Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

13 June 2020

KARANGAN UMUM SPM : Peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan harga makanan telah menimbulkan masalah kewangan dalam keluarga. Bincangkan.

Peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan harga makanan telah menimbulkan masalah kewangan dalam keluarga. 
Bincangkan.
[100 markah]

     Dalam menongkah arus pemodenan ini, setiap keluarga perlulah mempunyai perancangan kewangan yang tersendiri. Setiap keluarga tidak patut berlumba-lumba dengan orang lain semasa berbelanja sebaliknya berbelanja mengikut kemampuan masing-masing ibarat ukur baju di badan sendiri. Amalan perbelanjaan secara berhemah sewajarnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan mulia ini mengelakkan diri kita daripada berhutang dan menjamin kelangsungan kehidupan kita yang sempurna. Dengan berbuat demikian, kita lebih bersedia untuk menghadapi masalah kenaikan harga barang yang sering kali dipolemikkan. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah diperkenalkan pada 1 April 2014 menjadi antara faktor kenaikan harga barangan. Dalam konteks ini, rakyat Malaysia menghadapi masalah apabila hampir semua barang kegunaan dinaikkan harga ekoran pengenalan cukai baharu. Tambahan pula, perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan harga mendadak. Kewujudan pihak yang tidak berhati perut pula mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh apabila kerajaan mengumumkan pengutipan GST. Peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan makanan turut berlaku apabila banyak pihak meningkatkan harga sewenang-wenangnya. Kenaikan harga barang telah menimbulkan pelbagai masalah kewangan. Apakah masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga? Kita mestilah mengupas satu demi satu permasalahan yang dihadapi oleh keluarga apabila kos barangan dan perkhidmatan dinaikkan. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang dalam minda kita ialah apakah impak yang paling utama kepada keluarga? 

           Pada pendapat saya, kos pendidikan yang meningkat telah menyebabkan keluarga terpaksa untuk melupakan hasrat untuk menyekolahkan anak di sekolah yang lebih baik. Ibu bapa terpaksa reda dengan peningkatan yuran persekolahan yang telah menyebabkan murid-murid terpaksa berpindah dari sekolah swasta ke sekolah harian biasa untuk menjimatkan kos pendidikan anak. Masalahnya, kos pendidikan yang meningkat dengan mendadaknya disebabkan oleh kos pengangkutan anak ke sekolah yang turut mengalami peningkatan yang memburukkan keadaan. Pada masa yang sama, kos pentadbiran dan penyelenggaraan sekolah meningkat. Seterusnya, kos pencetakan dan kos kertas juga meningkat. Dengan perkataan lain, peningkatan kos pengangkutan, kos pentadbiran dan penyelenggaraan sekolah dan kos pencetakan serta kos kertas telah menyebabkan kos pendidikan menerima kesannya. Sebagai contohnya, pada tahun 2004, sekolah swasta menawarkan pakej yuran RM12,000 setahun kepada ibu bapa tetapi pada tahun 2018, kos yuran sekolah dinaikkan sehingga RM25,000 setahun. Yuran sekolah meningkat lebih daripada 100 peratus telah menyebabkan beban yang sangat berat ini tidak mampu ditanggung oleh ibu bapa yang membanting tulang. Impaknya, anak-anak terpaksa menerima kesan kenaikan kos pendidikan seperti berpisah dengan kawan-kawan di sekolah lama, berpindah ke sekolah harian dan terpaksa menyesuaikan diri dalam keadaan yang lebih sesak dan kurang selesa. Anak-anak mula menghadapi masalah hilang semangat dan motivasi untuk belajar akibat kenaikan kos yuran persekolahan. Jelaslah bahawa kenaikan kos pendidikan merupakan beban besar kepada ibu bapa. Kesannya, ibu bapa berasa malu untuk menghadapi anak-anak mereka kerana tidak dapat menyembunyikan masalah kewangan keluarga daripada anak. Mereka hanya mampu menitiskan air mata dalam setiap doa dan sembahyang yang didirikan tetapi tidak difahami anak-anak.

        Skop perbincangan akan diteruskan lagi dari aspek kos rawatan yang meningkat secara mendadak juga memberikan kesan kesihatan kepada keluarga. Peningkatan kos rawatan telah menyebabkan ahli keluarga yang berpenyakit bahaya terus berputus asa dan berhenti makan ubat yang semakin mahal dari sehari ke sehari. Dengan ini, harapan untuk hidup sihat dan sejahtera nampaknya sia-sia. Hal ini dikatakan demikian kerana harga ubat semakin mahal disebabkan kos pengimportan yang meningkat. Akibatnya, hampir setiap ubat yang diimport dikenakan GST. Kenaikan harga ubat membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana. Adanya yang ahli keluarganya terpaksa mengikat perut untuk membolehkan ibu bapa mereka yang sakit untuk membeli ubat. Ada juga remaja yang bekerja untuk menambahkan pendapatan keluarga kerana mereka tidak diberikan makanan langsung. Kehidupan mereka yang hanya berpeluang untuk makan sekiranya bekerja ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Senario ini merupakan kenyataan yang amat pahit kerana semua ahli keluarga terpaksa hidup dalam kesengsaraan. Biar kita ambil contoh, ubat darah tinggi yang naik 30% pada tahun 2015 hingga 2017 telah memberikan kesan yang mudarat kepada ahli keluarga yang menghidap penyakit ini. Ada juga yang terpaksa melupakan ubat, dan ada juga yang terpaksa beratur di hospital kerajaan untuk mendapatkan ubat percuma. Mereka terpaksa menunggu lama di hospital hanya untuk mendapatkan ubat semata-mata. Kos rawatan yang meningkat telah menjejaskan kualiti kesihatan rakyat. Mereka terpaksa mendaftarkan diri sebagai pesakit di hospital kerajaan. Hal ini telah menyebabkan lambakan pesakit berlaku di hospital kerajaan. Akibatnya, jururawat terpaksa melayan lautan manusia yang ingin mendapatkan rawatan. Pesakit-pesakit terpaksa menunggu lama untuk berubat. Kesannya, keluarga pada masa ini menjadi kurang sihat. Kualiti kesihatan ahli keluarga akan terus merosot akibat terpaksa melupakan hasrat untuk membeli suplemen yang mahal. Secara tidak langsung, kehidupan mereka menjadi tidak bahagia kerana terpaksa menghadapi kos rawatan yang semakin hari semakin mahal.

        Memang tidak dapat dinafikan bahawa makanan merupakan sumber tenaga manusia. Manusia terus menjadi mangsa kenaikan kos makanan dan telah menyebabkan ahli keluarga menjimatkan kos penyediaan makanan. Ada juga keluarga yang terpaksa berlapar dan makan dua kali sehari sahaja akibat kekurangan wang. Hal ini merupakan impak daripada kenaikan kos makanan di negara kita, Malaysia. Kenaikan kos makanan disebabkan bahan mentah yang semakin mahal. Hal ini berlaku demikian kerana kawasan pertanian juga semakin kurang aktif menghasilkan makanan. Apabila perkara ini berlaku, rakyat Malaysia terpaksa mengimport makanan dari luar negara pula. Keadaan ini membawa konotasi bahawa rakyat menjadi mangsa kos kenaikan harga makanan. Merekalah yang terpaksa menanggung pelbagai beban kos makanan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah minyak masak yang telah menghadapi kenaikan lebih 20% sejak GST diperkenalkan. Kenaikan ini menyebabkan ahli keluarga menghadapi masalah untuk menyediakan masakan yang sesuai. Keadaan ini telah menyebabkan ahli keluarga terpaksa membeli sayur paling murah akibat peningkatan kos buah-buahan dan sayur-sayuran. Anak-anak pada masa ini akan berasa bosan akan makanan yang sama tetapi mereka tidak mengetahui bahawa peningkatan kos buah-buahan dan sayur-sayuran telah menyebabkan ibu bapa mereka tiada pilihan lain. Dalam keadaan ini, anak-anak terpaksa makan apa-apa sahaja yang disediakan oleh ibu bapa. Pada masa yang sama, ahli keluarga juga dikatakan kehilangan selera makan. Hubungan anak-anak dengan ibu bapa juga menerima kesan yang negatif akibat peningkatan kos makanan. Impaknya, kenaikan harga makanan hanya memberikan kesan kepada keluarga. Mereka juga terpaksa melupakan hasrat untuk meraikan majlis hari jadi di luar kerana makanan di restoran atau di hotel terlalu mahal sampai tahap tidak mampu dinikmati. Hal ini membuktikan bahawa taraf hidup keluarga merosot seiring kenaikan kos ini.

