Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 September 2008

Karangan Bergambar SPM 2 - Soalan negeri Pahang

Kebajikan warga tua sentiasa menjadi isu yang hangat diperbualkan oleh ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat madani di negara kita tidak pernah diajar menjadi seperti kacang lupakan kulitnya. Oleh hal yang demikian, warga tua yang berkeluarga mahupun tidak berpunya apa-apa lagi menjadi permata hati pelbagai pihak termasuk kerajaan badan bukan kerajaan. Hari warga tua kala ini menjadi lebih bererti apabila pelbagai pihak dalam masyarakat hari ini sanggup memainkan peranan penting untuk membantu warga tua menjalani kehidupan haria yang lebih bermakna sementara menanti panggilan Ilahi.


Pihak kerajaan Malaysia sentiasa meletakkan warga tua di tahap yang tinggi acap kali belanjawan negara dibentangkan di Parlimen. Perdana Menteri, merangkap portfolio Menteri Kewangan telah membentangkan peruntukan yang "bahagia" sekali gus memberikan keceriaan kepada golongan tua. Elaun sara hidup warga emas telah dipertingkatkan seiring kenaikan harga barangan keperluan. Pengumuman ini membawa seribu harapan dan jutaan ukiran senyuman di bibir warga tua. Oleh sebab itu, warga tua dapat melangsungkan sisa-sisa hidup dengan lebih bermakna dan gembira.


Badan Bukan Kerajaan di Malaysia juga mempamerkan kesungguhan mereka untuk menghulurkan bantuan dan sokongan hidup kepada warga emas. Hal ini demikian kerana warga tua memerlukan perhatian daripada setiap pihak. Oleh hal yang demikian, badan kebajikan "Tzu Chi" umpamanya membuka lebih seratus buah klinik kebajikan dengan harapan warga tua dapat membuat pemeriksaan doktor secara percuma dan mendapat rawatan serta nasihat doktor yang bertauliah yang memegang pada prinsip "buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali". Hal ini dapat mengelakkan dan menurunkan tahap obesiti dan masalah kesihatan lain yang kian menyerang warga tua akibat pengabaian aspek kesihatan.


Ahli masyarakat sentiasa digalakkan supaya menghormati dan mentaati warga tua yang lebih berpengalaman dalam aspek kehidupan. Yang boleh kita lakukan ialah menggembirakan hati dan membahagiakan hidup mereka. Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak supaya membantu datuk dan nenek mereka yang tidak bertenaga, terutamanya ke tandas atau sewaktu berjalan-jalan. Apabila luangan masa berkualiti dikongsi bersama warga tua, kebahagiaan hidup berkeluarga dapat dicapai sekali gus merealisasikan slogan "rumahku syurgaku jua". Dengan berbuat begitu, masyarakat yang penyayang dan prihatin dapat dilahirkan.


Akhirulkalam, setiap daripada kita berpeluang melalui hidup pada usia lanjut. Mahukah kita melihat warga tua hidup merempat di lorong-lorong kemiskinan? Oleh hal yang demikian, pendidikan mengapresiasi warga tua haruslah dimulakan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan semangat ingin membantu dan meringankan beban kehidupan warga emas, setiap daripada kita mampu mengubah kehidupan mereka daripada duka menjadi suka. Sebagai penutup bicara, ingatlah bahawa hari ini hari mereka, esok hari kita.

25 September 2008

Ramalan SPM Bahasa Melayu Karangan Bergambar 1




Soalan di atas ialah Bahagian A, kertas Percubaan negeri Kelantan SPM 2008. Saya berpendapat bahawa soalan mirip tema ini amat maslahat, yakni industri pelancongan di Malaysia akan disoal dalam SPM 2008. Perhatikan Karangan contohnya seperti di bawah.
Karangan Contoh:


Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun 2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema kempen ini sekali gus membuka mata dan minda seantero dunia. Walau bagaimanapun, banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk memajukan industri pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan kurang efektif. Oleh hal yang demikian, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai lengan.


Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Hal ini demikian kerana promosi dan kempen dapat mempercepat langkah kerajaan menguar-uarkan aktiviti Tahun melawat Malaysia ke seluruh pelosok jagatraya. Melalui media massa dan jerayawara (aktiviti "road show"), saya yakin Malaysia dapat menarik perhatian pendarmawisata dari segenap sudut dunia. Hal ini memang mirip dengan lirik lagu "Malaysia Asia Sebenar" yang dimainkan di corong-corong radio. Justifikasinya, saya yakin bahawa kempen Tahun Melawat Malaysia akan sukses.


Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, sistem pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk menjana perkembangan industri pelancongan. Malaysia yang masih kekurangan dari segi kemudahan pengangkutan yang sistematik perlu ukur baju di badan sendiri sekali gus membuat anjakan paradigma dalam soal pengangkutan awam. Rungutan dan luahan ketidakpuasan hati pelancong mestilah diambil kira. Oleh sebab itu, kerajaan mestilah menyusun strategi pembangunan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf lima bintang sebagai pemangkin usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia yang mendambakan keunikan alam semula jadinya.


Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan lain dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong. Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng kerana industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Malaysia pasti boleh!


Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti dinyatakan di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan dalam bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya, genggam bara api, biarlah sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga nama Malaysia tersohor di seluruh dunia.

24 September 2008

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2009

BERIKUT IALAH KALENDAR PERSEKOLAHAN SESI 2009 YANG BARU DIUMUMKAN OLEH PIHAK KEMENTERIAN PELAJARAN.
SAYA AKAN MEMASUKKAN KALENDAR KUMPULAN A ( SEMUA NEGERI KECUALI KEDAH KELANTAN, DAN TERENGGANU).

BAGI PELAJAR KUMPULAN B ( NEGERI KEDAH, KELANTAN, DAN TERENGGANU), MEREKA MULA BERCUTI PADA HARI JUMAAT DAN MULA BERSEKOLAH PADA HARI AHAD SEPERTI YANG DIPRAKTIKKAN.

Kumpulan A ( Semua negeri kecuali Kedah, Terengganu, dan Kelantan)

PENGGAL 1
Hari Persekolahan
05.01.2009 HINGGA 20.03.2009

Cuti Pertengahan Penggal
14.03.2009 HINGGA 22.03.2009

Hari Persekolahan
23.03.2009 HINGGA 29.05.2009

Cuti Pertengahan Tahun
30.05.2009 HINGGA 14.06.2009

PENGGAL 2
Hari Persekolahan
15.06.2009 HINGGA 20.08.2009

Cuti Pertengahan Penggal
21.08.2009 HINGGA 30.08.2009

Hari Persekolahan
01.09.2009 HINGGA 20.11.2009

Cuti Akhir Tahun
21.11.2009 HINGGA 03.01.2010

Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am =208 hari

22 September 2008

18 September 2008

Pertama kali mendengar azan berkumandang di angkasa raya!

Selasa, 17 September 2008, saya diberi satu tanggungjawab berat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk melaksanakan tugasan ceramah bahasa BM SPM di negeri di bawah bayu, Sabah. Perjalanan program ini berlangsung dengan lancar dan segala yang saya rancang dan harapkan praceramah ini sememangnya terjadi. Penerbangan pascaceramah ini merupakan pengalaman baharu buat saya kerana terdengar azan sembahyang waktu Maghrib yang berkumandang di corong-corong pembesar suara di dalam pesawat. Pramugara dan pramugari Muslim yang bertugas tetap berdedikasi melaksanakan tugas sebelum meneguk secangkir air untuk membasahkan tekak yang kemarau seharian ditambah pula dalam keadaan cuaca yang kurang menentu kebelakangan ini. Saya berpendapat bahawa pengorbanan demi tugas seperti inilah yang benar-benar menguji kesabaran dan keimanan para Muslim sepanjang bulan ramadan. Selepas melihat kalendar, baru saya sedar sudah 17 hari muslimin dan muslimat menunaikan tiang agama keempat (menurut salah seorang pramugara yang bertugas). Saya masih jahil dalam hal-hal Islam, maklumlah saya bukan beragama Islam mahupun pernah mempelajari ajaran Islam. Walau bagaimanapun, saya juga dikejutkan dengan tarikh 17 September yang mengingatkan saya tentang ulang tahun kelahiran bonda tercinta saya. Penerbangan saya dijangka mendarat di lapangan terbang kira-kira jam 9:30 malam, pada masa itu, ibu saya sudahpun menutup tirai hariannya di dalam kamar tidur. Tarikh ini juga mengingatkan saya betapa dekatnya PMR dan SPM yang bakal menjelang dalam masa beberapa minggu sahaja. Alamak, ramalan saya belum dimuat naik lagi!
Calon PMR tahun ini memang berbeza dengan calon-calon lepas. Hal ini demikian kerana mereka terpaksa menduduki PMR seiring meraikan Hari Raya Aidilfitri yang saya jangka akan diraikan dan dan dirayakan dalam situasi sederhana kerana kelembapan ekonomi yang disulami kenaikan harga siling barangan keperluan. Sudah lama saya tidak berkesempatan sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri kerana sibuk dengan tugasan membuat ramalan PMR dan SPM. Kendatipun begitu, saya berharap pelajar-pelajar saya akan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi dua musim kebesaran ini, yakni perayaan dan peperiksaan. Sebagai penghias bicara akhir, ingatlah kata-kata motivasi saya kepada pelajar, jangan mudah berputus asa kerana Tuhan tidak pernah melahirkan penduduk bumi yang bodoh, cuma penduduk bumi memperbodoh diri sendiri. Oleh sebab itu, "manusia punya asa, Tuhan punya kuasa".
Calon pasca-UPSR yang masih dalam mood ceria selepas UPSR, jangan lupa singgah-singgah di laman blog saya untuk menimba ilmu baharu kerana cabaran menghadapi sekolah menengah semestinya lebih tinggi tahapnya. Janganlah leka meraikan “kemerdekaan” daripada UPSR yang hanya merupakan ujian pertama dalam kehidupan pelajar, masih ada dua atau tiga peperiksaan umum menanti anda.
Kepada guru-guru lain yang melawati laman blog saya, terima kasih saya ucapkan atas inisiatif anda. Sokongan yang diberikan kepada saya amat saya apresiasi dan sanjungi. Jika ada apa-apa kekurangan dan kecacatan dalam laman ini, pastikan anda meng-e-melkan cadangan dan syor-syor membina agar kita sama-sama dapat melahirkan banyak calon peperiksaan yang cemerlang dalam kertas BM. Saya boleh, Guru Malaysia Boleh!

