Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

30 July 2017

BUKU KARANGAN SPM 2017 - TERKINI DI PASARAN


RM5.00 senaskhah!
Hebatnya gula kerana manisnya,
Masyhurnya garam kerana masinnya,
Terkenalnya cuka kerana masamnya,
Utuhnya besi kerana kerasnya,
Anggunnya bunga kerana harumnya,
Hebatnya manusia kerana ilmunya.

Saya berterima kasih kepada Puan Normizah atas kiriman buku-buku penulisan SPM yang berkualiti kepada saya sebagai bingkisan persahabatan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Munsyi Dewan, Cikgu Mohd Salleh Hassan dan Puan Normizah atas usaha dan ketangkasan pena penulisan untuk menghasilkan kualiti penulisan yang baik serta relevan dengan kehendak semasa. Soalan berbentuk KBAT dan pelbagai format ada disajikan dalam buku yang berkualiti dan berpatutan ini. Saya yakin dan percaya bahawa semua murid yang memiliki buku ini pasti berpuas hati dan lebih bersedia untuk menulis karangan dengan bahasa yang berkualiti dan isi yang tepat serta pengolahan yang menarik.

Hubungi nombor telefon yang tertera pada gambar yang saya masukkan di atas. Siapa cepat dia dapat!
Admin blog,
CIkgu Tan CL

20 July 2017

INFORMASI BAHASA - Kata Kerja yang Menerangkan Kerja Khas

INFORMASI BAHASA - Kata Kerja yang Menerangkan Kerja Khas

Istilah kata kerja selalunya menjadi igauan anak-anak murid. Kebanyakan mereka tidak dapat mengenal pasti kata kerja khas untuk sesuatu perbuatan. Pengenalpastian kata kerja khas untuk sesuatu kerja mempermudah kefahaman mereka dan mempertingkatkan kualiti ayat yang dibina oleh mereka. Dengan berbuat demikian, kualiti jawapan calon peperiksaan dan kualiti istilah yang digunakan oleh pengguna bahasa dapat dipertingkatkan.

✍️Umumnya, kata kerja umum sepatutnya dipilih dan digunakan berdasarkan konteks dan maksud, seperti contoh yang berikut:
mengikat = membuat jadi berikat (dengan tali dan lain-lain); membebat; memberkas.
menambat = mengikat sesuatu dengan tali pada pancang (tiang, pokok dan lain-lain).

Lihat contoh di bawah:
1. Siti Faizah menggunakan tali itu untuk mengikat ❌ biri-biri pada pokok betik.
1. Pada hujung minggu, saya dan Rafifi akan memancing ❌sotong di Laut China Selatan.
2. Mak Azura mencantas ❌pokok kertau itu supaya sentiasa rendah.
3. Pak Zainuddin mengetuk ❌gendang untuk mengejutkan orang kampung bersolat subuh.
4. Hobi Nurul Huda ialah melastik ❌ punai kocok pada hujung minggu.

Pembetulannya:
1. Siti Faizah menggunakan tali itu untuk menambat ✅ biri-biri pada pokok betik.
1. Pada hujung minggu, saya dan Rafifi akan mencandat ✅ sotong di Laut China Selatan.
2. Mak Azura memangkas ✅ pokok kertau itu supaya sentiasa rendah.
3. Pak Zainuddin memalu ✅ gendang untuk mengejutkan orang kampung bersolat subuh.
4. Hobi Nurul Huda ialah menjerat✅ punai kocok pada hujung minggu.

UJI BAHASA 1
Isi tempat kosong dengan kata kerja umum yang sesuai berdasarkan pilihan jawapan yang disediakan.
🌹menakik 🌹menekat🌹menusuk🌹menatih 🌹mendepang🌹 menguis🌹 menyagat🌹 mengukus🌹 menyigung🌹 menjerut 🌹mencangkung🌹melulur🌹