        Beralih pula pada perspektif yang lain, kos perkhidmatan telah menghadapi kenaikan yang amat mengecewakan. Apabila perkara ini berlaku, ahli keluarga terpaksa menghadapi kos kenaikan ini dengan hati terbuka. Kos sewaan rumah meningkat dan tuan rumah terpaksa menghalau mangsa kenaikan sewa akibat tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membiayai kos sewaan. Laporan akhbar ada menyatakan bahawa mangsa kenaikan sewa terpaksa tidur di dalam kereta. Kos sewaan yang meningkat telah menyebabkan ahli keluarga tidak mampu menyewa rumah. Janganlah kata menyewa rumah, membeli rumah baharu lagi tidak mampu. Hal ini menyebabkan ibu bapa melupakan hasrat untuk memberikan keselesaan dan kebahagiaan kepada anak-anak apabila menghadapi krisis kekeluargaan daripada ekonomi. Sebagai analoginya, laporan akhbar menyatakan bahawa kos isi rumah meningkat dan kadar sewa naik sebanyak 25% pada 2016 dan terus meningkat pada 2017 dan 2018. Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab dalam soal ini? Kesannya pula, kenapakah kenaikan kos perkhidmatan hanya ditanggung oleh ahli keluarga? Anak-anak terpaksa tinggal di rumah yang lebih kecil. Merekalah yang terpaksa tinggal di kawasan setinggan yang kurang selesa. Apabila anak-anak berasa bosan, mereka akan mencari hiburan di luar dan mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang kurang beradab. Apabila perkara ini berlaku, banyak masalah sosial yang dicatatkan di kawasan setinggan akan menyebabkan keluarga bersedih. Natijahnya, keluarga yang menerima kesan buruk daripada kos kehidupan terpaksa menghadapi anak-anak yang hilang kesabaran dan ketenangan. Impak daripada kenaikan kos perkhidmatan adalah amat besar, seperti kualiti kehidupan keluarga semakin hari semakin terjejas teruk. Jika keadaan ini berlaku secara berterusan, dalam jangka masa panjang, ibu bapa juga akan menghadapi masalah domestik pula.

          Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, kos kenaikan pendidikan, rawatan, dan harga makanan menyebabkan keluarga hilang keselesaan hidup dan lunturnya kebahagiaan. Mangsa kenaikan kos tidak dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik kerana terpaksa memikirkan banyak faktor sebelum membelanjakan wang. Hal ini akan menyebabkan masa depan keluarga tidak bahagia pula. Oleh itu, urusan kewangan keluarga patutlah dirancang dengan bijaksananya dan diatur dengan sebaik-baik mungkin oleh ahli keluarga, terutamanya ibu bapa. Walau bagaimanapun, ada juga yang bersikap boros dan suka makan di luar. Mereka tidak mempunyai amalan menabung dan tidak memikirkan masa depan anak-anak dan keluarga. Perbelanjaan mereka lebih banyak daripada pendapatan persis kata peribahasa Melayu, “besar pasak daripada tiang”. Perbuatan sebegini akan menyebabkan ahli keluarga berasa kecewa terhadap mereka. Contoh ketara yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa terpaksa menjual kereta di rumah kerana tidak mampu menampung kos kenaikan perkhidmatan seperti insurans kereta dan petrol. Dengan ini, ibu bapa terpaksa untuk melupakan hasrat untuk memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi, mereka bertambah penat kerana terpaksa bangun awal untuk menunggu bas dan LRT. Hal ini akan menyusahkan kehidupan mereka. Impaknya, ibu bapa yang kepenatan tidak dapat meluangkan masa bersama anak kerana pulang lewat dari pejabat. Selain itu, faktor cuaca seperti hujan pula menjejaskan kesihatan ibu bapa. Ibu bapa yang kehujanan mudah jatuh sakit. Apabila ibu bapa jatuh sakit, anak-anak bertambah risau akan ibu bapa dan kos rawatan tidak mampu ditanggung pula. Deduksinya, kesan jangka panjang akan menyebabkan Malaysia menjadi negara miskin dan kualiti hidup rakyat akan terus terjejas. Apabila situasi sebegini berlaku, rakyat akan menjadi golongan yang terjajah oleh harga barang yang meningkat, menjadi mangsa kenaikan harga barang dan kadangkala menghadapi senario dapur tidak berasap pula.

           Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, keadaan kewangan keluarga mestilah dirancang dengan baiknya. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan kos atau biaya keluarga mencukupi. Anak-anak yang sudah remaja atau dewasa pula bolehlah mencari kerja sampingan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa bak kata peribahasa, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Kebahagiaan sesebuah keluarga bukan hanya diukur dari segi kewangan semata-mata. Ibu bapa harus mendidik anak dengan menggunakan kaedah nilai murni sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Ibu bapa patutlah mendidik anak supaya menabung sejak kecil kerana kita haruslah sentiasa bersedia untuk menghadapi kecemasan semasa berlakunya kemelesetan ekonomi ibarat sediakan payung sebelum hujan. Saya berdoa agar setiap keluarga akan menikmati kebahagiaan di dunia dan di akhirat serta bebas daripada beban kewangan. Saya juga berharap agar masalah kenaikan harga barang tidak akan membebankan tanggungan ibu bapa. Didikan ibu bapa mampu melahirkan anak yang akan menjadi manusia yang bijak merancang kewangan demi menjanjikan kebahagiaan dan kesentosaan kepada keluarga agar merealisasikan konsep rumahku, syurgaku! 


1 comment: