NOTA PDPR 13
AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN CARA
Jom belajar keterangan cara dalam ayat majmuk. Harus ingat, bahagian ini juga selalu ada kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa. Keterangan cara ialah unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan.
Contohnya:
1. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api.
(1a): Pemuda itu datang.
(1b): Pemuda itu menaiki kereta pai.
2. Dengan memberanikan hati, kelasi itu terjun dari kapal ke dalam laut.
(2a) Kelasi itu terjun dari kapal ke dalam laut.
(2b) Kelasi itu memberanikan diri.
NOTA: Ayat di atas ialah ayat bersusunan songsang. Boleh sebab itu, "Dengan memberanikan diri" dikedepankan. Ayat induknya ada di belakang. Oleh sebab itu, ayat (2a) ialah ayat induknya.
3. Dengan menggunakan besi, Aziz memecahkan tingkap rumah itu.
(3a) Aziz memecahkan tingkap rumah itu.
(3b) Aziz menggunakan besi.
NOTA: Ayat asal juga ayat bersusunan songsang. Jika ayat disusun secara bersusunan biasa, tiada masalah juga. Ayatnya akan menjadi seperti yang berikut:
Aziz memecahkan tingkap rumah dengan menggunakan besi.
4. Dia membunuh ular itu dengan menggunakan buluh.
(4a) Dia membunuh ular itu.
(4b) Dia menggunakan buluh.
5. Mereka ke sekolah dengan menunggang basikal.
(5a) Mereka ke sekolah.
(5b) Mereka menunggang basikal.
NOTA PENTING
Banyak pengguna bahasa menganggap bahawa selepas "dengan" tidak perlu ada "menggunakan". Sebenarnya konsep ini untuk membuktikan kehadiran kata sendi nama. Oleh sebab "dengan" dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata hubung, maka kekeliruan ini berlaku. Lihat sampel di bawah:
Ali menulis karangan dengan pen.
NOTA: Ayat di atas menggunakan kata sendi nama "dengan" yang diikuti kata nama sebagai pelengkap. Ayat ini tidak dapat dicerakinkan/dipisahkan. Jika dipisahkan, ayat tersebut akan menjadi seperti yang berikut:
(a) Ali menulis karangan (betul)
(b) Ali pen. (salah)
sebaliknya, lihat ayat di bawah pula.
Ali menulis karangan dengan menggunakan pen.
NOTA: Ayat di atas menggunakan kata hubung pancangan keterangan cara "dengan". Oleh sebab itu, ayat ini dapat dicerakinkan/dipisahkan menjadi seperti yang berikut:
(a) Ali menulis karangan.
(b) Alu menggunakan pen.
Cubalah jawab soalan-soalan di bawah ini pula:
UJI PDPR 13
Baca ayat-ayat di bawah dengan telitinya, kemudian cerakinkan ayat di bawah kepada dua ayat tunggal.
(i) Kakak menghantar karangan kepada gurunya dengan menggunakan e-mel.
(ii) Ibu mengukus pau dengan menggunakan periuk.
(iii) Ayah membayar yuran sekolah adik dengan menggunakan wang simpanan.
(iv) Pihak sekolah menganjurkan majlis itu dengan menggunakan peruntukan khas.
(v) Guru cemerlang itu mengajarkan tatabahasa dengan menggunakan idea yang unik.
(vi) Adik pergi ke sekolah dengan menaiki bas.
(vii) Kim Long menuju ke bandar dengan menunggang basikal.
(viii) Aidan akan ke sekolah dengan berjalan kaki.
(ix) Jefri sudah pernah ke London dengan menaiki pesawat AirAsia.
(x) Guru-guru itu telah mengikuti konvoi ke Thailand dengan membawa kereta.
Murnikan jika ada kesilapan,
Terima kasih kerana sudi membawa indo PDPR ini.
1 comment:
Ada yang kata "dengan menggunakan" patut menjadi "menggunakan" sahaja. "dengan" dibuang. Apa pendapat cikgu tentang ini? Terima kasih.
Post a Comment