Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

27 June 2019

SOALAN SEBENAR BAHASA MELAYU - SPM ULANGAN 2019

25 June 2019

BENGKEL PT3 BAHASA MELAYU SIRI 2


SALAM SEJAHTERA,
BENGKEL PT3 BAHASA MELAYU SIRI 2
(Terbuka kepada semua guru/murid/tutor/penceramah/ibu bapa)
Tarikh: 7 JULAI 2019 (AHAD)
Alamat: PUSAT TUISYEN DINAMIK BESTARI
1-1, Jalan Puteri 5/7, Bandar Puteri 5, 47100 Puchong, Selangor
MASA: 8.30 - 10.30 pagi (Kertas 1) 10.45 - 12.45 (Kertas 2)
TEMPAT: 65 tempat duduk sahaja
(Terbuka kepada semua guru/murid/tutor/penceramah/ibu bapa)
Penceramah :
KERTAS 1: Cikgu Rohaiza Omar (guru, penulis, penceramah, penulis kolum Majalah Pendidik)
KERTAS 2: Cikgu Tan CL (guru, penulis, penceramah, penulis kolum Majalah Pendidik)
Keistimewaan
1. Peserta akan mendapat Modul Futuristik Jilid 2 dan Jilid 3 yang akan dilancarkan dalam bengkel ini.
2. Peserta akan mendapat gambaran dan persediaan untuk menghadapi PT3.
3. Penjelasan DSKP dan sukatan pelajaran berpandukan format baharu dengan inti pati buku teks.
4. Penceramah yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi dalam bidang penulisan dan penceramahan.
BAYARAN: RM130
NAMA AKAUN: Alam Bimbingan Cikgu Tan
NOMBOR AKAUN: 10801002719
BANK: Hong Leong Bank
TEL: 0122099440
Selepas bayar, sila kemukakan bukti bayaran dan
NAMA:
ALAMAT
NO. TELEFON
JAWATAN: Guru/ibu bapa/tutor/murid
Pautan untuk memasuki grup seminar:
https://chat.whatsapp.com/BObBLLcS1VkGfI1TbGhx35
Selepas pembayaran dilakukan, anda dikira sebagai peserta. Bayaran yang dibuat tidak akan dikembalikan kecuali masalah kecemasan yang menyebabkan seminar dibatalkan.

17 June 2019

UNSUR KETERANGAN DALAM FRASA ADJEKTIF

INFORMASI BAHASA
17.6.2017
UNSUR KETERANGAN DALAM FRASA ADJEKTIF

Dalam frasa adjektif, unsur keterangan boleh hadir sesudah kata adjektif. Oleh sebab hadir selepas kata adjektif, polanya tidak berubah tetapi maknanya menjadi lebih jelas. Dari segi makna, keterangan baghi kata adjektif boleh digolongkan kepada 9 golongan.

(1) Keterangan cara(a) Badan Mega lemah dengan tiba-tiba. (FN + FA)
(b) Luka pada tangannya baik dengan dendirinya. (FN + FA)
(c) Pokok bunga itu segar dengan cepatnya. (FN + FA)

(2) Keterangan bandingan
(a) Buah mangga itu manis ibarat gula. (FN + FA)
(b) Badan lelaki ini kurus bagai lidi. (FN + FA)
(c) Suara Ziana Zain merdu seperti buluh perindu. (FN + FA)

(3) Keterangan hal atau keadaan (a) Penolong kanan itu selalu sibuk dengan pekerjaannya. (FN + FA)
(b) Penduduk Desa Sentosa masih melarat dalam kemiskinan. (FN + FA)
(c) Irdina pandai dalam semua mata pelajaran. (FN + FA)

(4) Keterangan tujuan(a) Rumah harus bersih demi kesihatan hidup kita.(FN + FA)
(b) Rakyat mesti cergas untuk kemajuan masa depan.(FN + FA)
(c) Juruterbang harus hati-hati demi keselamatan semua penumpang.(FN + FA)

(5) Keterangan kekerapan.(a) Wanita yang lemah itu sakit selalu. (FN + FA)
(b) Pekerja itu jarang-jarang lewat. (FN + FA)
(c) Wanita itu sering sedih. (FN + FA)

(6) Keterangan terhadap.(a) Anak itu rindu akan emaknya.(FN + FA)
(b) Kita harus cinta akan tanah air.(FN + FA)
(c) Hang Tuah amat setia kepada rajanya. (FN + FA)

(7) Keterangan musabab(a) Budak perempuan itu lemah oleh sebab keletihan. (FN + FA)
(b) Murid itu lembap kerana tiada bimbingan.(FN + FA)
(c) Makanan itu sedap kerana cukup bahan-bahannya. (FN + FA)

(8) Keterangan waktu(a) Aminah selalu sakit ketika masih kecil dahulu. (FN + FA)
(b) Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri sungguh cekap pada masa sekarang. (FN + FA)
(c) Pelatih itu telah mahir dalam masa dua bulan setengah sahaja. (FN + FA)

(9) Keterangan tempat(a) Kanak-kanak yang jatuh itu sakit pada kakinya.(FN + FA)
(b) Buah nanas serawak manis di bahagian pangkalnya. (FN + FA)
(c) Bunyinya kuat daripada pembesar suara di sebelah kanan. (FN + FA)

Semua ayat di atas berpola (FN + FA). Jika anda tidak bijak menilai predikatnya, anda akan mendapat jawaban yang salah bagi pola ayat tersebut. Walau bagaimanapun, anda akan menjadi calon peperiksaan yang dapat menjawab pelbagai soalan pola ayat sekiranya dapat mengenal pasti jenis keterangan yang boleh hadir dalam keterangan predikatnya. Ingatlah bahawa keteranngan predikat bukan penentu pola tetapi menjadikan frasa itu lebih mantap dari segi maknanya.

Selamat belajar.

14 June 2019

KATA KOMPLEMEN DALAM BAHASA MELAYU

INFORMASI BAHASA
14.6.2019
KATA KOMPLEMEN DALAM BAHASA MELAYU
Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu, iaitu "untuk" dan "bahawa". Kata komplemen "untuk" hanya hadir dalam subjek manakala kata komplemen "bahawa" boleh hadir dalam subjek dan predikat.
Lihat ayat di bawah.
(a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
(b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
(c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
(d) Untuk Sharifah lulus ujian itu sangatlah senang.
(e) Penduduk di Kota Kemuning menyedari bahawa nasib mereka terancam.
Walau bagaimanapun, pengguna bahasa banyak membuat kesilapan atau kesalahan penggunaan kata hubung dengan cara yang berikutnya.
(f)*Dia mengetahui yang Azizi telah bersara. (salah)
(g) *Penduduk di Kota Kemuning menyedari yang nasib mereka terancam. (salah)
Ayat-ayat di atas (ayat (f) dan ayat (g)) tidak boleh diterima sebagai bahasa persuratan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu ayat induk dan ayat komplemen yang dipancangkan.
Lihat sampel di bawah ini:
(a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
Ayat 1: Dia mengetahui (sesuatu).
Ayat 2: Azizi telah bersara.
(b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat 1: Sesuatu itu adalah kurang tepat.
Ayat 2: Ekonomi negara kita pada masa ini merosot.
Nota: "Sesuatu itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 1 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Ayat 1: Arrifin melakukannya.
Ayat 2: Perkara itu amatlah sukar.
Nota: "Perkara itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 2 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(d) Untuk Sharifah lulus ujian itu sangatlah senang.
Ayat 1: Perkara itu sangatlah senang.
Ayat 2: Sharifah lulus ujian itu.
Nota: "Perkara itu" mesti ditulis untuk membentuk subjek ayat 1 supaya ayatnya tidak tergantung tanpa subjek.
(e) Penduduk di Kota Kemuning menyedari bahawa nasib mereka terancam.
Ayat 1: Penduduk di Kota Kemuning menyedari (sesuatu).
Ayat 2: Nasib mereka terancam.
Nota: "sesuatu" mesti ditulis untuk membentuk objek pada bahagian predikat ayat 1 supaya kata kerja transitif "menyedari" tidak tergantung tanpa objek.
Bagi ayat yang mengandungi kata hubung komplemen "bahawa" pada kedudukan objek dalam predikat, kadangkala pengguguran kata komplemen tersebut dibenarkan jika tidak menjejaskan makna ayat tersebut. Walau bagaimanapun, pada kedudukan dalam subjek, kata komplemen "bahawa" dan "untuk" tidak boleh digugurkan.
Lihat contoh di bawah ini untuk mengetahui pengguran kata komplemen yang tidak menjejaskan makna ayat.
Ayat (a) Dia mengetahui bahawa Azizi telah bersara.
Ayat (a) boleh menjadi seperti yang berikutnya.
Dia mengetahui Ahmad telah bersara.
Lihat contoh di bawah ini untuk mengetahui pengguran kata komplemen "bahawa" yang menjejaskan kegramatisan ayat dan penulisan ayat begini tidak dibenarkan.
Ayat (b) Bahawa ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat (b) tidak boleh ditulis seperti di bawah dengan menggugurkan kata komplemen "bahawa".
*Ekonomi negara kita pada masa ini merosot adalah kurang tepat.
Ayat (c) Untuk Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Ayat (c) tidak boleh ditulis seperti di bawah dengan menggugurkan kata komplemen "untuk".
*Arrifin melakukannya amatlah sukar.
Kesimpulannya, ayat-ayat komplemen di atas perlu diketahui oleh calon-calon peperiksaan dan guru-guru subjek Bahasa Melayu. Dengan berbuat begitu, kita dapat menjawab soalan pelbagai aras yang digubal. Saya berharap agar perkongsian ilmu ini dapat memanfaatkan kalian.
Ingatlah bahawa:
(a) Bahawa --> sesuatu (jika letaknya kata hubung komplemen "bahawa" pada predikat)
(b) Bahawa --> Sesuatu itu (jika letaknya kata hubung komplemen "bahawa" pada subjek)
(c) Untuk --> Perkara itu (jika letaknya kata hubung komplemen "untuk" pada subjek)
Selamat menimba ilmu.