1. Ular sawa sebesar betis telah ___________ anak lembu Pak Zulkifli.
2. Ibu ___________ Jamil Akok dengan berhati-hati agar anaknya itu cepat berjalan kelak.
3. Meganathan berjaya ___________ bola yang menuju ke arahnya bagi membolehkan pasukannya menjadi juara.
4. Suziana Chee ___________ muka pencuri itu sambil membuka silat.
5. Hang Tuah ___________ perut Hang Jebat dengan keris Taming Sari sebelum menghilangkan dirinya.
6. Ulaganathan ___________ batang kelapa itu untuk memudahkannya memanjat pokok kelapa yang tinggi itu.
7. Mereka ___________ apabila memperhatikan pertandingan sabung ayam.
8. Nenek ___________ ubi kayu untuk dibuat kuih talam kegemaran cucunya.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

18 July 2017

INFORMASI BAHASA - Kekeliruan antara Kata Sendi Nama "tentang" dengan "terhadap"

INFORMASI BAHASA
Kekeliruan antara Kata Sendi Nama "tentang" dengan "terhadap"

Kata sendi nama "terhadap" sepatutnya diikuti oleh kata nama konkrit manakala kata sendi nama "tentang" pula perlu diikuti oleh kata nama abstrak. Apakah maksudnya konkrit  dan abstrak? Konkrit ialah sesuatu yang kita sentuh dan lihat. Abstrak ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pan­caindera.

PRINSIP:
📌tentang 👉 diikuti kata nama abstrak📌
📌terhadap 👉 diikuti kata nama konkrit📌

Lihat contoh di bawah:
1. Aisyah dan Puan Sharifah berbincang terhadap ❌konflik politik di negara itu.
2. Puan Maimunah sentiasa curiga terhadap ❌ kejujuran suaminya.
3. Noorazman amat cakna terhadap ❌ kebajikan keluarganya.
4. Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan tentang ❌ pencuri itu.
5. Penentangan tentang ❌ pihak berhaluan kiri berlaku akibat daripada semangat nasionalisme.

Pembetulannya:
1. Aisyah dan Puan Sharifah berbincang tentang ✅konflik politik di negara itu.
2. Puan Maimunah sentiasa curiga tentang ✅ kejujuran suaminya.
3. Noorazman amat cakna tentang ✅ kebajikan keluarganya.
4. Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap ✅ pencuri itu.
5. Penentangan terhadap ✅ pihak berhaluan kiri berlaku akibat daripada semangat nasionalisme.

UJI BAHASA 1
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama yang sesuai.

1. Peristiwa 13 Mei haruslah menjadi peringatan _____ tiada kesepakatan antara pelbagai kaum.
2. Pensyarah dari Jepun bertukar-tukar pendapat _____ kebudayaan dalam seminar itu.
3. Keunikan seni bina bangunan itu benar-benar mencabar persepsi para arkitek _____ struktur bangunan yang memiliki kekreatifan tersendiri.
4. Pungutan suara _____ penyatuan negeri tersebut diadakan di Itali pada 16 Jun 2017.
5. Sebagai ketua yang bersikap adil _____ anak buahnya, Encik Azizi sentiasa memberikan kerja yang sama rata.
6. Kerajaan Malaysia mengutuk keganasan negara itu yang menjadi ancaman _____ keselamatan rantau dan pencabulan persempadanan.
7. Kehadiran staf syarikat ke hospital untuk menyampaikan rasa simpati _____ pengarah berikutan kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
8. Jabatan yang bertanggungjawab diminta untuk segera bertindak _____ kesilapan yang berlaku dalam projek lebuh raya itu.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

17 July 2017

INFORMASI BAHASA - Pasangan Kata Sendi Nama "ke" dan "kepada"

INFORMASI BAHASA
Pasangan Kata Sendi Nama "ke" dan "kepada"

✍️Kata sendi nama "ke" yang digunakan untuk sesuatu tempat atau masa perlu berpasangan dengan kata sendi nama "dari" yang digunakan untuk maksud arah. Kata sendi nama "kepada" tidak boleh digunakan bagi merujuk tempat. Sebaliknya, kata sendi nama "kepada" berpasangan dengan kata sendi nama "daripada".

PRINSIP:
📌ke 👉 boleh dipasangkan dengan "dari"📌
📌kepada 👉 boleh dipasangkan dengan "daripada"📌

Lihat contoh di bawah:
1. Bungkusan ini dari ❌Cikgu Faiz ke ❌Puan Nasifah.
2. Harga beras semakin meningkat dari ❌RM25 ke ❌RM40.
3. Cikgu Mat telah bertukar bidang dari ❌ahli politik pada ❌penulis buku.
4. Mereka perlu berubah dari ❌tabiat buruk ke ❌berakhlak mulia.
5. Nilai mata wang makin menurun dari ❌90 sen ke ❌ 50 sen untuk satu dolar.
6. Motosikal yang dilanggar oleh kereta itu dari Taiping kepada ❌ Kota Kemuning.
7. Daniel meneliti ayat dari perenggan kepada ❌ perenggan yang lain.
8. Hutangnya semakin meningkat dari bulan kepada ❌bulan.
9. Zalipah berbasikal daripada ❌rumahnya ke Taman Tengku Anis.
10. Haji Saiful baru berpindah dari Kluang kepada ❌Machang.

Pembetulannya:
1. Bungkusan ini daripada✅ Cikgu Faiz kepada ✅Puan Nasifah.
2. Harga beras semakin meningkat daripada RM25 kepada ✅RM40.
3. Cikgu Mat telah bertukar bidang daripada ✅ahli politik kepada ✅ penulis buku.
4. Mereka perlu berubah daripada ✅tabiat buruk kepada✅ berakhlak mulia.
5. Nilai mata wang makin menurun daripada ✅90 sen kepada ✅ 50 sen untuk satu dolar.
6. Motosikal yang dilanggar oleh kereta itu dari Taiping ke ✅Kota Kemuning.
7. Daniel meneliti ayat dari perenggan ke ✅ perenggan yang lain.
8. Hutangnya semakin meningkat dari bulan ke  ✅ bulan.
9. Zalipah berbasikal dari ✅ rumahnya ke Taman Tengku Anis.
10. Haji Saiful baru berpindah dari Kluang ke ✅ Machang.

UJI BAHASA 1
Nyatakan penggunaan kata sendi nama atau frasa sendi nama dalam ayat yang berikut, sama ada betul (✔️) ataupun salah (❌).
1. Aku sempat memandang ke halaman belakang rumahku dari pintu belakang yang terbuka. (_____)
2. Fazri mengelakkan tikaman keris itu dari kiri kepada kanan dengan cepatnya. (_____)
3. Puak Han bergerak dari satu tempat kepada satu tempat untuk mencari sumber makanan. (_____)
4. Daripada Timur ke Barat, cerita tentang kehebatan Raja Monyet itu tersebar dengan luasnya. (_____)
5. Mereka diajar oleh Haji Zakaria cara ukiran awan larat dari cara tradisi kepada moden. (_____)
6. Harga minyak dalam pasaran semakin turun dari RM90 setong RM50 setong pada tahun ini. (_____)
7. Saintis yang mengkaji pergerakan bulan sentiasa memerhatikan fenomena yang ganjil itu daripada masa ke masa. (_____)
8. Encik Abdul Hasleem dari Arab Saudi itu menjadi ketua pengurus projek kepada mereka yang lebih berusia darinya. (_____)

UJI BAHASA 2
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama yang sesuai.

1. Kami telah berpindah pada tahun 2010 ______ Kuala Kangsar ______ Bintulu.
2. Hutang Ameng yang berjumlah RM90 ribu itu akan ditambah masa bayarannya ______ lima tahun ______ 10 tahun.
3. Surat itu ______ Pejabat Perdana Menteri yang menyokong usaha pendamaian ______ pihak editor syarikat itu.
4. Cincin berusia 100 tahun itu berpindah tangan ______ Haji Mat Sabu ______ pemilik baharu, iaitu Mohd Imran.
5. Negara itu mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk sebagai akibat ______ serangan spekulator saham itu yang harus diseret ______ kerajaan untuk diadili.
6. Kaedah pemberitahuan ______ sistem aplikasi Internet itu akan diperluas ______ agensi lain.
7. Jumlah pendatang asing ke Malaysia semakin bertambah ______ masa ______ masa berikutan pembangunan yang pesat di beberapa buah negeri khususnya.
8. Konsep pembelajaran terancang ini adalah ______ yang paling mudah ______ yang paling sukar.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

16 July 2017

KARANGAN RAMALAN SPM 2017

KARANGAN RAMALAN SPM 2017
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.         
           Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka yang tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya kita perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian.  Walau bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti.  Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan dan prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain.  Sebagai analoginya, ketika ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena dengan sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama. Dalam majlis tersebut,  masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.  Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan  Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat kekitaan dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan. 

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan.  Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur.  Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan kaum.  Walau apa-apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini. Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh.   Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara kita sentiasa aman, harmoni, dan sentosa.



15 July 2017

SENARAI PERIBAHASA POPULAR

NO
PERIBAHASA
MAKSUD
1
Q ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni

Q hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

Q berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Q bagai aur dengan tebing

Q terapung sama hanyut, terenang sama basah

Persahabatan yang sangat karib kerana hidup saling memerlukan dan bantu-membantu


2
Q  Rambang mata
Tidak tahu barang yang hendak dipilih kerana semuanya cantik.
3
Q  Sirih pulang ke gagang

Q  setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga

Q  ikan pulang ke lubuk

Q  belut pulang ke lumpur

Sesuatu (seperti pingat atau piala kemenangan) yang berpindah milik, akhirnya pulang ke pemenang asal.

Kena pada tempatnya


pulang ke tempat asal
4
Q  Menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak
Bersikap bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

5
Q  Usaha tangga kejayaan

Q  di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Q  kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

Q  genggam bara api, biar sampai jadi abu

Q  hati hendak, semua jadi

Apabila seseorang itu mengkehendaki sesuatu, dia pasti akan menemui cara untuk mendapatkannya.
6
Q  ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk

semakin tinggi ilmu dan darjat seseorang, dia tetap merendah diri serta tidak menyombong diri.
7
Q  Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
Suka merendah diri dan tidak bersikap sombong walaupun semakin berilmu atau berkedudukan tinggi adalah lebih baik daripada bersikap tiada pendirian yang teguh
                        
8
Q  Seperti duduk di dalam duri

Q  Seperti cacing kepanasan

sentiasa gelisah dan tidak tenteram
9
Q  Keadilan tidak mengenali kawan
Dalam mengadili sesuatu perkara, kita mesti bersikap adil; yang bersalah tetap bersalah walaupun dia kawan baik kita.

10
Q ada udang di sebalik batu

ada tujuan atau maksud tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan.

11
Q  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
Generasi pelapis yang akan memikul tanggungjawab terhadap negara pada masa depan dan masing-masing mempunyai peranan yang sama penting

12
Q  Batu loncatan              

Orang atau tempat yang dipergunakan untuk mencapai sesuatu

13
Q  Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga

Q  kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Orang yang baik biar di mana-mana sekalipun akan dimuliakan juga
14
Q  Potong leher
Menjual barang dengan harga yang terlalu mahal

15
Q Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

Q Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua
Orang yang baik (banyak berjasa) apabila meninggal dunia akan meninggalkan nama yang baik dan jasanya tetap dikenang
16
Q bertangguh itu pencuri masa
Seseorang yang menangguhkan sesuatu kerja akan merugikan diri sendiri.

17
Q Patah hati
sakit hati / perasaan terluka / emosi terganggu

18
Q Malu bertanya sesat jalan

Kalau segan bertanya, kita tidak akan sampai ke destinasi yang ingin ditujui jika sesat jalan.

19
Q  bagaimana ditanam, begitulah ditunai

Q  bagaimana acuan, begitulah kuihnya

Q  ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi

Q  bapa borek anak rintik

Q  ke mana tumpah hujan dari bubungan, kalau tidak ke cucuran atap

Sikap atau tingkah laku anak-anak bergantung pada didikan yang diterima daripada ibu bapa atau penjaga.
20
Q  Bermuafakat itu membawa berkat

Q  Bersekutu bertambah mutu

sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik.

21
Q  Bertanam tebu di bibir mulut
Mengeluarkan perkataan yang manis-manis (untuk membujuk dan sebagainya)

22
Q  Biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati
Biar miskin asalkan mempunyai budi bahasa yang baik


23
Q  di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Q  masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak

dalam kehidupan sehari-hari, kita harus menghormati atau mematuhi adat istiadat atau peraturan serta kebudayaan di mana-mana sahaja kita berada.
24
Q  Alah bisa tegal biasa
Oleh sebab sudah biasa membuat kerja yang susah, kerja yang lebih sukar pun tidak terasa sudah lagi

25
Q  Mulut tempayan

Tidak dapat dilarang seseorang itu daripada berkata-kata

Rahsia yang sudah diketahui orang akan tersiar ke mana-mana

pembocor rahsia
26
Q  seperti burung dalam sangkar, mata lepas badan terkurung

Q  seperti burung diam dalam sangkar emas

Orang dalam jagaan orang lain sungguhpun dipelihara dengan baik tetapi berasa susah dan tidak bebas.
27
Q  membuka pekung di dada

Q  menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri

Q  menconteng arang di muka

Q  seperti meludah ke langit

perbuatan yang salah sehingga memalukan diri dan keluarga
28
Q  bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
Sesuatu yang tidak akan terjadi jika satu pihak sahaja yang melakukannya.

29
Q  seperti kaca terhempas ke batu

Q  bagai kaca retak seribu

berasa amat sedih dan perasaan hati hancur kecewa

30
Q  Belakang parang, kalau diasah nescaya tajam
Biar bodoh sekalipun kalau belajar dengan bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.

31
Q  Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

Q  Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Untuk mendapat kesenangan, biar bersusah payah dahulu
32
Q  yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang
Seseorang yang bertuah akan memperoleh keuntungan dari mana-mana sahaja.
33
Q Rumah siap pahat berbunyi
Mengemukakan keterangan dan saksi sesudah perkara diputuskan; mencela (bersungut) tentang sesuatu yang sudah siap dikerjakan.
34
Q bagai mencurahkan air ke daun keladi

Q masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri

Q seperti hujan jatuh ke pasir

Q didengar ada, dipakai tiada
Nasihat yang tidak dihargai atau melakukan sesuatu kerja yang sia-sia.
35
Q  Kalah jadi abu, menang jadi arang
Kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran tak akan menguntungkan mana-mana pihak pun.
36
Q  Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

Orang miskin yang harus bekerja setiap masa.
37
Q kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
Pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang tua-tua saja, selalu juga terdapat pada orang muda-muda.

38
Q badan cergas, otak cerdas

Q otak yang cerdas datang daripada badan yang cergas

dengan memiliki kesihatan yang baik, seseorang itu mampu mengemukakan pendapat bernas.
39
Q  Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan

Setiap orang tidak dapat mengelak daripada membuat kesilapan

risiko bahaya akan terjadi di mana-mana sahaja
40
Q jauh berjalan luas pandangan

Q jauh perjalanan luas pemandangan
Teruskan memberi perangsang, galakan  dan sokongan kepada anak-anak, meniti jalan yang masih jauh untuk mendapatkan pengalaman berharga.
41
Q  bagai bersumur di tepi rawa

Q  iri hati
Orang yang selalu cemburu.

42
Q  Bagai tanduk diberkas

Q  Bagai mengepal pasir kering
Sangat susah hendak menyatukan manusia yang berbagai-bagai fikirannya.

43
Q Mata pena lebih tajam daripada mata pedang
Pendapat yang dikemukakan secara bertulis kadangkala lebih berbisa daripada dipotong dengan pedang.
44
Q  sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
Fikirkan masak-masak, sebelum berbuat sesuatu supaya jangan menyesal
45
Q  Bahasa menunjukkan bangsa

Q  bahasa jiwa bangsa

Q  hilang bahasa lenyaplah bangsa
bahasa yang sempurna menunjukkan peradaban yang tinggi daripada bangsa pemilik bahasa tersebut.
46
Q  Bahasa melambangkan bangsa
Bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti  bangsa.
47
Q  Keadilan

berhati-hati atau berwaspada dalam setiap pekerjaan agar tidak mendapat musibah
48
Q  seperti rusa masuk kampung
tercengang-cengang kehairanan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke tempat baharu
49
Q  Bersatu teguh, bercerai roboh
Semangat perpaduan akan menyebabkan sesuatu masyarakat kukuh dan apabila berpecah belah pula, masyarakat itu akan hancur
50
Q  Nasi sudah menjadi bubur
penyesalan yang sudah terlambat
51
Q  Ilmu pelita hidup

Ilmu pengetahuan menjamin kehidupan seseorang
52
Q  Bagai pinang dibelah dua

Q  Bagai cincin dengan permata

Q  Bagai bulan dengan matahari
pasangan yang secocok dan sepadan