Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

10 October 2008

NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK - ULANG KAJI

Peleraian Novel Pahlawan Pasir Salak.
Novel yang saya kaji ialah Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd Ismail Sarbini. Peleraian ialah bahagian akhir dalam plot. Bahagian ini juga dinamakan bahagian antiklimaks. Dalam bahagian ini, segala konflik telah selesai dan cerita menuju pengakhirannya.

Peleraian cerita ini menggambarkan kejayaan penduduk Pasir Salak yang juga digelar Pahlawan Pasir Salak kerana berjaya mengusir panjajah Inggeris yang mahu mengutip cukai di Pasir Salak. Dalam cerita ini, Datuk Maharaja Lela selaku Ketua Kampung sentiasa mengingatkan anak buahnya bahawa mereka mestilah sentiasa bersatu padu dan berjaga-jaga. Hal ini demikian kerana penjajah Inggeris yang berjaya dihalau dari Pasir Salak mungkin akan datang untuk mengganggu mereka lagi. Oleh sebab itu, Datuk Maharaja Lela berharap mereka sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku. Walaupun Inggeris telah berjaya dihalau, anak-anak muda tetap berada dalam keadaan bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku.


Persoalan kasih sayang dan pengajarannya.


Semasa tingkatan 2, saya telah mengkaji novel Pahlawan Pasir Salak. Dalam novel ini, saya mendapat pengajaran yang bermakna, yakni kita mestilah sayang akan keluarga dan tanah air untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat. Berikut ialah persoalan yang berkaitan dengan kasih sayang tersebut.

Kedatangan Inggeris membawa seribu keperitan hidup kepada penduduk Pasir Salak. Hal ini demikian kerana penduduk Pasir Salak dipaksa membayar cukai yang tinggi kepada Inggeris. Oleh hal yang demikian, penduduk yang berani berjuang menentang penjajah ini mempunyai semangat sayang akan negara kerana mereka enggan membenarkan Inggeris bermaharajalela di Tanah Melayu.

Deli merupakan anak yang taat dan sayang akan ahli keluarganya. Dia sedar bahawa sebagai anak, dia harus membantu keluarga dan meringankan beban ayahnya. Dengan membantu ayahnya, Pak Itam di warung yang berdekatan dengan pangkalan, Deli berjaya membuktikan kepada kita bahawa dia anak yang sayang akan keluarga.

Kasih sayang kepada anak yang telah meninggal dunia juga merupakan persoalan penting dalam novel ini. Pak Wan yang kematian anaknya, Nuar yang dipatuk ular sentiasa merindui anaknya. Hal ini membuktikan bahawa kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan tanah air.


PUNCAK ATAU KLIMAKS NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK.
Novel yang saya kaji ialah Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd Ismail Sarbini. Puncak atau klimaks ialah salah satu bahagian dalam plot karya sastera. Puncak atau klimaks ialah bahagian yang paling penting dalam sesebuah karya. Berikut ialah peristiwa yan berlaku dalam bahagian klimaks novel ini.

Pada bahagian klimaks, kedatangan rombongan Inggeris ke Pasir Salak jelas menaikkan kemarahan penduduk. Hal ini demikian kerana Inggeris datang bersama tali barut seperti Lamsah dan Mat Arshad. Mereka datang menampal surat kenyataan mengutip cukai tetapi dikoyakkan oleh penduduk kampung.

Selepas kejadian itu, Datuk Maharaja Lela pun berjumpa dengan Seputum dan penduduk-penduduk kampung berkumpul di halaman rumah Datuk Maharaja Lela. Mereka diberi suntikan semangat cinta akan tanah air kerana bakal berjuang menentang Inggeris sehingga titisan darah terakhir.

Penduduk Pasir Salak membuat serangan dari depan dan hujung kampung. Hal ini menyebabakan Inggeris tidak dapat membuat persediaan rapi. Residen JWW Birch pula mati dibunuh oleh Seputum manakala Pak Endut berjaya menikam Mat Arshad yang menjadi pengkhianat negara.

Oleh sebab tahap ketegangan di Pasir Salak semakin memuncak, Kapten Innes dengan pasukan askarnya tiba untuk menahan serangan penduduk Pasir Salak. Walau bagaimanapun, penduduk Pasir Salak berjaya menentang kemaraan Inggeris sehingga memaksa Inggeris berundur dari Pasir Salak. Demikianlah bahagian klimaks novel ini.

5 October 2008

Pertanyaan pelajar yang mampu saya jawab.

Soalan 1:
xAlphaZonex: Hi Cikgu! Saya tak berapa pasti kalau tersangat betul ke atau salah? Kalau tersangat betul, adakah paling sangat betul juga?
4 Oct 08, 23:38
Jawaban:
Dalam kata penguat darjah terakhir atau darjah penghabisan, terdapat lima jenis frasa penguat yang betul:


1. Paling + kata adjektif
Contoh: paling cantik / paling suci / paling tinggi

2. Ter + kata adjektif
Contoh: tercantik / tertinggi / tersingkat

3. Amat + ( kata adjektif) + sekali
Sangat + ( kata adjektif) + sekali
Sungguh + ( kata adjektif) + sekali
Contoh: amat pilu sekali /sangat gembira sekali / sungguh bangga sekali

4. Teramat +( kata adjektif)
Tersangat + ( kata adjektif)
Contoh: Tersangat indah / teramat sedih

5. Se ( kata adjektif yang digandakan)
Contoh:
a) Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

b) Setinggi-tinggi gunung, tinggi lagi impian saya.
c) Sekeras-keras batu, tidak sekeras hatinya yang degil itu.
d) Dialah sebaik-baik sahabat yang pernah kukenali.
e) Secantik-cantik bunga segar, jika tidak disiram, layu juga akhirnya.

Soalan 2:

chin: cikgu, kenapa tak boleh 'melentur buluh biarlah DARIPADA rebungnya'?
4 Oct 08, 23:34

Jawaban:
Oleh sebab peribahasa dicipta sejak zaman dahulu, penggunaan nahu seperti “daripada’ dan “dari” sentiasa dicampur aduk. Oleh sebab itu, ada buku menulis “melentur buluh biarlah dari rebungnya” manakala ada yang menulis “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Jika lihat menghayati peribahasa ini, maknanya ialah mendidik atau membentuk peribadi anak-anak haruslah dari kecil lagi. Maka, “rebung” ialah bahagian dalam buluh yang paling bawah menghampiri tanah. Oleh sebab itu, “rebung” menunjukkan tempat dan sesuai dengan fungsi “dari” untuk arah, tempat, dan masa. Kesimpulannya, peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” lebih tepat.

Soalan 3:
keat: cikgu, apaka isi-isi bagi kepentingan membaca? selain menambah ilmu pengetahuan, mengisi masa lapang dengan berfaedah dan mempelajari sesuatu yang baru???
4 Oct 08, 23:32

Jawaban:
Antara isi penting yang boleh anda tulis ialah;
(a) Menambah ilmu pengetahuan
(b)Dapat menimba pengalaman baharu
(c) Dapat memperluas kosa kata dan penggunaan bahasa
(d)Meningkatkan EQ dan IQ (kekritisan berfikir)
(e) Dapat memberi idea yang lebih kreatif dan inovatif dan kukuh
(f) Mendapat ilmu yang benar dan membuat kebajikan dengan ilmu yang diperoleh.


Soalan 4
yip: cikgu, ada tip untuk ringkasan.. saya takut.. cikgu boleh bagi satu contoh.. dan jawapan pemahaman soalan satu saya ada masalah
4 Oct 08, 23:32

Jawaban:
Untuk bahagian ringkasan, memang tiada tip kerana yang penting anda tahu teknik menjawabnya. Contoh petikan ringkasan dan pemahaman akan saya muat naik secepat mungkin. Harap bersabar.

Soalan 5
thomas: CIKGU, apa itu maksud 'tikus jatuh ke beras' dan 'batu direbus masakan empuk'?
4 Oct 08, 23:22

Jawaban:
Maksud “tikus jatuh ke beras” ialah mendapat keuntungan tanpa perlu bekerja keras.
Maksud “batu direbus masakan empuk” ialah mengajar orang yang degil memang kerja yang sukar.

Soalan 6
Emily: Saya Dari Sekolah SMJK Kwang Hua..can i ask.. form 4 akhir tahun normally out what antologi question ?
4 Oct 08, 21:32
Jawaban:
Sebenarnya, soalan novel sudah pun ada cakupannya. Antaranya ialah
(a) Sinopsis
(b)Persoalan
(c) Tema
(d)Watak dan perwatakan
(e) Gaya bahasa
(f) Nilai
(g)Pengajaran
(h)Plot
(i) Teknik Plot
(j) Sudut pandangan.

Bacalah mana-mana topis di atas dan buatlah latihan untuk menghadapi peperiksaan. Anda boleh hantar kepada saya untuk disemak. Semoga maju Jaya.

Soalan 7
guest: cikgu,bagi bahagian karangan rangsangan,boleh tak saya tulis sampai 150 patah kata?
4 Oct 08, 18:27

Jawaban:
Anda TIDAK digalakkan menulis sehingga melebihi 125 patah kata. Walaupun pemeriksa akan menghabiskan pembacaan karangan anda, namun saya tidak menggalakkan pelajar menghabiskan terlalu banyak masa untuk bahagian B kerana bahagian C, iaitu karangan panjang memerlukan kualiti penulisan yang lebih tinggi kerana menawarkan 40 markah.