13 September 2008

Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Sejak akhir-akhir ini, saya mendapati pelajar-pelajar saya memiliki “keistimewaan’ yang tersendiri. Keistimewaan tersebut menyebabkan saya pening kepala dan runsing. Ada yang mempamerkan peningkatan prestasi, ada pula yang terus berada di tahap yang sama dan selesa setakat A2 bukannya A1. Walau bagaimanapun, hari ini, saya tidak akan menulis blog tentang pelajaran, sebaliknya pengamatan saya terhadap sikap beberapa orang pelajar yang mungkin boleh kita teladani.

Sejak bulan Februari …… mungkin Mac, kelas saya didatangi “pelawat” yang mempunyai pengaruh keinggerisan yang pekat dalam dirinya…… kononnyalah. Walau bagaimanapun, dalam masa setengah tahun, dia berjaya mempamerkan peningkatan drastik dan saya amat berpuas hati dengan kualiti penulisannya dan kesungguhannya menyiapkan tugasan saya. Katanya, namanya dalam bahasa Cina bermakna “suara cinta”. Saya terpegun dengan kenyataan tersebut. Memang tidak dinafikan namanya indah tetapi janganlah memanggil pelajar lain dengan panggilan “Ah Beng” (budak kampung atau budak bertaraf rendah). Saya sedar pelajar itu tidak suka akan nama tersebut, namun “kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Saya berharap tiada siapa-siapa yang bersikap seperti Si Suara Cinta.

15 minit yang lalu, apakala saya ada kelapangan, saya sering meluangkan masa untuk melayari laman blog pelajar-pelajar cara. Dengan berbuat demikian, saya dapat memahami, menghayati, mengikuti perkembangan dalam kehidupan mereka dari masa ke masa. Alangkah sedihnya saya apabila mendapati laman blognya sudah ditutup. Pelajar ini memang banyak berubah kebelakangan ini. Di dalam kelas, dia sering berbantalkan lengan dan mengikuti kelas. Beban dan tanggungjawabnya mengekori pelajaran yang jauh ketinggalan olehnya amat saya fahami. Walau bagaimanapun, saya mendoakannya sentiasa ceria dan sukses. Wahai anak murid saya, buatlah persediaan yang terbaik dan sentiasalah berpegang pada prinsip "genggam bara api, biar sampai jadi arang".

Selepas kecewa dengan penutupan laman blog murid perempuan itu, saya meneruskan penjelajahan dan pelayaran laman web salah seorang pelajar yang setia menghadiri kelas saya. Saya dapati pelajar ini bergerak aktif dalam kehidupannya seiring rambut yang baru dipotongnya. Daripada aktiviti bernyanyi sehinggalah aktiviti sukan lasak dan sihat. “Otak yang cerdas datang daripada badan yang sihat”. Syabas saya ucapkan kepada anda. Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk menguar-uarkan kepada semua pembaca blog agar bersukan dan beriadah demi kesihatan diri. Semangat dan iltizam dalam aktiviti sukan dan akademik yang seimbang merupakan kunci kejayaan yang paling bermakna demi masa depan.

Secara tuntas untuk kala ini, bacalah pantun di bawah, semoga terhibur!

Tepi taman bertanam peria,
Bunga ros durinya banyak;
Der Chuan murid kesayangan saya,
Siapa buli dia, siap awak!

Luka hati saya Ken Yap memperdaya,
Luka di hati belum pulih;
Hendak seribu daya,
Tak hendak seribu dalih.


Banyak pelajar mendapat ilmu,
Kelas BM Cikgu Tan penuhnya selalu;
KhaiNi pemalu KenYap tak tahu malu,
Padankah bagai pinang dibelah dua?

Tiap-tiap Jumaat berhati ria,
Gembira ada juga penatnya,
Natalie, Alicia, Joy, dan Andrea,
Janganlah macam murai dicabut ekornya.


Saya mahu meneruskan pantun di atas, namun… eloklah saya sambung kemudian.
Terimalah salam siber daripada saya!

10 September 2008

Soalan Ramalam PMR 1 - Karangan Panjang Bahagian C

Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

[ 40 markah ]

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru tentang kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini inomin dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”

7 September 2008

SOALAN RAMALAN KERTAS BM UPSR 2008!

Kurang daripada 20 jam lagi, para pelajar yang saya kasihi di luar sana akan menduduki peperiksaan awam pertama dalam kehidupan mereka. Hal ini pasti menggeletarkan dan membimbangkan mereka termasuk ibu bapa dan ahli keluarga. Saya sering kali suka membuat ramalan dan kajian tentang soalan yang bakal disoal dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM. Walau bagaimanapun, "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya", maka pelajar harus sedar bahawa kejayaan dalam peperiksaan haruslah melalui keperitan dan kesusahan yang tidak dapat digambarkan. Baiklah, "masa itu emas", saya tidak akan membazirkan masa saya. Berikut ialah soalan ramalan saya untuk UPSR 2008. Soalan ramalan ini saya buat berdasarkan kajian dan penyelidikan serta menggunakan pengalaman sebagai seorang pendidik. Saya harus menegaskan bahawa apa-apa sahaja soalan yang keluar esok, anda harus bersiap sedia menghadapinya. Saya hanya meramal kerana "manusia punya asa, Tuhan punya kuasa". Jangan menyalahkan saya atau menuding jari dengan mengatakan apa-apa tentang Cikgu Tan jika soalan berikut tidak keluar:
SOALAN BM RAMALAN SEKOLAH
KEBANGSAAN (SK)
DAN
SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (SJK)
BAHAGIAN A - Bina ayat
"Huruf yang italik ialah kata kunci yang sesuai)
  1. Suasana kemalangan (kemalangan dahsyat, cedera parah, kereta remuk-redam, mangsa meraung kesakitan, kereta ambulans tiba, dikejarkan ke hospital)
  2. Suasana perkelahan (cuaca baik, berkelah di tepi pantai, menyediakan makanan dan minuman, bermain air, berenang dengan ria)
  3. Suasana kegiatan kokurikulum / aktiviti di sekolah (mendengar arahan ketua, memakai uniform dengan kemas, bekerjasama menjayakan aktiviti, bersatu padu, memupuk perpaduan)
  4. Suasana pertandingan dan perlawanan di sekolah (riuh-rendah, tepukan gemuruh, memberikan sokongan, pasukan lawan, merangkul pingat kejayaan)
  5. Suasana aktiviti kekeluargaan (meluangkan masa, berbual mesra, berkongsi pendapat, meringankan beban ibu bapa, anak kesayangan)

BAHAGIAN B - Karangan

  1. Karangan Jenis Syarahan / Ucapan ( pertandingan / hari perasmian / perpisahan)
  2. Karangan Jenis Surat Rasmi (aduan / permohonan / penjelasan cuti)
  3. Karangan Surat Tidak Rasmi (surat kepada keluarga / kawan / sahabat pena / sepupu)
  4. Karangan Autobiografi (kamus, komputer, komputer riba (notebook), telefon mudah alih, alat berteknologi)
  5. Karangan Jenis Pengalaman (yang sudah berlaku seperti lawatan, kunjungan, bercuti)
  6. Karangan Jenis Fakta ( kelebihan amalan menabung, faedah menyertai aktiviti di sekolah, keburukan penggunaan telefon bimbit, keburukan tabiat merokok)

BAHAGIAN C - membina ulasan

FORMULA ( AMALAN BAIK DALAM PETIKAN)

  1. Kita mestilah ...... agar ......
  2. Kita haruslah ...... supaya ......
  3. Kita hendaklah ...... demi ......
  4. Kita patutlah ...... untuk ......
  5. Kita wajarlah ...... kerana ......

