Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

29 April 2018

KOLEKSI KARANGAN POPULAR SPM 2014-2016

21 April 2018

MODUL PRAPEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2018



Salam sejahtera, nak cari skemanya, hantarlah mesej kepada saya melalui whatsapps / telegram 0122099440.

Selamat mencuba!

SUMBER: MODUL PERKEMBANGAN NEGERI TERENGGANU 2018



Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha menggalakkan industri tumbuhan herba dan kebaikan tumbuhan herba dalam bidang perubatan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pokok herba ialah tumbuhan yang dikategorikan sebagai pokok renek berbatang lembut ataupun keras dan mengandungi banyak air. Dahulu, pokok herba ini biasanya dijadikan oleh masyarakat sebagai bahan ubat-ubatan untuk merawat penyakit dan makanan tambahan untuk menguatkan tenaga. Tumbuhan herba ini juga sering digunakan dalam masakan bagi menyedapkan rasa masakan. Tumbuhan herba yang biasa digunakan dalam masakan seperti lengkuas, kunyit, halia dan bawang putih sebenarnya mempunyai khasiat yang menakjubkan tetapi telah dilupakan, sedangkan tumbuh-tumbuhan itu mudah diperoleh.
Kini, kecenderungan orang ramai sebagai pengguna mula terarah kepada produk semula jadi, lalu mereka memilih untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai bahan utama kegunaan harian. Untuk itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil langkah proaktif menjalankan penyelidikan mengenai tumbuhan herba bagi menggalakkan penanaman tumbuhan herba ini. Kementerian ini juga mengadakan kempen secara besar-besaran berkaitan penanaman tumbuhan herba untuk menyedarkan masyarakat tentang industri ini. Kempen ini boleh dijalankan melalui pelbagai media massa milik kerajaan atau pihak swasta agar masyarakat dapat membuka mata tentang industri tumbuhan herba ini. Penyaluran maklumat melalui media massa terutamanya media elektronik sebenarnya lebih efektif berbanding mengadakan ceramah atau pameran.
Bagi menyokong usaha kerajaan ini, agensi berkaitan pertanian sudah mengambil langkah dengan mewujudkan taman-taman herba di agensi masing-masing. Kewujudan taman-taman ini akan menarik minat para pekerja di agensi tersebut dan juga para pengunjung untuk mendalami ilmu berkaitan tumbuhan herba. Selain itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Taman Konservatif Pertanian yang menempatkan lebih 500 spesies tumbuhan herba yang berfungsi sebagai ubat-ubatan. Usaha tersebut yang digerakkan oleh Institut Biosains UPM telah berjaya menarik minat para penyelidik tempatan dan luar negara untuk menjalankan kajian perubatan bagi mengatasi pelbagai penyakit. Taman itu diusahakan di kawasan seluas dua hektar yang dipenuhi dengan tumbuhan asli dan eksotik daripada spesies tempatan. Kesemua pokok diatur dalam susunan landskap yang cukup menarik serta dilengkapi dengan label yang memaparkan maklumat seperti nama asal, nama saintifik dan kegunaannya. Dalam pada itu, untuk memastikan perkembangan industri herba, UPM juga ada menjalankan kerjasama secara komersial dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Sebagai contoh, sejak empat tahun lalu, UPM bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) telah bekerjasama menjalankan penyelidikan makmal secara klinikal untuk mencari penawar kepada penyakit kanser.
Seterusnya, bagi mendedahkan masyarakat kepada penggunaan, kaedah penanaman dan penjagaan tumbuhan herba ini, UPM telah menganjurkan Bengkel Pengenalan Tumbuhan Ubat-ubatan. Bengkel yang pertama kali diadakan itu juga bertujuan menimbulkan kesedaran dan minat dalam kalangan peserta terhadap tumbuhan herba di samping mengenal pasti potensinya dalam industri. Bagi merancakkan penanaman pokok herba ini, semua kerajaan tempatan disarankan membuat landskap tanaman herba di kawasan majlis perbandaraan masing-masing di samping menanam pokok-pokok hiasan. Orang ramai juga digalakkan menanam tumbuhan herba di pekarangan rumah mereka sebagai penghias halaman rumah. Bagi menggalakkan orang ramai menanam tanaman herba ini, Jabatan Pertanian akan memberikan pendidikan secara praktikal tentang proses-proses penanaman, penjagaan dan fungsi tumbuhan herba dalam menyembuhkan penyakit.
(Dipetik dan diubah suai daripada
Keajaiban Tumbuhan Herba
oleh Nazrul Azim Sharuddin
Utusan Malaysia, 10 Julai 2017)

Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)                 Berikan maksud rangkai kata memaparkan maklumat.                                   [2 markah]


(ii)               Pengarang ada mengemukakan beberapa fungsi tumbuhan herba dalam kalangan masyarakat dahulu.
Nyatakan fungsi-fungsi tersebut.                                                                      [3 markah]

(iii)             Perubatan tradisional kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Pada pendapat anda, mengapakah hal ini berlaku?                                [4 markah]



Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”
Selepas saya memperkenalkan diri, dia mula tersenyum meramahi saya sebelum menjemput saya masuk.
Kami bersalaman erat. Saya menyampaikan salam bonda kepadanya sebelum menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang saya bawa dari kampung.
Minggu-minggu pertama saya berada di kota mewah ini, dapat saya saksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsa saya. Mereka dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Saya berada jelik dan aib menyaksikan adegan sumbang wajah-wajah anak muda peribumi tanah air ini yang tidak segan silu menjual bahasa ibunda dan merosakkan agama yang murni. Anak-anak muda lelaki perempuan berpeleseran dalam pergaulan bebas sambil bercakap dalam bahasa yang entah apa-apa. Mereka bergelak tawa dalam loghat yang direka-reka konon untuk menunjukkan kemodenan. Saya jadi keliru dengan setiap patah slanga dan klausa yang tidak saya faham. Ada yang menggunakan pelbagai istilah rojak yang dicampuradukkan dengan bahasa asing yang mengelirukan. Saya jadi buntu. Malah rasa malu dengan sikap dan gelagat anak-anak muda sebangsa saya yang telah hilang identiti dan jati diri di negara mewah ini.
Dipetik daripada Munsyi
oleh Husna Nazri
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia.
(i)                 Apakah yang dilakukan oleh Munsyi selepas ‘saya’ memperkenalkan diri?                                                                                                                     [2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan remaja?                          [3 markah]

(iii)             Jelaskan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.                                                                                      [4 markah]



  
Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, jika demikian, sahaja aniayalah duli yang maha mulia dan dukacitalah sekalian empunya harta. Yang sebahagi itu akan patik. Dalam pada itu pun, mana kasih hatinya hendak memberi akan patik.”
Maka titah baginda, “Hai segala kamu, sukakah seperti kata Laksamana ini?”
Maka sembah mereka itu, “Sukalah patik sekalian memberikan Laksamana. Demi Allah dan Rasul-Nya, dengan tulus ikhlas hati patik sekalian.” Masing- masing pun memberikan segala hartanya akan Laksamana.
Maka Laksamana pun membahagi tiga, diambil oleh Laksamana harta itu sebahagi. Maka yang sebahagi Laksamana ambil itu dibahagi tiga pula; yang sebahagi itu didermakan pada segala fakir miskin dan yang sebahagi lagi diberikan pada segala pegawai yang tiada penguasaan dan sebahagi diberikan pada segala orangnya. Maka segala harta itu pun habislah, suatu pun tiada diambil oleh Laksamana.
Maka baginda pun terlalu amat kurnia akan Laksamana; barang sesuatu bicara, jikalau tiada Laksamana, tiadalah putus. Maka negeri Melaka pun kararlah.
Berapa lamanya maka terdengar ke Majapahit kepada Patih Gajah Mada bahawa Kertala Sari sudah mati dibunuh oleh Laksamana. Maka Patih Gajah Mada pun mencari daya dan upaya hendak mengalahkan negeri Melaka dan membunuh Laksamana itu juga, sentiasa menyuruh ke gunung dan segenap bukit bertanyakan orang yang bercakap membunuh Laksamana dan Ratu Melaka.
Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia.
(i)                 Berikan maksud tiadalah putus.                                                            [2 markah]

(ii)               Sultan Melaka menitahkan Laksamana untuk membahagi-bahagikan harta yang telah dirompak oleh Kertala Sari.

Nyatakan tindakan Laksamana terhadap harta rompokan tersebut.     [3 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan harta yang tidak dituntut oleh pemiliknya?     [3 markah]



Soalan 2 (d) - Puisi Tradisional
Baca petikan syair di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                                                          SYAIR BIDASARI

Dengarkan tuan suatu riwayat,
Raja di desa Negeri Kembayat,
Dikarang fakir dijadikan hikayat,
Supaya menjadi tamsil ibarat. 

Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.

Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.

Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.

Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan, 
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Jamilah Hj. Ahmad (Penyelenggara)
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Kementerian Pendidikan Malaysia.

(i)                 Nyatakan dua keistimewaan Raja Negeri Kembayat berdasarkan rangkap kedua dan rangkap ketiga syair di atas.                                                                    [2 markah]

(ii)               Generasi muda pada hari ini memainkan peranan penting untuk menjaga keamanan negara.
Pada pendapat anda, apakah peranan remaja untuk mengekalkan keamanan negara kita?                                                                                [3 markah]

(iii)             Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan syair di atas.       [4 markah]





Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
(a)          Tulis satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan rangkai kata itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i)                 budi bahasa
(ii)               sejarah hidup
(iii)             hak milik
(iv)             kuasa beli
(v)               potensi diri
(vi)             tingkah laku
 [6 markah]

(b)          Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i)                 Hafiy membaca buku cerita di perpustakaan sekolah.
(ii)               Hakim telah menjatuhi ketua penjenayah itu hukuman gantung sampai mati.
(iii)             Pegawai itu telah merasmikan acara merentas desa peringkat daerah pada hari ini.                                      
[6 markah]
(c)           Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)                 Buku teks yang berkualiti mestilah dianggap sebagai satu pra syarat bagi peningkatan mutu mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah.
(ii)               Kenaikkan harga barang yang tidak terkawal akan mewujudkan insflasi kepada negara.
(iii)             Bagi mengatasi masaalah golongan berpendapatan rendah, kerajaan mencadangkan supaya pembeli rumah diberi perlepasan cukai atas faedah pinjaman.
[6 markah]


(d)          Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)                 Remaja pada masa kini sepatutnya mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan negara yang banyak merempuh cabaran dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
(ii)               Skim Perumahan Rakyat yang kerajaan laksanakan bertujuan supaya rakyat yang berpendapatan kecil mempunyai rumah sendiri dan dapat hidup aman.
(iii)             Dari hari ke sehari Pantai Tok Jembal kian terancam ekoran ombak yang mengikis pantai dan menyebabkan pelancong semakin berkurangan.
[6 markah]
(e)           Tulis satu ayat berdasarkan setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaanya.
(i)                 bagai mencurah air ke daun keladi
(ii)               Pandu cermat jiwa selamat
(iii)             bagai telur di hujung tanduk                                                                                                                                                                                       [6 markah]


Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(i)                 Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
(ii)               Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin                  
(iii)             Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(iv)             Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(v)               Tirani karya Beb Sabariah
(vi)             Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip                   
(vii)           Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(viii)         Silir Daksina karya Nizar Parman

(a)        Bahagian permulaan sesebuah novel amat penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.                                                     [7 markah]

(b)        Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua pengajaran tentang tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut.                                             [8 markah]

  


KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT