Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

27 June 2020

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN - FAEDAHNYA JIKA MURID MEMBAWA BEKALAN MAKANAN KE SEKOLAH

         Makanan merupakan keperluan murid-murid untuk membesar dengan sihat. Walau bagaimanapun, murid-murid pada hari ini malas membawa bekalan makanan dari rumah kerana mereka lebih suka akan makanan yang berlemak dan berkalori tinggi. Sebagai contohnya, mereka lebih suka membawa piza dan kerepek kentang berjenama Mister Potato dan Pringles. Selain itu, murid-murid tidak mengetahui hakikat bahawa bekalan makanan yang dibawa dari rumah juga ada faedahnya kerana tak kenal maka tak cinta. Marilah kita mengkaji faedahnya jika murid membawa bekalan makanan dari rumah. 
          Bekalan makanan yang dibawa dari rumah dijamin bersih dan lebih sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa kita akan menyediakan makanan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa akan menyediakan makanan yang seimbang berpandukan piramid makanan seperti sandwic, mihun goreng dan nasi berlauk. Kesannya, murid tidak terdedah kepada kes keracunan makanan dan masalah obesiti. Hal ini merupakan bukti ibu bapa menjaga anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Tegasnya, kebersihan makanan yang dibawa dari rumah menjamin kesihatan murid. 
          Selain itu, isi yang tidak boleh dikesampingkan ialah murid-murid dapat menjimatkan masa mereka beratur di kantin sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak perlu beratur dalam barisan yang amat panjang untuk membeli makanan mereka. Murid-murid terus menikmati bekalan makanan mereka yang dibawa sambil membaca buku mereka. Impaknya, murid-murid mendapat faedah berganda daripada amalan yang sihat ini. Usaha murid menjimatkan masa ini dikatakan sambil menyelam minum air kerana mereka bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan mereka, malahan memantapkan pengetahuan yang diajarkan oleh guru-guru mereka. Tuntasnya, murid yang membawa bekalan makanan dapat menjimatkan masa dan memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah. 
          Ditinjau dari kaca mata yang berbeza pula, perbelanjaan murid dapat dijimatkan dengan membawa bekalan makanan. Hal ini dikatakan demikian lantaran murid-murid tidak perlu membelanjakan wang saku mereka untuk membeli makanan-makanan tambahan. Hal ini dapat menggalakkan murid-murid menabungkan wang ke dalam tabung secara tidak langsung mereka juga dapat mengurangkan beban ibu bapa mereka. Cara ini dapat mendidik murid menghargai titik peluh dan pengorbanan ibu bapa untuk mencari sesuap nasi dan seteguk air. Selain itu, murid-murid juga akan sedar bahawa ibu bapa mereka telah bekerja keras untuk mengisi perut mereka. Deduksinya, bekalan makanan yang dibawa murid dapat menjimatkan perbelanjaan. 
          Sebagai penghias akhir bicara bagi segala isi yang telah saya huraikan di atas, jelaslah bahawa murid digalakkan membawa bekalan makanan kerana membawa banyak faedah. Ibu bapa haruslah menyediakan bekalan makanan yang sihat dan segar secara berterusan dari rumah supaya kebahagiaan dalam keluarga dapat dibina dan hubungan antara murid dan ibu bapa mereka dapat dirapatkan. Walakin begitu, semua usaha yang dilaksanakan oleh ibu bapa hanya akan tinggal angan-angan Mat Jenin seandainya anak-anak sendiri tiada inisiatif untuk menjaga kesihatan diri masing-masing. Para murid mestilah mula membawa bekalan makanan sendiri dari rumah kerana murid-murid dapat mendisiplinkan diri dengan amalan yang bermanfaat ini. Sebagai intiha, saya ingin menegaskan bekalan makanan yang dibawa dari rumah ternyata banyak kebaikannya. 

4 comments:

mags premiums said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...

Cikgu adakah karangan KEBAIKAN MENJIMAT AJR

Unknown said...

Cikgu adakah karangan KEBAIKAN MENJIMATKAN AIR

Unknown said...

Cikgu adakah KARANGAN KEBAIKAN MENJIMATKAN AIR