FORMULA ( AMALAN TIDAK BAIK DALAM PETIKAN)

  1. Usahlah kita ...... kerana ......
  2. Janganlah kita ...... oleh sebab ......
  3. Sebagai pelajar, jauhilah sikap ...... yang akan menyebabkan ......
  4. Sebagai anak, elakkan daripada tabiat ........ kerana ......
  5. Kita tidak patut ....... demi .......

SEMOGA BERJAYA DALAM UPSR!
CIKGU MENDOAKAN KEJAYAAN UNTUK ANDA!

4 September 2008

"Dari" dan "ke" serta "kepada" yang sering kali disalahgunakan!

“Dari”, “daripada”, “ke” dan “kepada” ialah sebahagian daripada kata sendi nama. Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama.
Kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu (ATM).
Manakala kata sendi nama “daripada” hadir di:
1. hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan,
2. benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda,
3. perbezaan atau perbandingan.
Contoh penggunaan “dari” dan “daripada” adalah seperti yang berikut:
a. Kereta itu bertembung dengan lori yang datang dari utara (bukan daripada utara).
b. Guru baharu itu berasal dari Kota Kinabalu (bukan daripada Kota Kinabalu).
c. Orang ramai telah mula berkumpul dari pagi lagi (bukan daripada pagi lagi).
d. Jambangan bunga itu daripada peminatnya (bukan dari peminatnya).
e. Perabot di rumahnya semuanya dibuat daripada kayu (bukan dari kayu).
f. Dia lebih peramah daripada adiknya (bukan dari adiknya).
Kata sendi “ke” dieja terpisah daripada nama atau frasa nama yang mengikutinya. Kata sendi “ke” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa.
Kata sendi nama “ke” tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang. Ingat, kata sendi "ke" hanya untuk disambut oleh kata arah, tempat seperti dalam contoh yang berikut:
g. Buruan polis itu dilihat memandu ke arah utara.
h. Ayah akan ke Kuching esok.
i. Ayah memandu kereta dari Kuala Lumpur hingga ke Melaka.
Manakala, kata sendi nama “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, dan unsur mujarad, serta menyatakan pecahan dan perubahan keadaan, seperti dalam contoh berikut:
j. Berita itu hanya sampai kepada pihak kami semalam.
k. Sisa makanan itu diberikannya kepada kucing.
l. Soalan peperiksaan itu terbahagi kepada dua bahagian.
m. Sila serahkan borang permohonan kepada Bahagian Pengambilan.

"di dalam" dan " dalam" dan " di" yang mengelirukan pengguna bahasa

Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.
Misalnya, "di sekolah", "di Ipoh" dan "di halaman".

Kata sendi nama "di" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.
Contohnya,
  • di masa (salah) pada masa (betul)
  • di waktu (salah) pada waktu (betul)
  • di zaman (salah) pada zaman (betul)
  • di saat-saatt (salah) pada saat-saat (betul)

Kata sendi nama "dalam" dan "antara" pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Contohnya:
  • “Dalam hal ini, (bukan: Di dalam hal ini,);
  • dalam bahasa kebangsaan (bukan di dalam bahasa kebangsaan);
  • perjanjian antara kedua-dua pihak (bukan di antara kedua-dua pihak);
  • persamaan antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi (bukan persamaan di antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi).

Contoh penggunaan frasa sendi nama ‘di dalam’ yang betul adalah seperti contoh yang berikut:

  • “Dilarang merokok di dalam pejabat”;
  • “Majlis itu diadakan di dalam dewan.”

    Contoh penggunaan frasa sendi nama 'di antara' pula, ialah:
  • “Jarak di antara rumahnya dengan sekolah kira-kira 500 meter”.

1 September 2008

Erti Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang Sebenar.

Sejak 30 Ogos lagi, banyak warga Malaysia yang menikmati cuti 3 hari kerana hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 jatuh pada hari Ahad. Kedinginan semilir senja yang bertiup sepanjang beberapa hari ini terus menghiasi iklim perayaan ini. Hampir setiap hari cuaca yang tidak menentu menyebabkan Sang Suria kian malu untuk menghiasi awan, walhal gugusan awan yang mendung terus menggelapkan siang dan malam suasana cuti. Cuasa sebegini memang memalaskan kita untuk ke mana-mana. Dalam menikmati cuti dengan penuh perasaan santai atau relaks, saya ingin meluahkan perasaan saya tentang erti kemerdekaan bagi diri saya yang sebenar.

Sejak bergelar pendidik, saya mula sedar bahawa guru yang baik sentiasa menjadi pedoman kepada pelajar untuk terus mengorak langkah terus cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, pada pendapat saya, murid zaman dotkom ini sudah juah berbeza daripada murid terdahulu. Saya sedar, kita perlu maju, kita perlu moden dan berganjak dari takuk lama. Di sebalik anjakan paradigma yang dibuat oleh golongan muda, erti "kemerdekaan" sudah disalah tafsir sebagai hari untuk berpesta daripada hari untuk mengenang jasa dan bersyukur atas kemerdekaan yang dinikmati pada zaman pascakemerdekaan. Mengapa? Tepuk dada, tanya selera.
"Perpaduan Teras Kejayaan" merupakan tema Hari Kebangsaan yang ke-51. Perpaduan diberi penekanan oleh pihak kerajaan sebagai kunci kejayaan kerana "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Prinsip ini memang sesuai dengan keadaan negara yang dilanda pergolakan sosial dan politik. Hal ini memang jelas apakala paparan surat khabar punuh dengan unsur politik daripada mempromosikan Hari Kebangsaan. Keadaan ini menyebabkan saya berasa kesal dengan sikap penerbit surat khabar yang kurang patriotik dalam melahirkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Banyak pelajar menyalahgunakan "kemerdekaan" yang diberikan kepada mereka. Mereka terlalu bebas dalam ambang globalisasi. Penyalahgunaan fungsi internet dalam blog saya juga berlaku apabila ada yang memanggil saya sebagai guru yang bodoh di dunia dan orang yang tak ada otak. Saya sedar bahawa "siapa makan cili, dia rasa pedas". Janganlah mencaci guru sebegini sehingga menggores perasaan pendidik. Tanpa guru, murid hanya kotak kosong yang tiada isi. Saya berharap para pelajar akan terus menggunakan blog sama sebagai platform belajar, bukan tempat untuk saling bergaduh atau saling menghina.
Salam pascamerdeka yang ke-51,

30 August 2008

Kesal - Sesal - Istirehat - Istirahat

Pelajar sering kali menyalah guna perkataan "kesal" dan "sesal" Selepas membaca penerangan di bawah, saya berharap anda jangan salah guna kedua-dua perkataan itu lagi.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "sesal" mempunyai banyak makna, antaranya:

1. sesal
perasaan tidak senang kerana telah melakukan sesuatu yg tidak baik (dosa dan lain-lain), keinsafan telah bersalah: apabila ia melihat perbuatannya yang kasar itu, ia berasa ~; ~ dahulu pendapatan, ~ kemudian tiada berguna (peribahasa) sebelum mengerjakan atau melakukan sesuatu hendaklah difikirkan habis-habis;

2. sesal
bersesal = ~ hati = menyesal;

3. sesal
bersesalan, bersesal-sesalan salah-menyalahkan; ~ bagai Batak lari (peribahasa) tuduh-menuduh sesama sendiri;

4. sesal
menyesal
1. berasa tidak senang kerana telah melakukan sesuatu kesalahan (kejahatan dan lain-lain), insaf telah bersalah: kalau rugi jangan ~ nanti;
2. berasa kecewa (akan), berasa tidak senang (akan): ia tidak ~ atas perbuatannya;

5. sesal
menyesali
1. berasa sesal terhadap: tidak baik ibu berkata demikian sebagai ~ untung;
2. berasa tidak senang kepada, mempersalahkan: dia ~ jawatankuasa pengelola yang seakan-akan tidak tahu menjalankan tugasnya;

6. sesal
sesal-menyesali bersesalan;

7. sesal
menyesalkan 1. berasa sesal atau kecewa terhadap sesuatu, menyesali, menyalahkan: siapa yang hendak disalahkan, siapa yg harus disesalkan, manusia juga yang mengajar manusia jadi begini; 2. menyebabkan jadi menyesal: perbuatan yg sangat ~ dirinya;

8. sesal
sesalan
1. perasaan sesal, (sesuatu) yang disesalkan: jikalau datang sesuatu hal di jalan, mati hidup tiadalah kami ketahui, jangan menjadi ~; air mukanya membayangkan rasa ~nya;
2. penentangan, celaan: keris inilah kelak akan menebus ~ patik hari ini;

9. sesal
kesesalan perihal sesal, kekesalan: untuk membuktikan ~ saya itu, saya sudi bekerjasama dengan pemerintah;

10. sesal
penyesalan perihal menyesal(i).
Di bawah ini pula makna bagi "kesal" mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat. Sila beri perhatian.

