Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

26 February 2016

INFORMASI BAHASA - PEMBENTUKAN KATA BERIMBUHAN AWALAN SANSKRIT “TATA”

INFORMASI BAHASA PEMBENTUKAN KATA BERIMBUHAN AWALAN SANSKRIT “TATA” Daripada nota dalam Tatabahasa Dewan, kita dapat membaca nota bahawa bentuk awalan tata- digunakan khusus untuk menerbitkan kata nama yang membawa maksud suatu susunan atau peraturan. Sebaliknya, dalam Kamus Dewan pula, imbuhan tata- didefinisikan sebagai awalan asing yang membawa maksud peraturan, acara, kaedah, susunan, dan sistem. Contohnya: tata + acara = tataacara tata + adab = tataadab tata + ayat = tataayat tata + bahasa = tatabahasa tata + buku = tatabuku tata + cahaya = tatacahaya tata + cara = tatacara tata + etika = tataetika tata + fonem = tatafonem tata + hukum = tatahukum tata + kalimat = tatakalimat tata + kata = tatakata tata + kerja = tatakerja tata + krama =tatakrama tata + laku = tatalaku tata + nama = tatanama tata + negara = tatanegara tata + niaga = tataniaga tata + praja = tatapraja tata + rajah = tatarajah tata + rakyat = tatarakyat tata + rias = tatarias tata + suria = tatasuria tata + susila = tatasusila tata + tertib = tatatertib tata + tingkat = tatatingkat tata + urusan = tataurusan tata + usaha = tatausaha Jika kita rajin merujuk kamus, banyak istilah baharu dapat kita temukan daripada imbuhan pinjaman tata- sebagaimana yang telah saya senaraikan di atas. Walau bagaimanapun, istilah yang dibiarkan tercatat dalam kamus tetapi tidak digunakan pula akan membawa kepada tanda-tanda kepupusan sesuatu kata atau istilah. Oleh hal yang demikian, kita haruslah menggunakan istilah yang menerima entri dalam Kamus Dewan dalam bentuk lisan dan tulisan. Dengan berbuat begitu, perkembangan bahasa akan terus berlaku dan kualiti bahasa kita akan terus meningkat. Anak Cina bertimbang madat, Dari Batak langsung ke Deli; Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli. Tingkap papan kayu bersegi, Sampan sakat di Pulau Angsa; Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa.

INFORMASI BAHASA - PEMBENTUKAN KATA BERIMBUHAN AWALAN SANSKRIT “MAHA”

INFORMASI BAHASA
PEMBENTUKAN KATA BERIMBUHAN AWALAN SANSKRIT “MAHA”
Bahasa Melayu mempunyai sistem imbuhan yang lengkap untuk menampung keperluan dalam bidang kebahasaan selama ini. Walau bagaimanapun, dengan bertambahnya bidang ilmu dan ikhtisas yang baharu, sistem imbuhan asing telah dipinjam untuk menampung kemasukan bentuk-bentuk kata pinjaman untuk keperluan peristilahan. Imbuhan maha- telah menjadi sebati dengan perkataan-perkataan dasar bahasa Melayu sehinggapenggunaannya amat produktif. Imbuhan maha- berfungsi melahirkan bentuk kata adjektif dan kata nama dan membawa pengertian paling atau tahap terbesar, tertinggi, dan teragung. contohnya:
maha + raja = maharaja
maha + rani = maharani
maha + karya = mahakarya
maha + guru = mahaguru
maha + siswa = mahasiswa
maha + siswi = mahasiswi
maha + meru = mahameru
maha + dewa = mahadewa
maha + dewi = mahadewi
maha + duta = mahaduta
maha + hakim = mahahakim
maha + jana = mahajana
maha + putera = mahaputera
maha+resi = maharesi
maha+rana = maharana
maha+rupa=maharupa
maha+si + tua = mahasitua
Mengikut kelaziman, ejaan bentuk terbitan daripada jenis maha + kata adjektif dieja berasingan. Perkataan “maha” dalam binaan ini tidak bertaraf imbuhan tetapi satu perkataan yang utuh dan bermandiri.
maha + mulia = maha mulia
maha + besar = maha besar
maha + agung = maha agung
maha + kuasa = maha kuasa
Penggunaan bahasa Melayu berimbuhan pinjaman dalam ayat,wacana, dan penulisan membuktikan ketinggian tahap kefahaman kita terhadap sistem imbuhan dan peristilahan bahasa Melayu. Gunakanlah istilah daripada imbuhan pinjaman yang dieja dengan betul agar bahasa kebangsaan kita terus produktif. Produktiviti dan kemajuan bahasa bergantung pada penggunanya yang terus menghargai bahasa sebagai produk yang mampu membentuk persefahaman sesama penggunanya. Ingatlah bahawa hilang bahasa lenyaplah bangsa!

23 February 2016

INFORMASI BAHASA - IMBUHAN MENGE- DAN KEKECUALIANNYA

INFORMASI BAHASA
IMBUHAN MENGE- DAN KEKECUALIANNYA
Soalan berbentuk imbuhan sering kali menjadi pilihan utama penggubal soalan untuk menguji calon peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana imbuhan ialah bidang morfologi yang menjadi tema utama dalam ujian waima peperiksaan. Awalan meng- menjadi menge- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu, baik perkataan Melayu mahupun kata pinjaman. Contohnya:
bom – mengebom
cat – mengecat
cas – mengecas
caj – mengecaj
cam – mengecam
sah – mengesahkan
pos – mengepos
tin – mengetin
lap – mengelap
kod – mengekodkan
had – mengehadkan
khas – mengekhaskan

Kekecualian timbul pada kata pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan, iaitu awalan meng- tidak berubah menjadi menge-. Contohnya:
stor – menstor
brek – membrek
klip – mengklip
klik – mengklik
klon – mengklon
Ada lagi? Mohon cadangkan kata pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan agar dapat kita memperkaya perbendaharaan kata yang dikecualikan daripada imbuhan awalan menge-. Daripada usaha kolektif ini, kita dapat membantu diri sendiri dan anak murid serta pengguna bahasa untuk mempertingkatkan kosa kata dan kefahaman kita terhadap penggunaan imbuhan menge-.
Berbanjar cemara di tanah rata,
jadi teduhan sekumpulan murai;
Segar dan mesra bahasa kita,
Anugerah warisan usah terburai.

22 February 2016

INFORMASI BAHASA - FRASA KERJA DENGAN DUA OBJEK

frasa kerja dengan dua objek

 Frasa kerja yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya boleh mengandungi dua frasa nama yang menjadi objek kepada kata kerja tersebut. Objek-objek ini mempunyai fungsi yang berbeza dan disebut sebagai objek tepat dan objek sipi. Objek tepat ialah objek yang menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerjanya sementara objek sipi ialah objek yang tidak menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerjanya. Contohnya,

1. Ridzuan menghadiahkan sebuah buku kepada Azizah.
2. Lelaki itu membeli baju untuk anaknya.

Ayat-ayat di atas boleh diubah menjadi ayat berikut:

1(a). Ridzuan menghadiahi Azizah sebuah buku.
2(a). Lelaki itu membelikan anaknya baju.

Apabila dipasifkan, hanya frasa nama yang menjadi objek tepat akan mengalami penjudulan, iaitu menjadi subjek atau unsur yang diterangkan. Contohnya,

1(c) Azizah dihadiahi sebuah buku oleh Ridzuan.
2(c) Anaknya dibelikan baju oleh wanita itu.

Sebaliknya, ayat-ayat pasif berikut yang menjudulkan objek sipi tidak dianggap gramatis.

1(d) *Sebuah buku dihadiahi oleh Ridzuan.
2(d) *Baju dibelikan anaknya oleh Lelaki itu.

Pembetulannya ialah:
1(e) Sebuah buku dihadiahkan oleh Ridzuan kepada Azizah.
1(e) Baju dibeli oleh lelaki itu kepada anaknya.

Yang berikut ialah contoh-contoh ayat yang mengandungi frasa kerja dengan dua objek.

3. Dia mencarikan isterinya sehelai selendang.
4. Dia mencari sehelai selendang untuk isterinya.
5. Tuhan mengurniai kita rahmat.
6. Tuhan mengurniakan rahmat kepada kita.
7. Baginda menganugerahi negarawan itu bintang kehormatan.
8. Baginda menganugerahkan bintang kehormatan kepada negarawan itu.
9. Ibu memasakkan tetamu makanan.
10. Ibu memasak makanan untuk tetamu.
11. Anak Ali menghidangi kami sedulang kuih.
12. Anak Ali menghidangkan sedulang kuih kepada kami.

