Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

17 January 2012

Peribahasa PMR - Latih Tubi

LATIHAN PERIBAHASA 1. Kedua-dua orang sahabat itu sentiasa bersama walau ke mana-mana sahaja mereka pergi. Hubungan mereka ini bertepatan dengan perumpamaan _______.

A bagai duri dalam daging
B bagai dakwat dengan kertas
C bagai dihiris dengan sembilu
D bagai aur dengan tebing

2. Hati Hartina __________ apabila mendengar tunangnya curang.

A seperti ikan kena tuba
B seperti hujan jatuh ke pasir
C seperti emas baru disepuh
D seperti kaca terhempas ke batu


3. Robert betul-betul kecewa kerana dia dipersalahkan dalam kecurian itu. Padahal dia langsung tidak berada di tempat berkenaan. Keadaan ini diibaratkan

A rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan
B sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu
C orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getahnya
D sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga

4. Cikgu Alimin sentiasa merungut tulisan Syamimi yang tidak dapat dibaca. Keadaan ini bertepatan dengan

A halus seperti kuman
B jernih seperti cermin
C kurus seperi lidi
D lambat seperti kura-kura

5. Sebelum kapal terbang itu terhempas, penduduk kampung telah terdengar beberapa bunyi letupan yang ________.

A tajam seperti sembilu
B keras seperti batu
C gagah seperti gergasi
D kuat seperti guruh

6. Akibat tidak mendengar pengajaran guru, Ravi terpaksa ______ untuk menjawab semua soalan dalam peperiksaan akhir tahun.

A memasang telinga
B memerah otak
C bulat kata
D buka mulut

7. Bertahun-tahun Wong berusaha untuk membesarkan bengkelnya. Walau bagaimanapun, perniagaannya jatuh dalam sekelip mata kerana hasad dengki orang lain. Keadaan perniagaan Wong ini bertepatan dengan peribahasa

A Sekali air bah, sekali tepian berganjak
B sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
C naik seperti semut, turun seperti ribut
D pahit dulu, manis kemudian

8. Pilih jawaban yang betul.

A Serkap jarang -menuduh orang lain melalui bukti-bukti yang sahih
B Telinga nipis - orang yang penyabar
C Paku belanda - harga yang tidak boleh diubah-ubah
D Makan angkat - orang yang tidak suka akan pujian

9. Apakah maksud peribahasa mengikut telunjuk?

A berkata benar
B mendengar arahan
C suka mengarah
D tidak berani membantah

10. Sambil menangis, Zaleha mencurahkan _____nya kepada kakak.

A iri hati
B jiwa raga
C ambil hati
D isi hati

11. Swee Lan suka memakai pakaian yang berwarna _________.

A pucat seperti mayat
B merah seperti darah
C jernih seperti cermin
D keras seperti batu


12. Zahrul telah biasa dengan kehidupan yang miskin dan dihina oleh orang. Keadaan ini dikatakan ________.

A takut akan bayang-bayang sendiri
B alah bisa tegal biasa
C sudah terhantuk baru tengadah
D menanti kucing bertanduk

13. Wan Maimon menasihati anaknya yang hendak mengembara agar rajin bertanya jalan. Kata pepatah ______.

A malu bertanya sesat jalan, malas berdayung perahu hanyut
B ikut hati mati, ikut rasa binasa
C terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
D kalau baik jadikan teladan, kalau tak baik jadikan sempadan

14. Kesalahan orang lain walaupun kecil nampak tetapi kesalahan sendiri tidak disedari. Pernyataan ini ibarat _______.

A lain dulang lain kakinya, lain orang lain hatinya.
B rambut sama hitam tetapi hati lain-lain
C kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak.
D hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

15. Para nelayan ______ apabila tiba musim tengkujuh.

A putus akad
B putus rezeki
C putus harapan
D putus tangan

16. Tiada gunanya kamu menjerit-jerit kepadanya kerana dia itu _______.

A berat mulut
B pekak badak
C ringan tulang
D kepala angin

17. Balqis bekerja sambilan untuk membiayai pengajiannya di universiti. Kata orang,

A sebelum ajal berpantang mati
B sarang tebuan jangan dijolok
C sambil menyelam minum air
D sediakan payung sebelum hujan

18. Sudah lama saya ingin melancong ke luar negara. Oleh sebab itu, apabila pak cik mempelawa saya melancong bersama-sama keluarganya, saya terus menerima. Keadaan ini ibarat

A tepuk dada tanya selera
B orang mengantuk disorongkan bantal
C mendapat durian runtuh
D kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan

19. Idris berasa gembira kerana dapat balik semula ke kampung setelah 15 tahun merantau di luar negara. Keadaan ini diibaratkan

A sirih pulang ke gagang
B isi dengan kuku
C hujan jatuh ke pasir
D tikus jatuh ke beras

20. Hidup di perantauan tidak menentu kerana jika kita bernasib baik, kita akan mendapat kejayaan. Sebaliknya, jika kita bernasib malang, kita akan mendapat kerugian. Keadaan ini dikatakan

A di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
B sesekali tersengat, selalu beringat
C hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
D untung sabut timbul, untung batu tenggelam

21. Walaupun Umi Amera agak lemah dalam pelajaran, namun dia seorang pelajar yang rajin bertanya guru. Akhirnya dia berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan PMRnya. Keadaan ini ibarat

A belakang parang kalau diasah lagikan tajam
B seperti kera mendapat bunga
C bagai tikus membaiki labu
D biar mati anak, jangan mati adat

22. Aiman mempunyai semangat juang yang tinggi bagi memastikan dia berjaya dalam peperiksaan PMR yang akan didudukinya tidak lama lagi. Dia tidak mahu gagal kerana itu akan menggelapkan masa depannya. Semangat tersebut sesuai dengan peribahasa

A biar putih tulang jangan putih mata
B daripada cempedak, lebih baik nangka
C biar mati anak, jangan mati adat
D kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

23. “Saya akan melupakan segala perbalahan yang lalu demi semangat kejiranan,” kata Amin kepada Mustafa. Amalan ini dikatakan

A di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
B di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi
C buang yang keruh dan ambil yang jernih
D di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung

24. Hubungan dua saudara itu sangat akrab. Mereka sentiasa bersama sepanjang masa. Keadaan ini dikatakan

A bagai isi dengan kuku
B bagai bulan purnama
C bagai anjing dengan kucing
D bagai mendukung biawak hidup

25. Pak Kasim sangat disegani oleh masyarakat kerana ketokohannya dalam bidang persilatan. Namun, beliau tidak berminat hendak mencurahkan ilmunya kepada orang lain. Sikap beliau itu seperti

A ilmu pelita hidup
B pokok rendang yang tidak berbuah
C melepaskan batuk di tangga
D enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

26. Nana berhasrat hendak pulang ke kampung halaman kerana sudah lama di perantauan. Dia ingin berbakti kepada anak bangsanya. Keadaan ini diibaratkan seperti

A setinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di atas belakang kerbau juga
B kecil tapak tangan nyiru ditadahkan
C orang berbudi kita berbahasa
D berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah

27. Walaupun Rahim seorang pendiam, namun dia dikurniakan otak yang sangat cerdas dalam pelajaran. Itulah yang dikatakan

A diam besi berkarat
B carik-carik bulu ayam
C diam-diam ubi berisi
D ada kerak adalah nasi

28. Dalilah sentiasa mengimpikan rumah tangga yang aman damai hingga ke akhir hayat, namun segalanya musnah apabila suami dan anak-anaknya meninggal dalam kemalangan jalan raya. Keadaan itu diibaratkan

A nasi sudah menjadi bubur
B karam berdua basah seorang
C mati semut kerana gula
D panas tidak sampai ke petang

29. Syazliana suka berlagak seperti orang kaya. Dia bekerja sebagai kerani sahaja tetapi perbelanjaan melebihi orang yang berpangkat besar. Sikapnya itu telah menyebabkan dirinya terjerat dengan hutang yang banyak. Keadaan ini dikatakan

A seperti sampah hanyut
B seperti rumput di tepi jalan
C ukur baju di badan sendiri
D seperti pipit menelan jagung

30. Jangan selalu mengeluarkan ____ terhadap kawan-kawan dan orang tua.

A bahasa halus
B bahasa kesat
C cakap angin
D bunga bangsa

Mahu jawapan?
JAWAPAN PERIBAHASA 1-30
1. B
2. D
3. C
4. A
5. D
6. B
7. C
8. C
9. B
10. D
11. B
12. B
13. A
14. C
15. B
16. B
17. C
18. B
19.A
20. D
21. A
22. A
23. C
24. A
25.  D
26. A
27. C
28. D
29. D
30. B