1 June 2019

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP SIRI 3

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP SIRI 3
Penerbangan dari Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Subang diubah jadualnya daripada jadual asalnya 8.50 malam kepada 9.25 pada malam ini. Oleh sebab itu, kelewatan penerbangan ini memberikan ruang kepada saya untuk mengongsikan dan menghabiskan bahagian penulisan bahagian pendahuluan karangan. Lihat soalan di bawah. Selepas bahagian "T", iaitu "Tema" ditulis, hasilnya adalah seperti yang berikut:
Contoh Soalan 1:
Klon Soalan SPM 2018:
Kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah memberikan faedah kepada murid-murid.
Huraikan faedah menyertai kegiatan kokurikulum.
Dalam soalan di atas, “kegiatan kokurikulum” ialah tema yang dibincangkan dalam soalan. Murid atau calon peperiksaan boleh membina 5-7 ayat berkaitan dengan “kegiatan kokurikulum” dengan kata tanya sebagai bantuan ayat yang perlu dibina.
(1) Apa?
(2) Di mana?
(3) Bila?
(4) Siapa?
(5) Berapa?
(6) Bagaimana?
(7) Mengapa?
(1) Apa?
Kegiatan kokurikulum ditakrifkan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah.
(2) Di mana?
Kegiatan kokurikulum dijalankan di kawasan sekolah, terutamanya di padang, kelas, bilik persatuan, kelab dan gelanggang permainan mahupun di bilik latihan khas.
(3) Bila?
Kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan pada hari Selasa, Rabu, dan Sabtu di sekolah saya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah kecuali pada bulan peperiksaan.
(4) Siapa?
Kegiatan kokurikulum melibatkan murid-murid dan guru-guru di sekolah.
(5) Berapa?
Murid-murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kegiatan dalam kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform, dan sukan dan permainan.
(6) Bagaimana?
Aktiviti kokurikulum ini dijalankan secara sepasukan dan melibatkan konsep bagai aur dengan tebing antara murid dengan guru-guru pembimbing.
(7) Mengapa? Kaitkan dengan “kelompok”
Kegiatan yang bermanfaat kepada murid-murid ini semakin lama semakin diabaikan.
Selepas membina ayat demi ayat di atas, murid-murid perlu menggabungkannya dalam bentuk perenggan dengan mengggunakan penanda wacana yang sesuai untuk membina pertautan atau kohesi antara ayat agar perenggan pendahuluan ini nampak kukuh. Lihat contoh lapisan “tema” dalam pendahuluan yang telah dihasilkan di bawah selepas penanda wacana dimasukkan.
Hasil lapisan “tema” dalam pendahuluan karangan:
Kegiatan kokurikulum ditakrifkan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah. Oleh hal yang demikian, kegiatan kokurikulum dijalankan di kawasan sekolah, terutamanya di padang, kelas, bilik persatuan, kelab dan gelanggang permainan mahupun di bilik latihan khas. Lazimnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan pada hari Selasa, Rabu, dan Sabtu di sekolah saya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah kecuali pada bulan peperiksaan. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum melibatkan murid-murid dan guru-guru di sekolah. Selain itu, murid-murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kegiatan dalam kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform, dan sukan dan permainan. Aktiviti kokurikulum ini dijalankan secara sepasukan dan melibatkan konsep bagai aur dengan tebing antara murid dengan guru-guru pembimbing. Walau bagaimanapu, kegiatan yang bermanfaat kepada murid-murid ini semakin lama semakin diabaikan.
Yang di atas ini hanyalah 1 lapisan daripada 3 lapisan dalam teknik TKS. Lapisan “K” pula mewakili "Kelompok" yang dibincangkan dalam soalan, iaitu murid-murid. Dalam hal ini, kita juga bolehlah membina 5-7 ayat untuk menceritakan realiti yang berlaku dalam kalangan murid yang dapat dikaitkan dengan kegiatan kokurikulum.
Teknik Penulisan Kelompok:
(1) ayat realiti
(2) sebab 1
(3) sebab 2
(4) sebab 3
(5) kesan 1
(6) kesan 2
(7) kesan 3
Jom kita bina ayat demi ayat untuk bahagian kelompok pula.
(1) ayat realiti
Realitinya, murid-murid pada zaman moden ini tidak menaruh minat akan kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah.
(2) sebab 1
Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih mengutamakan pencapaian akademik yang dianggap kunci utama untuk membuka pintu menara gading.
(3) sebab 2
Selain itu, mereka juga beranggapan bahawa kegiatan ini membuang masa dan membosankan mereka.
(4) sebab 3
Di samping itu, ibu bapa juga tidak mendorong anak-anak mereka agar bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum.
(5) kesan 1
Impaknya, kegiatan yang amat bermanfaat ini tidak disukai oleh murid-murid kerana tak kenal maka tan cinta.
(6) kesan 2
Sementara itu, murid-murid yang berpencapaian akademik tidak dapat memasuki menara gading kerana pencapaian itu tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum.
(7) kesan 3
Oleh sebab itu, mereka tidak mampu menjadi murid yang cemerlang dalam kokurikulum kerana tidak mengenali faedahnya yang banyak.
Hasil bahagian "Kelompok"
Realitinya, murid-murid pada zaman moden ini tidak menaruh minat akan kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih mengutamakan pencapaian akademik yang dianggap kunci utama untuk membuka pintu menara gading. Selain itu, mereka juga beranggapan bahawa kegiatan ini membuang masa dan membosankan mereka. Di samping itu, ibu bapa juga tidak mendorong anak-anak mereka agar bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Impaknya, kegiatan yang amat bermanfaat ini tidak disukai oleh murid-murid kerana tak kenal maka tan cinta. Sementara itu, murid-murid yang berpencapaian akademik tidak dapat memasuki menara gading kerana pencapaian itu tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu menjadi murid yang cemerlang dalam kokurikulum kerana tidak mengenali faedahnya yang banyak.
Bahagian terakhir, "S" iaitu "Soalan"
Untuk bahagian ini, calon atau murid bolehlah membina ayat tanya yang bermula dengan huruf besar dan diakhiri tanda soal (?). Hal ini dapat menjanakan variasi ayat dalam penulisan. Janganlah lupa untuk menjawab soalan ini pada perenggan kedua, sewaktu anda menulis idea pertama pula.
Jika kita merujuk soalan di atas, bahagian "S" atau "soalan" tersebut boleh ditulis seperti yang berikut:
Persoalannya, apakah faedah kegiatan kokurikulum kepada murid-murid?
Selesai ketiga-tiga bahagian, jom kita cantumkannya menjadi pendahuluan yang mantap.
Hasil pendahuluan karangan:
(T)Kegiatan kokurikulum ditakrifkan sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan di dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah. Oleh hal yang demikian, kegiatan kokurikulum dijalankan di kawasan sekolah, terutamanya di padang, kelas, bilik persatuan, kelab dan gelanggang permainan mahupun di bilik latihan khas. Lazimnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan pada hari Selasa, Rabu, dan Sabtu di sekolah saya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak sekolah kecuali pada bulan peperiksaan. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum melibatkan murid-murid dan guru-guru di sekolah. Selain itu, murid-murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua hingga tiga kegiatan dalam kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform, dan sukan dan permainan. Aktiviti kokurikulum ini dijalankan secara sepasukan dan melibatkan konsep bagai aur dengan tebing antara murid dengan guru-guru pembimbing. Walau bagaimanapun, kegiatan yang bermanfaat kepada murid-murid ini semakin lama semakin diabaikan. (K) Realitinya, murid-murid pada zaman moden ini tidak menaruh minat akan kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih mengutamakan pencapaian akademik yang dianggap kunci utama untuk membuka pintu menara gading. Selain itu, mereka juga beranggapan bahawa kegiatan ini membuang masa dan membosankan mereka. Di samping itu, ibu bapa juga tidak mendorong anak-anak mereka agar bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Impaknya, kegiatan yang amat bermanfaat ini tidak disukai oleh murid-murid kerana tak kenal maka tan cinta. Sementara itu, murid-murid yang berpencapaian akademik tidak dapat memasuki menara gading kerana pencapaian itu tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu menjadi murid yang cemerlang dalam kokurikulum kerana tidak mengenali faedahnya yang banyak. (S) Persoalannya, apakah faedah kegiatan kokurikulum kepada murid-murid?
Dengan teknik di atas, murid dapat menulis 15 ayat yang mantap untuk membina pendahuluan yang panjangnya 1 halaman skrip karangan. Logiknya, 1 minit boleh diluangkan untuk setiap ayat dan masa satu jam setengah untuk penulisan Bahagian B dapat ditulis dengan 6 halaman dengan 6 perenggan, yakni 1 perenggan pendahuluan, 4 idea/isi penting dan 1 penutupan karangan.
Jika calon dapat membuat latihan demi latihan, 12-13 minit boleh dijadikan cabaran untuk menulis setiap perenggan karangan. Dengan cara itu, anda dapat menulis 6-7 perenggan atau 6-7 halaman skrip jawapan yang sudah memadai untuk mempamerkan kemantapan dan kematangan dalam penulisan.
Pendahuluan 12-13 minit
Isi - 13-14 minit
Penutupan - 12-13 minit
Masa membaca soalan/memilih soalan: 3-5 minit
Masa penulisan: 78-80 minit
Masa semakan: 5-8 minit
Perancangan masa untuk penulisan karangan Bahagian B (Kertas 1 SPM) mestilah berdisiplin dan terancang. Dengan perancangan dan pendisiplinan serta latih tubi yang berterusan, anda pasti dapat menulis karangan yang bukan sahaja cukup panjang, tetapi juga mantap dan memberikan "impression" kematangan dan kemantapan kepada pemeriksa.
Semua ilmu yang ada pada diri kita haruslah juga mendapat tempat di dalam hati rakan-rakan guru dan anak-anak murid. Ilmu pengetahuan tidak ada batasnya kerana manusia yang gigih menimba ilmu akan menjadi manusia yang tahu akan kepentingan pengetahuan daripada ilmu yang dipelajarinya. Hal ini dikatakan demikian kerana jauhari juga yang mengenal manikam.
Kongsikan ilmu sekelumit ini kepada anak-anak murid dan rakan guru agar sama-sama mendapat pahala ilmu pada bulan yang mulia ini. Petua penulisan lapisan pertama ini bukanlah yang terbaik tetapi mudah difahami anak-anak murid kita.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Selamat belajar.
Cikgu Tan CL
0122099440