Ayat 4,6,8,10, dan 12 hanya mengandungi satu objek. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat-ayat tersebut diubah susunannya, iaitu objek tepat asal diletakkan di bahagian belakang ayat dengan didahului oleh kata sendi nama “untuk” atau “kepada” dan menjadikannya frasa sendi nama.

Ada juga frasa kerja yang seolah-olah mengandungi dua objek seperti yang berikut:
13. Sultan Mahmud menamai tempat itu Melaka.
14. Emak menjadikan budak itu anak angkatnya.
15. Anak kecil itu menyangka orang itu bapanya.
16. Hasbullah menganggap saya lawannya.
17. Dima menamai kucing itu Si Tompok.

Sebenarnya, ayat-ayat di atas mengandungi satu objek sahaja, iaitu frasa nama yang mengikuti kata kerja secara langsung manakala “Melaka”, “anak angkatnya”, “bapanya”, “lawannya”, dan “Si Tompok” hanya berfungsi sebagai penerang kepada objek yang tidak boleh dijadikan objek tepat kerana ayat-ayat berikut jelas menampakkan kesilapannya:

14. (a) *Emak menjadikan anak angkatnya bagi budak itu.
15. (a) *Anak kecil itu menyangka bapanya untuk orang itu.
16. (a) *Hasbullah menganggap lawannya kepada saya.
17. (a) *Dima menamakan Si Tompok untuk kucing itu.

Untuk menjelaskan dan membaiki kesalahan bahasa dalam ayat-ayat di atas, perkataan “sebagai” boleh diletakkan di hadapan unsur-unsur penerang itu, contohnya:

13. (b) Sultan Mahmud menamakan tempat itu sebagai Melaka.
14. (b) Emak menjadikan budak itu sebagai anak angkatnya.
15. (b) Anak kecil itu menyangka orang itu sebagai bapanya.
16. (b) Hasbullah menganggap saya sebagai lawannya.
17. (b) Dima menamakan kucing itu sebagai Si Tompok.

Sebagai latih tubi, guru-guru bolehlah menjadikan ayat-ayat di bawah ini sebagai latihan kepada anak murid. Selain mempelajari ilmu transformasi ayat aktif kepada ayat pasif, anak-anak murid kita juga dapat mempelajari kepentingan objek tepat yang berkaitan dengan kata kerja dan objek sipi yang diterangkan oleh kata kerja. Penguasaan ilmu frasa kerja dengan dua objek ini penting demi persediaan menghadapi soalan tatabahasa dalam peperiksaan.

18. (a) Ibu memberi Ali nasihat
18. (b) Ibu memberikan nasihat kepada Ali.

19. (a) Hakim menjatuhi penjahat itu hukuman mati.
19. (b) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada penjahat itu.

20. (a) Polis menemui Md Ali di tepi jalan.
20. (b) Polis menemukan dompet di tepi jalan.

21. (a) Ibu mengirimi Ikram sepucuk surat.
21. (b) Ibu mengirimkan sepucuk surat kepada Ikram.

22. (a) Raja itu mengutusi menteri sepucuk surat.
22. (b) Raja itu mengutuskan sepucuk surat kepada menteri.

23. (a) Guru memberitahu Ali hal itu.
23. (b) Guru memberitahukan hal itu kepada Ali.

24. (a) Cikgu Mei Lan mengajar murid-muridnya tatabahasa.

24. (b) Cikgu Mei Lan mengajarkan tatabahasa kepada murid-muridnya.

17 February 2016

INFORMASI BAHASA - FRASA KERJA DENGAN SATU OBJEK

INFORMASI BAHASA
FRASA KERJA DENGAN SATU OBJEK

Frasa kerja yang mengandungi frasa nama sebagai objek dibahagikan kepada dua jenis:

(i) Frasa kerja yang mengandungi satu objek
(ii) Frasa kerja yang mengandungi dua objek

(a) Saya menjawab panggilan itu.
(b) Mesin itu mencetak nota.
(c) Ali tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya.
(d) Ketua pasukan menenangkan ahli pasukannya.
(e) Ubat itu dapat merawat sakit tulang belakang.

Dalam ayat (a) hingga (e), frasa nama telah menjadi objek dalam ayat tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang membentuk kata kerja tetapi membawa makna adjektif. Perkataan ini boleh menerima kata penguat, dan frasa nama yang mengikutinya boleh digugurkan.

Contohnya:

(f) Filem itu sungguh menyeramkan (kami).
(g) Kejadian itu sangat menyedihkan (kita).
(h) Keputusannya amat menggembirakan (saya).

Dalam contoh di atas, ayat yang frasa kerjanya menerima objek yang terdiri daripada orang pertama, secara pilihan boleh digugurkan

(i) Saya percaya peristiwa semalam sangat menakutkan anda.
(j) Betulkah pemeriksaan ketat imigresen di negara itu menyulitkan awak?
(k) Tingkah laku pelawak itu sangat menggembirakan kanak-kanak di pesta itu.
(l) Berita baik tentang kejayaan anak-anak di sekolah amat menyenangkan para ibu bapa.
Dalam contoh di atas, ayat yang frasa kerjanya menerima objek yang terdiri daripada orang kedua dan ketiga, tidak boleh digugurkan. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguguran ini menyebabkan pengguna bahasa beranggapkan bahawa objek yang digugurkan itu ialah orang pertama.

Saya akan membincangkan “frasa kerja dengan dua objek” bersama anda dalam paparan informasi bahasa yang akan datang.

Untuk melatih anak-anak murid kita, semua ayat aktif di atas (ayat (a) hingga (l) bolehlah dimanfaatkan untuk latihan soalan yang mempunyai arahan tukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Selamat mencuba. Berbudilah kepada bahasa dengan percambahan ilmu daripada semantiknya dan nilai estetikanya. Demikianlah juga pengisian pantun indah berikut:

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.

Sekian, terima kasih.

16 February 2016

INFORMASI BAHASA - AYAT TANYA TANPA KATA TANYA

INFORMASI BAHASA
AYAT TANYA TANPA KATA TANYA

Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).
Contohnya:
1. Encik Zulkifli pengurus syarikat itu?
2. Puan Mariam guru sekolah?
3. Adik masih menangis?
4. Dia terperanjat?
5. Emak membasuh kain?

Ayat tanya jenis ini boleh disertai partikel tanya -kah yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat. Dalam bahasa Melayu, lisan, partikel -kah biasanya diletakkan pada hujung ayat seperti yang berikut:

6(a) Dia ke sekolah?
6(b) Dia ke sekolahkah?

7(a) Mereka berlepas pagi tadi?
7(b) Mereka berlepas pagi tadikah?

8(a) Ayah hendak membaca akhbar sekarang juga?
8(b) Ayah hendak membaca akhbar sekarang jugakah?

9(a) Istana itu cantik?
9(b) Istana itu cantikkah?
10(a) Minggu lalu kamu ke Melaka?
10(b) Minggu lalu kamu ke Melakakah?

Ayat (b) dalam kelima-lima contoh (ayat 6-10) di atas mengandungi unsur yang dijadikan fokus yang ditandai oleh partikel -kah. Kelihatan bahawa tidak berlaku apa-apa perubahan pada struktur ayat apabila -kah dimasukkan.

Dalam bahasa lisan, unsur fokus dalam sesuatu ayat mengalami proses penjudulan, iaitu pendepanan konstituen-konstituen yang menjadi fokus itu. Struktur ayat berubah, iaitu mempunyai susunan yang berikut:

konstituen yang dijadikan fokus diikuti oleh –kah + subjek + unsur predikat lain (jika ada)

Ayat “Dia ke sekolahkah?”, misalnya berubah menjadi “Ke sekolahkah dia?” Frasa “ke sekolahkah” merupakan konstituen yang dikedepankan, iaitu mendahului konstituen subjek “dia”. Unsur preditkat yang lain wujud dalam ayat ini.

Pendepanan ayat 7-10 disertai partikel -kah menghasilkan ayat-ayat berikut:

7(c) Pagi tadikah mereka berlepas?
8(c) Sekarang jugakah ayah hendak membaca akhbar?
9(c) Cantikkah istana raja itu?
10(c) Ke Melakakah kamu minggu lalu?

Ayat-ayat di atas telah mengalami proses pendepanan konstituen predikat atau bahagian-bahagiannya. Subjek tidak boleh sama sekali mengalami proses pendepanan dengan partikel -kah. Walau bagaimanapun, ada beberapa ayat yang subjeknya kelihatan mengalami pendepanan dengan partikeh -kah seperti contoh yang berikut:

11. Encik Alikah guru itu?
12. Orang muda itukah pengurusnya?
13. Mariamkah ibunya?

Sebenarnya, kesemua ayat di atas merupakan ayat songsang, hasil daripada proses pendepanan predikat.
Mohon rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 442. Terima kasih.