1. kesal
= ~ hati 1. berasa kecewa atau tidak senang hati (di atas sesuatu perkara, perbuatan, dll), berasa sebal, berasa jengkel: penduduk-penduduk di situ ~ kerana tidak ada hospital atau klinik di daerah itu; katanya ia tidak ~ tentang apa yg berlaku.

2. kesal
mengesali berasa kesal (tidak senang) akan: menteri itu ~ sikap setengah-setengah parti pembangkang dlm hal ini; beliau ~ pergaulan bebas pemuda-pemudi;

3. kesal
mengesalkan menyebabkan berasa kesal (kecewa, tidak senang hati), menimbulkan (membangkitkan) kesal: hal itu sangat ~ hati mereka berdua;

4. kesal
kesalan rasa kesal: raut mukanya yg berkerut-kerut itu menunjukkan ~nya di atas segala-gala yg telah berlaku;

5. kesal
kekesalan perihal (perasaan) kesal, kekecewaan, kesebalan, kejengkelan: mereka yg tidak berjaya kembali dgn penuh ~.
Perkataan "istirehat" sebenarnya TIDAK WUJUD dalam bahasa Melayu. Ejaan yang betul ialah "istirahat" yang bermakna:

1. istirahat
(bahasa Arab) = beristirahat berhenti drpd melakukan sesuatu utk menghilangkan penat lelah, berehat, mengaso: waktu ~ telah datang; dia akan ~ selama enam bulan;

2. istirahat
mengistirahatkan memberi (membiarkan) beristirahat; ~ diri melepaskan lelah;

3. istirahat
~ peristirahatan~ rumah (tempat dll) beristirahat, rumah rehat: akhirnya aku tiba di danau Balaton, tempat ~ yg indah; rehat.

28 August 2008

Penyalahgunaan internet dalam kalangan pelajar.

Semalam, saya sempat berbual-bual dengan beberapa orang pelajar. Daripada pengetahuan mereka, murid-murid sekarang mula terpengaruh oleh rakan sebaya dalam aktiviti menghina dan mencaci guru melalui laman web popular. Saya mengambil kesempatan tersebut dengan berbual-bual dengan pelajar yang saya sayangi itu. Katanya, guru itu "tidak layak" dan "tidak wajar dihormati kerana bodoh". Saya amat mengesali sikap pelajar yang berbuat demikian. Seterusnya, di dalam hati, saya berharap dia akan memikirkan perbuatannya dengan mendalam dan matang. Saya percaya, dengan keadaan fizikalnya yang matang dan sudah akil baligh, dia pasti dapat membuat keputusan yang baik untuk semua pihak. Walaupun saya bukan guru yang dihina olehnya, namun saya terasa sedih dan kesal atas perbuatannya. Walai murid, "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga". Jangan mengatakan bahawa guru itu tidak layak mengajar padahal anda belum sepandai guru tersebut. Saya berharap penyalahgunaan internet untuk tujuan mencaci, menghina, mahupun mencerca haruslah anda jauhi. Kita seharusnya berbangga dan berusaha menggunakan internet untuk tujuan belajar, bukannya untuk mengeksploitasi kebobrokan diri. "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga". Ingatlah bahawa suatu hari nanti anda akan bekerja dan menghadapi masyarakat juga. Janganlah bersikap dendam antara manusia.
Anggerik Doritis putihnya suci,
Anggerik Aranda merah warnanya,
Janganlah guru dihina dan dicaci.
Perbuatan kamu membuka pekung di dada.

20 August 2008

Isi Penting Karangan Ramalan PMR dan SPM

Karangan yang ditulis oleh pelajar dinilai oleh pemeriksa melalui aspek pemilihan isi yang matang dan bahasa yang baik. Oleh itu, isi yang baik mestilah diiringi peribahasa yang sesuai untuk mengutuhkan penyampaian isi. Berikut merupakan contoh soalan karangan dan isi penting yang sesuai. Anda mestilah belajar membuat kerangka karangan berserta peribahasa yang sesuai. Bijak menulis, Banyak markah!

Kepentingan aktiviti kemasyarakatan
1. memupuk perpaduan bangsa
P – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

2. mengatasi masalah sosial sebelum terlambat
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. berjasa kepada masyarakat dan negara
P – pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

5. memupuk semangat kejiranan
P – jiran bersepakat membawa berkat

Kebaikan mengulang kaji
1. menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan
P – sediakan payung sebelum hujan
2. mengatasi masalahdalam pelajaran
P – sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

3. mengisi masa lapang dengan bijak
P – masa itu emas

4. lebih yakin menjawab soalan peperiksaan
P – cemerlang, gemilang, dan terbilang

5. meningkatkan ilmu dan pengetahuan
P – kata Nabi Muhammad, tuntutlah ilmu sampai ke negara China.

Punca kenaikan harga barang
1. harga petrol meningkat dan membebankan pekilang
P – berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul

2. kemelesetan ekonomi
P – naik seperti semut, turun seperti ribut

3. permintaan melebihi stok
P – ingat sebelum kena, jimat sebelum habis

4. kelemahan kawalan harga barang
P – harapkan pagar, pagar makan padi

5. peniaga mengambil kesempatan sewenang-wenangnya
P – menangguk di air keruh

Kesan pencemaran sungai

1. flora dan fauna musnah
P – sudah terhantuk baru tengadah

2. sumber rezeki manusia hilang
P – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

3. pemandangan terjejas
P – indah khabar daripada rupa

4. manusia mendapat penyakit
P – mencegah lebih baik daripada mengubati

5. merugikan wang, masa dan tenaga kerajaan
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Langkah melahirkan modal insan
1. kerajaan – akademik
P – tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung

2. Guru – mendidik ilmu dan menyalurkan pengetahuan
P – guru kencing berdiri, murid kencing berlari

3. Ibu bapa perlu memberi didikan moral dan akhlak
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

4. Program pendidikan – berunsur global
P – berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

5. Menaik taraf kemudahan belajar
P – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Langkah mengatasi jerebu
1. Kerajaan – menguatkuasakan undang-undang
P – berani kerana benar, takut kerana salah

2. Pihak sekolah – mendidik rakyat
P – melentur buluh biarlah dari rebungnya

3. Ibu bapa – menjadi contoh
P – bagaimana acuan, begitulah kuihnya

4. Masyarakat – bekerjasama dengan kerajaan
P – bagai aur dengan tebing

5. Diri sendiri – mencintai alam sekitar
P – sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

18 August 2008

Ramalan Karangan UPSR 2008

Ramalan 1 - Karangan Jenis Pendapat
Kepentingan Hutan

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.

Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.

Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Ramalan 2 -Karangan Jenis Ucapan
Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Warga sekolah yang saya muliakan,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah keana memberi peluang berucap kepada saya. Saya terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar dan guru diminta melaporkan ketidakberdisiplinan pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.

Ramalan 3 - Karangan Jenis Dialog
Berbual-bual tentang tahap disiplin sekolah.

Dalam perjalanan menuju kantin sekolah, saya terserempak dengan Aisyah. Kami telah membincangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Ailiah: Aisyah, kamu tahu tak, disiplin memainkan peranan penting dalam kehidupan kita?

Aisyah: Saya pasti tahulah. Akhlak dapat membentuk disiplin dalam kehidupan kita. Dengan itu, kita tidak akan melakukan kesalahan yangmenjejaskan imej diri, sekolah, dan keluarga.

Aliah: Tapi, saya nampak disiplin pelajar sekolah kita semakin meruncing. Mereka melakukan banyak kesalahan tanpa memikirkan denda yang bakal diterima oleh mereka.

Aisyah: Ya, mereka memang degil dan nakal. Semalam saya mendapat tahu daripada Cikgu Tan bahawa pelajar kelas 6 Citra tidak menghormati guru. Ada antara mereka yang ponteng sekolah dan membuli pelajar dari sekolah lain. Nampaknya, tahap disiplin sekolah sudah bisul jadi nanah.

Aliah: Betul ke? Saya memang berasa kecewa dengan sikap mereka. Saya berpendapat pihak sekolah mesti tegas menyelesaikan masalah ini. Tindakan yang tegas mestilah dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan sekolah.

Aisyah: Sebenarnya, saya berpendapat bahawa pelajar dan guru-guru harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah ini. Saya pasti, kerjasama dan komitmen dalam pelajaran akan menyebabkan masalah disiplin dapat diatasi.

Aliah: Betullah kata kamu. Saya juga berpendapat bahawa apabila pelajar mementingkan pelajaran, masalah disiplin tidak akan menjadi serius. Peningkatan disiplin pelajar dapat meningkatkan imej sekolah.

Aisyah: Ya, eh, itupun Shekinah. Kenapa dia menangis?

Aliah: Jom kita tanya dia?

Aisyah: Baiklah.

Selepas tamat berbincang, mereka pun menuju ke arah Shekinah yang mengalirkan air mata.

12 August 2008

Pembentukan kata Majmuk

Bentuk Kata Majmuk
Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dipisahkan kepada tiga kelompok:


(i)terdiri daripada rangkaian kata bebas

  1. biru laut
  2. tengah hari
  3. kuning langsat
  4. Perdana Menteri
  5. Duta Besar
  6. Naib Canselor
  7. Ketua Setiausaha Negara
  8. gambar rajah
(ii) berbentuk istilah khusus
  1. model linear
  2. garis pusat
  3. pita suara
  4. kertas kerja
  5. batu kapur

(iii) mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa)

  1. kaki ayam
  2. buah hati
  3. bulan madu
  4. tumbuk rusuk
  5. makan angin

(iv) Bentuk yang telah mantap sebagai satu perkataan yang utuh dan dieja sebagai satu perkataan

  1. antarabangsa
  2. beritahu
  3. bumiputera
  4. jawatankuasa
  5. kakitangan
  6. kerjasama
  7. setiausaha
  8. sukarela
  9. suruhanjaya
  10. tandatangan
  11. tanggungjawab
  12. warganegara
  13. pesuruhjaya
  14. suruhanjaya
  15. ( tak ingat??? akan dimasukkan kemudian :P)


Terdapat sejumlah perkataan dalam golongan kata tertentu yang secara lazim dieja bercantum:
Kata nama

  1. peribadi
  2. peribahasa
  3. hulubalang
  4. dinihari
  5. perikemanusiaan

Kata adjektif

  1. sukacita
  2. dukacita


Kata sendi nama

  1. kepada
  2. daripada

Kata hubung

  1. apabila
  2. manakala
  3. padahal
  4. darihal
  5. barangkali
  6. kadangkala
  7. apakala
  8. walhal

Kata tanya

  1. bagaimana


Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja

  1. alat-alat tulis
  2. balai-balai raya
  3. suku-suku kata
  4. jirim-jirim organik
  5. Naib-Naib Canselor
  6. Ketua-Ketua Menteri

Satu kecualian: Kata yang melibatkan bentuk yang telah mantap; penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur

  1. pesuruhjaya-pesuruhjaya
  2. warganegara-warganegara
  3. tandatangan-tandatangan
  4. jawatankuasa-jawatankuasa
  5. setiausaha-setiausaha

Pengimbuhan kata majmuk
(i) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah

  1. campur aduk --> bercampur aduk
  2. litar selari --> berlitar selari
  3. ambil alih --> mengambil alih
  4. temu bual --> ditemu bual
  5. daya serap --> daya serapan


(ii) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum

  1. campur aduk --> mencampuradukkan
  2. daya serap --> kedayaserapan
  3. garis pusat --> menggarispusatkan
  4. satu padu --> menyatupadukanurus
  5. niaga --> diurusniagakan

Peringatan: Kata majmuk tidak menggunakan sempang (-), kecuali ketika penggandaan pada kata ganda.

7 August 2008

Karangan Bergambar Ralaman 4- Langkah yang patut diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasi kadar kemalangan jalan raya

Dalam kesibukan negara mencapai status lima bintang dalam era pembangunan dan pembinaan negara, jaringan lebuh raya dan lingkaran jalan raya di nusa tercinta ini sentiasa dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Malaysia dikatakan memiliki kualiti jalan raya yang paling baik di rantau ini sebaliknya mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi. Malang tidak berbau, tetapi bau malang boleh dielakkan. Jika dipandang enteng, nyawa modal insan negara bagai telur di hujung tanduk. Saya berpendapat bahawa langkah-langkah drastik dan proaktif mestilah diambil oleh pihak berwajib untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang banyak meragut nyawa.

Kerajaan mestilah membuat anjakan paradigma dalam sistem pelaksanaan undang-undang keselamatan di jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang seyogianya diiringi ketegasan melaksanakannya. Pihak berkuasa seperti polis trafik tidak boleh bertolak ansur waima berkompromi dalam menegakkan undang-undang. Penggubalan akta keselamatan mestilah diubahsuai mengikut keperluan semasa. Denda dalam lingkungan RM150 hingga RM300 tidak pernah meninggalkan bekas, terutamanya kepada golongan yang bermaharajalela di jalan raya. Oleh hal yang demikian, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jikalau pihak kerajaan menaikkan kadar denda dan saman, langkah ini dapat memberi pedoman kepada pengguna jalan raya agar lebih bermoral dan beretika semasa memandu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri umpamanya mestilah diberi kuasa dan mandat untuk melaksanakan tugas. Sesiapa yang terlibat dalam tragedi kemalangan di jalan raya mestilah ditarik lesen pemanduannya. Sementara itu, sistem merit yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah dipautkan dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kedua-dua agensi kerajaan ini berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah laku lalu lintas yang membelakangkan nyawa insan lain. Saya berharap pihak kerajaan akan memegang prinsip genggam bara api, biar jadi arang dalam usaha menjadikan laluan trafik di Malaysia bebas daripada kemalangan. Dengan langkah ini, imej negara di persada dunia dapat dipertingkatkan demi kemajuan pelbagai bidang yang diharap-harapkan.

Jika dikaji dari sudut pemilikan lesen memandu, rakyat Malaysia amat “bertuah” kerana sistem yang diguna pakai di sini masih longgar dan mudah. Sejak beberapa dasawarsa, proses pemilikan lesen memandu bagai makan ais batu campur. Kelonggaran undang-undang yang dicemari gejala rasuah dan konsep “lesen terbang” menyebabkan pemandu “melayangkan” nyawa insan tidak berdoa sekali gus meranapkan harapan ibu bapa mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Saya berharap pihak berkenaan dapat membuat pengubahsuaian terhadap silibus ujian pemanduan. Dengan pendekatan yang positif ini, rakyat yang berjaya memiliki lesen memandu setelah melalui proses kompleks dan sukar pasti lebih menghargai lesen yang berjaya dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, sudah sampai masanya pihak PJP mengambil langkah proaktif untuk sama-sama menjadikan pemandu Malaysia lebih berkualiti.

Sebagai penutup wacana, kita harus sedar bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli seperti di pasar raya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara mestilah dilakukan dengan baik. Rakyat haruslah diinsafkan dengan prinsip “biar lambat, asalkan selamat”. Pemandu dan pengguna jalan raya sama-sama mendapat manfaat jika semua pihak bersepakat dalam ciri-ciri keselamatan di jalan raya. Rakyat merupakan penggerak kemajuan negara. Tanpa kemajuan, kita tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Saya berijtihad bahawa keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. Hal ini demikian kerana pandu cermat, jiwa selamat. Keselamatan di jalan raya dapat memastikan kita selamat berada di bumi bertuah ini untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga, bangsa, dan negara.

5 August 2008

Karangan jenis perbincangkan / pendapat "Tanggungjawab Ibu Bapa Dalam Pembentukan Disiplin Dalam Kalangan Anak-anak."

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.


Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu kala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.

Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

3 August 2008

Ramalan PMR Karangan 1 - Masalah Sosial, Lumba Haram

Kegiatan lumba haram dan pertunjukan lagak ngeri penunggang motosikal dalam kalangan remaja merupakan isu yang semakin banyak disiarkan dalam media massa.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor berlakunya gejala sosial ini.

[ 40 markah ]

Pendahuluan
- semakin dapat perhatian kerana banyak disiarkan dalam media massa.
- memerlukan tindakan segera dan berkesan.
- akan menjejaskan usaha melahirkan generasi terbilang

Isi 1
sikap ibu bapa sendiri
- terlalu mementingkan kerjaya.
- terlalu mempercayai dan memberi kebebasan.
- berlaku jurang komunikasi.

Isi 2
kurangnya didikan agama / moral
- remaja keliru dan sukar membezakan yang baik dan buruk.
- mudah dipengaruhi dan terpengaruh.

Isi 3
pengaruh rakan-rakan sebaya
- antaranya kerana tersilap memilih kawan
- lazimnya pengaruh rakan mengatasi sekiranya ibu bapa mengabaikannya.
- akhirnya terjebak dengan gejala-gejala negatif

Isi 4
pengaruh media massa
- penayangan filem atau rancangan yang keterlaluan.
- mereka terpengaruh kerana banyak masa dihabiskan untuk menonton.
- mengikut aksi lakonan pelakon idola dan memuja pelakon dengan meneladani watak negatif dalam filem

Isi 5
keadaan rumah yang bukan"syurga"
- rumah yang kecil, bilangan ramai.
- apatah lagi tidak ada kasih sayang.
- beranggapan ibu bapa tidak menghiraukannya.

Isi 6
sikap individu atau remaja itu sendiri
- berasa bangga melakukan kesalahan.
- menunjukkan “kehebatan” masing-masing.
- memang datang daripada keluarga yang bermasalah


Penutup

- perlu diatasi segera tanpa sering menyalahkan.
- usaha pencegahan perlu diambil secara bersepadu.
- jika tidak lahirlah generasi yang rendah moralnya.

