Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

20 October 2011

ANALISIS NOVEL "SUKAR MEMBAWA TUAH"

Sila klik gambar di atas untuk memuat turun nota lengkap.

4 October 2011

RAMALAN NOVEL PMR 2011

  1. 1. Huraikan teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menghidupkan jalan ceritanya. [10 Markah]

2. Berdasarkan ketiga-tiga bush novel yang anda kaji di Tingkatan 1, Tingkatan 2, Dan Tingkatan 3, Huraikan tema dalam ketiga-tiga buah novel tersebut. [10markah]

3. Berikan tiga pengajaran berserta peristiwa yang berkaitan dengan pengajaran tersebut. [10 markah]



Saya berharap agar semua soalan ramalan saya menepati permintaan para pengunjung blog saya, terutamanya murid kesayangan saya calon PMR 2011. Saya akan meneruskan perjuangan saya untuk terus memastikan calon peperiksaan PMR berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan bantuan soalan ramalan saya. Saya berharap agar anda memahami kenyataan bahawa semua soalan dan karangan yang dimuatnaikkan ialah ramalan semata-mata.

SELAMAT MAJU JAYA

CIKGU TAN

RAMALAN KOMSAS PMR 2011

RAMALAN CIKGU TAN
1. Cerpen Tingkatan 1 (SOALAN 31-35)
2. Pantun Tingkatan 2 (SOALAN 36 - 40)

Atau

1. Prosa Tradisional Tingkatan 1 (SOALAN 31-35)
2. Sajak Tingkatan 2 (SOALAN 36 - 40)

Atau

1. Drama Tingkatan 1 (SOALAN 31-35)
2. Syair Tingakatan 2 (SOALAN 36 - 40)

3 October 2011

RAMALAN PMR 2011 - SOALAN NOVEL PANAS SALJU

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 3 - ZON 1 "PANAS SALJU"
Soalan 1 :
Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.
[ 10 markah ]


Jawapan
Novel Panas Salju, karya Talib Samat menceritakan kisah Zulkifli yang bekerja sebagai atendan hospital di Hospital Besar Kuala Lumpur. Anaknya Nadhirah mendapat penyakit kerosakan hati dan hempedu. Dr Gheethan dari HBKL mencadangkan Nadhirah dirawat di King’s College, London. Isteri Zulkifli ialah Cikgu Bushrah binti Ramli yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Tun Razak (2) , Cheras . Cikgu Bushrah sanggup menderma sebahagian hati kepada anak mereka, Nadhirah walaupun risikonya cukup besar.
Zulkifli menemui sahabat lamanya Mohamad Yusuf di pejabat Utusan Malaysia agar penderitaan mereka disiarkan . Tan Sri Shamsudin yang menjadi pengarah urusan syarikat telekomunikasi, Sapura Holding setuju menderma RM350,000 untuk kos rawatan pemindahan hati di King's College, London.
Pakar bedah, Dr. Tan Kai Chah berjaya memindahkan hati daripada Bushrah kepada Nadhirah. Semasa di London, Zulkifli dibantu oleh Muliyadi Mahmood , sahabat lamanya yang juga kartunis dan pensyarah di UiTM Shah Alam. Isteri Muliyadi Mahmood bernama Saleha Brigite , wanita Perancis. Muliyadi sekampung dengan Zulkifli di Felda Ulu Tiram, Johor.
Lima tahun kemudian, Bushrah meninggal dunia. Nadhirah berjaya dalam jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam dan bekerja di Bank Islam . Kemudian, Nadhirah berkahwin dengan seorang doktor. Adiknya, Nazli dapat belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Zulkifli sendiri telah belajar di Universiti Sains Malaysia secara jarak jauh. Kemudian belajar peringkat sarjana dan seterusnya PhD di universiti yang sama. Zulkifli akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berkahwin lagi.




Soalan 2:
Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam novel tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Tema novel ini ialah kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak. Tema novel ini dapat dikesan melalui rentetan peristiwa yang menjalin plotnya iaitu kisah kehidupan sebuah keluarga yang mengalami masalah kewangan untuk merawat anak yang sakit kronik, kerana memerlukan kos rawatan yang cukup besar jumlahnya bagi orang biasa, kecuali keluarga itu jutawan. Sikap masyarakat yang prihatin, tanpa mengira kedudukan membolehkan anak sakit ini menerima rawatan. Pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertukar nyawa untuk memberi kehidupan kepada seorang anak juga ada hubungan rapat dengan tema novel ini.
Persoalan pertama ialah sabar dan cekal menghadapi kehidupan. Buktinya, Zulkifli dan isterinya, Bushrah begitu sabar dan tabah menghadapi cabaran yang menimpa mereka apabila anak gadis mereka, Nadhirah menghidap penyakit hati dan hempedu. Mereka sering berbincang dan mencari jalan untuk mengubati anak mereka.
Persoalan kedua ialah kasih sayang ibu bapa. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah amat menyayangi anak mereka sehingga sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang demi keselamatan anaknya. Bushrah pula sanggup berkorban nyawa demi melihat kebahagiaan anaknya.
Persoalan ketiga ialah hidup bermuafakat. Buktinya, penduduk Bandar Tun Razak yang hidup bermuafakat telah mengadakan kenduri doa selamat sebelum Nadhirah berangkat ke London untuk menjalani pembedahan. Hal ini bermakna muafakat amat penting dalam hidup berjiran.
Persoalan keempat ialah kepentingan ilmu dalam kehidupan. Oleh sebab ingin memajukan diri, Zulkifli amat mementingkan pendidikan. Dia dan kawannya, Muliyadi berusaha sehingga berjaya memperoleh PhD.




Soalan 3:
Huraikan watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Watak utama dalam novel ini ialah Zulkifli. Dia sudah berumah tangga dengan Bushrah dan mempunyai dua orang anak yang bernama Nadhirah dan Nazli. Dia bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur.
Zulkifli seorang suami, bapa dan pekerja yang bertanggungjawab. Sebagai suami dan bapa, dia berusaha mencari kos rawatan Nadhirah. Dia juga seorang pekerja yang mematuhi peraturan di tempat kerjanya.
Zulkifli seorang yang gigih berusaha. Buktinya, dia melakukan pelbagai usaha untuk mengumpul kos rawatan Nadhirah. Dia juga melakukan kerja-kerja sambilan seperti menulis skrip drama radio serta gigih membaiki taraf pendidikan sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Zulkifli seorang yang cekal dan tabah hati. Buktinya, pelbagai dugaan dan cabaran kehidupan dilaluinya dengan semangat yang cekal. Hatinya tabah menghadapi penyakit Nadhirah dan kematian Bushrah. Malah selepas isterinya meninggal dunia, dia tetap meneruskan pengajiannya dalam peringkat PhD. Dia tabah menghadapi saat-saat cemas sewaktu pembedahan Nadhirah dan Bushrah dijalankan.
Zulkifli juga digambarkan sebagai seorang yang mengenang budi dan menghormati orang lain. Dia amat menghormati Tan Sri Shamsuddin. Yang sudi membantu kos rawatan anaknya. Zulkifli sentiasa ingat akan bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai, jiran tetangga dan orang perseorangan. Zulkifli juga amat menghormati ibu dan bapa mertuanya.



