Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 August 2014

RAMALAN (1) KARANGAN BERGAMBAR SPM 2014



BAHAGIAN A
[30 markah]
[masa dicadangkan : 45 minit]

Gambar di bawah menunjukkan perpaduan kaum di Malaysia.

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


SISTEM PENDIDIKAN

PROGRAM KEMASYARAKATAN


PENEMPATAN RAKYAT
PERPADUAN KAUM

AMALAN RUMAH TERBUKA


KERANGKA KARANGAN
PEN
Rakyat Malaysia – mesti hidup bersatu padu – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh – banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum
ISI 1
Sistem pendidikan negara – memainkan peranan sebagai agen perpaduan – memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni – pelbagai kaum belajar di dalam satu kelas – menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama untuk memupuk perpaduan nasional
ISI 2
Kerajaan – menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat – dapat bergaul mesra – hidup bagai aur dengan tebing – harmoni dan bersatu padu
ISI 3
Pelbagai program kemasyarakatan – diadakan oleh pihak kerajaan – kegiatan gotong-royong dapat memupuk perpaduan kaum – berat sama dipikul, ringan sama dijinjing – membersihkan tempat tinggal
ISI 4
Pada hari perayaan – ziarah-menziarahi antara kaum – menghadiri rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan – berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing.
PEN
Semua rakyat Malaysia – hidup bersatu padu – membina negara yang harmoni dan kukuh


KARANGAN BERGAMBAR 1

          “Rakyat Malaysia mestilah hidup bersatu padu”. Demikianlah kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas memperkenalkan Rukun Negara kepada rakyat Malaysia. Kata-kata almarhum memang ada kebenarannya kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya yakin bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

          Cara yang terbaik boleh kita lakukan untuk menyatupadukan rakyat adalah melalui sistem pendidikan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan memainkan peranan penting sebagai agen perpaduan. Pihak sekolah bolehlah memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni, yakni diduduki murid berbangsa Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum lain. Oleh sebab rambut sama hitam, hati lain-lain, pelbagai kaum dapat belajar di dalam kelas di samping menyanyikan lagu kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional.

          Kerajaan pula mestilah bertindak bijak dengan menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat. Hal ini dapat mengelakkan polarisasi kaum dan tidak membina jurang pemisah antara kaum. Apabila tinggal bersama di sesuatu kawasan petempatan, kita dapat bergaul mesra dan hidup bagai aur dengan tebing. Sulaman kasih dan amala hormat-menghormati yang diamalkan pasti dapat membentuk rakyat supaya hidup harmoni dan bersatu padu.

          Pada masa yang sama, pelbagai program kemasyarakatan bolehlah diadakan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong harus dijadikan aktiviti tahunan suoaya kita dapat memupuk perpaduan kaum. Semua kaum mestilah memahmi konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat membersihkan tempat tinggal, malah dapat bergaul mesra dan hidup serumpum bagai serai. Amalan inilah yang dikatakan semangat 1Malaysia rakyat kita.

          Di samping itu, amalan ziarah-menziarahi pada hari perayaan juga merupakan rencah penting untuk menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Amalan rumah terbuka misalnya bolehlah diadakan pada hari perayaan. Dengan berbuat demikian, semua kaum dapat dikumpulkan bersama-sama meraikan hari perayaan dengan penuh bermakna. Apabila berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan, saya yakin bahawa kita dapat berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing-masing.

          Kesimpulannya, kita haruslah menyahut seruan Perdana Menteri untuk hidup bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat bersatu padu amat penting untuk membina negara yang harmoni dan kukuh. Oleh sebab itu, tanpa rakyat tiadalah negara. Rakyat haruslah berpegang teguh pada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni demi membentuk masyarakat majmuk yang bersatu padu. Malaysia Boleh!

26 August 2014

ANALISIS KOMSAS RAMALAN SPM 2014 - CERPEN "IBU DAN CEPER"


CERPEN IBU DAN CEPER
[Penulis: Shahnon Ahmad]
SINOPSIS
Sungai Ceper mengalirkan airnya dengan arus yang kuat. Penulis membandingkan kekuatan Sungai Ceper dengan kegigihan ibunya. Sungai Ceper masih belum tercemar dan berfungsi untuk mengairi sawah padi. Kepelbagaian fungsi sungai tersebut diumpamakan oleh penulis seperti kegigihan seorang ibu yang mengerjakan sawah padi bagi menyara keluarganya. Ibu merupakan seorang wanita yang rajin. Selain bersawah, ibu menetak mengkuang bagi menampung kelangsungan hidup keluarga. Ibu aktif juga dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti membantu kenduri-kendara dan menziarahi jiran sekiranya ada kematian.
             Suaminya agak pemalas kerana amat kurang membantu menyara keluarga. Si ibulah yang berhempas pulas menggunakan tulang empat keratnya untuk mengusahakan sawah padi. Si suami banyak menghabiskan masa memenuhi hobinya, iaitu memikat burung ketitir. Penulis menjelaskan bahawa Sungai Ceper mendatangkan bencana juga kepada mereka. Ketika banjir, air Sungai Ceper memusnahkan padi yang ditanam oleh ibu. Penduduk di seluruh kampung menjadi papa kedana kerana padi mereka musnah sebagai akibat banjir. Selain banjir, kemarau mengancam penduduk kampung juga. Kemarau yang berpanjangan menyebabkan tanaman padi mati. Ibu terpaksa mendapatkan bekalan air dari perigi.
              Penulis teringat akan kisah lampaunya. Penulis yang kini sudah beranak dan bercucu teringat akan kisah arwah ibu dan ayahnya. Ibu tidak dapat bekerja mengusahakan sawah padi setelah terjatuh kerana terlanggar tunggul kayu. Sebagai akibatnya, ibu terus lumpuh dan tidak dapat bergerak lagi. Bapanya pula semakin tua dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu menyara keluarga. Penulis teringat akan kisahnya menjaga ibu dan ayahnya yang sudah tua. Ketika menjaga ibu yang sudah tua, kadang kala terdapat kesalahan yang dilakukannya yang menggores perasaan ibu tua. Penulis amat menyesali ketelanjurannya.
              Keadaan Sungai Ceper digambarkan semakin kotor sebagai akibat pencemaran. Pelbagai bahan buangan terdapat dalam sungai tersebut. Air Sungai Ceper semakin sedikit dan dasarnya semakin cetek sehingga menyebabkan Sungai Ceper gagal berfungsi. Air Sungai Ceper tidak mengalir lagi. Kekotoran yang terdapat dalam Sungai Ceper amatlah menjijikkan.
              Kini, penulis dan keluarganya mengambil alih kerja-kerja mengusahakan sawah padi. Walau bagaimanapun, keriangan mengusahakan sawah padi berbeza daripada zaman sebelumnya. Hal ini dikatakan demikian kerana Sungai Ceper tidak mampu lagi mengairi sawah padi seperti yang digambarkan ketika zaman ayah dan ibunya masih muda dahulu. Mengikut pengamatan penulis, kematian ibunya sama keadaannya seperti yang dialami oleh Sungai Ceper.
TEMA
Keprihatinan penulis terhadap pencemaran alam sekitar dan kasih sayangnya terhadap ibunya,
PERSOALAN
·         Kegigihan seorang perempuan
·         Kurangnya kesedaran masyarakat
·         Ketabahan anak
·         Kesusahan masyarakat petani
WATAK DAN PERWATAKAN
·         Ibu
-        Rajin bekerja
-        Menjadi tonggak untuk melakukan urusan harian
-        Bergaul dengan anggota masyarakat
-        Cergas pada usia muda
-        Mahir menganyam tikar mengkuang
-        Cepat marah

·         Aku
-        Bertanggungjawab terhadap keluarganya
-        Berasa simpati terhadap ibunya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran
-        Sudah berkahwin (isterinya orang kampung yang biasa bekerja di sawah)
-        Menjaga ibu bapanya semasa mereka sakit
-        Dia berasa kesal atas perbuatannya yang telah menyinggung perasaan ibunya (bercakap kasar terhadap ibunya yang lumpuh)
-        Dia kematian ibunya
LATAR
·         Latar Tempat
-     Di sebuah kampung yang terletak di tepi Sungai Ceper

·         Latar Masa
-        Pada 40 tahun lalu
-        Semasa air Sungai Ceper masih jernih dan arusnya mengalir deras, masa kini
-        Setelah Sungai Ceper sudah tercemar hingga airnya kering

·         Latar Masyarakat
-     Masyarakat kampung
-     Masyarakat tani yang menanam padi

PLOT
·         Permulaan
-     Pembaca diperkenalkan dengan ibu pengarang dan Sungai Ceper. Ibunya menjalankan aktiviti bersawah untuk menyara keluarga.
·         Perkembangan
-     Apabila tiba musim hujan, Sungai Ceper membanjiri sawah dan merosakkan padi-padi yang tengah menguning. Ibu pengarang sangat kecewa dan memarahi Sungai Ceper. Ketika musim kemarau, air Sungai Ceper menjadi cetek.
·         Perumitan
-     Kemarahan ibu pengarang terhadap bapanya yang gila mendenak burung ketitir.
·         Klimaks
-     Ibu pengarang terjatuh ketika bekerja di sawah lalu lumpuh. Pengarang dan isterinya telah mengambil alih tugas ibu di sawah.
·         Peleraian
-     Kedua-dua ibu bapa pengarang meninggal dunia. Sungai Ceper juga sudah mati kerana airnya sudah tidak mengalir deras dan sudah tercemar.

TEKNIK PLOT
·         Pemerian
-     Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang dan berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman.

·         Dialog
-        “Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”

·         Imbas kembali
-     Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya di paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak buruh untuk menolon ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap
-     Aku masih ingat betul. Dan itu sebenarnya empat puluh tahun yang lampau sewaktu aku masih anak teruna dan ibu masih boleh beranak lagi
-     Itulah detik-detik yang tidak dapat kulupakan. Aku menyesal dan memohon ampun banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.

GAYA BAHASA
·         Loghat utara
-        Selut, acilut, terbongkeh
·         Personifikasi
-        Air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan
·         Simile
-        Bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu
-        Ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
·         Hiperbola
-        Sawah habis kering
-        Ia memancutkan airnya, tidak sedikit pun menempuh kerumitan
·         Sinkope
-        Tak, ku
·         Peribahasa
-        Naik angin, kaki burung

NILAI
·         Cinta akan alam sekitar
·         Kegigihan
·         Kasih sayang
·         Tabah
·         Insaf
·         Peka

PENGAJARAN
·         Kita haruslah tabah dalam mengharungi cabaran hidup.
·         Kita hendaklah menjaga kebersihan dan memelihara sungai.
·         Janganlah kita menyinggung perasaan ibu.
·         Kita seharusnya menyayangi ibu bapa yang mendidik dan menjaga kita.
·         Anak haruslah bertanggungjawab untuk menjaga orang tua yang sudah uzur.




25 August 2014

CARA MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF



PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2014 - RAMALAN 1 Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara

PEPERIKSAAN PERCUBAAN 
SPM TAHUN 2014

RAMALAN 1
Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara
Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Banyak pelancong sama ada dari luar ataupun tempatan memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat-tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita, pelancong juga dapat bermain sambil melawat tempat-tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, untuk memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A’Famosa. Di Kota A’Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama Hal ini dikatakan demikian kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat-tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak-kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita. Jelaslah kepada kita bahawa Malaysia mempunyai lebih banyak tempat pelancongan yang menarik daripada luar negara kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara-negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti nasi ayam, pau dan kuetiao goreng daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan Barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya
Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.
Sementara itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain yang tak lekang dek panas, tak basah dek hujan. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


KESALAHAN UMUM TATABAHASA - SIRI RENUNGAN BERSAMA

NO
NOTA
LATIHAN
1
kata bilangan berimbuhan “ber” mestilah digandakan.
berbanyak (salah)
berbanyak-banyak (betul)

berminggu (salah)
berminggu-minggu(betul)

beribu (salah)
beribu-ribu (betul)

berjuta (salah)
berjuta-juta(betul)

berhari (salah)
berhari-hari (betul)

2
Kata banyak makna

(i)                mengisytiharkan
(ii)             mengumumkan
(iii)           melancarkan
(iv)           merasmikan
(v)             menjalankan
(i)mengisytiharkan –pengumuman

(ii)             mengumumkan – berita

(iii)           melancarkan – program / aktiviti

(iv)           merasmikan – memulakan sesuatu secara formal

(v)             menjalankan – mengadakan

3
Hukum DM melibatkan kata kerja berurutan

PERINGATAN!
*kata kerja yang berimbuhan tidak boleh dipotong manakala kata ganda yang tidak berimbuhan boleh dipotong

kelawar-kelawar yang bergayutan (salah)
kelawar yang bergayutan (betul)

bunga-bunga yang berkembangan (salah)
bunga yang berkembangan (betul)

murid-murid yang berkeliaran (salah)
murid yang berkeliaran (betul)

mayat-mayat yang bergelimpangan (salah)
mayat yang bergelimpangan (betul)

buku-buku yang bertaburan (salah)
buku yang bertaburan (betul)
4
penggunaan “di” dan “pada”

(i)                “di” hanya untuk tempat
(ii)             “pada” hanya untuk masa dan tempat selepas kata kerja
tampal di dinding (salah)
tampal pada di dinding (betul)

sapu di bahagian mulut (salah)
sapu pada bahagian mulut(betul)

bergantung kepada usaha (salah)
bergantung pada usaha (betul)