2 August 2008

Soalan Ramalan Novel PMR 2008 ( 2)

Soalan :
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot berdasarkan novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]


Jawapan
Novel Meniti Kaca

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Eksposisi ialah permulaan cerita. Dalam bahagian ini, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Buktinya, pengarang memperkenalkan watak Nazar yang pulang dari sekolah dan mencari ibunya Mahyun yang tiada di rumah ketika itu. Mahyun menghidap penyakit nanar dan sering merayau ke rumah orang.
Cerita berkembang dalam plot perkembangan apabila Pak Sahar mengambil tindakan menghantar Mahyun ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit Mahyun. Penyakit Mahyun tidak juga sembuh dan dia dibawa pulang ke rumah. Suatu hari, Mahyun didapati hilang dan akhirnya dia ditemui mati.
Perumitan ialah konflik yang berlaku dalam sesebuah karya. Dalam novel ini, pelbagai masalah dihadapi oleh Nazar. Ketiadaan ibu dalam keadaan dia hampir menduduki peperiksaan PMR, dia mendengar desas-desus ayahnya akan berkahwin lagi. Sementara itu, hubungannya dengan Zainab telah disalah anggap oleh penduduk kampung sehingga dia dilarang oleh ayahnya belajar bersama-sama dengan Zainab. Ayahnya pula sering sakit dan penyakit ayahnya semakin teruk dari sehari ke sehari.
Puncak ialah klimaks sesebuah cerita. Pada bahagian yang paling penting ini, Nazar yang sedang belajar di sekolah berasrama penuh telah dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa orang lagi yang memberitahu bahawa ayahnya dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, Pak Sahar meninggal dunia semasa Nazar dalam perjalanan ke hospital.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran novel ini, jenazah Pak Sahar selamat dikebumikan. Nazar terus belajar di sekolah berasrama penuh dengan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Novel Pahlawan Pasir Salak
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Plot novel ini dijalin menurut kronologi. Pada bahagian pengenalan cerita atau eksposisi, pengarang memperkenalkan watak Deli, Pak Itam, Lamin, Akub dan juga Datuk Maharaja Lela. Mereka adalah watak-watak yang menetap di Pasir Salak, iaitu tempat yang menjadi fokus utama pengarang dalam novel ini.
Pada bahagian perkembangan cerita, pengarang menceritakan masalah yang dihadapi oleh penduduk Pasir Salak, yakni ancaman Inggeris yang sudah mula bertapak di Perak. Dijelaskan juga mengenai peranan Deli, Akub, dan Lamin yang bersemangat tinggi dalam menentang Inggeris.
Pada bahagian perumitan cerita atau konflik, pengarang menceritakan usaha-usaha Inggeris menguasai Pasir Salak. Mereka menghantar wakil menampal surat kenyataan mengutip cukai dan membina pondok mengutip cukai. Kedatangan Residen Birch bersama-sama askar Sipahi juga merupakan konfliknya, tetapi dapat ditangani oleh penduduk Pasir Salak.
Pada bahagian puncak atau klimaks cerita, Residen Birch telah mati dibunuh oleh Seputum dan Mat Arshad mati dibunuh Pak Endut ketika mereka datang ke Pasir Salak untuk menampal surat-surat kenyataan memungut cukai. Lantaran itu, Lamsah berjaya terjun ke dalam sungai lalu melarikan diri.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran cerita, cerita disampaikan begitu antiklimaks. Buktinya, anggota Inggeris yang lengkap dengan meriam dan senjata api bersama-sama Lamsah yang ditugaskan sebagai penunjuk jalan akhirnya telah berjaya ditewaskan oleh Datuk Maharaja Lela dan anak-anak buahnya.

Novel Panas Salju
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Novel ini ditulis mengikut kronologi. Pada bahagian permulaan atau dikenali sebagai eksposisi, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Permulaan cerita ini mengisahkan Zulkifli dan keluarganya pulang ke Kuala Linggi, Melaka untuk menghadiri kenduri arwah adik iparnya di rumah mertuanya. Selepas itu, mereka menuju ke selatan, Felda Ulu Tebrau, Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Zulkifli. Pada majlis tersebut, Zulkifli bertemu kawan lamanya, Muliyadi yang bertugas sebagai pensyarah ITM Shah Alam.
Perkembangan cerita ialah bahagian pengarang memperkenalkan lebih banyak watak dan cerita dilanjutkan dengan pelbagai peristiwa. Pada bahagian ini, Zulkifli dan Bushrah berbincang tentang kos rawatan Nadhirah yang masih jauh daripada mencukupi. Mereka kemudiannya meminta bantuan pihak media bagi memohon simpati masyarakat. Pada waktu inilah, mereka memanjatkan kesyukuran apabila Tan Sri Shamsuddin telah bermurah hati mendermakan RM350,000 untuk menjayakan pembedahan Nadhirah di London.
Pada bahagian perumitan atau konflik, Bushrah dikatakan mengambil keputusan untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah. Tindakannya mendapat sokongan dan bantahan daripada pelbagai pihak. Namun begitu, Bushrah tetap dengan keputusannya. Sebelum mereka berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah mengadakan kenduri doa selamat untuk Nadhirah.
Pada bahagian klimaks atau puncak cerita, Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah telah sampai di London. Mereka menjalani pembedahan di Hospital King’s College. Pembedahan yang dijalankan selama 14 jam tersebut diketuai oleh pakar bedah dari Malaysia, Dr. Tan Kai Chah. Akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan. Kejutan peristiwa pada bahagian ini ialah kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan.
Pada bahagian peleraian atau akhir cerita, pengarang lebih tertumpu pada kehidupan Zulkifli sekeluarga selepas kematian Bushrah. Nadhirah telah lulus Diploma perakaunan dan bekerja di Bank Islam, Kuala Lumpur. Kemudiannya dia berkahwin dengan seorang pakar bedah. Zukifli pula melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD manakala Nazli meneruskan pelajarannya di Kuala Kangsar.

1 August 2008

Ramalan PMR 2008 - Sinopsis Novel - Zon 1

Sinopsis Novel Meniti Kaca

Novel ini mengisahkan Nazar seorang anak tunggal dan masih dalam usia remaja. Oleh sebab ibunya nanar dan ayahnya selalu sakit, hidupnya tidak terurus. Begitu juga dengan makan minumnya. Jiran tetangga banyak membantu Nazar sekeluarga. Setelah ibunya meninggal dunia, Nazar terus gigih mengharungi hidup. Dia rajin belajar dengan rakan sekampung dan setingkatan. Tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. Nazar kehilangan kasih sayang ayah dan ibu. Dia bergantung harap kepada ibu saudaranya, rakan-rakan dan jiran tetangga. Berkat kesungguhan, sabar, tabah dan yakin, akhirnya Nazar berjaya dalam menempuh dugaan hidup. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Sinopsis Novel Pahlawan Pasir Salak

Novel Pahlawan Pasir Salak berkisar tentang Inggeris yang ingin berkuasa di Pasir Salak dengan memaksa penduduk membayar cukai. Datuk Maharaja Lela, menasihati penduduk Kampung Pasir Salak agar tidak membayar cukai kepada Inggeris. Datuk Maharaja Lela terus berpesan kepada penduduk kampung itu, agar mempertahankan Kampung Pasir Salak biarpun dengan darah dan juga nyawa. Oleh itu, mereka membina pondok-pondok kawalan dalam usaha untuk mempertahankan Pasir Salak daripada dikuasai Inggeris. Suatu hari, pondok kawalan telah dibakar manakala Lamsah yang berpura-pura baik telah melarikan diri dari kampung tersebut. Residen Birch telah mengarahkan Mat Arshad dan Lamsah menampal surat-surat kenyataan mengutip cukai. Oleh itu, berlakulah pertempuran antara penduduk Pasir Salak dengan wakil orang-orang Inggeris. Mereka telah membunuh Mat Arshad dan Birch. Pada 7 November 1875, angkatan Inggeris tiba di Pasir Salak. Peperangan berlaku sehingga banyak pihak musuh telah dibunuh termasuklah Lamsah. Penduduk Pasir Salak telah menang dan berjanji akan terus mempertahankan Pasir Salak.

Sinopsis Novel Panas Salju
Novel ini berkisah tentang Zulkifli Mohd Zain yang bekerja sebagai atendan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL). Anaknya Nadhirah mendapat penyakit kerosakan hati dan hempedu. Dr Gheethan dari HBKL mencadangkan Nadhirah dirawat di Hospital King’s College, London. Isteri Zulkifli ialah Cikgu Bushrah binti Ramli yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Tun Razak (2). Cikgu Bushrah sanggup menderma sebahagian hati kepada anak mereka Nadhirah walaupun risikonya cukup besar. Zulkifli menemui sahabat lamanya Mohammad Yusuf di pejabat Utusan Malaysia agar penderitaan mereka disiarkan. Tan Sri Shamsuddin bersetuju menderma sebanyak RM350,000 untuk kos rawatan pemindahan hati di Hospital King’s College, London. Pakar bedah, Dr Tan Kai Chah berjaya memindahkan hati daripada Bushrah kepada Nadhirah. Semasa di London, Zulkifli dibantu oleh Muliyadi Mahmood sahabat lamanya yang juga kartunis dan pensyarah di UiTM Shah Alam. Isteri Muliyadi Mahmood bernama Saliha Brigite, wanita Perancis. Muliyadi sekampung dengan Zulkifli di Felda Ulu Tebrau, Johor. Lima tahun kemudian, Bushrah meninggal dunia. Nadhirah berjaya dalam jurusan perakaunan dan bekerja di Bank Islam. Kemudiannya, Nadhirah berkahwin dengan seorang pakar bedah. Adiknya Nazli dapat belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Zulkifli sendiri telah belajar di Universiti Sains Malaysia secara jarak jauh. Kemudian belajar peringkat sarjana dan seterusnya PhD di universiti yang sama.