Soalan 4:
Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Watak sampingan pertama ialah Bushrah. Dia ialah ibu kepada Nadhirah dan Nazli. Dia seorang guru yang bertanggungjawab dan menjalankan tugas di Sekolah Bandar Tun Razak (2). Dia ialah isteri kepada Zulkifli dan menjadi penderma hati kepada Nadhirah. Dia meninggal dunia lima tahun selepas pemindahan hatinya ke badan Nadhirah. Dia seorang yang penyayang. Buktinya, dia sayang akan suami, anak, dan keluarga. Kasihnya kepada anak terlalu mulia apabila dia sanggup mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah demi melihat anaknya bahagia.

Watak sampingan kedua ialah Nadhirah. Nadhirah ialah anak sulung pasangan Zulkifli dan Bushrah. Dia mengalami kerosakan hati dan hempedu yang dikesan ketika dalam darjah empat. Nadhirah seorang yang taat kepada orang tua. Dia amat menghormati ibu bapanya dan sentiasa mendengar nasihat daripada mereka. Nadhirah juga seorang yang berjiwa sensitif. Hatinya mudah tersentuh apabila mendengar lagu “Kasih Ibu”. Dia juga simpati kepada mangsa kemalangan yang dibantu oleh ayahnya. Nadhirah seorang yang berani. Dia berani menghadapi cabaran dan dugaan ketika menghidapi sakitnya. Dia tetap bersikap optimis dan tidak mudah berputus asa.

Watak sampingan ketiga ialah Muliyadi. Beliau merupakan kawan baik Zulkifli yang juga merupakan pensyarah ITM. Beliau berkahwin dengan wanita Perancis dan mempunyai dua orang anak. Beliau seorang yang baik hati dan ikhlas. Bukitnya, ketika Zulkifli dan sekeluarga berada di London, Muliyadi sentiasa memberikan pertolongan dengan ikhlas dan memberikan sokongan moral kepada Zulkifli. Muliyadi seorang yang gigih berusaha. Buktinya, beliau begitu gigih meningkatkan taraf akademiknya sehingga ke peringkat PhD. Walaupun belajar di luar negara, dia tidak pernah melupakan asal-usulnya. Buktinya, dia tetap berjiwa Melayu dan tidak lupa akan kampung halamannya.

Watak sampingan seterusnya ialah Dr. Tan Kai Chah. Beliau merupakan seorang pakar bedah hati yang terkemuka. Beliau telah menjalankan pembedahan hati sebanyak 450 kali. Beliau seorang yang baik hati dan berfikiran terbuka. Buktinya, dia dengan mudah menjalinkan kemesraan dengan keluarga Zulkifli tanpa mengira agama dan kedudukan. Beliau seorang yang cekap menjalankan tugas. Buktinya, kepakaran dan cara kerjanya yang profesional telah menunjukkan bahawa beliau seorang yang dedikasi dalam menjalankan tugas. Beliau juga seorang yang rendah diri. Walaupun berpendapatan lumayan, beliau sentiasa merendah diri.

Soalan 5:
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Novel ini ditulis mengikut kronologi. Pada bahagian permulaan atau dikenali sebagai eksposisi, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Permulaan cerita ini mengisahkan Zulkifli dan keluarganya pulang ke Kuala Linggi, Melaka untuk menghadiri kenduri arwah adik iparnya di rumah mertuanya. Selepas itu, mereka menuju ke selatan, Felda Ulu Tebrau, Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Zulkifli. Pada majlis tersebut, Zulkifli bertemu kawan lamanya, Muliyadi yang bertugas sebagai pensyarah ITM Shah Alam.
Perkembangan cerita ialah bahagian pengarang memperkenalkan lebih banyak watak dan cerita dilanjutkan dengan pelbagai peristiwa. Pada bahagian ini, Zulkifli dan Bushrah berbincang tentang kos rawatan Nadhirah yang masih jauh daripada mencukupi. Mereka kemudiannya meminta bantuan pihak media bagi memohon simpati masyarakat. Pada waktu inilah, mereka memanjatkan kesyukuran apabila Tan Sri Shamsuddin telah bermurah hati mendermakan RM350,000 untuk menjayakan pembedahan Nadhirah di London.
Pada bahagian perumitan atau konflik, Bushrah dikatakan mengambil keputusan untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah. Tindakannya mendapat sokongan dan bantahan daripada pelbagai pihak. Namun begitu, Bushrah tetap dengan keputusannya. Sebelum mereka berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah mengadakan kenduri doa selamat untuk Nadhirah.
Pada bahagian klimaks atau puncak cerita, Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah telah sampai di London. Mereka menjalani pembedahan di Hospital King’s College. Pembedahan yang dijalankan selama 14 jam tersebut diketuai oleh pakar bedah dari Malaysia, Dr. Tan Kai Chah. Akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan. Kejutan peristiwa pada bahagian ini ialah kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan.
Pada bahagian peleraian atau akhir cerita, pengarang lebih tertumpu pada kehidupan Zulkifli sekeluarga selepas kematian Bushrah. Nadhirah telah lulus Diploma perakaunan dan bekerja di Bank Islam, Kuala Lumpur. Kemudiannya dia berkahwin dengan seorang pakar bedah. Zukifli pula melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD manakala Nazli meneruskan pelajarannya di Kuala Kangsar.

Soalan 6:
Teknik plot atau teknik penceritaan memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji.

[ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Teknik plot pertama ialah teknik saspens. Teknik ini menyebabkan pembaca akan tertanya-tanya tentang perkara yang berlaku. Buktinya, pengarang memasukkan teknik saspens pada awal cerita apabila sepasang suami isteri berbangsa Sikh yang terjunam ke dalam parit semasa Zulkifli sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Melaka. Pembaca tertanya-tanya keadaan mereka berdua.
Teknik kedua ialah kejutan. Teknik ini dimasukkan dan menambahkan minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Dalam novel ini, kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan ialah teknik kejutan. Teknik ini memberi kejutan kepada pembaca Hal ini demikian kerana sebelum ini, tidak ada tanda-tanda Bushrah menghadapi kesan buruk pembedahan yang dilaluinya.
Teknik ketiga ialah dialog. Dialog bermaksud pertuturan antara watak dalam novel. Kebanyakan dialog berlaku antara Bushrah dengan suaminya. Buktinya, “Kita mesti hadiri kursus anak cemerlang itu. Kalau tak, kita rugi besar”, kata Zulkifli sambil menghadap sarapan pagi.
Teknik penceritaan keempat ialah monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud bicara hati atau watak menyatakan perasaannya dalam hati tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata. Buktinya, “Ya Allah, ya Tuhanku, berilah aku kekuatan untuk mengangkat kedua-dua mangsa ini ke dalam kereta,” doa Zulkifli dalam hati.
Teknik imbas kembali juga banyak digunakan dalam novel ini. Teknik ini digunakan semasa pengarang memasukkan unsur ingat semula fenomena kemalangan di Sumatera Utara, Indonesia. Pihak berkuasa di sana dikatakan meletakkan kereta yang remuk di bahu jalan sebagai peringatan kepada pemandu lain agar tidak memandu terlalu laju hingga membawa maut.


Soalan 7:
Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar tempat memainkan peranan penting dalam setiap plot cerita. Latar tempat pertama ialah Hospital Seremban. Buktinya, kedua-dua mangsa Sikh yang terlibat dalam kemalangan dihantar oleh Zulkifli untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Latar tempat kedua ialah Kuala Linggi, Melaka. Di sinilah rumah keluarga Bushrah. Pada awal cerita pengarang menceritakan kenduri arwah yang dijalankan. Di sini jugalah Nazli ditumpangkan selama Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah berada di London. Selepas pulang dari London, Zulkifli juga singgah di rumah mertuanya sekejap sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Latar tempat ketiga ialah Felda Ulu Tebrau. Tempat ini ialah kampung Zulkifli. Zulkifli pulang ke kampung semasa menghadiri majlis perkahwinan adiknya dan berjumpa dengan kawan lamanya yang bernama Muliyadi di situ.
Latar tempat keempat ialah Sekolah Bandar Tun Razak (2). Di sinilah Bushrah bekerja sebagai guru. Setelah penderitaan Nadhirah disiarkan dalam surat khabar, warga sekolah tersebut melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu Nadhirah.
Latar tempat seterusnya ialah Hospital King’s College. Di hospital inilah Nadhirah dan Bushrah menjalani pembedahan pemindahan hati. Pembedahan yang dijalankan selama 14 jam itu telah berjaya dilaksanakan oleh Dr. Tan Kai Chah.

Soalan 8:
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar zaman atau masa dalam novel ini ialah zaman moden. Terdapat beberapa peristiwa yang dapat dikaitkan dengan latar masa seperti yang dinyatakan oleh pengarang. Latar masa pertama ialah subuh. Pada waktu inilah Zulkifli, Bushrah, dan Nadhirah bersolat subuh berjemaah, kemudian bersarapan pagi.
Latar masa kedua ialah waktu tengah hari. pada awal cerita, pengarang memasukkan waktu tengah hari semasa kereta Zulkifli rosak berhampiran Simpang Renggam. Namun begitu, dia dibantu oleh seorang lelaki yang bernama Cheng Guan.
Latar masa ketiga ialah petang. Semasa Nadhirah menjalani rawatan di London. Dr. Tan kai Chah telah menetapkan pembedahan yang akan berlangsung selama 14 jam tersebut bermula pada pukul 2 petang. Pada pukul 2 petanglah Nadhirah dibius.
Latar masa keempat ialah waktu malam. Pada waktu malam sebelum Nadhirah berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah bekerjasama menjayakan kenduri doa selamat.
Latar tempat seterusnya ialah lima tahun selepas pembedahan. Pada pukul 4.00 pagi hari Jumaat, Bushrah meninggal dunia di ribaan suaminya.


Soalan 9:
Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar masyarakat pertama ialah masyarakat kota. Masyarakat ini terbahagi kepada dua jenis, yakni golongan biasa dan golongan kaya raya. Buktinya, golongan biasa diwakili oleh keluarga Zulkifli dan penduduk di taman perumahannya yang hidup harmoni. Namun begitu, Tan Sri Shamsuddin yang dikategorikan sebagai golongan yang kaya raya tetap tidak sombong. Malah, beliau sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat desa. Masyarakat ini diwakili oleh ibu bapa Bushrah yang tinggal di Kuala Linggi dan ibu bapa Zulkifli yang tinggal di Felda Ulu Tebrau. Masyarakat kampung dikatakan lebih mengamalkan perpaduan terutamanya semasa menjayakan sesuatu majlis.
Latar masyarakat ketiga ialah golongan penulis dan wartawan. Buktinya, Zulkifli bekerja sambilan sebagai penulis skrip radio. Selain itu, Mohammad Yusuf bekerja sebagai pemberita atau wartawan untuk akhbar Utusan Melayu.
Latar masyarakat keempat ialah golongan pendidik atau guru. Bushrah digambarkan sebagai seorang guru yang sangat dedikasi. Dia bertugas di Sekolah Bandar Tun Razak (2). Cikgu Khairani juga memainkan peranan yang penting dalam novel ini kerana beliaulah yang selalu datang ke rumah Nadhirah apabila Nadhirah tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit. Jasa yang ditaburkan oleh golongan pendidik amat penting dalam masyarakat.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat pelbagai bangsa. Latar masyarakat ini diwakili oleh pasangan yang berbangsa Sikh dan pemuda Cina yang bernama Cheng Guan. Pasangan yang berbangsa Sikh inilah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya manakala pemuda Cina yang bernama Cheng Guan membantu Zulkifli yang mengalami kerosakan kereta di Simpang Renggam.


Soalan 10:
Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Nilai pertama ialah baik hati. Zulkifli digambarkan sebagai seorang yang baik hati kerana membantu mereka yang memerlukan bantuan. Dia telah membantu pasangan Sikh yang mengalami kemalangan.
Nilai kedua ialah kerajinan. Watak seperti Zulkifli dan Muliyadi mengamalkan nilai ketekunan. Mereka berdua belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat PhD. kejayaan mereka dalam bidang akademik perlu kita teladani.
Nilai ketiga ialah kejiranan. Tindakan masyarakat di tempat tinggal Zulkifli sememangnya mengamalkan sikap kerajinan terutamanya semasa menjayakan kenduri doa selamat. Nilai ini perlu ada pada semua penduduk di Malaysia.
Nilai keempat ialah kerjasama. Nilai ini jelas kelihatan pada penduduk desa yang mengamalkan kerjasama semasa menjayakan sesuatu majlis. Buktinya, masyarakat desa di Felda Ulu Tebrau bekerjasama menjayakan majlis perkahwinan adik Zulkifli.
Nilai kelima ialah kesyukuran. Oleh sebab syukur dengan kurniaan Tuhan atas nikmat dan kekayaan yang dimiliki, Tan Sri Shamsuddin telah insaf akan kuasa Tuhan dan mengambil keputusan untuk mendermakan RM350,000 untuk meringankan keperitan Nadhirah.



Soalan 11:
Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]


Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Terdapat beberapa pengajaran dalam novel ini. Pengajaran pertama ialah kita mestilah bersabar apabila menghadapi masalah. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah tetap bersabar menerima takdir yang menimpa keluarga mereka. Penyakit Nadhirah dan pandangan masyarakat terhadap mereka dihadapi dengan sabar.
Pengajaran kedua ialah kita tidak harus cepat berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Buktinya, Nadhirah pernah menjalani pembedahan tetapi penyakitnya tidak sembuh. Zulkifli tetap yakin bahawa penyakit Nadhirah akan sembuh dan melakukan pelbagai usaha untuk mengumpulkan kos pembedahan Nadhirtah.
Pengajaran ketiga ialah kita mestilah mensyukuri nikmat dan anugerah Tuhan. Buktinya, Tan Sri Shamsuddin begitu insaf akan rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh Tuhan kepadanya. Oleh sebab itu, dia sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Pengajaran keempat ialah kita haruslah menuntut ilmu tanpa mengira usia. Buktinya, Zulkifli tetap meneruskan hasratnya menuntut ilmu ke peringkat ijazah dan PhD walaupun sudah berkeluarga dan bekerja.
Pengajaran seterusnya ialah kita mestilah menghargai pengorbanan orang lain. Buktinya, Zulkifli amat menghargai pengorbanan isterinya, Bushrah yang menderma sebahagian daripada hati kepada anaknya, Nadhirah.




Soalan 12:
Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.

[ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah penggunaan diksi atau istilah perubatan. Antara contoh diksi tersebut yang terdapat dalam novel ini ialah hemoglobin, glukosa, asid laktik, glikogen, virus, bakteria dan banyak lagi.

Gaya bahasa kedua ialah sinkof. Buktinya, tak usah, istana ni, gitu, kau. Penggunaan singkatan kata ini banyak wujud dalam dialog.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:
Selagi nafas berdenyut, selagi itulah kita mesti mencari ilmu. Perkataan selagi diulang sebanyak 2 kali.

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Matahari terus memancar terik membakar kulit Zulkifli. Dalam contoh tersebut, matahari digambarkan mempunyai sifat manusia, iaitu membakar.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini ialah simpulan bahasa. Buktinya, cari jalan, khabar angin, gulung tikar, janji-janji manis, mata pencarian dan banyak lagi.

RAMALAN PMR 2011 - SOALAN NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK

NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK - ULANG KAJI

SOALAN RAMALAN 1

Peleraian Novel Pahlawan Pasir Salak.
Novel yang saya kaji ialah Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd Ismail Sarbini. Peleraian ialah bahagian akhir dalam plot. Bahagian ini juga dinamakan bahagian antiklimaks. Dalam bahagian ini, segala konflik telah selesai dan cerita menuju pengakhirannya.

Peleraian cerita ini menggambarkan kejayaan penduduk Pasir Salak yang juga digelar Pahlawan Pasir Salak kerana berjaya mengusir panjajah Inggeris yang mahu mengutip cukai di Pasir Salak. Dalam cerita ini, Datuk Maharaja Lela selaku Ketua Kampung sentiasa mengingatkan anak buahnya bahawa mereka mestilah sentiasa bersatu padu dan berjaga-jaga. Hal ini demikian kerana penjajah Inggeris yang berjaya dihalau dari Pasir Salak mungkin akan datang untuk mengganggu mereka lagi. Oleh sebab itu, Datuk Maharaja Lela berharap mereka sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku. Walaupun Inggeris telah berjaya dihalau, anak-anak muda tetap berada dalam keadaan bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku.


SOALAN RAMALAN 2

Persoalan kasih sayang dan pengajarannya.

Semasa tingkatan 2, saya telah mengkaji novel Pahlawan Pasir Salak. Dalam novel ini, saya mendapat pengajaran yang bermakna, yakni kita mestilah sayang akan keluarga dan tanah air untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat. Berikut ialah persoalan yang berkaitan dengan kasih sayang tersebut.

Kedatangan Inggeris membawa seribu keperitan hidup kepada penduduk Pasir Salak. Hal ini demikian kerana penduduk Pasir Salak dipaksa membayar cukai yang tinggi kepada Inggeris. Oleh hal yang demikian, penduduk yang berani berjuang menentang penjajah ini mempunyai semangat sayang akan negara kerana mereka enggan membenarkan Inggeris bermaharajalela di Tanah Melayu.

Deli merupakan anak yang taat dan sayang akan ahli keluarganya. Dia sedar bahawa sebagai anak, dia harus membantu keluarga dan meringankan beban ayahnya. Dengan membantu ayahnya, Pak Itam di warung yang berdekatan dengan pangkalan, Deli berjaya membuktikan kepada kita bahawa dia anak yang sayang akan keluarga.

Kasih sayang kepada anak yang telah meninggal dunia juga merupakan persoalan penting dalam novel ini. Pak Wan yang kematian anaknya, Nuar yang dipatuk ular sentiasa merindui anaknya. Hal ini membuktikan bahawa kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan tanah air.


SOALAN RAMALAN 3
PUNCAK ATAU KLIMAKS NOVEL PAHLAWAN PASIR SALAK.
Novel yang saya kaji ialah Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd Ismail Sarbini. Puncak atau klimaks ialah salah satu bahagian dalam plot karya sastera. Puncak atau klimaks ialah bahagian yang paling penting dalam sesebuah karya. Berikut ialah peristiwa yan berlaku dalam bahagian klimaks novel ini.

Pada bahagian klimaks, kedatangan rombongan Inggeris ke Pasir Salak jelas menaikkan kemarahan penduduk. Hal ini demikian kerana Inggeris datang bersama tali barut seperti Lamsah dan Mat Arshad. Mereka datang menampal surat kenyataan mengutip cukai tetapi dikoyakkan oleh penduduk kampung.

Selepas kejadian itu, Datuk Maharaja Lela pun berjumpa dengan Seputum dan penduduk-penduduk kampung berkumpul di halaman rumah Datuk Maharaja Lela. Mereka diberi suntikan semangat cinta akan tanah air kerana bakal berjuang menentang Inggeris sehingga titisan darah terakhir.

Penduduk Pasir Salak membuat serangan dari depan dan hujung kampung. Hal ini menyebabakan Inggeris tidak dapat membuat persediaan rapi. Residen JWW Birch pula mati dibunuh oleh Seputum manakala Pak Endut berjaya menikam Mat Arshad yang menjadi pengkhianat negara.

Oleh sebab tahap ketegangan di Pasir Salak semakin memuncak, Kapten Innes dengan pasukan askarnya tiba untuk menahan serangan penduduk Pasir Salak. Walau bagaimanapun, penduduk Pasir Salak berjaya menentang kemaraan Inggeris sehingga memaksa Inggeris berundur dari Pasir Salak. Demikianlah bahagian klimaks novel ini.

RAMALAN PMR 2011 - SOALAN NOVEL

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 1 - ZON 1 "MENITI KACA"
Soalan 1:

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.
[ 10 markah ]


Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Novel ini mengisahkan Nazar, seorang anak tunggal dan masih dalam usia remaja. Oleh sebab ibunya nanar dan ayahnya selalu sakit, hidupnya tidak terurus. Begitu juga dengan makan minumnya. Jiran tetangga banyak membantu Nazar sekeluarga. Setelah ibunya meninggal dunia, Nazar terus gigih mengharungi hidup. Dia rajin belajar dengan rakan sekampung dan setingkatan. Tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. Nazar kehilangan kasih sayang ayah dan ibu. Dia bergantung harap kepada ibu saudaranya, rakan-rakan dan jiran tetangga. Berkat kesungguhan, kesabaran, ketabahan, dan keyakinan, akhirnya Nazar berjaya dalam menempuhi dugaan hidup. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.




Soalan 2:

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam novel tersebut.
[ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Tema novel ini ialah kegigihan dan ketabahan seorang anak remaja mengharungi hidup. Nazar, seorang remaja yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dan tabah menghadapi dugaan.
Persoalan pertama ialah semangat perpaduan. Semangat ini tergambar pada keluarga Ah Seong yang sentiasa memberi sokongan moral kepada Nazar agar tabah menghadapi dugaan hidup.
Persoalan kedua ialah kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sikap gotong-royong dan bekerjasama amat ketara pada masyarakat desa. Atas rasa simpati dan tanggungjawab bersama, orang kampung sanggup bekerjasama mencari Mahyun yang hilang, sehingga mayat Mahyun ditemui dan menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan secara bekerjasama.
Persoalan ketiga ialah keluhuran budi dan baik hati. Selain Ah Seong, Kim Moi, dan Ah Leong yang memiliki sifat belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, dan saling memahami, Mak Miah, Pak Sehak, Pak Sahar, dan Zainab turut memiliki sifat sedemikian. Mereka mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh Nazar dan menunjukkan simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga Nazar.
Persoalan keempat ialah buruk sangka dan memfitnah. Buktinya, penduduk kampung terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.



Soalan 3:

Huraikan Watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]


Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak utama dalam novel ini ialah Nazar. Nazar seorang yang tabah. Buktinya, dia menghadapi penyakit ibunya yang nanar dengan tabah.
Selain itu, Nazar digambarkan seorang remaja yang bijak dan pandai. Hal ini demikian kerana dia mendapat lima unit dalam peperiksaan PMR. Hal ini menyebabkan dia diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.
Tambahan pula, Nazar seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi ibu bapanya. Dia tidak sanggup berpisah dengan ibunya yang dimasukkan ke hospital. Dia juga berasa cemas apabila ibunya hilang.
Namun demikian, Nazar juga digambarkan sebagai seorang yang berfikiran matang. Pelbagai tohmahan dan fitnah yang melanda dirinya telah diterima dengan penuh kesabaran. Dia menganggap semua yang berlaku itu ujian Tuhan. Demikianlah perwatakan Nazar sebagai watak utama.




Soalan 4 :

Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak sampingan pertama dalam novel ini ialah Pak Sahar. Pak Sahar merupakan bapa kepada Nazar. Dia bekerja sebagai pegawai luar di Lumut. Beliau seorang ayah yang penyayang. Buktinya, dia amat menyayangi dan mengambil berat akan pelajaran Nazar. Dia juga amat menyayangi isterinya, Mahyun. Dia berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit isterinya. Oleh sebab sakit, dia meninggal dunia semasa Nazar berada dalam tingkatan 4.
Mahyun merupakan salah seorang watak sampingan yang memainkan peranan penting dalam novel ini. Dia ialah ibu kepada Nazar dan isteri kepada Pak Sahar. Dia berpenyakit nanar sejak melahirkan anak keduanya. Dia seorang wanita yang berkulit langsat, rambutnya mencecah bahu serta berlesung pipit. Mahyun suka bernyanyi. Oleh sebab mempunyai suara yang merdu, Nazar pernah mendengar ibunya menyanyi dengan suara yang merdu. Dia juga seorang yang suka merayau. Dia selalu bertandang ke rumah jiran dan berleter di anak tangga. Dia meninggal dunia semasa cerita mencapai klimaksnya.
Watak sampingan seterusnya ialah Zainab. Zainab merupakan anak kepada Pak Sehak, dia mempunyai seorang adik bernama Fauzi. Dia seorang gadis remaja sebaya Nazar dan memiliki paras rupa yang cantik kerana mempunyai lesung pipit. Zainab seorang yang rajin. Dia rajin menghantar makanan kepada Nazar dan rajin mengulang kaji pelajaran. Zainab seorang yang mudah bersimpati dan penyayang. Dia menyayangi, bersimpati dengan nasib malang yang dialami oleh Nazar.
Ah Seong juga merupakan salah satu watak sampingan. Dia merupakan jiran Nazar. Ibunya bernama Kim Moi dan ayahnya, Ah Leong. Dia mempunyai dua orang adik iaitu Ah Meng dan Ah Leng. Dia seorang yang baik hati terhadap rakan dan jiran. Dia membantu rakan sebayanya, Nazar setelah Mahyun didapati hilang dari rumah. Dia memberitahu Sidang Seman mengenai perkara itu. Dia juga seorang yang rajin. Dia selalu belajar bersama-sama Nazar dan Zainab. Ah Seong seorang yang mudah bersimpati. Dia amat bersimpati atas dugaan yang menimpa Nazar. Dia sentiasa menasihati Nazar agar bersabar.



Soalan 5 :

Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Eksposisi ialah permulaan cerita. Dalam bahagian ini, biasanya pengarang memperkenalkan watak. Buktinya, pengarang memperkenalkan watak Nazar yang pulang dari sekolah dan mencari ibunya Mahyun yang tiada di rumah ketika itu. Mahyun menghidap penyakit nanar dan sering merayau ke rumah orang.
Cerita berkembang dalam plot perkembangan apabila Pak Sahar mengambil tindakan menghantar Mahyun ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit Mahyun. Penyakit Mahyun tidak juga sembuh dan dia dibawa pulang ke rumah. Suatu hari, Mahyun didapati hilang dan akhirnya dia ditemui mati.
Perumitan ialah konflik yang berlaku dalam sesebuah karya. Dalam novel ini, pelbagai masalah dihadapi oleh Nazar. Ketiadaan ibu dalam keadaan dia hampir menduduki peperiksaan PMR, dia mendengar desas-desus ayahnya akan berkahwin lagi. Sementara itu, hubungannya dengan Zainab telah disalah anggap oleh penduduk kampung sehingga dia dilarang oleh ayahnya belajar bersama-sama dengan Zainab. Ayahnya pula sering sakit dan penyakit ayahnya semakin teruk dari sehari ke sehari.
Puncak ialah klimaks sesebuah cerita. Pada bahagian yang paling penting ini, Nazar yang sedang belajar di sekolah berasrama penuh telah dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa orang lagi yang memberitahu bahawa ayahnya dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, Pak Sahar meninggal dunia semasa Nazar dalam perjalanan ke hospital.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran novel ini, jenazah Pak Sahar selamat dikebumikan. Nazar terus belajar di sekolah berasrama penuh dengan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Soalan 6:

Teknik Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Dalam novel ini, terdapat beberapa teknik penceritaan yang penting. Teknik penceritaan pertama ialah dialog. Pengarang banyak menyelitkan perbualan antara Nazar dengan ayahnya, Pak Sahar.
Teknik plot kedua ialah monolog. Monolog ialah teknik bercakap sendirian. Buktinya, Nazar membisikkan kepada dirinya bahawa emak tidak mengalami sakit jiwa seperti yang dianggap oleh kawan-kawannya.
Teknik ketiga ialah teknik monolog dalaman. Monolog dalaman ialah kata-kata yang hanya terbit dalam hati seseorang watak. Buktinya, hati Nazar berbisik apabila mendapati ibunya tiada di rumah dan hatinya tertanya-tanya ke mana emaknya pergi.
Teknik keempat ialah imbas kembali. Imbas kembali bermaksud pengarang memasukkan unsur ingat semula kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku. Contohnya, apabila berjauhan daripada ibunya, Nazar teringat akan ibunya yang pandai menyanyi.
Teknik seterusnya ialah teknik imbas muka. Teknik ini juga dikenali sebagai ramalan pengarang dalam sesebuah penceritaan. Biasanya pengarang memasukkan perkataan seperti “akan” dalam petikan cerita. Buktinya, Nazar memberitahu ayahnya bahawa dia akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Dia mungkin akan mendapat sepuluh atau lima belas unit.




Soalan 7:

Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar tempat pertama ialah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Buktinya, Mahyun dirawat di situ.
Latar tempat kedua ialah rumah Nazar yang terletak di Kampung Kota. Buktinya, Nazar yang baru pulang ke rumah mendapati bahawa ibunya telah hilang entah merayau ke mana. Selepas itu, dia pergi ke rumah Kim Moi untuk bertanya tentang tempat yang ditujui oleh ibunya sejak pagi tadi.
Latar tempat ketiga ialah di sungai. Ibunya meninggal dunia di kawasan sungai kerana tersepit di celah-celah pokok kelapa. Tempat ini telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Nazar.
Latar tempat keempat ialah rumah Mak Miah. Rumah Mak Miah berdekatan dengan rumah Nazar. Biasanya Zainab menghantar makanan dari rumahnya ke rumah Nazar dengan berjalan kaki sahaja.
Latar tempat kelima ialah Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Di sinilah Nazar meneruskan persekolahannya dalam peringkat menengah tinggi. Sekolah ini ialah sebuah sekolah yang berasrama penuh dan Nazar tinggal di asrama.




Soalan 8 :

Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Jarak masa novel ini berlangsung adalah lebih kurang dua tahun. Cerita bermula semasa Nazar berada dalam tingkatan dua dan berakhir ketika Nazar memasuki tingkatan 4 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Latar masa siang banyak digunakan oleh pengarang. Buktinya, Zainab menghadiahi Nazar sebuah kotak muzik sebelum Nazar bertolak ke sekolah berasrama penuh di Ipoh.
Latar waktu senja juga digunakan oleh pengarang. Buktinya, selepas gagal mencari Mahyun seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bergerak mencari Mahyun yang hilang.
Latar masa malam juga berlaku dalam perjalanan cerita novel ini. Buktinya, pada waktu malam, Mak Miah dan Pak Sehak mengunjungi rumah Pak Sahar dan mencadangkan agar Pak Sahar berkahwin lagi selepas kematian Mahyun.


Soalan 9:

Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar masyarakat pertama ialah masyarakat kampung. Masyarakat ini diwakili oleh penduduk Kampung Kota yang terdiri daripada Mahyun, Nazar, Pak Sehak, Mak Miah dan banyak lagi. Penduduk kampung ini tinggal dalam keadaan damai dan sejahtera. Mereka diketuai oleh Sidang Seman.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat Cina. Masyarakat ini diwakili oleh Kim Moi dan Ah Leong yang mempunyai anak-anak yang bernama Ah Seong, Ah Meng, dan Ah Leng.
Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang bekerjasama. Buktinya, selepas gagal mencari Mahyun seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bekerjasama mencari Mahyun yang hilang.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat pelajar. Buktinya, Nazar, Zainab, dan Ah Seong merupakan golongan pelajar yang rajin berusaha dan sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama untuk menghadapi peperiksaan PMR.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang suka memfitnah. Buktinya, penduduk kampung terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.


Soalan 10:

Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Nilai pertama ialah kegigihan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Nilai kedua ialah bekerjasama. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Nilai ketiga ialah keyakinan. Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan mendapat sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Nilai keempat ialah kasih sayang. Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.




Soalan 11:

Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Pengajaran pertama ialah kita mesti gigih berusaha untuk menghadapi pelbagai rintangan dalam kehidupan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Pengajaran kedua ialah kita harus mengamalkan sikap bekerjasama terutama apabila menghadapi sesuatu masalah. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Pengajaran ketiga ialah kita patut mempunyai keyakinan dalam semua hal yang kita buat. Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan mendapat sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Pengajaran keempat ialah kita harus saling menyayangi antara satu sama yang lain. Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti hormat-menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.

Soalan 12:
Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah simile. Antara contoh simile yang terdapat dalam novel ini ialah Lama-kelamaan wajah-wajah itu hilang bagaikan ketulan air batu yang mencair. Contoh kedua ialah Istana sepi bagaikan gua.

Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Api kemarahan rupanya masih lagi membara di lubuk hati Pak Sehak. Api ialah unsur konkrit manakala kemarahan ialah unsur abstrak.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:
Apakah ayah akan berkahwin lagi?
Apakah ayah sudah tidak sayangkan ibu lagi?

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Perasaan cemas mula bergayut di wajah Kim Moi dan angin bulan Oktober yang lembap itu terasa menampar-nampar muka Ah Seong. Dalam contoh tersebut, angin mempunyai sifat manusia yang boleh menampar.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini ialah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” dan “tepuk air di dulang, sedikit sebanyak terpercik juga ke muka sendiri”.

RAMALAN 7: KARANGAN PANJANG PMR 2011

Anda dikehendaki menulis sebuah rencana yang bertajuk 'Disiplin Asas Kejayaan' yang akan dimasukkan dalam majalah sekolah.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.


(40 markah)


Disiplin Asas Kejayaan
oleh: Siti Ramlah Ziana


Pada era globalisasi ini, pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah. Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka.Oleh itu, remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli, merokok dan berlumba haram. Akhirnya, masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan. Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan.


Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri. Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah. Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya, remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan. Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu, pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang, jati diri pelajar akan turut meningkat .

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara. Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi. Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka. Akhirnya, mereka lupa daratan dan hilang arah tuju. Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar.

Seterusnya, disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja. Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri. Contohnya, mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha. Oleh itu, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin. Dengan teknik pembelajaran yang disiplin. remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka. Dengan itu, remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri. Pada masa ini, masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum. Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Contohnya, mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat. Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya, ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu, disiplin merupakan kunci kejayaan diri. Anak muda pada masa ini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok. Misalnya, mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini. Pengetua juga harus memberikan kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri. Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih.

Tuntasnya, masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengingatkan kita bahawa remaja zaman ini merupakan bakal pemimpin negara pada masa depan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa. Kesimpulannya, sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera. Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka.

2 October 2011

RAMALAN 6: KARANGAN PANJANG PMR - KEMALANGAN JALAN RAYA

Soalan:
Kemalangan di jalan raya menyebabkan ahli keluarga kehilangan anggota yang tersayang. Tulis satu karangan tentang usaha-usaha yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Contoh Karangan Pelajar:
“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang lebih berat.”

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patut diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?

Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.

Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan.

Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.

Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”

SOALAN TATABAHASA YANG SAYA RAMAL AKAN KELUAR DALAM PMR 2011

SENARAI KESALAHAN TATABAHASA YANG MUNGKIN KELUAR DALAM PMR 2011

1.berbagai jenis ulam (X)
BETUL: berbagai-bagai jenis ulam / pelbagai jenis ulam / perbagai jenis ulam / perbagai-bagai

2.kesuntukkan masa (X)
BETUL: kesuntukan masa

3.tidak saya sempat siapkan (X)
BETUL: tidak sempat saya siapkan

4.mangsa pembakaran (X)
BETUL: mangsa kebakaran

5.lima adik-beradik (X)
BETUL: lima beradik / lima orang adik-beradik

6.mempercantikkan ruang tamu(X)
BETUL: mempercantik ruang tamu / mencantikkan ruang tamu

7.menarik nafas dalam(X)
BETUL: menarik nafas dalam-dalam

8.menuntut basikal masuk ke pintu sekolah(X)
BETUL: menuntun basikal masuk ke pintu sekolah

9.saling bersalam-salaman(X)
BETUL: saling bersalaman / bersalam-salaman

10.oleh kerana sakit kaki(X)
BETUL: oleh sebab sakit kaki / kerana sakit kaki

11.siapa pun tidak dibenarkan masuk(X)
BETUL: siapa-siapa pun tidak dibenarkan masuk / sesiapa pun tidak dibenarkan masuk

12.di tahun 50-an(X)
BETUL: pada tahun 50-an

13.Budak itu terlalu asyik bermain sehingga senja.(X)
BETUL: Budak itu asyik bermain sehingga senja / Budak itu leka bermain sehingga senja

14.dipersembahkan oleh kalian(X)
BETUL: kalian persembahkan

15.menjelajahi ke seluruh pelosok dunia(X)
BETUL: menjelajah ke seluruh pelosok dunia / menjelajahi seluruh pelosok dunia

16.Mereka tidak ke mana ketika di kampung.(X)
BETUL: Mereka tidak ke mana-mana ketika di kampung.

17.para-para pemimpin(X)
BETUL: para pemimpin / pemimpin-pemimpin

18.Di masa itu, dia masih belum mengerti.(X)
BETUL: Pada masa itu, dia masih belum mengerti

19.segar di dalam ingatan(X)
BETUL: segar dalam ingatan

20.kedua abang saya(X)
BETUL: kedua-dua abang saya

21.pasangan kembar serupa(X)
BETUL: pasangan kembar seiras

22.penunggang motorsikal(X)
BETUL: penunggang motosikal

23.menghidap penyakit buah pinggang(X)
BETUL: menghidapi penyakit buah pinggang

24.berpandukan pada pelan(X)
BETUL: berpandu pada pelan / berpandukan pelan

25.Jarak di antara Ipoh dengan Kuala Lumpur(X)
BETUL: Jarak di antara Ipoh dan Kuala Lumpur

26.saling membantu-bantu(X)
BETUL: saling membantu / bantu-membantu

27.Anak-anak kucing saya comel-comel belaka.(X)
BETUL: Anak kucing saya comel-comel belaka. / Anak-anak kucing saya comel belaka.

28.dua setengah jam(X)
BETUL: dua jam setengah

29.daripada pagi hingga ke petang(X)
BETUL: dari pagi hingga petang

30.rakyat menderita pada zaman kedudukan Jepun(X)
BETUL: rakyat menderita pada zaman pendudukan Jepun

31.surat dari pihak sekolah(X)
BETUL: surat daripada pihak sekolah

32.pemain squasy terbaik dunia(X)
BETUL: pemain skuasy terbaik dunia

33.demi untuk kepentingan bersama(X)
BETUL: demi kepentingan bersama

34.Mulut kakak saya celupar.(X)
BETUL: Mulut kakak saya celopar.

35.Peristiwa itu mengguris perasaan ibu saya.(X)
BETUL: Peristiwa itu menggores perasaan ibu saya.

36.amalan bergotong-royong(X)
BETUL: amalan gotong-royong / penduduk bergotong-royong

37.Wanita itu berambut kerinting.(X)
BETUL: Wanita itu berambut keriting.

38.Saya membaca novel yang bertajuk “Kasih Ibu”(X)
BETUL: Saya membaca novel yang bertajuk 'Kasih Ibu'

39.dari masa ke semasa(X)
BETUL: dari masa ke masa / dari semasa ke semasa

40.berkotak bungkusan hadiah(X)
BETUL: berkotak-kotak bungkusan hadiah

41.berkerjasama membersihkan kawasan sekolah(X)
BETUL: bekerjasama membersihkan kawasan sekolah

42.memegang beg hanya dengan sebelah tangan sahaja(X)
BETUL: memegang beg dengan sebelah tangan sahaja / memegang beg hanya dengan sebelah tangan

43.Kapal terbang itu akan bertolak sebentar lagi.(X)
BETUL: Kapal terbang itu akan berlepas sebentar lagi.

44.memperlolehi banyak wang daripada jualan(X)
BETUL: memperoleh banyak wang daripada jualan

45.mengadakan majlis perkhawinan(X)
BETUL: mengadakan majlis perkahwinan

46.melawat ke negeri Sembilan dan ke negeri Johor(X)
BETUL:melawat ke Negeri Sembilan dan ke negeri Johor

RAMALAN 5: KARANGAN BERGAMBAR PMR 2011

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rakyat Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang bangsa. Oleh hal yang demikian, semua penduduk mestilah memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.


Realitinya, rakyat Malaysia mestilah memahami falsafah Rukun Negara. Cara ini dapat mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang lagi. Sementara itu, kita juga dapat memastikan negara sentiasa aman damai.