Soalan 8:
Annie: Cikgu, 'akhirulkalam' boleh guna sebagai penanda wacana untuk mengakhiri karangan fakta?
4 Oct 08, 15:13
Jawaban:
Akhirulkalam BOLEH digunakan sebagai penanda wacana kerana ada dalam Kamus Dewa Edisi Keempat.

Soalan 9:
kerna: antara dipetik oleh saya dan dipetik saya oleh berbeza ke cikgu?
4 Oct 08, 15:09
Jawaban:
Kedua-dua ayat di atas salah. Jawaban yang betul ialah “Buah itu saya petik”. Hal ini demikian kerana “di..... oleh” hanya untuk ayat pasif diri ketiga.

4 October 2008

Ramalan PMR 10 - Karangan Bergambar "Kepentingan Hutan Semula Jadi"

Gambar di bawah menunjukkan hutan yang malar hijau di Malaysia. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan hutan kepada benda hidup. Panjangnya karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


[ 20 markah ]

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.


Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.


Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.


Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.


Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.


Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

"di peringkat" atau "pada peringkat"

Dalam bahasa Melayu, penggunaan frasa sendi nama "di" peringkat didapati leluasa. Lihatlah ayat-ayat yang di bawah ini:

1. Pemain badminton perseorangan negara kita telah berjaya mengalahkan pemain dari negara China di peringkat separuh akhir.

2.Kadar elaun khas yang kini di peringkat akhir perincian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bagaimanapun akan bergantung pada jarak serta kemudahan asas di sesuatu kawasan terbabit.

Untuk menentukan penggunaan frasa sendi nama di peringkat dalam ayat (1) dan (2) di atas sama ada betul atau salah, marilah kita melihat penggunaan kata sendi nama di dan pada dalam ayat.

Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.

Kata sendi nama pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada+pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu.

Dengan berdasarkan penggunaan kata sendi nama di dan pada seperti yang dinyatakan di atas, didapati bahawa penggunaan kata sendi di dan pada dalam frasa di peringkat dan pada peringkat tidak jelas. Persoalannya ialah adakah peringkat menunjukkan konsep tempat atau keterangan waktu dan tempat? Yang jelas ialah peringkat bukan menerangkan tempat. Oleh sebab itu, penggunaan frasa sendi nama "di peringkat" tidak tepat.
Peringkat bermaksud kedudukan mengikut tarafnya atau tingkatannya. Oleh hal yang demikian, frasa yang tepat ialah pada peringkat. Hal ini diperkukuh apabila penyusun Kamus Dewan Edisi Ketiga mengemukakan ayat contoh seperti yang berikut:

3, Rundingan mengenai pertahanan Asia Tenggara pada peringkat menteri akan diadakan tidak lama lagi.

Kesimpulannya, frasa sendi nama pada peringkat lebih tepat berbanding dengan frasa sendi nama di peringkat.
Dipetik daripada catatan blog Cikgu Abdul Ghalib Yunus,

3 October 2008

Karangan Bergambar PMR Ramalan 9- Kebaikan Sektor Pelancongan kepada Negara

Lihat iklan kempen Cuti-cuti Malaysia di bwah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah perkataan.
Negara Malaysia sudah menjadi destinasi pelancongan bertaraf lima bintang sejak kempen Cuti-cuti Malaysia dilancarkan. Realitinya, sektor pelancongan banyak membawa kebaikan kepada negara.


Dari segi ekonomi, negara kita mendapat banyak keuntungan. Hal ini demikian kerana aktiviti pelancongan meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan. Fenomena yang sihat ini sekali gus menstabilkan ekonomi negara.


Di samping itu, pengaliran masuk mata wang asing ke Malaysia dapat membaik pulih kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara. Kedudukan ringgit terus kukuh dan stabil setaraf mata wang asing utama. Hal ini demikian kerana peningkatan aktiviti jual beli di dalam negara.


Sementara itu, sektor pelancongan turut menjadi pemangkin pembangunan negara. Hal ini demikian kerana kita dapat membangunkan negara dengan lebih lancar akibat keperluan sektor pelancongan. Olel hal yang demikian, Wawasan 2020 yang menjadi aspirasi kerajaan mampu dicapai mengikut jadual.


Konklusinya, kempen pelancongan di Malaysia perlulah dipergiat lagi. Dengan kemajuan sektor ini, kerajaan dapat membangunkan pelbagai bidang maslahat yang lain.

2 October 2008

Karangan Panjang PMR Ramalan 1 - Karangan Berformat Laporan.

Karangan Panjang PMR Ramalan 1 ialah Karangan Jenis Laporan. Baca dan perhatikan format di bawah. Saya berharap para pelajar mempelajari dan mengingati formatnya.

LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KILANG COKLAT CADBURY

Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury yang terletak di Shah Alam pada 15 Jun 2008. Rombongan ini terdiri daripada empat puluh orang ahli Persatuan Geografi dan tiga orang guru pengiring, yakni Puan Saloma, Puan Zubaidah, dan Puan Siti Muqalmah. Seawal lapan pagi lagi, para pelajar dan guru yang terlibat sudah menaiki bas yang disewa khas oleh ahli jawatankuasa lawatan ini. Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja kerana antara jarak sekolah dengan kilang tersebut hanya 20 kilometer.

Sebaik-baik sahaja tiba di kilang tersebut, rombongan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pengurus pemasaran dan promosi, Encik Soo Ming Lei. Encik Soo telah membawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga Wisma Cadbury. Di dalam bilik mesyuarat itu, kami diberi penerangan sejarah penubuhan kilang coklat secara ringkas tapi jelas. Selepas mendengar taklimat, ahli rombongan pun bersemangat tinggi dan menanyakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan kilang coklat tersebut. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan laporan lawatan ini.

Program pascataklimat ialah memulakan lawatan ke bahagian memproses coklat. Kami dibawa ke bahagian paling penting, yakni zon penyediaan. Di kawasan itu, kami diberi pakaian berupa tudung kepala, penutup mulut, dan sarung tangan. Langkah penyediaan yang bersih dan selamat adalah penting kata Encik Soo kerana pihak kilang amat mementingkan soal kualiti coklat. Hal ini demikian kerana kebersihan menjamin mutu makanan yang disediakan. Kami melihat sendiri biji koko panggang dikisar dengan sebuah mesin. Selepas itu, koko yang lumat dimasak bersama gula dan susu yang diimport khas.

Selepas proses penyediaan selesai, coklat dalam bentuk cecair pekat yang mencapai kepanasan seratus lima puluh darjah itu disalurkan ke paip besar yang menuju ke bahagian pemprosesan coklat prapembungkusan. Di bahagian itu, kami dapat melihat pelbagai jenis coklat berjaya diproses dengan mesin yang canggih. Mesin itu seterusnya menghantar jongkong-jongkong coklat yang sudah siap diproses menuju ke peringkat pembungkusan mengikut saiz dan perisa. Di bahagian ini, bilangan pekerja yang banyak diperlukan untuk menyudahkan proses pembungkusan sehingga proses akhir, penyimpanan.

Sepanjang lawatan di bahagian penyediaan, kami telah mengemukakan soalan tentang kepentingan penyediaan makanan yang selamat. Sepanjang dua jam lawatan, kami berasa teruja dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kami berasa penat kerana kawasan pemprosesan kilang ini amat besar. Di bilik mesyuarat, kami diberi taklimat multimedia berkaitan perancangan masa depan kilang coklat ini. Daripada taklimat multimedia ini, kami berasa kagum akan semangat pengurusan syarikat ini yang memegang para prinsip “genggam bara api biar jadi abu”.

Sebelum mengakhiri lawatan, Pengarah Urusan Kilang Cadbury telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan ahli rombongan sekali gus menyampaikan cenderahati kepada kami. Selain itu, kami juga diberi baucar istimewa untuk membeli coklat dengan potongan harga sebanyak dua puluh hingga empat puluh peratus. Selepas bersalam dengan tuan pengarah, kami pun menuju ke kedai coklat yang terletak di sebelah pintu besar kilang itu. Ahli rombongan yang selesai membeli coklat bersiap sedia menaiki bas untuk pulang ke sekolah.

Rombongan ini tiba di sekolah pada pukul dua belas tengah hari. Cikgu Saloma yang bertugas menjaga disiplin pelajar berpuas hati dengan kelakuan ahli rombongan walaupun ada segelintir daripada mereka yang mulut murai. Akhirnya, murid-murid pun pulang ke rumah masing-masing. Lawatan sambil belajar seperti ini amat bermanfaat kepada pelajar. Selain mendapat ilmu dan pengalaman, kami juga berjaya menimba pengetahuan tentang pengurusan kilang. Hal ini ibarat sambil menyelam minum air. Kami berharap lawatan umpama ini akan dijadikan agenda tahunan Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.

Laporan disediakan oleh,
29 JUN 2008.

Amalina
(SITI NUR AMALINA BINTI AZMAN DARUS)
Setiausaha Persatuan Geografi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.

Karangan Bergambar PMR Ramalan 8 - Cara-cara Menghargai Jasa Tokoh Negarawan


Gambar di bawah menunjukkan negarawan yang terbilang dari dahulu hingga sekarang. Huraikan cara-cara menghargai jasa tokoh negarawan. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.


Negara Malaysia mempunyai banyak tokoh yang tersohor. Antaranya ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr. Mahathir Mohammed. Oleh sebab itu, kita mestilah menghargai jasa mereka kerana “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

Cara untuk menghargai negarawan adalah dengan pembinaan muzium negarawan. Di dalam muzium tersebut, kita patutlah menghimpunkan bukti-bukti jasa mereka. Hal ini penting agar masyarakat tahu bahawa tanpa jasa negarawan, negara kita masih berada di takuk lama.

Selain itu, bangunan dan jalan utama negara bolehlah dinamakan dengan nama mereka. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan mahu warganegara mengapresiasi bakti mereka kepada nusa. Pelancong asing juga dapat mengenali negarawan.

Biodata mereka wajarlah kita kaji. Dengan ini, pelajar dapat meneladani sikap positif negarawan. Saya percaya, cara ini dapat melahirkan generasi baharu yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Kesimpulannya, jasa negarawan mesti segar dalam ingatan kita. Janganlah kita menjadi warga yang bersikap seperti kacang lupakan kulitnya.


1 October 2008

Aidilfitri Memperkukuh Silaturahim Rakyat Malaysia.


Percikan bunga api yang berwarna-warni memecah kesunyian langit bersempena malam ambang Hari Raya Aidilfitri. Fenomena bermain bunga api ini memang sinonim dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Tanpa segan silu mahupun berperasaan antiperkauman, kita meraikan hari mulia ini dengan keseronokan dan kegembiraan. Oleh hal yang demikian, kita haruslah bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang berkesempatan meraikan pelbagai perayaan utama yang dijadikan hari cuti umum di tanah air bertuah ini. Sambutan yang bermakna ini menjadi lebih manis apabila amalan rumah terbuka menjadi agenda utama bukan sahaja pemimpin negara, malah rakyat jelata.

Salam Aidilfitri diucapkan kepada semua pengunjung blog yang beragama Islam, tak kira di mana-mana anda berada dan pada bila-bila masa anda melayari laman blog ini. Terimalah beberapa pantun istimewa daripada saya:


PANTUN RIA BERHARI RAYA
Kaya miskin sama sahaja,
Usah berlagak atau bersinis;
Berhari raya kita gembira,
Juadah disaji pelbagai jenis.


Rumah terbuka seronok sekali,
Juadah disaji berjenis-jenis rupanya;
Aidilfitri disambut setahun sekali,
marilah kita bersyukur kepada-Nya.


Sebulan berpuasa penuh jerih,
Hari raya disambut sederhana;
Buang yang keruh ambil yang jernih,
Itulah tanda amalan mulia.


Semua golongan sama meraikan,
Tua muda kaya mahupun miskin;
Menyusun sepuluh jari memohon kemaafan,
Silaturahim kita pereratkan.
Yang ikhlas,
CIKGU TAN C L

Sampaikanlah salam Hari Raya Aidilfitri anda dalam bahagian "komen" di bawah. Sekian, terima kasih.

Pertanyaan pelawat dan jawabannya.

ANDA TANYA, SAYA JAWAB!
Soalan 1:

pmr coming: cikgu,selepas ....kan boleh guna tentang/bahawa? contoh ceritakan bahawa


  • menceritakan bahawa (betul)

  • mencerita tentang (salah) "kan" dan "tentang" berbeza makna.

  • menceritakan tentang (salah) "kan" sudah bermaksud "tentang"

  • bercerita tentang (betul)

Soalan 2:
1 Oct 08, 15:26pmr coming: cigku,teknik plot dengan plot ada perbezaan atau tidak?
Plot dan teknik plot memang berbeza. Plot bermakna urutan cerita. Dalam plot ada permulaan ( eksposisi), perkembangan, konfliks, puncak ( klimaks) dan peleraian ( antiklimaks).



Teknik plot ialah cara pengarang menulis cerita. Berikut ialah teknik plot yang biasa dapat kita temukan dalam novel:


  • Dialog

  • Monolog

  • Monolog dalaman

  • Saspens / suspens

  • Kejutan

  • Pemerian

  • Imbas muka

  • Imbas kembali

Soalan 3:


1 Oct 08, 00:30mp3: cikgu,apakah perbezaan antara perlantikan dan pelantikan???thx!!!

"Pelantikan" bermakna perihal, perbuatan melantik.

"Perlantikan" tidak wajud dalam bahasa Melayu mahupun Kamus Dewan.
Soalan 4:
1 Oct 08, 00:27mp3: jangan kita menyalahkan orang tanpa usul periksa.cikgu kenapa ayat ini betul??? mengapa tidak boleh guna salahkan???thx!!

Ayat di atas memang betul kerana ayat di atas ialah ayat aktif.

"membetulkan" --> kata kerja aktif

"dibetulkan" --> kata kerja pasif diri ketiga ( dia, mereka, Ali, Abu dan lain-lain)

"betulkan" --> kata kerja pasif diri pertama dan kedua ( aku, kau, engkau, kita, kami, dan lain-lain)

"betulkan" ialah bentuk kata kerja pasif seperti yang berikut:

"Ukuran saiz baju ini perlu anda betulkan," kata ibu kepada tukang jahit. ( ayat pasif diri pertama dan kedua juga betul)

"Baju ini perlu dibetulkan oleh Ali," kata ibu kepada saya. ( ayat pasif diri ketiga)

Soalan 5

30 Sep 08, 22:37nic: cikgu,sangat hiruk-pikuk betul atau tidak??

"Keadaan di pasar sangat hiruk-pikuk" (betul)

Soalan 6:

30 Sep 08, 20:25mp3: dulu ,razi selalu mengirimi saya surat untuk bertanyakan khabar. cikgu kenapa mesti guna mengirimi tidak boleh guna mengirimkan???thx!!!

"mengirimi" bermaksud berkirim kepada ( seseorang)

"mengirimkan" bermakna berkirim sesuatu (benda) kepada seseorang.

CONTOH AYAT:

1. Ali mengirimi ibunya wang setiap bulan.

2. Ali mengirimkan wang kepada ibunya setiap bulan.

Soalan 7:

30 Sep 08, 20:22mp3: cikgu apa perbezaan antara menjalani dan menjalankan???mengapa pembedahan boleh guna menjalani???thx!!

"menjalankan" bermaksud membuat (sesuatu)

"menjalani" bermaksud melalui atau mengalami

CONTOH AYAT:
1. Aminah menjalani pembedahan di Hospital Klang.

2. Dr. Aminah menjalankan pembedahan bilik bedah di Hospital Klang.

Solaan 8:

30 Sep 08, 20:19mp3: ooo!!!ic!thx cikgu!!! erm...cikgu ,di antara pelajar - pelajar ,di antara pelajar,antara pelajar-pelajar,antara pelajar....yang mana satu betul???thx!!!

di antara pelajar (salah)

di antara pelajar-pelajar (salah)

antara pelajar (betul)

antara pelajar-pelajar (salah)

di antara saya dengan Ali (salah)

Antara saya dengan Ali tiada hubungan persaudaraan (betul) antara ... dengan ( perbandingan)

Saya duduk di antara Ali dan Zila ( betul) di antara ... dan ( di tengah-tengah)

Soalan 9:
30 Sep 08, 17:34PARISXXX: APAKAH MAKSUD YAKNI? BAGAIMANAKAH UNTUK MENGGUNAKANNYA

Yakni bermaksud "iaitu".

Jacky seorang guru, yakni seseorang yang bekerja di sekolah.

30 September 2008

Karangan Bergambar PMR Ramalan 7 - Banjir Kilat

Perhatikan gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis suatu karangan tentang kesan kejadian banjir kilat. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.



Malaysia yang mengalami iklim hujan tropika menyebabkan keadaan cuacanya panas dan lembap. Oleh hal yang demikian, banjir kilat sering berlaku dan mengakibatkan pelbagai kesan.


Banjir kilat sering menyebabkan kejadian tanah runtuh. Oleh sebab pembangunan yang tidak terancang di kawasan bukit dan lembah, kejadian banjir lumpur turut mengakibatkan laluan trafik ditutup. Hal ini memberi impak yang besar terhadap pelbagai sektor.


Lain daripada itu, kawasan terpencil dan pedalaman juga mengalami nasib yang sama apakala banjir kilat berlaku. Tebing tambakan air melimpah sehingga membawa selut dan lumpur masuk ke dalam rumah. Penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.


Fenomena banjir kilat turut mengakibatkan jambatan roboh dan rosak teruk. Hal ini menyebabkan perjalanan sistem pengangkutan tergendala. Oleh hal yang demikian, pelbagai kemusnahan dan kerosakan dibawah oleh kejadian alam yang sebenarnya boleh kita elakkan.


Secara total, banjir membawa seribu kemusnahan kepada umat manusia. Kita sepatutnya lebih leliti semasa merancang pembangunan bandar untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada terus berlaku.

29 September 2008

Karangan Bergambar PMR Ramalan 5 dan 6 - Tema Pertanian

Soalan Karangan Bergambar - Ramalan 5



Gambar tunggal di bawah menggambarkan seorang pemuda sedang mengerjakan sawah. Huraikan sebab-sebab para siswazah atau lepasan univerisiti enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.


[ 20 markah ]




Pada zaman moden ini, banyak siswazah yang dilaporkan menganggur. Hal ini demikian kerana mereka enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian walaupun bidang ini menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada mereka.



Sebab utama para siswazah enggan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana mereka berkelulusan dalam bidang lain. Sebagai contoh, graduan lulusan ekonomi, pentadbiran, dan undang-undang beranggapan mereka tidak sesuai bermandi peluh di sawah padi. Oleh sebab itu, bidang pertanian negara semakin dipinggirkan.


Selain itu, pekerjaan bertani dianggap kotor dan kasar bagi mereka. Hal ini demikian kerana pekerjaan ini disinonimkan sebagai pekerjaan yang tidak popular. Mereka enggan dipanggil sebagai golongan pekerja yang kurang profesional jika berkecimpung dalam bidang pertanian.


Pada masa yang sama, kebanyakan siswazah malu menjadi petani. Mereka sentiasa berfikiran bahawa pekerjaan ini disamakan dengan golongan miskin. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani masih berpendapatan tidak stabil. Oleh itu, mereka enggan melibatkan diri dalam bidang pertanian.


Secara tuntas, para siswazah haruslah mengubah persepsi mereka terhadap bidang pertanian. Hal ini demikian kerana negara Malaysia berwawasan untuk menjadi negera pertanian moden dalam arus globalisasi ini.


Ramalan 6


Lihat gambar di bawah dengan teliti, seorang petani sedang mengerjakan tanamannya secara kecil-kecilan. Oleh sebab itu, huraikan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan petani di negara kita. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.



Pada zaman mengejar kemodenan ini, para petani di negara kita masih bergelumang dalam selimut kemiskinan. Oleh itu, golongan ini perlulah dibantu agar pendapatan mereka terus meningkat demi taraf kehidupan yang lebih tinggi.


Sebenarnya, petani haruslah melakukan kerja-kerja penanaman secara besar-besaran. Penggunaan teknologi moden dapat mengefisienkan dan mempercepat hasil pertanian. Dengan cara ini, mereka dapat mengkomersialkan bidang pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan.


Di samping itu, pihak kerajaan haruslah memberi bantuan kewangan dan kemahiran kepada para petani. Bank Pertanian umpananya, perlulah menyuntik modal yang dapat memberi semangat kepada para petani unttuk bekerja keras. Langkah ini pasti dapat meningkatkan dan memajukan sektor pertanian negara kita.


Selain bantuan kewangan dan kemahiran, penggunaan baja kimia juag penting untuk mempercepat pertumbuhan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana hasil pertanian yang bermutu tinggi merupakan kunci pendapatan lumayan golongan petani. Oleh hal yang demikian, kualiti produk pertanian dapat meningkatkan imej bidang pertanian negara.


Kesimpulannya, kegiatan pertanian di negara ini mestilah dimajukan dengan serius. Hal ini penting agar kita dapat merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara pertanian moden di rantau ini.

28 September 2008

Karangan Bergambar SPM 2 - Soalan negeri Pahang

Kebajikan warga tua sentiasa menjadi isu yang hangat diperbualkan oleh ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat madani di negara kita tidak pernah diajar menjadi seperti kacang lupakan kulitnya. Oleh hal yang demikian, warga tua yang berkeluarga mahupun tidak berpunya apa-apa lagi menjadi permata hati pelbagai pihak termasuk kerajaan badan bukan kerajaan. Hari warga tua kala ini menjadi lebih bererti apabila pelbagai pihak dalam masyarakat hari ini sanggup memainkan peranan penting untuk membantu warga tua menjalani kehidupan haria yang lebih bermakna sementara menanti panggilan Ilahi.


Pihak kerajaan Malaysia sentiasa meletakkan warga tua di tahap yang tinggi acap kali belanjawan negara dibentangkan di Parlimen. Perdana Menteri, merangkap portfolio Menteri Kewangan telah membentangkan peruntukan yang "bahagia" sekali gus memberikan keceriaan kepada golongan tua. Elaun sara hidup warga emas telah dipertingkatkan seiring kenaikan harga barangan keperluan. Pengumuman ini membawa seribu harapan dan jutaan ukiran senyuman di bibir warga tua. Oleh sebab itu, warga tua dapat melangsungkan sisa-sisa hidup dengan lebih bermakna dan gembira.


Badan Bukan Kerajaan di Malaysia juga mempamerkan kesungguhan mereka untuk menghulurkan bantuan dan sokongan hidup kepada warga emas. Hal ini demikian kerana warga tua memerlukan perhatian daripada setiap pihak. Oleh hal yang demikian, badan kebajikan "Tzu Chi" umpamanya membuka lebih seratus buah klinik kebajikan dengan harapan warga tua dapat membuat pemeriksaan doktor secara percuma dan mendapat rawatan serta nasihat doktor yang bertauliah yang memegang pada prinsip "buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali". Hal ini dapat mengelakkan dan menurunkan tahap obesiti dan masalah kesihatan lain yang kian menyerang warga tua akibat pengabaian aspek kesihatan.


Ahli masyarakat sentiasa digalakkan supaya menghormati dan mentaati warga tua yang lebih berpengalaman dalam aspek kehidupan. Yang boleh kita lakukan ialah menggembirakan hati dan membahagiakan hidup mereka. Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak supaya membantu datuk dan nenek mereka yang tidak bertenaga, terutamanya ke tandas atau sewaktu berjalan-jalan. Apabila luangan masa berkualiti dikongsi bersama warga tua, kebahagiaan hidup berkeluarga dapat dicapai sekali gus merealisasikan slogan "rumahku syurgaku jua". Dengan berbuat begitu, masyarakat yang penyayang dan prihatin dapat dilahirkan.


Akhirulkalam, setiap daripada kita berpeluang melalui hidup pada usia lanjut. Mahukah kita melihat warga tua hidup merempat di lorong-lorong kemiskinan? Oleh hal yang demikian, pendidikan mengapresiasi warga tua haruslah dimulakan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan semangat ingin membantu dan meringankan beban kehidupan warga emas, setiap daripada kita mampu mengubah kehidupan mereka daripada duka menjadi suka. Sebagai penutup bicara, ingatlah bahawa hari ini hari mereka, esok hari kita.

25 September 2008

Ramalan SPM Bahasa Melayu Karangan Bergambar 1




Soalan di atas ialah Bahagian A, kertas Percubaan negeri Kelantan SPM 2008. Saya berpendapat bahawa soalan mirip tema ini amat maslahat, yakni industri pelancongan di Malaysia akan disoal dalam SPM 2008. Perhatikan Karangan contohnya seperti di bawah.
Karangan Contoh:


Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun 2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema kempen ini sekali gus membuka mata dan minda seantero dunia. Walau bagaimanapun, banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk memajukan industri pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan kurang efektif. Oleh hal yang demikian, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai lengan.


Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Hal ini demikian kerana promosi dan kempen dapat mempercepat langkah kerajaan menguar-uarkan aktiviti Tahun melawat Malaysia ke seluruh pelosok jagatraya. Melalui media massa dan jerayawara (aktiviti "road show"), saya yakin Malaysia dapat menarik perhatian pendarmawisata dari segenap sudut dunia. Hal ini memang mirip dengan lirik lagu "Malaysia Asia Sebenar" yang dimainkan di corong-corong radio. Justifikasinya, saya yakin bahawa kempen Tahun Melawat Malaysia akan sukses.


Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, sistem pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk menjana perkembangan industri pelancongan. Malaysia yang masih kekurangan dari segi kemudahan pengangkutan yang sistematik perlu ukur baju di badan sendiri sekali gus membuat anjakan paradigma dalam soal pengangkutan awam. Rungutan dan luahan ketidakpuasan hati pelancong mestilah diambil kira. Oleh sebab itu, kerajaan mestilah menyusun strategi pembangunan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf lima bintang sebagai pemangkin usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia yang mendambakan keunikan alam semula jadinya.


Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan lain dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong. Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng kerana industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Malaysia pasti boleh!


Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti dinyatakan di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan dalam bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya, genggam bara api, biarlah sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga nama Malaysia tersohor di seluruh dunia.

24 September 2008

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2009

BERIKUT IALAH KALENDAR PERSEKOLAHAN SESI 2009 YANG BARU DIUMUMKAN OLEH PIHAK KEMENTERIAN PELAJARAN.
SAYA AKAN MEMASUKKAN KALENDAR KUMPULAN A ( SEMUA NEGERI KECUALI KEDAH KELANTAN, DAN TERENGGANU).

BAGI PELAJAR KUMPULAN B ( NEGERI KEDAH, KELANTAN, DAN TERENGGANU), MEREKA MULA BERCUTI PADA HARI JUMAAT DAN MULA BERSEKOLAH PADA HARI AHAD SEPERTI YANG DIPRAKTIKKAN.

Kumpulan A ( Semua negeri kecuali Kedah, Terengganu, dan Kelantan)

PENGGAL 1
Hari Persekolahan
05.01.2009 HINGGA 20.03.2009

Cuti Pertengahan Penggal
14.03.2009 HINGGA 22.03.2009

Hari Persekolahan
23.03.2009 HINGGA 29.05.2009

Cuti Pertengahan Tahun
30.05.2009 HINGGA 14.06.2009

PENGGAL 2
Hari Persekolahan
15.06.2009 HINGGA 20.08.2009

Cuti Pertengahan Penggal
21.08.2009 HINGGA 30.08.2009

Hari Persekolahan
01.09.2009 HINGGA 20.11.2009

Cuti Akhir Tahun
21.11.2009 HINGGA 03.01.2010

Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am =208 hari

22 September 2008

18 September 2008

Pertama kali mendengar azan berkumandang di angkasa raya!

Selasa, 17 September 2008, saya diberi satu tanggungjawab berat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk melaksanakan tugasan ceramah bahasa BM SPM di negeri di bawah bayu, Sabah. Perjalanan program ini berlangsung dengan lancar dan segala yang saya rancang dan harapkan praceramah ini sememangnya terjadi. Penerbangan pascaceramah ini merupakan pengalaman baharu buat saya kerana terdengar azan sembahyang waktu Maghrib yang berkumandang di corong-corong pembesar suara di dalam pesawat. Pramugara dan pramugari Muslim yang bertugas tetap berdedikasi melaksanakan tugas sebelum meneguk secangkir air untuk membasahkan tekak yang kemarau seharian ditambah pula dalam keadaan cuaca yang kurang menentu kebelakangan ini. Saya berpendapat bahawa pengorbanan demi tugas seperti inilah yang benar-benar menguji kesabaran dan keimanan para Muslim sepanjang bulan ramadan. Selepas melihat kalendar, baru saya sedar sudah 17 hari muslimin dan muslimat menunaikan tiang agama keempat (menurut salah seorang pramugara yang bertugas). Saya masih jahil dalam hal-hal Islam, maklumlah saya bukan beragama Islam mahupun pernah mempelajari ajaran Islam. Walau bagaimanapun, saya juga dikejutkan dengan tarikh 17 September yang mengingatkan saya tentang ulang tahun kelahiran bonda tercinta saya. Penerbangan saya dijangka mendarat di lapangan terbang kira-kira jam 9:30 malam, pada masa itu, ibu saya sudahpun menutup tirai hariannya di dalam kamar tidur. Tarikh ini juga mengingatkan saya betapa dekatnya PMR dan SPM yang bakal menjelang dalam masa beberapa minggu sahaja. Alamak, ramalan saya belum dimuat naik lagi!
Calon PMR tahun ini memang berbeza dengan calon-calon lepas. Hal ini demikian kerana mereka terpaksa menduduki PMR seiring meraikan Hari Raya Aidilfitri yang saya jangka akan diraikan dan dan dirayakan dalam situasi sederhana kerana kelembapan ekonomi yang disulami kenaikan harga siling barangan keperluan. Sudah lama saya tidak berkesempatan sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri kerana sibuk dengan tugasan membuat ramalan PMR dan SPM. Kendatipun begitu, saya berharap pelajar-pelajar saya akan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi dua musim kebesaran ini, yakni perayaan dan peperiksaan. Sebagai penghias bicara akhir, ingatlah kata-kata motivasi saya kepada pelajar, jangan mudah berputus asa kerana Tuhan tidak pernah melahirkan penduduk bumi yang bodoh, cuma penduduk bumi memperbodoh diri sendiri. Oleh sebab itu, "manusia punya asa, Tuhan punya kuasa".
Calon pasca-UPSR yang masih dalam mood ceria selepas UPSR, jangan lupa singgah-singgah di laman blog saya untuk menimba ilmu baharu kerana cabaran menghadapi sekolah menengah semestinya lebih tinggi tahapnya. Janganlah leka meraikan “kemerdekaan” daripada UPSR yang hanya merupakan ujian pertama dalam kehidupan pelajar, masih ada dua atau tiga peperiksaan umum menanti anda.
Kepada guru-guru lain yang melawati laman blog saya, terima kasih saya ucapkan atas inisiatif anda. Sokongan yang diberikan kepada saya amat saya apresiasi dan sanjungi. Jika ada apa-apa kekurangan dan kecacatan dalam laman ini, pastikan anda meng-e-melkan cadangan dan syor-syor membina agar kita sama-sama dapat melahirkan banyak calon peperiksaan yang cemerlang dalam kertas BM. Saya boleh, Guru Malaysia Boleh!

13 September 2008

Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Sejak akhir-akhir ini, saya mendapati pelajar-pelajar saya memiliki “keistimewaan’ yang tersendiri. Keistimewaan tersebut menyebabkan saya pening kepala dan runsing. Ada yang mempamerkan peningkatan prestasi, ada pula yang terus berada di tahap yang sama dan selesa setakat A2 bukannya A1. Walau bagaimanapun, hari ini, saya tidak akan menulis blog tentang pelajaran, sebaliknya pengamatan saya terhadap sikap beberapa orang pelajar yang mungkin boleh kita teladani.

Sejak bulan Februari …… mungkin Mac, kelas saya didatangi “pelawat” yang mempunyai pengaruh keinggerisan yang pekat dalam dirinya…… kononnyalah. Walau bagaimanapun, dalam masa setengah tahun, dia berjaya mempamerkan peningkatan drastik dan saya amat berpuas hati dengan kualiti penulisannya dan kesungguhannya menyiapkan tugasan saya. Katanya, namanya dalam bahasa Cina bermakna “suara cinta”. Saya terpegun dengan kenyataan tersebut. Memang tidak dinafikan namanya indah tetapi janganlah memanggil pelajar lain dengan panggilan “Ah Beng” (budak kampung atau budak bertaraf rendah). Saya sedar pelajar itu tidak suka akan nama tersebut, namun “kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Saya berharap tiada siapa-siapa yang bersikap seperti Si Suara Cinta.

15 minit yang lalu, apakala saya ada kelapangan, saya sering meluangkan masa untuk melayari laman blog pelajar-pelajar cara. Dengan berbuat demikian, saya dapat memahami, menghayati, mengikuti perkembangan dalam kehidupan mereka dari masa ke masa. Alangkah sedihnya saya apabila mendapati laman blognya sudah ditutup. Pelajar ini memang banyak berubah kebelakangan ini. Di dalam kelas, dia sering berbantalkan lengan dan mengikuti kelas. Beban dan tanggungjawabnya mengekori pelajaran yang jauh ketinggalan olehnya amat saya fahami. Walau bagaimanapun, saya mendoakannya sentiasa ceria dan sukses. Wahai anak murid saya, buatlah persediaan yang terbaik dan sentiasalah berpegang pada prinsip "genggam bara api, biar sampai jadi arang".

Selepas kecewa dengan penutupan laman blog murid perempuan itu, saya meneruskan penjelajahan dan pelayaran laman web salah seorang pelajar yang setia menghadiri kelas saya. Saya dapati pelajar ini bergerak aktif dalam kehidupannya seiring rambut yang baru dipotongnya. Daripada aktiviti bernyanyi sehinggalah aktiviti sukan lasak dan sihat. “Otak yang cerdas datang daripada badan yang sihat”. Syabas saya ucapkan kepada anda. Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk menguar-uarkan kepada semua pembaca blog agar bersukan dan beriadah demi kesihatan diri. Semangat dan iltizam dalam aktiviti sukan dan akademik yang seimbang merupakan kunci kejayaan yang paling bermakna demi masa depan.

Secara tuntas untuk kala ini, bacalah pantun di bawah, semoga terhibur!

Tepi taman bertanam peria,
Bunga ros durinya banyak;
Der Chuan murid kesayangan saya,
Siapa buli dia, siap awak!

Luka hati saya Ken Yap memperdaya,
Luka di hati belum pulih;
Hendak seribu daya,
Tak hendak seribu dalih.


Banyak pelajar mendapat ilmu,
Kelas BM Cikgu Tan penuhnya selalu;
KhaiNi pemalu KenYap tak tahu malu,
Padankah bagai pinang dibelah dua?

Tiap-tiap Jumaat berhati ria,
Gembira ada juga penatnya,
Natalie, Alicia, Joy, dan Andrea,
Janganlah macam murai dicabut ekornya.


Saya mahu meneruskan pantun di atas, namun… eloklah saya sambung kemudian.
Terimalah salam siber daripada saya!

10 September 2008

Soalan Ramalam PMR 1 - Karangan Panjang Bahagian C

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

[ 40 markah ]

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru tentang kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini inomin dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat

7 September 2008

SOALAN RAMALAN KERTAS BM UPSR 2008!

Kurang daripada 20 jam lagi, para pelajar yang saya kasihi di luar sana akan menduduki peperiksaan awam pertama dalam kehidupan mereka. Hal ini pasti menggeletarkan dan membimbangkan mereka termasuk ibu bapa dan ahli keluarga. Saya sering kali suka membuat ramalan dan kajian tentang soalan yang bakal disoal dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM. Walau bagaimanapun, "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya", maka pelajar harus sedar bahawa kejayaan dalam peperiksaan haruslah melalui keperitan dan kesusahan yang tidak dapat digambarkan. Baiklah, "masa itu emas", saya tidak akan membazirkan masa saya. Berikut ialah soalan ramalan saya untuk UPSR 2008. Soalan ramalan ini saya buat berdasarkan kajian dan penyelidikan serta menggunakan pengalaman sebagai seorang pendidik. Saya harus menegaskan bahawa apa-apa sahaja soalan yang keluar esok, anda harus bersiap sedia menghadapinya. Saya hanya meramal kerana "manusia punya asa, Tuhan punya kuasa". Jangan menyalahkan saya atau menuding jari dengan mengatakan apa-apa tentang Cikgu Tan jika soalan berikut tidak keluar:
SOALAN BM RAMALAN SEKOLAH
KEBANGSAAN (SK)
DAN
SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (SJK)
BAHAGIAN A - Bina ayat
"Huruf yang italik ialah kata kunci yang sesuai)
  1. Suasana kemalangan (kemalangan dahsyat, cedera parah, kereta remuk-redam, mangsa meraung kesakitan, kereta ambulans tiba, dikejarkan ke hospital)
  2. Suasana perkelahan (cuaca baik, berkelah di tepi pantai, menyediakan makanan dan minuman, bermain air, berenang dengan ria)
  3. Suasana kegiatan kokurikulum / aktiviti di sekolah (mendengar arahan ketua, memakai uniform dengan kemas, bekerjasama menjayakan aktiviti, bersatu padu, memupuk perpaduan)
  4. Suasana pertandingan dan perlawanan di sekolah (riuh-rendah, tepukan gemuruh, memberikan sokongan, pasukan lawan, merangkul pingat kejayaan)
  5. Suasana aktiviti kekeluargaan (meluangkan masa, berbual mesra, berkongsi pendapat, meringankan beban ibu bapa, anak kesayangan)

BAHAGIAN B - Karangan

  1. Karangan Jenis Syarahan / Ucapan ( pertandingan / hari perasmian / perpisahan)
  2. Karangan Jenis Surat Rasmi (aduan / permohonan / penjelasan cuti)
  3. Karangan Surat Tidak Rasmi (surat kepada keluarga / kawan / sahabat pena / sepupu)
  4. Karangan Autobiografi (kamus, komputer, komputer riba (notebook), telefon mudah alih, alat berteknologi)
  5. Karangan Jenis Pengalaman (yang sudah berlaku seperti lawatan, kunjungan, bercuti)
  6. Karangan Jenis Fakta ( kelebihan amalan menabung, faedah menyertai aktiviti di sekolah, keburukan penggunaan telefon bimbit, keburukan tabiat merokok)

BAHAGIAN C - membina ulasan

FORMULA ( AMALAN BAIK DALAM PETIKAN)

  1. Kita mestilah ...... agar ......
  2. Kita haruslah ...... supaya ......
  3. Kita hendaklah ...... demi ......
  4. Kita patutlah ...... untuk ......
  5. Kita wajarlah ...... kerana ......

FORMULA ( AMALAN TIDAK BAIK DALAM PETIKAN)

  1. Usahlah kita ...... kerana ......
  2. Janganlah kita ...... oleh sebab ......
  3. Sebagai pelajar, jauhilah sikap ...... yang akan menyebabkan ......
  4. Sebagai anak, elakkan daripada tabiat ........ kerana ......
  5. Kita tidak patut ....... demi .......

SEMOGA BERJAYA DALAM UPSR!
CIKGU MENDOAKAN KEJAYAAN UNTUK ANDA!

4 September 2008

"Dari" dan "ke" serta "kepada" yang sering kali disalahgunakan!

“Dari”, “daripada”, “ke” dan “kepada” ialah sebahagian daripada kata sendi nama. Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama.
Kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu (ATM).
Manakala kata sendi nama “daripada” hadir di:
1. hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan,
2. benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda,
3. perbezaan atau perbandingan.
Contoh penggunaan “dari” dan “daripada” adalah seperti yang berikut:
a. Kereta itu bertembung dengan lori yang datang dari utara (bukan daripada utara).
b. Guru baharu itu berasal dari Kota Kinabalu (bukan daripada Kota Kinabalu).
c. Orang ramai telah mula berkumpul dari pagi lagi (bukan daripada pagi lagi).
d. Jambangan bunga itu daripada peminatnya (bukan dari peminatnya).
e. Perabot di rumahnya semuanya dibuat daripada kayu (bukan dari kayu).
f. Dia lebih peramah daripada adiknya (bukan dari adiknya).
Kata sendi “ke” dieja terpisah daripada nama atau frasa nama yang mengikutinya. Kata sendi “ke” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa.
Kata sendi nama “ke” tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang. Ingat, kata sendi "ke" hanya untuk disambut oleh kata arah, tempat seperti dalam contoh yang berikut:
g. Buruan polis itu dilihat memandu ke arah utara.
h. Ayah akan ke Kuching esok.
i. Ayah memandu kereta dari Kuala Lumpur hingga ke Melaka.
Manakala, kata sendi nama “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, dan unsur mujarad, serta menyatakan pecahan dan perubahan keadaan, seperti dalam contoh berikut:
j. Berita itu hanya sampai kepada pihak kami semalam.
k. Sisa makanan itu diberikannya kepada kucing.
l. Soalan peperiksaan itu terbahagi kepada dua bahagian.
m. Sila serahkan borang permohonan kepada Bahagian Pengambilan.

"di dalam" dan " dalam" dan " di" yang mengelirukan pengguna bahasa

Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.
Misalnya, "di sekolah", "di Ipoh" dan "di halaman".

Kata sendi nama "di" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.
Contohnya,
  • di masa (salah) pada masa (betul)
  • di waktu (salah) pada waktu (betul)
  • di zaman (salah) pada zaman (betul)
  • di saat-saatt (salah) pada saat-saat (betul)

Kata sendi nama "dalam" dan "antara" pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Contohnya:
  • “Dalam hal ini, (bukan: Di dalam hal ini,);
  • dalam bahasa kebangsaan (bukan di dalam bahasa kebangsaan);
  • perjanjian antara kedua-dua pihak (bukan di antara kedua-dua pihak);
  • persamaan antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi (bukan persamaan di antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi).

Contoh penggunaan frasa sendi nama ‘di dalam’ yang betul adalah seperti contoh yang berikut:

  • “Dilarang merokok di dalam pejabat”;
  • “Majlis itu diadakan di dalam dewan.”

    Contoh penggunaan frasa sendi nama 'di antara' pula, ialah:
  • “Jarak di antara rumahnya dengan sekolah kira-kira 500 meter”.

1 September 2008

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Sejak 30 Ogos lagi, banyak warga Malaysia yang menikmati cuti 3 hari kerana hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 jatuh pada hari Ahad. Kedinginan semilir senja yang bertiup sepanjang beberapa hari ini terus menghiasi iklim perayaan ini. Hampir setiap hari cuaca yang tidak menentu menyebabkan Sang Suria kian malu untuk menghiasi awan, walhal gugusan awan yang mendung terus menggelapkan siang dan malam suasana cuti. Cuasa sebegini memang memalaskan kita untuk ke mana-mana. Dalam menikmati cuti dengan penuh perasaan santai atau relaks, saya ingin meluahkan perasaan saya tentang erti kemerdekaan bagi diri saya yang sebenar.

Sejak bergelar pendidik, saya mula sedar bahawa guru yang baik sentiasa menjadi pedoman kepada pelajar untuk terus mengorak langkah terus cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, pada pendapat saya, murid zaman dotkom ini sudah juah berbeza daripada murid terdahulu. Saya sedar, kita perlu maju, kita perlu moden dan berganjak dari takuk lama. Di sebalik anjakan paradigma yang dibuat oleh golongan muda, erti "kemerdekaan" sudah disalah tafsir sebagai hari untuk berpesta daripada hari untuk mengenang jasa dan bersyukur atas kemerdekaan yang dinikmati pada zaman pascakemerdekaan. Mengapa? Tepuk dada, tanya selera.
"Perpaduan Teras Kejayaan" merupakan tema Hari Kebangsaan yang ke-51. Perpaduan diberi penekanan oleh pihak kerajaan sebagai kunci kejayaan kerana "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Prinsip ini memang sesuai dengan keadaan negara yang dilanda pergolakan sosial dan politik. Hal ini memang jelas apakala paparan surat khabar punuh dengan unsur politik daripada mempromosikan Hari Kebangsaan. Keadaan ini menyebabkan saya berasa kesal dengan sikap penerbit surat khabar yang kurang patriotik dalam melahirkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Banyak pelajar menyalahgunakan "kemerdekaan" yang diberikan kepada mereka. Mereka terlalu bebas dalam ambang globalisasi. Penyalahgunaan fungsi internet dalam blog saya juga berlaku apabila ada yang memanggil saya sebagai guru yang bodoh di dunia dan orang yang tak ada otak. Saya sedar bahawa "siapa makan cili, dia rasa pedas". Janganlah mencaci guru sebegini sehingga menggores perasaan pendidik. Tanpa guru, murid hanya kotak kosong yang tiada isi. Saya berharap para pelajar akan terus menggunakan blog sama sebagai platform belajar, bukan tempat untuk saling bergaduh atau saling menghina.
Salam pascamerdeka yang ke-51,