29 July 2008

Formula Menulis Pendahuluan Karangan

Teknik Penulisan Pendahuluan Karangan Jenis Fakta
Kebanyakan pelajar alpa bahawa pendahuluan dalam karangan merupakan titik awal dalam proses pemarkahan. Pendahuluan yang bebas daripada kesalahan, mempunyai kesinambungan yang erat antara fakta dengan huaraian berserta intipan isi yang samar-samar akan menyebabkan pemeriksa terpikat untuk meneruskan pembacaan, yakni penyemakan sekali gus memberikan markah yang baik untuk anda dalam peperiksaan. Kali ini, saya akan menggunakan formula "Bidang (B), Tajuk (T), Soalan (S)" untuk menghasilkan pendahuluan yang baik. Pembinan karangan ini sesuai untuk tahap PMR dan SPM, sama ada karangan bergambar mahupun karangan panjang. Lihat contoh soalan dan kerangka karangan untuk bahagian pendahuluan yang akan kita bincangkan di bawah ini:
Soalan:
Isu gengsterisme semakin mendapat liputan dalam media massa. Pihak sekolah seolah-olah gagal membanteras gejala ini daripada terus menular. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini semakin membimbangkan.
Kerangka pendahuluan
B - Masalah sosial
-> semakin membimbangkan
-> mencatatkan peningkatan yang mendadak.
T - Gejala gengsterisme
-> melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah
-> bermaharajalela di sekolah

S -> banyak faktor

Daripada kerang di atas, dapatlah kita membina 5 ayat dengan mudah. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

Pendahuluan Kualiti PMR
Pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak. Masalah sosial yang menjadi buah mulut masyarakat ialah gejala gengsterisme. Gejala ini melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Golongan gengster ini semakin bermaharajalela di alma mater. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Pendahuluan Kualiti SPM
Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana pihak polis mendapati kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Antara masalah sosial yang terus menjadi buah mulut yang hangat ialah gejala gengsterisme yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Keadaan menjadi semakin kronik kerana golongan gengster ini semakin bermaharajalela di sekolah mahupun di luar sekolah. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Jika kita mempunyai kesabaran dan kesungguhan yang konsisten, kejayaan pasti milik kita. Oleh hal yang demikian, saya berharap para pelajar dapat menggunakan teknik "B-T-S" untuk menulis karangan yang cemerlang.
Bersatu, Teguh, Sukses!

25 July 2008

Peribahasa yang Sesuai Dalam Karangan

Penggunaan peribahasa dalam karangan akan memberi impresi positif kepada pemeriksa bahawa anda mempunyai pengetahuan bahasa yang luas termasuk peribahasa. Oleh itu, saya berharap anda menggunakan sekurang-kurangnya lima peribahasa dalam setiap karangan.


PEPATAH


1. Ada air adalah ikan
– rezeki terdapat di mana-mana sahaja.

2. Ada asap ada api
– persahabatan yang tidak dapat dipisahkan.

3. Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras
– bagi orang yang mampu, segala kehendaknya mudah tercapai.

4. Ada rotan ada duri
– dalam kesenangan tentu ada kesusahannya.

5. Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas
– perbuatan yang jahat akan mendapat balasan juga.

6. Air sama air bersatu, sampah ke tepi juga
– tiada guna mencampuri perselisihan orang yang bersaudara kerana kita akan disisihkan apabila mereka berbaik-baik semula.

7. Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba
– sesuatu usaha tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta.

8. Alah sabung, menang sorak
– sudah kalah tetapi masih bercakap besar.

9. Alang-alang berdakwat biar hitam / alang-alang berminyak biar licin / alang-alang mandi biar basah
– sesuatu kerja hendaklah diusahakan dengan sempurna, jangan separuh jalan.

10. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
– kalau sudah terlanjur membuat sesuatu perbuatan jahat, biarlah sampai beroleh hasilnya.

11. Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kelaparan
– menguruskan hal orang lain sedangkan hal sendiri diabadikan.

12. Antan patah lesung hilang
– kemalangan yang datang bertimpa-timpa.

13. Ayam terlepas, tangan bau tahi
– melakukan perbuatan yang dilarang akhirnya mendapat malu

14. Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak
– lebih wajar membuat pekerjaan yang kurang baik sementara menunggu pekerjaan yang lebih baik.

15. Banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya
– kehendak, kegemaran, fikiran, dan lain-lain setiap orang adalah berbeza.

16. Bapa borek, anak rintik
– anak menurut baka bapanya.

17. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
– biarlah bersusah payah dahulu asalkan mendapat kesenangan pada kemudian hari.

18. Berani kerana benar, takut kerana salah
– orang yang benar akan mempertahankan kebenarannya dan orang yang bersalah akan berasa takut.

19. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
– betapa susah orang yang melihat penderitaan orang lain, lebih susah lagi orang yang mengalami penderitaan itu.

20. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
– bermuafakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada susah atau senang.

21. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar
– berhati-hati apabila menceritakan sesuatu hal.

22. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
– sama taraf.

23. Berpatah arang berkerut rotan
– tali persahabatan yang putus sama sekali.

24. Besar-besar istana raja, kecil-kecil pondok sendiri
– betapa senangnya di rumah besar kepunyaan orang lain, tidaklah sama dengan rumah sendiri biarpun kecil.

25. Besar tidak boleh disangka bapa, kecil tidak boleh disangka anak
– kepandaian atau kelebihan terdapat pada semua orang, tidak kira tua atau muda.

26. Biar mati anak, jangan mati adat
– adat resam tidak boleh dilanggar.

27. Biar putih tulang, jangan putih mata
– lebih baik mati daripada menanggung malu.

28. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
– berbuat baik janganlah berlebih-lebihan tetapi jangan sekali-kali berbuat jahat.

29. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
– pergaduhan sesama keluarga tidak berpanjangan, akhirnya berbaik-baik semula.

30. Di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu
– tipu muslihat biasanya dilakukan dengan perkataan yang lemah lembut dan manis.

31. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
– jika mempunyai cita-cita seseorang akan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mencapainya.

32. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
– kita hendaklah mematuhi peraturan tempat yang kita diami.

33. Diam-diam ubi berisi, diam-diam penggali berkarat
– diam orang yang berilmu itu berfikir sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja.

34. Didengar ada, dipakai tidak
– nasihat yang sia-sia.

35. Enggang sama enggang, pipit-sama pipit
– bergaul dengan orang yang sama taraf.

36. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
– jasa dan nama baik seseorang yang mati akan dikenang juga.

37. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah
– pergaduhan antara dua orang besar atau pemerintah, rakyat yang mendapat kesusahan.

38. Genggam bara api biar sampai jadi arang
– membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan.

39. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari
– tingkah laku guru akan menjadi ikutan murid.

40. Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
– budi baik seseorang tidak akan dilupakan walaupun dia telah mati.

41. Harapkan pagar, pagar makan padi
– seseorang yang dipercayai untuk menjaga sesuatu, dia pula yang mengkhianati kita.

42. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
– pembahagian yang sama rata.

43. Hati hendak semua jadi
– jika ada kemahuan, semua kerja akan jadi.

44. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
– jika berkehendakkan sesuatu akan berusaha untuk mendapatkannya, tetapi jika tidak mahu membuat sesuatu pekerjaan, berbagai-bagai alasan boleh diberikan.

45. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
– semasa hidup kita mestilah mengikuti adat resam, dan apabila sudah mati terserah pada hukum Tuhan.

46. Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing
– tolong-menolong dalam kehidupan

47. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
– tidak kira betapa mewah negara orang, namun negara sendiri juga yang lebih baik.

48. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati
– budi baik seseorang tidak dapat dibalas dengan wang dan harus diingat seumur hidup.

49. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu
– orang yang mengikut hawa nafsu akan musnah akhirnya.

50. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
– sentiasa beringat dan berhati-hati supaya tidak terpedaya.

51. Ini hari orang, esok hari kita
– malang dan malapetaka itu tidak dapat ditentukan.

52. Itik diajarkan berenang
– membuat pekerjaan yang sia-sia.

53. Jauh bau bunga, dekat bau tahi
– sanak saudara yang jauh selalu dikenang tetapi apabila dekat selalu bertengkar.

54. Kain sehelai sepinggang
– habis hartanya kerana kebakaran atau kecurian.

55. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
– pendapatan cukup untuk hidup sahaja (tidak bekerja tidak dapat wang untuk membeli makanan).

56. Kalah jadi abu, menang jadi arang
– tiada yang kalah atau menang dalam sama sahaja bagi kedua-dua pihak dalam sesuatu pergaduhan, kerana kedua-dua pihak menanggung kerugian.

57. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
– kepandaian atau kebolehan bukan pada orang tua sahaja tetapi ada juga pada orang muda atau kanak-kanak.

58. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
– sangat berbesar hati kerana nasihat atau bantuan orang lain.

59. Kuman di sebarang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak
– nampak kesalahan orang lain tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.

60. Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum
– banyak lelaki dan perempuan di dunia ini, jika tidak berkenaan, pilihlah yang lain.

61. Lain bengkak lain bernanah
– orang lain yang melakukan kesalahan tetapi orang lain pula yang dituduh.

62. Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati
– setiap orang mempunyai keinginan yang berbeza.

63. Lain lubuk lain ikannya (lain padang lain belalang)
– adat dan kebudayaan berbeza antara negara.

64. Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getahnya
– orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang menanggung akibatnya.

65. Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan
– manusia mana yang tidak pernah melakukan kesalahan.

66. Lembu punya susu, sapi dapat nama
– orang lain yang bekerja, orang lain pula yang mendapat nama.

67. Lepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya
– terlepas daripada sesuatu kesusahan, kesusahan lain pula yang menimpa.

68. Luka sudah hilang, parutnya tinggal juga
– walaupun sudah berbaik-baik selepas berkelahi tetapi kejadian itu masih ada dalam ingatan.

69. Masak di luar mentah di dalam
– kelihatan baik hati tetapi sebenarnya jahat.

70. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak
– menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

71. Masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri
– tidak mahu menerima nasihat yang diberikan.

72. Melepaskan anjing tersepit (Sesudah selepas ia menggigit)
– menolong orang yang tidak tahu mengenang budi akan merugikan kita sendiri.

73. Meludah ke langit menimpa muka sendiri juga
– membuat sesuatu yang tidak padan dengan diri sendiri seperti melawan orang yang lebih berkuasa, akhirnya kita sendiri yang susah.

74. Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih
– mencela orang tetapi diri sendiri lebih buruk daripada orang yang dicela.

75. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya
– tidak sesiapa pun dapat melarang seseorang daripada bercakap.

76. Niat hati nak memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai
– tidak berdaya untuk mencapai cita-cita.

77. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa
– mengucapkan terima kasih dan menghargai pemberian dan pertolongan yang diterima.

78. Pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk
– orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam.

79. Penyu bertelur beratus-ratus tiada orang tahu, ayam bertelur sebiji riuh sekampung
– orang yang berilmu merendah diri tetapi orang yang berpengetahuan cetek suka berlagak.

80. Pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri
– orang yang miskin dan lemah dilakukan sesuka hati oleh orang yang kaya dan berkuasa.

81. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
– sabar dan tekun mengerjakan sesuatu, akhirnya berjaya juga.

82. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
– tekun dan sabar membuat sesuatu pekerjaan akhirnya berhasil juga.

83. Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu
– orang yang sudah kena tipu akan berhati-hati pada kali lain.

84. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya terjatuh juga
– walau betapa pandai pun seseorang itu, ada kalanya tersilap atau kecundang juga.

85. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
– sebelum melakukan sesuatu hendaklah difikirkan habis-habis dahulu agar tidak menyesal kemudian.

86. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
– jika tidak dapat dicapai persetujuan dalam sesuatu mesyuarat, hendaklah diselidiki kembali soalan pokoknya.

87. Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga
– walau ke mana juga seseorang itu merantau, akhirnya balik ke tempat asalnya juga.

88. Siapa makan lada, dialah berasa pedas
– orang yang melakukan sesuatu yang kurang baik mudah terasa apabila orang mengatai dan menyindirnya.

89. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
– adat yang tidak berubah-ubah; sesuatu yang tetap utuh dan tidak berubah-ubah.

90. Takut kerana salah, berani kerana benar
– orang yang bersalah berasa takut tetapi orang yang tidak bersalah berani mempertahankan diri.

91. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang
– keuntungan yang datang daripada berbagai-bagai punca.

92. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran
– kerana mahu mengejar keuntungan yang besar, harta sedikit yang ada hilang pula.

24 July 2008

Karangan Bergambar PMR - Ramalan 3 "DENGGI"

Sebagaimana kita semua sedia maklum, penyakit denggi amat berbahaya. Penyakit ini boleh membawa kematian kepada mangsa.

Punca utama penyakit denggi ialah gigitan nyamuk aedes betina, yakni Nyamuk Aedes Aegypti. Nyamuk aedes biasanya bersembunyi dan bersarang di kawasan air bertakung. Gigitan nyamuk ini akan membawa padah kepada manusia.

Simptom penyakit denggi ialah seseorang diserang demam secara mengejut, sakit-sakit sendi dan ruam. Mangsa perlu dibawa ke hospital. Penyakit ini mesti dikawal kerana platelet darah yang menurun dalam badan akan menyebabkan pendarahan yang membawa kepada kematian.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa tempatan mestilah mengadakan operasi menyembur asap antidenggi. Langkah utama ini dapat membasmi pembiakan aedes betina. Kegiatan gotong-royong juga perlu diadakan di seluruh negara.

Secara tuntas, rakyat Malaysia mestilah berhati-hati dalam soal kesihatan. Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa menyeru agar rakyat dalam menjaga kebersihan sepanjang masa kerana “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
( 120 patah kata)

23 July 2008

Ramalan Karangan Bergambar PMR - 2

Karangan Bahagian A,

Lihat gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kes ragut di Malaysia. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pada masa ini, kes ragut semakin menjadi-jadi dan hangat dibualkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana ada kejadian kes ragut yang melibatkan kematian.

Punca utama kes ragut berlaku ialah golongan belia tiada pekerjaan. Sampah masyarakat ini dikatakan malas bekerja. Oleh sebab itu, kerja mereka ialah meragut tas tangan.

Kesannya, dokumen penting dalam beg akan hilang. Selain itu, wang dalam dompet juga dirampas. Yang lebih serius ialah mangsa juga tercedera parah.

Untuk mengurangkan kes ragut, kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang. Pihak polis haruslah mengadakan rondaan yang lebih kerap. Golongan wanita pula dinasihatkan agar tidak membawa tas tangan jika tidak perlu.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa kes ragut sebenarnya boleh diatasi. Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengurangkan masalah sosial dan jenayah.
( 118 patah kata)

22 July 2008

"Peninju" dan "Petinju" Ada Beza?

Di dalam kelas semalam, YK Lim bertanya kepada saya tentang perbezaan antara "petinju" dan peninju". Dalam bahasa Melayu, perkataan "petinju" dan "peninju" sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. "Petinju" bermaksud ahli tinju atau orang yang terlibat dalam perlawanan tinju. "Peninju" pula bermaksud penumbuk atau gengaman tangan untuk meninju atau menumbuk. Selain itu, "peninju" bermaksud orang yang meninju atau orang yang menumbuk. Dalam hal ini, orang yang meninju tidak sama maknanya dengan orang yang bertinju. Orang yang bertinju ialah orang yang terlibat dalam pertandingan atau perlawanan tinju, manakala orang yang meninju ialah orang yang terlibat dalam pergaduhan atau menumbuk atau meninju seseorang.

Ayat contoh:
1. Petinju negara yang akan menyertai sukan Olimpik 2008 ialah Azahar Othman.
2. Sebelum melepaskan tumbukannya, dia telah menghalakan peninjunya ke muka tokoh politik tersebut.
3.Pihak polis sedang mengesan peninju yang diupah untuk mencederakan ahli perniagaan itu.

Dalam hal ini, kita juga mestilah membezakan makna "peninju" dengan "penumbuk". Hal ini demikian kerana "penumbuk" mempunyai beberapa makna seperti:
a. alat untuk menumbuk sesesuatu seperti padi.
b. orang yang menumbuk sesuatu seperti padi.
c. kepalan atau genggaman tangan untuk menumbuk


Oleh itu, kita tidak sepatutnya menyamakan makna "peninju" dan "penumbuk" sebagai orang yang menumbuk. Jadi, "peninju" ialah orang yang meninju atau menumbuk seseorang, manakala "penumbuk" ialah alat atau orang yang menumbuk sesuatu atau genggaman tangan untuk menumbuk.


Kesimpulannya, perkataan "petinju", "peninju" dan "penumbuk" berbeza. Dari segi ketepatan penggunaannya, "petinju" ialah orang yang bertinju, manakala "peninju" ialah penumbuk atau genggaman tangan. Perkataan "peninju" yang merujuk kepada orang yang meninju atau menumbuk seseorang jarang-jarang digunakan dalam kalangan masyarakat. Makna "penumbuk" pula memang jelas, iaitu alat atau orang yang menumbuk sesuatu seperti padi dan juga kepalan atau genggaman tangan untuk menumbuk.