lembah Klang sejak akhir-akhir ini.
45. Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Mahadi telah menempah sejarah apabila muncul sebagai juara pertandingan berbalas pantun.
46. Chang Jie Yi telah dihadiahkan sejambak bunga oleh kekasihnya yang baru pulang dari luar negara untuk meraikan hari jadinya.
47. Berapa harga sebatang pen mata bola yang berdakwat merah dan sebatang pen berdakwat yang berwarna hitam?
48. Para pemimpin sedang berusaha untuk mengatasi masalah kesihatan yang rakyat Pakistan hadapi sejak beberapa dekad yang lalu.
49. Kuih-muih yang dijual oleh emak Zainab itu sedap-sedap belaka kerana keturunannya memang penjaja kuih yang popular.
50. Di suatu masa dahulu, manusia suka tinggal di sepanjang sungai kerana sungai membekalkan air dan ikan kepada manusia.
51. Sebagai akibat banjir besar yang melanda kita baru-baru ini, beratus haiwan ternakan mati sehingga merugikan penternak.
52. Pelajar yang memperoleh markah yang paling tinggi sekali dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ialah Lee Qao Shaun.
53. Cikgu Azizah mengarahkan ketua tingkatan supaya mengumpulkan buku latihan-buku latihan dan meletakkannya di atas mehja guru.
54. Setengah peniaga suka mengambil kesempatan menaikkan harga barangan ekoran kenaikan harga petrol yang diumumkan oleh kerajaan.
55. Kebanyakan peserta-peserta larian jarak jauh itu dijangkakan mampu membuat catatan masa yang baik kerana latihan intensif telah dijalankan.
56. Low Yu Jing menghadiahi Evone sebuah cincin emas yang bertahtakan berlian lalu melamarnya di hadapan ibu bapa kekasihnya itu.
57. Kereta mewah yang diletakkan di hadapan Pusat Tuisyen Alam Gemilang sejak pagi semalam itu milik siapakah?

SELAMAT MENCUBA!
CIKGU TAN

22 July 2012

SOALAN RAMALAN 1 - SPM 2012 - KESALAHAN EJAAN & IMBUHAN

Sila klik pada pautan di bawah untuk mendapatkan soalan percubaan (Kesalahan Ejaan & Imbuhan). Untuk mendapatkan jawapannya, e-mel kepada saya melalui cikgutancl@hotmail.com
Saya berharap agar anda dapat memanfaatkan latihan-latihan yang saya sediakan.
http://www.4shared.com/office/GBc0dV3y/SOALAN_RAMALAN_SPM_2012_-_KESA.html

14 June 2012

SELAMAT HARI BAPA - CERPEN PELANGI PAPA


PELANGI PAPA

“Kelas, bapa saya baru meninggal dunia,” kataku dengan penuh sayu kepada murid kelas tuisyen tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan awam itu dalam masa 50 hari lagi. Pada saat itu, seorang murid yang mendekatiku lalu menenangkan perasaanku. Pada ketika itu, hatiku bagai dirasuk pesakit mental yang hilang kompas hidup.

“Apakah yang harus saya lakukan?” getus hati kecilku.

“Adakah harus kuteruskan pelajaran yang hanya tinggal satu kelas lagi pukul 8:30 hingga 10:00 malam?” tanya lagi hatiku dengan bertalu-talu ke kotak fikiranku. Saat-saat itu tidak akan aku lupakan seumur hidup. 29 September 2010 sudah mencatatkan satu memori hitam dalam air mataku yang masih kutahan daripada mengalir.

 Mujur, aku mempunyai seorang majikan yang benar-benar memahami dan menerima keadaan aku yang nanar dan hilang semangat mengajar. Aku hanya mampu bersyukur kerana menjadi pendidik di pusat tuisyen yang mula menjadi topik perbualan penduduk Kota Kemuning. Bandar ini tidak pernah lekang daripada pandanganku sejak tujuh tahun yang lalu, namun bapaku belum sempat mengunjungiku sehinggalah saat-saat mendiang bapaku, juga dikenali sebagai Uncle Mok, akhirnya meninggalkanku.