Di samping itu, semua penduduk Malaysia haruslah saling bekerjasama bagai aur dengan tebing. Contohnya, kita haruslah bekerjasama untuk menjayakan aktiviti gotong-royong. Seterusnya, kita dapat memupuk hubungan yang erat dan harmoni.


Di samping itu, perpaduan antara kaum dapat dipupuk menerusi pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak aktiviti bertemakan perpaduan bolehlah dianjurkan di sekolah.Usaha ini dapat memastikan pelajar memahami kepentingan hidup bersatu padu sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Secara tuntas, semua rakyat Malaysia wajarlah memahami erti bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Lebih-lebih lagi, kita mestilah bersatu hati untuk merealisasikan Wawasan 2020.

RAMALAN 4: KARANGAN BERGAMBAR PMR 2011

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang sebab-sebab siswazah lepasan universiti menganggur. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



Bilangan siswazah yang menganggur semakin meningkat dari setahun ke setahun bak cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini berlaku kerana banyak sebab.


Sebab utama siswazah menganggur disebabkan oleh sikap graduan yang suka memilih kerja. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mahu bekerja di tempat yang selesa dan bergaji besar. Sebenarnya, permintaan mereka terlalu tinggi kerana bersikap diberi betis hendak paha.


Selain itu, ada kajian yang menunjukkan bahawa para siswazah yang menganggur ada kaitan dengan sikap majikan yang hanya mahu menggaji pekerja yang berpengalaman. Hal ini menyebabkan siswazah lepasan universiti tidak dapat mencari pekerjaan dan terpaksa menganggur. Masalah ini akan menyebabkan banyak masalah sosial terus meningkat dalam masyarakat kita.


Di samping itu, masalah pengangguran dalam kalangan siswazah juga berpunca daripada kegawatan ekonomi. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak majikan yang mahu mengurangkan kos dengan mengurangkan jumlah pekerja. Hal ini menyebabkan pelajar lepasan universiti terpaksa menganggur dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sebagai jurujual sambilan.



Kesimpulannya, Para siswazah perlulah berani mencuba semua pekerjaan. Semangat tidak mudah berputus asa ini akan menyebabkan mereka tidak terus menganggur sekali gus menjejaskan pembangunan dan produktiviti negara.

RAMALAN 3: KARANGAN BERGAMBAR

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang kebaikan menyertai pertandingan mengarang. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Peraduan mengarang cerpen banyak dianjurkan oleh pihak sekolah. Pertandingan seumpama ini banyak memberikan kelebihan.



Pelajar yang menyertai pertandingan mengarang dapat mengasah bakat sebagai penulis. Sekiranya mereka memenangi pertandingan mengarang, mereka berpeluang menjadi penulis berbakat seperti Keris Emas dan Usman Awang suatu hari nanti. Hal ini dikatakan demikian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Sementara itu, pelajar juga dapat mempelajari teknik penulisan sewaktu mengarang. Mereka dapat menulis cerita yang menarik dan kaya dengan gaya bahasa. Secara tidak langsung, usaha mereka ini dilatakan dalam menyelam minum air kerana dapat memahami dunia kesusasteraan.


Peserta peraduan mengarang biasanya mendapat hadiah apabila mereka memenangi pertandingan.Hal ini dikatakan demikian kerana banyak hadiah lumayan ditawarkan dalam pertandingan . Tambahan lagi, hasil penulisan mereka dapat disiarkan dalam media massa.


Secara total, semua murid wajar menyertai pertandingan mengarang cerpen.Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan seperti ini terlalu banyak memberikan kebaikan kepada kita.

RAMALAN 2: KARANGAN BERGAMBAR

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara-cara mempopularkan permainan tradisional. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Permainan tradisional Malaysia semakin dipinggirkan. Oleh hal yang demikian, kita harus menggembleng tenaga untuk mempopularkannya semula sebelum warisan negara ini terus dilupakan oleh masyarakat.



Realitinya, pihak kerajaan haruslah menjalankan kempen mempromosikan permainan tradisional. Kempen ini bolehlah dijayakan bersama oleh media massa. Usaha ini dapat membantu usaha kerajaan yang berharap rakyat lebih mengenali permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta.



Pihak Kementerian Belia dan Sukan pula haruslah mengiktiraf permainan tradisional sebagai acara sukan penting. Pihak berkenaan bolehlah memasukkan acara permainan tradisional dalam Sukan Malaysia (SUKMA). Langkah ini dianggap serampang dua mata kerana dapat menyemai minat rakyat sekali gus mempopularkan permainan tradisional.



Pihak sekolah pula bolehlah menubuhkan kelab permainan tradisional. Dalam kelab ini, para guru dapat mengajar murid-murid bermain permainan tradisional sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, generasi muda akan pasti menghargai warisan nenek moyang.



Kementerian Pelajaran juga bolehlah menganjurkan pertandingan permainan tradisional . Usaha ini akan berjaya sekiranya kita menjadikannya suatu acara penting dalam Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS). Dengan berbuat demikian, kita pasti dapat mempopularkan permainan tradisional kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Ijmalnya, semua pihak haruslah bertanggungjawab mempopularkan permainan tradisional. Kita mesti memastikan permainan warisan kita tidak pupus ditelan zaman.

1 October 2011

RAMALAN 1: KARANGAN BERGAMBAR PMR 2011

Berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara-cara memupuk semangat cinta akan negara. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Semangat patriotik mestilah dipupuk sejak kecil. Usaha ini penting agar kita dapat melahirkan rakyat yang cinta akan negara.


Sebenarnya, Kementerian Pendidikan mestilah mewajibkan mata pelajaran Sejarah. Usaha ini seyogianya dimulakan sejak peringkat tadika lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini penting agar kita dapat memahami sejarah negara.


Selain itu, pihak media massa haruslah menjalankan kempen patriotik. Pihak stesen televisyen bolehlah menyiarkan rancangan bertemakan semangat cinta akan negara. Saya percaya bahawa usaha ini dapat menaikkan semangat rakyat.


Sementara itu, pihak sekolah haruslah melibatkan remaja dalam Program Bulan Kemerdekaan. Murid-murid mestilah menyertai acara perarakan Hari Kebangsaan. Dengan ini, kita dapat memupuk semangat patriotik.


Di rumah, ibu bapa pula memainkan peranan sebagai pemupuk semangat cinta akan negara. Mereka haruslah mendidik anak-anak supaya setia kepada negara. Anak-anak juga harus diajar untuk menghormati lagu kebangsaan dan Jalur Gemilang.


Ijmalnya, Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum haruslah menghayati semangat patriotik Kita mestilah melahirkan rakyat Malaysia yang berpegang pada prinsip“biar putih tulang, jangan putih mata” demi kedaulatan dan keamanan negara tercinta.