Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

15 March 2020

PENGGUNAAN 10 LIRIK LAGU TERBAIK DALAM PENULISAN CEMERLANG SPM


PENGGUNAAN 10 LIRIK LAGU TERBAIK
DALAM PENULISAN CEMERLANG SPM

(LAGU 1)

Demi negara yang tercinta
Di curahkan bakti penuh setia
Demi raja yang disanjung tinggi
Kesetiaan tak berbelah bagi

Kepada pemimpin kepada rakyat
Khidmat diberi penuh taat
Sama bekerja sama berusaha
Setia berkhidmat untuk semua

Rela berkorban apa saja
Amanah bangsa tetap dijaga
Kami berikrar penuh setia
Untuk agama, bangsa dan negara

Setiap kali lagu bertajuk "Setia" ini berkumandang di udara, meremang bulu roma kita. Demikianlah betapa pentingnya pengorbanan dan kesetiaan rakyat kepada bangsa dan negara. Dengan kesetiaan dan pengorbanan ini, kita dapat membina rakyat yang cinta akan negara dan masyarakat yang hidup bersatu padu agar perpecahan dapat dielakkan. Hal ini dikatakan demikian kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

(LAGU 2)
Anak pipit jangan tak dihirau
Gusar esok ke sarang si rimau
Anak didik harusnya dirisau
Gusar esok engkau yang dipisau

Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam lagunya bertajuk 7 Nasihat ini membawa pelbagai unsur nasihat dan didikan yang penting kepada masyarakat kita, terutamanya golongan yang menjadi harapan bangsa dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Rangkap pertama lirik lagu ini menyampaikan mesej yang begitu jelas iaitu anak-anak didik atau golongan muda perlu dipantau dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan hati-hati bak peribahasa bagai menatang minyak yang penuh. Jika tidak, mereka akan terlibat dalam pelbagai gejala negatif yang akhirnya mampu menjadi duri dalam daging dalam pembangunan bangsa dan negara.

(LAGU 3)
Hei! sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat mengisi uratku
Agar bisa ku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan sijantan yang berkokok
Di mana bumi ku pijak
Di situ langit ku junjung
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan

Lagu "Mentera Semerah Padi Nyanyian seniman ulung negara, Dato' M. Nasir ini benar-benar menusuk kalbu dan membakar semangat rakyat Malaysia agar bekerja keras dan tidak berputus asa dalam perjuangan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana lirik lagu ini memaparkan keberanian dan kegagahan pahlawan untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Oleh sebab itu, kita mestilah tabah menghadapi onak dan duri dalam kehidupan demi membentuk masyarakat yang berminta kelas pertama dan berjati diri kukuh.

(LAGU 4)
Kisah duka ulang-berulang
Hati luka cinta kecundang
Bagaikan bunga kembang dipuja
Layu dibuang.

Bercintalah berpada-pada
Usah serah segala
Turutkan hati turutkan rasa
Diri sendiri akan binasa

Demi masa depanmu
Berhati-hati selalu
Kaji asal usulnya
Jangan sampai terpedaya

Lagu "Kalau Mencari Teman" nyanyian penyanyi tersohor negara, Ziana Zain ini menyampaikan mesej yang kukuh dan berkesan kepada anak-anak muda. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak muda pada hari ini mudah terpengaruh oleh rakan sebaya. Mereka tidak menyiasat asal usul rakan sebelum meniru perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Akhirnya, mereka akan menyesal tetapi sudah terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

(LAGU 5)
Beribu bintang dilangit kini menghilang
Meraba aku dalam kelam
Rembulan mengambang kini makin suram
Pudar ilhamku tanpa arah

Sedetik wajahmu muncul dalam diam
Ada kerdipan ada sinar
Itukah bintang ataupun rembulan
Terima kasih kuucapkan

Lagu nyanyian Manbai, "Kau Ilhamku" sesuai dikaitkan dengan pengorbanan ibu bapa dan guru-guru terhadap kita. Hal ini dikatakan demikian kerana merekalah yang memberikan ilham dan ilmu kepada kita untuk melangsungkan kehidupan ini. Tanpa mereka, kita akan menjadi seperti layang-layang putus teraju dan anak ayam kehilangan ibu. Untuk menghargai jasa mereka, kita haruslah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa ilmu yang diberikan oleh mereka kepada kita tidaklah sia-sia. Oleh sebab itu, anak-anak muda harus menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa dan guru-guru, sebaliknya janganlah kita bersikap seperti kacang lupakan kulitnya.

(LAGU 6)
Pahit getir hidup dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi, demi kejayaan
Terdidik sejak mula, tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah, tak ke mana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara dijiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Lagu "Standing In The Eyes Of The World" nyanyian Ella ini amat sinonim dengan kesungguhan dan iltizam anak-anak muda dalam perjuangan mereka. Perjuangan dalam bidang pendidikan, sukan, dan kerja perlu diteruskan tanpa semangat yang lemah. Dengan semangat "Malaysia Boleh" ini juga kita dapat membentuk minda rakyat yang berdaya saing agar kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia ini.

(LAGU 7)
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Rangkap pertama lagu Gurindam Jiwa nyanyian Seniman Ulung Negara, Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee ini memberikan pedoman kepada kita agar menghargai jasa dan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa lama-kelamaan melupakan jasa dan pengorbanan mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak perlulah menziarahi ibu bapa dan menjenguk mereka serta memastikan kebajikan mereka terjaga dengan baiknya. Dengan berbuat begitu, ibu bapa tidak akan kecewa dengan sikap bagai ulat lupakan daun yang ada pada anak-anaknya.

(LAGU 8)
Oh, Ibu!
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian

Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat ku layarkan

Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati

Kutatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Lagu "Ibu" nyanyian Mamat, Exist ini menusuk hati dan jiwa kita tentang pengorbanan ibu kepada anak. Pengorbanan ini jelas terpancar apabila seorang anak meratapi pemergian ibunya yang telah pulang ke pangkuan Tuhan. Kesedihan, kesunyian, dan kehilangan kasih sayang yang amat terasa ini perlu kita hadapi apabila kehilangan ibu bapa. Oleh hal yang demikian, anak-anak perlu menghargai jasa dan menyayangi ibu bapa sebelum terlambat. Sebaliknya, fenomena yang berlaku hari ini ialah anak-anak terlalu mementingkan diri sehingga bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sehingga mengabaikan nasihat ibu bapa kepadanya. Mereka juga lupa akan hakikat bahawa didikan ibu bapa sangat penting untuk mereka agar dapat merencanakan kehidupan. Oleh hal yang demikian, anak-anak perlulah menghargai pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak.

(LAGU 9)
Kalau menebang si pohon jati
Papan di Jawa dibelah-belah
Kalaulah hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah

Indahnya lirik lagu "Pantun Budi" nyanyian Allahyarham Tan Sri. S.M Salim yang menjelaskan betapa pentingnya budi dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang tidak tahu berbudi dikiaskan bagai pokok yang tidak berbuah. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia haruslah menghayati lirik lagu ini kerana kekayaan ilmu dan nasihat yang disampaikan kepada kita. Janganlah kita lupa akan budi dan jasa siapa-siapa sahaja yang pernah membantu kita. Sebaliknya, insan yang melupakan budi ini pasti tidak akan bahagia kehidupannya.

(LAGU 10)
Berjuta bintang menyanyi
Ku di antara yang satu
Mungkin cahaya dan impianku
Di sini gemilang
Lalu ku redah onak duri
Dan lautan api
Kemuncaknya ingin ku tawan
Aku jelajahi oh
Kini gemilang itu
Semakin pasti ku genggam
Gemilang suara keyakinan kian dalam

Lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor ini pernah mencetuskan suatu fenomena di negara kita lebih satu dasawarsa yang lalu. Lagu ini memberikan semangat dan meniupkan api perjuangan dalam diri anak-anak muda untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Jika lautan cabaran ini dapat direnangi, anak-anak kita akan sampai di puncak kejayaan. Oleh sebab itu, remaja perlulah........

Jika bermanfaat, kongsikan kepada anak-anak murid.
Terima kasih.

Cikgu Tan CL
www.cikgutancl.blogspot.my


2 comments:

Unknown said...

Terima kasih cikgu ats perkongsian ilmu. Mohon share ya.

Anonymous said...

terima kasih sangat berguna❤️❤️