Sepanjang perjalanan ke hospital, aku hanya mampu membuka rakaman sejarah kehidupan aku. Pemandangan kota kemuning yang disirami hujan renyai-renyai seolah-olah memahami perasaan di lubuk hatiku ini. Aku akhirnya mengalah kepada perasaanku. Dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur, air mataku mengalir tanpa dijemput. Entah mengapa terjadi begini. Aku mula merasai kehilangannya.

Kehilangan bapa aku paling dirasai ketika aku membuka kain putih berlabel HKL yang menutup badan dan mukanya yang pucat. Mayat itu tidak sanggup kutatap lebih dua kali. Hal ini dikatakan demikian kerana aku masih gagal mengawal emosiku yang kalah kepada air mata yang masih mengalir ke pipiku. Entah mengapa, kekalahan pada perasaan ini lebih sakit daripada kesakitan pembedahan otot kaki dan hidup yang pernah aku jalani beberapa tahun yang lalu.

Dengan rasa nanar lagi, aku mengikuti rombongan pembantu pegawai perubatan yang menyorong troli mayat yang membawa mayat bapaku hingga ke bilik mayat. Keadaan sekeliling agak hambar, dengan kesunyian sekeliling yang gelap dan bunyi perbualan antara kakakku dengan mak cikku yang masih kuat semangat. Aku sempat memegang kaki kaku bapaku yang sejuk. Sejuknya seolah-olah mendiang bapaku sudah sampai di pintu syurga. Di dalam hati kecilku, aku ingin memohon maaf kepadanya. Banyak lagi perkara yang ingin aku lakukan bersamanya.

Namun, Tuhan lebih menyayanginya. Tuhan lebih awal merampasnya daripada aku. Benakku masih segar, 13 jam yang lalu bapaku ada menelefonku. Katanya, “Papa akan menduduki penerbangan selama 4 jam setengah tidak lama lagi. Penerbangan ini amat membosankan kerana berlepas tiga kali seminggu. Aku yang memahami erti penerbangan yang dimaksudkannya. Bapanya menjalani dialisis pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat. Dari pukul 8 hingga 12:30 tengah hari. Sudah lima tahun lamanya mendiang melalui kehidupan sebagai pesakit rosak buah pinggang.

Andainya aku mampu, aku ingin menebus kesalahan aku kepada bapaku kerana jarang menemaninya. Andainya aku mampu, akan kuberikan lebih daripada yang pernah aku berikan. Akan kulukis sebuah lukisan dan kutulis novel kasih antara aku dengan bapaku. Kini, aku hanya mampu menyelimutkan perasaan rindu aku kepadanya, terutamanya ketika insan-insan lain di dunia ini yang masih dapat meraikan Hari Bapa bersama ayah mereka. Aku tidak pernah terharu, tidak pernah mengecewakannya dengan pencapaian akademik aku waima pencapaian aku dalam dunia pendidikan.

Walau bagaimanapun, aku kecewa akan diri ini kerana tidak mampu meluangkan lebih masa bersamanya kecuali hari minggu tatkala aku tidak terikat dengan seminar dan ceramah. Aku juga seolah-olah menyalahkan diri ini kerana tidak berada di samping ayahku sewaktu dia benar-benar memerlukan aku. Wayar berwarna-warni bagai pelangi memenuhi kakinya, lehernya, tangannya, dan dadanya. Aku hanya mampu bermonolog kepadanya 5 jam sebelum dia meninggalkan aku buat selama-lamanya. Sepanjang 5 tahun ini, aku hanya pernah mengunjunginya SEKALI sahaja di bilik dialisis. Adakah aku anak yang taat? Soalan demi soalan bertemakan ketaataan menyerang dan membedil kotak fikiran aku.

Papa...... sebagaimana yang aku janji padamu, akan kutunaikannya. Papa harus merestui keputusanku ini. Papa harus memberkati keputusan aku untuk tidak memperbesar pemergianmu sebagaimana sifatmu yang rendah diri. Pada hari pengebumian papaku, aku masih teringat. Cuaca yang panas memancar dari pagi, tiba-tiba mendung dan gerimis mula mengundang. Adakah itu tanda papaku menangis kerana akan meninggalkan aku dengan jasatnya yang masih ada di dalam keranda coklat itu? Aku sempat menatap wajahnya untuk sekian kali. Aku tidak mahu menyesal nanti jika mayat bapaku diusung untuk proses pembakaran.

Papa seorang jurulatih renang yang aktif mengajar. Kegigihannya mengajar anak-anak kecil berenang seolah-olah mendorong aku mendekati anak-anak murid yang mahu belajar. Walaupun mulutku tidak semanisnya, aku kadangkala menang dalam berdebat dalam topik-topik yang pernah kami bincang di dalam kereta. Imbasan memori indah ini sekali gus mengajar aku erti ketabahan menghadapi kehilangan. Suatu kehilangan yang akan kuratapi seumur hidupku. Pemergian papa aku menjadikan hujung-hujung mingguku kurang ceria meskipun pemergiannya membolehkan aku tidur sedikit lama pada hari dia menjalani dialisis. Biasanya, telefon aku akan berbunyi pada jam 7:10 pagi sebelum penerbangan papa berlepas dari lapangan dialisisnya. Penerbangan kali ini benar-benar sudah membawa papaku jauh...... jauh meninggalkan aku.

“Semoga ombak laluku, bukan gelombang masa depanmu,” mutiara kata papaku amat berkesan.

Aku akan mengikut dan mengingati nasihat dan amanatmu. Akan kujaga Ammi dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Aku akan membayar semua hutang kasih sayangmu kepadanya. Aku akan membayar semua hutang cintamu kepadanya sehingga akhir hayat aku. Mayat bapaku masih segar walaupun sudah tiga hari mendiami keranda sederhana mahal itu. Pada saat-saat akhir papa memasuki alam abu, hanya Tuhan yang tahu betapa air mataku mengalir bagai telaga tujuh milik Mahsuri di Langkawi. Aku hanya mampu berdoa. Doaku semoga semangat dan ketulusan hati papa akan terus berasa di sampingku, walaupun aku lebih merindui jasatnya yang sebenar. Pelangi muncul di langit ungu. Kemunculan pelangi itu seolah-olah membawa mesej akhir papa kepada aku. Kini, aku sudah faham. Air mata yang pernah papa titiskan di bahuku dulu kini sudah mengundang gerimis yang turut mempersilakan pelangi muncul di depan mataku.

Papa...... kini sudah hampir dua tahun. Lebih 500 hari sudah berlalu. Aku masih merindui kata-katamu, celotehmu, gurau sendamu, malah amarahmu. Papa...... saya berjanji akan terus melangkah ke depan dengan penuh semangat, suri teladan yang kautujukkan akan kufantasikan pada pelangi yang muncul acap kali hujan berhenti. Pelangi papaku? Kamu di mana?

CIKGU TAN CL

14.6.2012

10 May 2012

LATIHAN RUMUSAN SPM - SBP 2011

UNTUK SKEMA JAWAPAN, SILA E-MEL SAYA.
Latihan rumusan penting untuk skor markah yang tinggi dalam SPM.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

CIKGU TAN

SOALAN SEBENAR SPM PERCUBAAN 2011 - SEKOLAH BERASRAMA PENUH
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan berekreasi dalam kalangan remaja dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

          Berekreasi sememangnya digalakkan bagi setiap orang. Kepentingan menjaga kesihatan ialah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang mudah dan kita perlu melakukannya bagi memastikan kesihatan tubuh dan kecerdasan minda tidak terganggu. Berekreasi merupakan terapi fizikal semula jadi untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan kecerdasan minda. Persekitaran hari ini yang serba moden dan canggih menyaksikan kegiatan rekreasi bagi tujuan mengeluarkan peluh tidak lagi tertumpu di taman permainan, sebaliknya boleh dilakukan di pusat kesihatan yang menyediakan pelbagai peralatan senaman moden. Hampir di setiap kawasan perumahan, ada disediakan taman untuk berekreasi.

Bagi golongan remaja, rekreasi yang dilakukan secara teratur, sama ada dilakukan secara berseorangan ataupun berkumpulan, mampu mengelakkan remaja daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat yang boleh merosakkan masa hadapan mereka. Berekreasi, selain berfungsi menyihatkan badan dan memberikan kesihatan yang baik, minda yang cerdas dan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang tidak sihat, juga mampu mendidik remaja untuk lebih terbuka dari segi minda dan pergaulan. Kesempatan bertemu dengan rakan baharu dapat membantu membentuk sahsiah diri remaja yang baik, seperti belajar untuk bergaul, menghormati sesama rakan, dan yang paling penting, mengajar mereka untuk tidak mementingkan diri sendiri.

Rekreasi yang dilakukan secara teratur mampu membentuk golongan remaja menjadi lebih matang, berketerampilan, dan mempunyai keyakinan dalam pergaulan. Pergaulan yang sihat membolehkan remaja berkongsi pengalaman dan semua ini penting sebagai persediaan untuk menempuh alam dewasa yang lebih mencabar. Program rekreasi secara berkumpulan mendedahkan remaja kepada aspek kerohanian. Secara tidak langsung akan membantu meningkatkan motivasi diri dan menilai diri serta menghargai usia remaja dengan sebaik-baiknya. Remaja yang suka berekreasi bukan sahaja mempunyai minda yang sihat serta terbuka dalam pergaulan, tetapi juga lebih terarah dalam soal kehidupan berbanding dengan mereka yang tidak melakukan aktiviti rekreasi.

Berekreasi membantu perkembangan psikologi remaja. Sebagai remaja yang menuju alam kedewasaan dan perlu membuat pilihan untuk menentukan masa hadapan, biasanya mereka telah ada arah tuju atau pilihan. Berekreasi memudahkan remaja mencari hala tuju dalam kehidupan mereka tanpa terpengaruh oleh persekitaran yang tidak sihat. Mereka akan mudah membuat keputusan kerana memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas. Remaja yang membuat pilihan bijak akan mengecap kejayaan dan mereka yang tersilap langkah akan berdepan dengan kehancuran dan dihimpit masalah. Oleh itu, bagi menggalakkan remaja aktif berekreasi, kerajaan telah membina banyak pusat sukan tertutup bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan cerdas.

(Dipetik dan diubah suai daripada rencana `Ayuh Berekreasi’,

Dewan Siswa, Januari 2010)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    (i)          Berikan maksud rangkai kata menuju alam kedewasaan .

[2 markah]

  (ii)          Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggalakkan rakyat berekreasi?

[ 3 markah]

(iii)          Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan para pelajar berekreasi.
Berikan tiga cadangan.
[4 markah]


2 May 2012

SPM 2012 - Ulang Kaji TATABAHASA SPM

Jawaban bagi setiap latihan di bawah akan saya hantar melalui e-mel kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya. Sila e-melkan alamat e-mel anda kepada saya.
Semoga anda semua dapat skor dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012 ini.

LATIHAN 1 :
SEKOLAH BERASRAMA PENUH

(b) Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

Golongan remaja yang terlalu asyik melayari Internet sering kali menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer. Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan pelajaran. Mereka memberikan alasan hendak mencari maklumat tetapi sebenarnya melayari laman-laman yang tidak berfaedah.

[ 6 markah]

LATIHAN 2 :
MRSM

(b) Kenal pasti jenis ayat-ayat pasif di bawah. Tentukan sama ada ayat-ayat tersebut ialah ayat pasif dengan ganti nama diri pertama, ayat pasif dengan ganti nama diri kedua, ayat pasif dengan ganti nama diri ketiga atau ayat pasif songsang.

         (i)     Makanan itu belum aku rasai lagi sejak pagi tadi.
       (ii)     Hutang itu perlu kaujelaskan selewat-lewatnya esok.
     (iii)     Bahagian tepi bangunan kedai itu dicat oleh Pak Samad.
     (iv)     Saya tendang bola itu sekuat hati sehingga luar pagar sekolah.
       (v)     Ladang tebu itu telah dibersihkan oleh mereka pagi semalam.
     (vi)     Perkara tersebut belum awak putuskan sehingga hari ini.
[6 markah]
LATIHAN 3 :
MPSM MELAKA
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

         (i)     Masalah alam sekitar perlu ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa.
       (ii)     Kasut sekolah yang kotor itu telah saya cuci semalam.
     (iii)     Sajak-sajak yang baik itu telah ditulis oleh kumpulan penyajak yang masih muda.
[6 markah]
LATIHAN 4 :
MPSM JOHOR
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

         (i)     Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh diselesaikan oleh ibu bapa sekiranya mereka mengambil langkah pencegahan awal.
      (ii)     Kursus perhubungan awam telah ditawarkan oleh kebanyakan kolej dan universiti di negara kita.
     (iii)     lsu pembuangan bayi perlu kita tangani dengan segera demi menjaga imej negara.
[6 markah]
LATIHAN 5 :
MPSM PERLIS
(b) Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat perintah, ayat seruan, atau ayat tanya.

         (i)     Menerusi komunikasi, pelbagai maklumat disebarkan dari sebuah negara ke sebuah negara lain dengan mudah dan cepat.
       (ii)     “Siapakah namakau?” soal seorang pemuda berwajah garang sambil mendekati diriku.
     (iii)     Bangunan yang tinggi itu direka bentuk oleh seorang arkitek dari luar negara.
     (iv)     Syabas, kamu telah berjaya menjuarai kejohanan yang berprestij itu!
       (v)     “Mazwin, tolong hantar buku-buku ini ke bilik guru dan letakkan di atas meja saya,” kata Puan Geetha kepada Mazwin dengan lembut.
     (vi)     Sampai bilakah Pak Dol akan menangisi kematian isteri kesayangannya itu?
[6 markah]
LATIHAN 6 :
MPSM SABAH
(b) Nyatakan jenis-jenis ayat yang disenaraikan di bawah ini.

         (i)     Wah, besarnya sungguh rumah kontraktor yang terkenal itu!
       (ii)     Ayahnya baru sahaja pulih daripada penyakit paru-paru berair.
    (iii)     Apakah punca yang menyebabkan pelajar-pelajar suka ponteng sekolah?
    (iv)     Jangan berkawan dengan budak-budak yang menghisap rokok.
       (v)     Silakan duduk, saya hendak pergi ke dapur dahulu.
     (vi)     Tolong bersihkan bilik tidur kamu sebelum ibu pulang.
[6 markah]
LATIHAN 7 :
MPSM SARAWAK
(b) Cerakinkan ayat majmuk dalam perenggan di bawah kepada enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.

Di Malaysia hampir dua pertiga sumber air kita digunakan oleh sektor pertanian dan sektor ini adalah antara sektor yang banyak mencemar dan membazirkan air namun tiada sistem pengurusan permintaan air bagi sektor ini. Ladang-ladang penternakan haiwan dan penternakan hidupan akuatik dalam sangkar juga menjadi punca pencemaran.
[6 markah]
LATIHAN 8 :
MPSM SELANGOR
(b) Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian anda dikehendaki menggabungkan ayat-ayat berikut menjadi tiga ayat.
            Malaysia menjadi destinasi tarikan pelancong. Malaysia mempunyai beberapa buah pulau yang indah. Malaysia mempunyai kawasan rekreasi hutan yang menarik. Kerajaan telah berusaha dengan gigih untuk mempromosikan Malaysia. Kerajaan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kerajaan Malaysia juga menganjurkan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa. Ekonomi Malaysia meningkat. Peluang pekerjaan juga terbuka luas. Banyak pelancong datang ke Malaysia.

[6 markah]
LATIHAN 9 :
MPSM TERENGGANU
(b) Tukar ayat susunan songsang di bawah kepada ayat bersusunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.
         (i)     Tersusun kemas alat-alat pertukangan di dalam bengkel itu.
       (ii)     Perlu kita tamatkan sahaja perlawanan ini kerana hujan semakin lebat.
     (iii)     Akan menerima hadiah utama sesiapa sahaja yang meneka kedudukan bola dengan tepat.
[6 markah]
LATIHAN 10 :
MPSM PULAU PINANG
(b) Baca dan teliti ayat-ayat di bawah, kemudian gabungkan setiap dua ayat tersebut dengan kata hubung yang sesuai.

         (i)     Atiqah menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya dengan segera.
       (ii)     Ibunya membenarkan dia turut serta dalam perkhemahan pengakap itu.
     (iii)     Puan Haliza berjanji akan memenuhi permintaan anak kesayangannya itu
     (iv)     Anaknya itu menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
       (v)     Orang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
     (vi)     Pelajar-pelajar tingkatan tiga terpaksa mengulang kaji pelajaran
[6 markah]
LATIHAN 11 :
MPSM NEGERI SEMBILAN
(b) Kenal pasti jenis-jenis ayat perintah yang berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan atau ayat permintaan.

         (i)     Sila buat laporan tentang kes meniru itu.
       (ii)     Usahlah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
    (iii)     Awak siapkan tugasan ini sekarang.
     (iv)     Awak tidak usahlah datang ke sini lagi.
       (v)     Pujuklah budak yang menangis itu.
     (vi)     Tolong hantarkan karangan ini sebelum hari Khamis.
[6 markah]
LATIHAN 12 :
MPSM PAHANG
(b) Tulis petikan di bawah ini semula dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

MAN :Tuk ... tuk ..., orang jumpa mayat lagi. Orang jumpa mayat. Mayat itu besar, tuk.
PAK MAN :Di mana Man?
MAN :Tepi pantailah, tuk. Marilah tengok mayat tu. Mari tuk.
PAK MAN :Mayat orang Melayu atau orang Cina?
MAN :Bukan, tuk.
PAK MAN :Kalau bukan, mayat siapa? India kot?
MAN :Bukanlah, tuk. Ini mayat ikan dugong besar, tuk.

[6 markah]
LATIHAN 13 :
MPSM KEDAH
(b) Baca ayat-ayat di bawah dan nyatakan golongan atau jenis kata bagi setiap kata yang berhuruf tebal dalam ayat tersebut. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

 Gagasan 1Malaysia diyakini dapat membantu negara ini mengecap kemakmuran dari segi pembangunan dan kesejahteraan hidup.

[6 markah]
LATIHAN 14 :
MPSM PERAK
(b) Tukar ayat susunan biasa yang berikut kepada ayat bersusunan songsang.

         (i)     Ingatan Pak Hamid yang berusia 80 tahun itu masih kuat.
       (ii)     Kehebatan pemidato itu terletak pada kekuatan hujahnya.
     (iii)     Zaid telah ditukarkan ke ibu pejabat sebagai langkah penstrukturan syarikat itu semula.

[6 markah]
LATIHAN 15 :
MPSM KELANTAN
(b) Nyatakan pola ayat dasar di bawah ini sama ada Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)

         (i)     Dia masih tidur.
       (ii)     Bas itu dari Seremban.
     (iii)     Kucing itu kurus kering.
     (iv)     Rakannya gadis Filipina.
       (v)     Puan Ramziah guru di sekolah itu.
     (vi)     Merokok membahayakan kesihatan.

[6 markah]