Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

9 June 2015

Perbezaan antara "memperisteri" dengan "memperisterikan" dan perbezaan antara "mempersuami" dan "mempersuamikan"

INFORMASI BAHASA

Oleh sebab musim cuti ialah musim perkahwinan, maka kita lihat perbezeaan antara kata dasar "suami" dan "isteri" yang menerima imbuhan apitan "memper-i" dan "memper-kan"
Topik hari ini:
(a) Perbezaan antara "memperisteri" dan "memperisterikan"
(b) Perbezaan antara "mempersuami" dan "mempersuamikan"
(a)
"memperisteri" bermaksud menjadikan seseorang isteri. "memperisterikan" bermaksud memberikan isteri kepada seseorang atau menjadikan seseorang beristeri.
(b)
"mempersuami" bermaksud menjadikan seseorang suami. "mempersuamikan" bermaksud memberikan suami kepada seseorang atau menjadikan seseorang bersuami.
Contohnya:
1.
Encik Hamid memperisterikan seorang gadis kampung. (salah)
Encik Hamid memperisteri seorang gadis kampung. (betul)
2.
Pak Tua memperisteri Ali dengan gadis dari seberang. (salah)
Pak Tua memperisterikan Ali dengan gadis dari seberang. (betul)
3.
Puteri bongsu mempersuamikan pahlawan yang gagah itu. (salah)
Puteri bongsu mempersuami pahlawan yang gagah itu. (betul)
4.
Ibu ingin mempersuami kakak dengan lelaki dari Melaka. (salah)
Ibu ingin mempersuamikan kakak dengan lelaki dari Melaka. (betul)
Kesimpulannya, apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti: "memperingati", "memperkawani", "memperisteri" dan "mempersuami".
Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper...i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Hal ini wujud hasil daripada perkembangan sesuatu bahasa selagi bahasa itu terus dituturkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Apitan memper-...-kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper-...-kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan dalam maksud kata kerja, manakala apitan memper-...-kan dengan kata nama membawa maksud kausatif seperti mempercabangkan (menjadikan bercabang) dan memperhambakan (menjadikan diri seperti hamba). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 208 dan 2011.
Selamat pengantin baharu!
Selamat belajar!

No comments: