Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

11 June 2020

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN - PRODUK PELANCONGAN DI MALAYSIA

Malaysia yang kupuja
Di desa juga di kota
Mari nikmati semua
Cuti-cuti Malaysia

Pohon pohon melambai
Terkenang desa nan permai
Keluarga sahabat handai
Mari beramai-ramai

      Lirik lagu di atas daripada lagu Cuti-cuti Malaysia, nyanyian Dato’ Seri Siti Nurhaliza menyeru kita sebagai rakyat Malaysia untuk melancong di watan tercinta. Umum mengetahui bahawa Malaysia mempunyai pelbagai keistimewaan yang mampu menggamit pelancong sama ada dari dalam negara ataupun dari luar negara. Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah sektor pelancongan merupakan antara sektor terpenting di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan rakyat dan negara Malaysia. Oleh hal yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia patutlah bersyukur kerana negara kita ada banyak produk pelancongan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak bersyukur dengan produk pelancongan yang istimewa ini. Mereka berpendapat bahawa negara lain semestinya lebih baik daripada negara kita. Pemikiran sebegini telah menyebabkan mereka asyik melancong ke luar negara kerana mereka tidak sedar bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Sebenarnya, produk pelancongan di tanah air yang tercinta ini mampu bersaing dengan negara lain. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang dalam minda kita ialah apakah produk pelancongan di Malaysia yang perlu diketahui oleh semua?

      Memang tidak dapat dinafikan bahawa tempat-tempat menarik di Malaysia mampu menjadi produk pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah lokasi yang terkenal boleh menjadi mercu tanda utama Malaysia. Lokasi-lokasi yang terkenal ini dapat melabelkan Malaysia di peta dunia dan menjadikan nama negara kita terkenal di seluruh pelosok dunia. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Menara Berkembar Petronas KLCC yang merupakan menara berkembar yang tertinggi di dunia dan tapak-tapak bersejarah di Melaka. Apabila nama Menara Berkembar Petronas disebut, sudah pasti rakan-rakan kita dari negara luar akan mengenalinya. Situasi ini telah membuktikan bahawa lokasi-lokasi yang terdapat di ibu pertiwi mampu menarik pelancong asing kerana negara kita sudah mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Oleh itu, pelancong asing mesti melihat sendiri keistimewaan tempat-tempat ini kerana tak kenal maka tak cinta. Natijahnya, kemegahan bangunan pencakar langit dan keunikan bangunan bersejarah patutlah kita hargai sebagai rakyat Malaysia. Jelaslah bahawa produk pelancongan utama di negara ini ialah tempat-tempat menarik.

       Sebagaimana yang kita maklum, kebudayaan pelbagai kaum juga merupakan produk pelancongan Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik yang unik dan menarik sekali. Dengan perkataan lain, negara kita berbeza dengan kebanyakan negara yang lain yang hanya terdiri daripada satu kaum. Dengan ini, kewujudan masyarakat majmuk membolehkan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan bertolong-tolongan bagai aur dengan tebing. Semangat perpaduan yang utuh dapat dibentuk dalam kalangan rakyat yang mampu menjadi senjata yang ampuh untuk menangkis segala ancaman anasir luar. Pelancong asing akan tertarik untuk melawat negara kita kerana ingin memahami perbezaan budaya yang terdapat di watan tercinta. Sebagai contohnya, terdapat permainan tradisional, persembahan muzik tradisional, dan seni budaya yang berbagai-bagai jenisnya. Kebanyakan pelancong asing yang melancong di negara kita tertarik dengan keunikan dan kepelbagaian budaya kita. Mereka juga berasa kagum apabila ternampak negara kita yang berbilang kaum ini dapat menikmati kehidupan yang aman dan damai. Oleh sebab itu, mereka akan menghayati kebudayaan yang unik apabila melancong ke negara Malaysia. Deduksinya, produk pelancongan berasaskan kebudayaan mestilah kita utamakan.

        Beralih pula pada perspektif yang lain, Malaysia terkenal sebagai syurga beli-belah sebagai produk pelancongan. Hal ini berlaku demikian kerana terdapat banyak pusat beli-belah dibuka termasuk yang tidak mengenakan cukai. Biar kita ambil contoh, Genting Premium Outlet, Pusat Beli-belah Pavilion, Midvalley Megamall dan sebagainya merupakan antara pusat beli-belah yang sering dikunjungi oleh pelancong asing. Impaknya, pelancong dapat berbelanja di Malaysia dengan membeli barangan pada harga yang berpatutan. Selain itu, pelancong juga suka menikmati juadah-juadah dan makanan tradisional yang lazat dan didapati di pusat beli-belah. Secara tidak langsung, pelancong asing telah membantu negara kita meningkatkan kadar mata wang. Pengaliran masuk mata wang asing dapat memacu ekonomi Malaysia sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat ibarat sambil menyelam minum air. Lebih-lebih lagi, rakyat kita memperoleh peluang pekerjaan akibat kemajuan dalam sektor pelancongan kerana ada gula ada semut. Tegasnya, pusat beli-belah ialah produk pelancongan yang penting kepada Malaysia.

         Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, industri pelancongan berpotensi melestarikan warisan dan memajukan ekonomi Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia patutlah bersikap mesra dengan pelancong dan memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa mengira status ekonomi mereka. Prakarsa yang diambil ini memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak, bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Saya berharap agar pelancong akan berpuas hati dengan perkhidmatan yang kita berikan. Dengan ini, pelancong asing akan memberikan tanggapan baik kepada Malaysia. Apabila kita bersikap mesra, produk pelancongan di Malaysia pasti menjadi buah mulut penduduk dunia. saya ingin menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia mesti menjaga dan memelihara produk pelancongan yang sedia ada supaya industri pelancongan dapat menggapai lonjakan pada masa depan.

No comments: