Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

8 June 2020

KEISTIMEWAAN MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

NAMA MURID: Nur Ainin

Pada zaman globalisasi lagi modenasi ini, Malaysia mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam semua aspek terutamanya sektor pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia menjadi pilihan *kebanyakan* pelancong dari luar negara. Sebagai contohnya, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari China, Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Oleh hal yang demikian, industri pelancongan mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber pendapatan negara. Hari demi hari, banyak syarikat pelancongan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan mahupun Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Persoalannya adalah apakah keistimewaan Malaysia sebagai pusat pelancongan? Mari kita rungkaikan hingga akar umbi!


Antara keistimewaan Malaysia sebagai pusat pelancongan ialah Malaysia mempunyai pelbagai tempat yang menarik untuk dilawati. Hal ini dikatakan demikian kerana tempat yang menarik mendapat tarikan pelancong disebabkan kawasannya yang unik. Sebagai contohnya, kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. *Hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun di kawasan tersebut ialah daya tarikan utama pelancong.* Dengan ini, pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna. Oleh itu, kawasan yang unik merupakan keistimewaan Malaysian sebagai pusat pelancongan.

Selain itu, keistimewaan Malaysia sebagai pusat pelancongan ialah Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan tempatan yang enak. Hal ini dikatakan demikian kerana semua makanan tempatan adalah daripada warisan dan tradisi negara kita. *Oleh sebab* Malaysia memiliki rakyat yang berbilang kaum, maka tidak hairanlah jika makanan orang Malaysia juga terdiri dari pelbagai jenis makanan yang boleh dinikmati bersama. Sebagai contohnya, nasi lemak dikenali sebagai juadah kebangsaan Malaysia dan boleh di setiap pelosok Malaysia, roti canai merupakan roti leper yang diperkenalkan oleh masyarakat India dan char kuew teow. *saya ingin menegaskan bahawa realiti yang sudah terang lagi bersuluh ialah* makanan di Malaysia menjadi produk pelancongan yang utama. Oleh itu, kita perlulah menghargai makanan yang menjadi identiti *bangsa* kita *kerana makanan* merupakan keistimewaan Malaysia sebagai pusat pelancongan.

Di samping itu, keistimewaan Malaysia sebagai pusat pelancongan ialah Malaysia mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang berteknologi tinggi untuk kegunaan *pelancong*. Hal ini dikatakan demikian kerana pengangkutan awam *ialah* pengangkutan yang mesra alam bagi mengurangkan pencemaran alam serta mudah untuk pelancong menggunakannya *untuk* ke destinasi yang ditujui. Sebagai contohnya, *terdapat* pelbagai jenis pengangkutan awam yang disediakan seperti bas awam, monorel, ERL dan komuter. Pengangkutan awam yang moden tercipta hasil inovasi dan perkembangan teknologi sejajar dengan arus pemodenan dunia. *Saya ingin menegaskan kebenaran* bahawa penggunaan pengangkutan awam dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjimatkan masa pelancong untuk ke destinasi mereka.

Akhirulkalam, terdapat banyak keistimewaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan *terutamanya* pelancong dari luar negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sektor pelancongan merupakan sektor baharu yang berpotensi untuk menyumbang *kepada* ekonomi negara. Namun industri ini masih perlu diterokai kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk bersama- sama kita majukan sektor pelancongan negara kita ini. semoga melalui keprihatinan, rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara seluruh rakyat, nama Malaysia akan gah di persada dunia.

MARKAH DAN KOMEN:
Markah 25/30
cemerlang bawah
1. ayat matang dan jelas
2. bahasa gramatis dan mantap
3. kesilapan bahasa masih berlaku (kesilapan dalam karangan asal di atas telah saya baiki)
4. teruskan usaha

No comments: