PENGHASILAN UNSUR KOHESI DALAM PENULISAN MELALUI KATA TERBITAN
Nampaknya cuti sekolah ini membolehkan saya merehatkan fizikal dan minda sehingga mencipta suatu unsur kohesi dalam penulisan melalui kata terbitan. Perkongsian ini dapat membantu anak-anak murid kita yang masih tidak mampu menulis karangan yang berunsur kohesi atau ada unsur pertautan antara ayat. Oleh sebab itu, perkongsian ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada guru-guru dari segi idea sewaktu mengajarkan penulisan.
TEMA 1 - AMALAN MEMBACA
SENARAI KATA TERBITAN:
MELANCARKAN - PELANCARAN - DILANCARKAN - KELANCARAN - MELANCARKAN
Kerajaan perlulah melancarkan kempen membaca secara besar-besaran di seluruh negara untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat. Pelancaran kempen ini tidak haruslah dijalankan seperti melepaskan batuk di tangga semata-mata sehingga tidak berjaya membentuk masyarakat yang suka membaca buku. Sebagai contohnya, Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) telah dilancarkan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia. Kempen ini perlu dipantau dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh demi memastikan kelancaran sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu mahu meningkatkan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-53 sebagai negara membaca, menurut "World Most Literate Nation" kepada tangga yang lebih produktif dan maju. Oleh hal yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan mestilah melancarkan kempen membaca dengan bersungguh-sungguh agar cita-cita Malaysia yang mahu menjadi bangsa membaca bangsa berjaya suatu impian yang mampu menjadi realiti.
TEMA 2 - GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
SENARAI KATA TERBITAN:
MENDIDIK - PENDIDIKAN - DIDIDIK - DIDIKAN - MENDIDIK
Ibu bapa haruslah memberikan didikan moral dan agama sebagai benteng paling kuat untuk mengekang anak-anak daripada terlibat dalam gejala sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan awal anak-anak seyogianya bermula dari rumah, bukannya dari prasekolah. Sebagai contohnya, anak-anak yang masih kecil dan suci bagai kain kapas perlu dididik dan dicorakkan dengan ilmu didikan agama dan moral. Didikan ini ada kebenarannya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar anak-anak mudah dilentur menjadi insan yang berakhlak mulia dan berjati diri kukuh untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala yang kurang sihat. Oleh sebab itu, tugas mendidik anak-anak dengan didikan agama dan moral ialah formula paling tepat untuk mengekang masalah sosial yang kian menular dalam kalangan anak remaja di negara kita.
TEMA 3 - AMALAN MENABUNG
SENARAI KATA TERBITAN:
MEMBELI - PEMBELIAN - DIBELI - MEMBELIKAN - MEMBELI
Ibu bapa haruslah membeli tabung sebagai hadiah kepada anak-anak mereka untuk menggalakkan mereka supaya menabungkan wang. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelian tabung ialah hadiah terbaik yang berunsur pendidikan kewangan paling baik kepada anak-anak yang berkaitan dengan kata mutiara orang tua-tua, "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit". Sebagai hadiah kepada anak-anak, tabung yang cantik dan menarik bentuknya bolehlah dibeli oleh ibu bapa untuk mendorong anak-anak mereka supaya menabung. Dengan membelikan anak-anak tabung sebagai alat paling efektif agar mereka tidak bersikap boros, anak-anak dapat memasukkan wang baki daripada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak mereka. Tegasnya, ibu bapa haruslah membeli tabung untuk dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak supaya amalan menabung dapat disemai dengan suburnya di dalam sukma jiwa anak agar mereka berpegang pada prinsip dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan.
TEMA 4 - SUKAN
SENARAI KATA TERBITAN:
BERLATIH - LATIHAN - DILATIH - MELATIH - BERLATIH
Untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan sukan, murid-murid perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh pada setiap petang di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana latihan sukan yang diadakan di sekolah pada setiap petang untuk atlet amat penting untuk memastikan atlet yang mewakili sekolah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi persaingan pada pertandingan sukan. Sebagai contohnya, murid-murid yang berbakat dalam bidang sukan perlu dilatih oleh jurulatih yang diupah atau diundang oleh pihak sekolah mahupun guru bertugas yang berpengalaman. Jurulatih yang gigih melatih anak-anak murid mereka dan memberikan dorongan serta sokongan kepada murid akan dapat meningkatkan keyakinan mereka dalam pertandingan. Saya yakin bahawa murid yang rajin berlatih akan beroleh kejayaan dalam pertandingan sukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
TEMA 5 - KESELAMATAN DI JALAN RAYA
SENARAI KATA TERBITAN:
MENGUATKUASAKAN - PENGUATKUASAAN - DIKUATKUASAKAN - PENGUAT KUASA - BERKUAT KUASA
Pihak berkuasa haruslah menguatkuasakan undang-undang di jalan raya untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana penguatkuasaan undang-undang dapat memberikan didikan dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya. Sebagai contohnya, undang-undang had laju di lebuh raya perlu dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sekatan jalan raya dan memasang kamera Penguatkuasaan Undang-undang Jalan Raya Automatik (AES) di lebuh-lebuh raya seperti di Lebuh Raya Kesas, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Persekutuan yang acap kali menjadi medan perlumbaan haram. Pegawai polis trafik dan penguat kuasa yang bertugas perlulah menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti tanpa dicemari unsur rasuah pasti mampu mengurangkan kemalangan di jalan raya sekali gus mendisiplinkan pemandu dengan slogan pandu cermat jiwa selamat. Ringkasnya, undang-undang yang berkuat kuasa serta-merta dapat mengurangkan kemalangan di jalan raya agar kemalangan jiwa juga dapat dikurangkan.
TEMA: BAHASA
KATA TERBITAN:
PENCEMARAN - DICEMARKAN - MENCEMARKAN - TERCEMAR - PENCEMARAN
PENCEMARAN - DICEMARKAN - MENCEMARKAN - TERCEMAR - PENCEMARAN
Cara utama untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ialah kita harus mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa kebangsaan kita banyak dicemarkan oleh pengguna bahasa dengan bahasa pasar dan bahasa rojak. Sebagai contohnya, guru-guru harus mendidik anak murid mereka supaya tidak menggunakan simbol "x" untuk menggantikan "tidak" dalam sembang maya dan perbualan dalam media sosial seperti Whatsapps dan Telegram sehingga mencemarkan bahasa Melayu. Impaknya, bahasa kebangsaan yang tercemar ini akan dapat dikurangkan daripada terus menjejaskan imej negara kerana bahasa menunjukkan bangsa, hilang bahasa lenyaplah bangsa. Oleh hal yang demikian, kita harus sedar akan hakikat bahawa masalah pencemaran bahasa mestilah kita atasi agar dapat mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Cukuplah dengan enam contoh ini. Murid-murid boleh diberi ilmu penulisan seperti ini dengan pelbagai tema dalam perbengkelan di sekolah atau di mana-mana sahaja. Penggunaan kata terbitan yang berkait dan berkesinambungan yang bukan sahaja mesra kohesi tetapi juga mampu meningkatkan penguasaan ilmu penggunaan dan fungsi pelbagai jenis imbuhan dalam kalangan murid.
Guru tidak kedekut ilmu,
Murid pasti tidak buntu.
Murid pasti tidak buntu.
Selamat belajar.
Cikgu Tan CL
www.cikgutancl.blogspot.my
www.cikgutancl.blogspot.my
No comments:
Post a Comment