30 August 2008

Kesal - Sesal - Istirehat - Istirahat

Pelajar sering kali menyalah guna perkataan "kesal" dan "sesal" Selepas membaca penerangan di bawah, saya berharap anda jangan salah guna kedua-dua perkataan itu lagi.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "sesal" mempunyai banyak makna, antaranya:

1. sesal
perasaan tidak senang kerana telah melakukan sesuatu yg tidak baik (dosa dan lain-lain), keinsafan telah bersalah: apabila ia melihat perbuatannya yang kasar itu, ia berasa ~; ~ dahulu pendapatan, ~ kemudian tiada berguna (peribahasa) sebelum mengerjakan atau melakukan sesuatu hendaklah difikirkan habis-habis;

2. sesal
bersesal = ~ hati = menyesal;

3. sesal
bersesalan, bersesal-sesalan salah-menyalahkan; ~ bagai Batak lari (peribahasa) tuduh-menuduh sesama sendiri;

4. sesal
menyesal
1. berasa tidak senang kerana telah melakukan sesuatu kesalahan (kejahatan dan lain-lain), insaf telah bersalah: kalau rugi jangan ~ nanti;
2. berasa kecewa (akan), berasa tidak senang (akan): ia tidak ~ atas perbuatannya;

5. sesal
menyesali
1. berasa sesal terhadap: tidak baik ibu berkata demikian sebagai ~ untung;
2. berasa tidak senang kepada, mempersalahkan: dia ~ jawatankuasa pengelola yang seakan-akan tidak tahu menjalankan tugasnya;

6. sesal
sesal-menyesali bersesalan;

7. sesal
menyesalkan 1. berasa sesal atau kecewa terhadap sesuatu, menyesali, menyalahkan: siapa yang hendak disalahkan, siapa yg harus disesalkan, manusia juga yang mengajar manusia jadi begini; 2. menyebabkan jadi menyesal: perbuatan yg sangat ~ dirinya;

8. sesal
sesalan
1. perasaan sesal, (sesuatu) yang disesalkan: jikalau datang sesuatu hal di jalan, mati hidup tiadalah kami ketahui, jangan menjadi ~; air mukanya membayangkan rasa ~nya;
2. penentangan, celaan: keris inilah kelak akan menebus ~ patik hari ini;

9. sesal
kesesalan perihal sesal, kekesalan: untuk membuktikan ~ saya itu, saya sudi bekerjasama dengan pemerintah;

10. sesal
penyesalan perihal menyesal(i).
Di bawah ini pula makna bagi "kesal" mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat. Sila beri perhatian.

1. kesal
= ~ hati 1. berasa kecewa atau tidak senang hati (di atas sesuatu perkara, perbuatan, dll), berasa sebal, berasa jengkel: penduduk-penduduk di situ ~ kerana tidak ada hospital atau klinik di daerah itu; katanya ia tidak ~ tentang apa yg berlaku.

2. kesal
mengesali berasa kesal (tidak senang) akan: menteri itu ~ sikap setengah-setengah parti pembangkang dlm hal ini; beliau ~ pergaulan bebas pemuda-pemudi;

3. kesal
mengesalkan menyebabkan berasa kesal (kecewa, tidak senang hati), menimbulkan (membangkitkan) kesal: hal itu sangat ~ hati mereka berdua;

4. kesal
kesalan rasa kesal: raut mukanya yg berkerut-kerut itu menunjukkan ~nya di atas segala-gala yg telah berlaku;

5. kesal
kekesalan perihal (perasaan) kesal, kekecewaan, kesebalan, kejengkelan: mereka yg tidak berjaya kembali dgn penuh ~.
Perkataan "istirehat" sebenarnya TIDAK WUJUD dalam bahasa Melayu. Ejaan yang betul ialah "istirahat" yang bermakna:

1. istirahat
(bahasa Arab) = beristirahat berhenti drpd melakukan sesuatu utk menghilangkan penat lelah, berehat, mengaso: waktu ~ telah datang; dia akan ~ selama enam bulan;

2. istirahat
mengistirahatkan memberi (membiarkan) beristirahat; ~ diri melepaskan lelah;

3. istirahat
~ peristirahatan~ rumah (tempat dll) beristirahat, rumah rehat: akhirnya aku tiba di danau Balaton, tempat ~ yg indah; rehat.

28 August 2008

Penyalahgunaan internet dalam kalangan pelajar.

Semalam, saya sempat berbual-bual dengan beberapa orang pelajar. Daripada pengetahuan mereka, murid-murid sekarang mula terpengaruh oleh rakan sebaya dalam aktiviti menghina dan mencaci guru melalui laman web popular. Saya mengambil kesempatan tersebut dengan berbual-bual dengan pelajar yang saya sayangi itu. Katanya, guru itu "tidak layak" dan "tidak wajar dihormati kerana bodoh". Saya amat mengesali sikap pelajar yang berbuat demikian. Seterusnya, di dalam hati, saya berharap dia akan memikirkan perbuatannya dengan mendalam dan matang. Saya percaya, dengan keadaan fizikalnya yang matang dan sudah akil baligh, dia pasti dapat membuat keputusan yang baik untuk semua pihak. Walaupun saya bukan guru yang dihina olehnya, namun saya terasa sedih dan kesal atas perbuatannya. Walai murid, "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga". Jangan mengatakan bahawa guru itu tidak layak mengajar padahal anda belum sepandai guru tersebut. Saya berharap penyalahgunaan internet untuk tujuan mencaci, menghina, mahupun mencerca haruslah anda jauhi. Kita seharusnya berbangga dan berusaha menggunakan internet untuk tujuan belajar, bukannya untuk mengeksploitasi kebobrokan diri. "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga". Ingatlah bahawa suatu hari nanti anda akan bekerja dan menghadapi masyarakat juga. Janganlah bersikap dendam antara manusia.
Anggerik Doritis putihnya suci,
Anggerik Aranda merah warnanya,
Janganlah guru dihina dan dicaci.
Perbuatan kamu membuka pekung di dada.

20 August 2008

Isi Penting Karangan Ramalan PMR dan SPM

Karangan yang ditulis oleh pelajar dinilai oleh pemeriksa melalui aspek pemilihan isi yang matang dan bahasa yang baik. Oleh itu, isi yang baik mestilah diiringi peribahasa yang sesuai untuk mengutuhkan penyampaian isi. Berikut merupakan contoh soalan karangan dan isi penting yang sesuai. Anda mestilah belajar membuat kerangka karangan berserta peribahasa yang sesuai. Bijak menulis, Banyak markah!

Kepentingan aktiviti kemasyarakatan
1. memupuk perpaduan bangsa
P – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

2. mengatasi masalah sosial sebelum terlambat
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. berjasa kepada masyarakat dan negara
P – pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

5. memupuk semangat kejiranan
P – jiran bersepakat membawa berkat

Kebaikan mengulang kaji
1. menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan
P – sediakan payung sebelum hujan
2. mengatasi masalahdalam pelajaran
P – sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. lebih yakin menjawab soalan peperiksaan
P – cemerlang, gemilang, dan terbilang

5. meningkatkan ilmu dan pengetahuan
P – kata Nabi Muhammad, tuntutlah ilmu sampai ke negara China.

Punca kenaikan harga barang
1. harga petrol meningkat dan membebankan pekilang
P – berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul

2. kemelesetan ekonomi
P – naik seperti semut, turun seperti ribut

3. permintaan melebihi stok
P – ingat sebelum kena, jimat sebelum habis

4. kelemahan kawalan harga barang
P – harapkan pagar, pagar makan padi

5. peniaga mengambil kesempatan sewenang-wenangnya
P – menangguk di air keruh

Kesan pencemaran sungai

1. flora dan fauna musnah
P – sudah terhantuk baru tengadah

2. sumber rezeki manusia hilang
P – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

3. pemandangan terjejas
P – indah khabar daripada rupa

4. manusia mendapat penyakit
P – mencegah lebih baik daripada mengubati

5. merugikan wang, masa dan tenaga kerajaan
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Langkah melahirkan modal insan
1. kerajaan – akademik
P – tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung

2. Guru – mendidik ilmu dan menyalurkan pengetahuan
P – guru kencing berdiri, murid kencing berlari

3. Ibu bapa perlu memberi didikan moral dan akhlak
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

4. Program pendidikan – berunsur global
P – berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

5. Menaik taraf kemudahan belajar
P – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Langkah mengatasi jerebu
1. Kerajaan – menguatkuasakan undang-undang
P – berani kerana benar, takut kerana salah

2. Pihak sekolah – mendidik rakyat
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

3. Ibu bapa – menjadi contoh
P – bagaimana acuan, begitulah kuihnya

4. Masyarakat – bekerjasama dengan kerajaan
P – bagai aur dengan tebing

5. Diri sendiri – mencintai alam sekitar
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

18 August 2008

Ramalan Karangan UPSR 2008

Ramalan 1 - Karangan Jenis Pendapat
Kepentingan Hutan

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.

Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.

Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Ramalan 2 -Karangan Jenis Ucapan
Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Warga sekolah yang saya muliakan,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah keana memberi peluang berucap kepada saya. Saya terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar dan guru diminta melaporkan ketidakberdisiplinan pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.

Ramalan 3 - Karangan Jenis Dialog
Berbual-bual tentang tahap disiplin sekolah.

Dalam perjalanan menuju kantin sekolah, saya terserempak dengan Aisyah. Kami telah membincangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Ailiah: Aisyah, kamu tahu tak, disiplin memainkan peranan penting dalam kehidupan kita?

Aisyah: Saya pasti tahulah. Akhlak dapat membentuk disiplin dalam kehidupan kita. Dengan itu, kita tidak akan melakukan kesalahan yangmenjejaskan imej diri, sekolah, dan keluarga.

Aliah: Tapi, saya nampak disiplin pelajar sekolah kita semakin meruncing. Mereka melakukan banyak kesalahan tanpa memikirkan denda yang bakal diterima oleh mereka.

Aisyah: Ya, mereka memang degil dan nakal. Semalam saya mendapat tahu daripada Cikgu Tan bahawa pelajar kelas 6 Citra tidak menghormati guru. Ada antara mereka yang ponteng sekolah dan membuli pelajar dari sekolah lain. Nampaknya, tahap disiplin sekolah sudah bisul jadi nanah.

Aliah: Betul ke? Saya memang berasa kecewa dengan sikap mereka. Saya berpendapat pihak sekolah mesti tegas menyelesaikan masalah ini. Tindakan yang tegas mestilah dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan sekolah.

Aisyah: Sebenarnya, saya berpendapat bahawa pelajar dan guru-guru harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah ini. Saya pasti, kerjasama dan komitmen dalam pelajaran akan menyebabkan masalah disiplin dapat diatasi.

Aliah: Betullah kata kamu. Saya juga berpendapat bahawa apabila pelajar mementingkan pelajaran, masalah disiplin tidak akan menjadi serius. Peningkatan disiplin pelajar dapat meningkatkan imej sekolah.

Aisyah: Ya, eh, itupun Shekinah. Kenapa dia menangis?

Aliah: Jom kita tanya dia?

Aisyah: Baiklah.

Selepas tamat berbincang, mereka pun menuju ke arah Shekinah yang mengalirkan air mata.

12 August 2008

Pembentukan kata Majmuk

Bentuk Kata Majmuk
Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dipisahkan kepada tiga kelompok:


(i)terdiri daripada rangkaian kata bebas

  1. biru laut
  2. tengah hari
  3. kuning langsat
  4. Perdana Menteri
  5. Duta Besar
  6. Naib Canselor
  7. Ketua Setiausaha Negara
  8. gambar rajah
(ii) berbentuk istilah khusus
  1. model linear
  2. garis pusat
  3. pita suara
  4. kertas kerja
  5. batu kapur

(iii) mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa)

  1. kaki ayam
  2. buah hati
  3. bulan madu
  4. tumbuk rusuk
  5. makan angin

(iv) Bentuk yang telah mantap sebagai satu perkataan yang utuh dan dieja sebagai satu perkataan

  1. antarabangsa
  2. beritahu
  3. bumiputera
  4. jawatankuasa
  5. kakitangan
  6. kerjasama
  7. setiausaha
  8. sukarela
  9. suruhanjaya
  10. tandatangan
  11. tanggungjawab
  12. warganegara
  13. pesuruhjaya
  14. suruhanjaya
  15. ( tak ingat??? akan dimasukkan kemudian :P)


Terdapat sejumlah perkataan dalam golongan kata tertentu yang secara lazim dieja bercantum:
Kata nama

  1. peribadi
  2. peribahasa
  3. hulubalang
  4. dinihari
  5. perikemanusiaan

Kata adjektif

  1. sukacita
  2. dukacita


Kata sendi nama

  1. kepada
  2. daripada

Kata hubung

  1. apabila
  2. manakala
  3. padahal
  4. darihal
  5. barangkali
  6. kadangkala
  7. apakala
  8. walhal

Kata tanya

  1. bagaimana


Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja

  1. alat-alat tulis
  2. balai-balai raya
  3. suku-suku kata
  4. jirim-jirim organik
  5. Naib-Naib Canselor
  6. Ketua-Ketua Menteri

Satu kecualian: Kata yang melibatkan bentuk yang telah mantap; penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur

  1. pesuruhjaya-pesuruhjaya
  2. warganegara-warganegara
  3. tandatangan-tandatangan
  4. jawatankuasa-jawatankuasa
  5. setiausaha-setiausaha

Pengimbuhan kata majmuk
(i) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah

  1. campur aduk --> bercampur aduk
  2. litar selari --> berlitar selari
  3. ambil alih --> mengambil alih
  4. temu bual --> ditemu bual
  5. daya serap --> daya serapan


(ii) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum

  1. campur aduk --> mencampuradukkan
  2. daya serap --> kedayaserapan
  3. garis pusat --> menggarispusatkan
  4. satu padu --> menyatupadukanurus
  5. niaga --> diurusniagakan

Peringatan: Kata majmuk tidak menggunakan sempang (-), kecuali ketika penggandaan pada kata ganda.

7 August 2008

Karangan Bergambar Ralaman 4- Langkah yang patut diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi kadar kemalangan jalan raya

Dalam kesibukan negara mencapai status lima bintang dalam era pembangunan dan pembinaan negara, jaringan lebuh raya dan lingkaran jalan raya di nusa tercinta ini sentiasa dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Malaysia dikatakan memiliki kualiti jalan raya yang paling baik di rantau ini sebaliknya mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi. Malang tidak berbau, tetapi bau malang boleh dielakkan. Jika dipandang enteng, nyawa modal insan negara bagai telur di hujung tanduk. Saya berpendapat bahawa langkah-langkah drastik dan proaktif mestilah diambil oleh pihak berwajib untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang banyak meragut nyawa.

Kerajaan mestilah membuat anjakan paradigma dalam sistem pelaksanaan undang-undang keselamatan di jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang seyogianya diiringi ketegasan melaksanakannya. Pihak berkuasa seperti polis trafik tidak boleh bertolak ansur waima berkompromi dalam menegakkan undang-undang. Penggubalan akta keselamatan mestilah diubahsuai mengikut keperluan semasa. Denda dalam lingkungan RM150 hingga RM300 tidak pernah meninggalkan bekas, terutamanya kepada golongan yang bermaharajalela di jalan raya. Oleh hal yang demikian, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jikalau pihak kerajaan menaikkan kadar denda dan saman, langkah ini dapat memberi pedoman kepada pengguna jalan raya agar lebih bermoral dan beretika semasa memandu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri umpamanya mestilah diberi kuasa dan mandat untuk melaksanakan tugas. Sesiapa yang terlibat dalam tragedi kemalangan di jalan raya mestilah ditarik lesen pemanduannya. Sementara itu, sistem merit yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah dipautkan dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kedua-dua agensi kerajaan ini berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah laku lalu lintas yang membelakangkan nyawa insan lain. Saya berharap pihak kerajaan akan memegang prinsip genggam bara api, biar jadi arang dalam usaha menjadikan laluan trafik di Malaysia bebas daripada kemalangan. Dengan langkah ini, imej negara di persada dunia dapat dipertingkatkan demi kemajuan pelbagai bidang yang diharap-harapkan.

Jika dikaji dari sudut pemilikan lesen memandu, rakyat Malaysia amat “bertuah” kerana sistem yang diguna pakai di sini masih longgar dan mudah. Sejak beberapa dasawarsa, proses pemilikan lesen memandu bagai makan ais batu campur. Kelonggaran undang-undang yang dicemari gejala rasuah dan konsep “lesen terbang” menyebabkan pemandu “melayangkan” nyawa insan tidak berdoa sekali gus meranapkan harapan ibu bapa mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Saya berharap pihak berkenaan dapat membuat pengubahsuaian terhadap silibus ujian pemanduan. Dengan pendekatan yang positif ini, rakyat yang berjaya memiliki lesen memandu setelah melalui proses kompleks dan sukar pasti lebih menghargai lesen yang berjaya dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, sudah sampai masanya pihak PJP mengambil langkah proaktif untuk sama-sama menjadikan pemandu Malaysia lebih berkualiti.

Sebagai penutup wacana, kita harus sedar bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli seperti di pasar raya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara mestilah dilakukan dengan baik. Rakyat haruslah diinsafkan dengan prinsip “biar lambat, asalkan selamat”. Pemandu dan pengguna jalan raya sama-sama mendapat manfaat jika semua pihak bersepakat dalam ciri-ciri keselamatan di jalan raya. Rakyat merupakan penggerak kemajuan negara. Tanpa kemajuan, kita tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Saya berijtihad bahawa keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. Hal ini demikian kerana pandu cermat, jiwa selamat. Keselamatan di jalan raya dapat memastikan kita selamat berada di bumi bertuah ini untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga, bangsa, dan negara.

5 August 2008

Karangan jenis perbincangkan / pendapat "Tanggungjawab Ibu Bapa Dalam Pembentukan Disiplin Dalam Kalangan Anak-anak."

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.


Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu kala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.

Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.