INFORMASI BAHASA
AYAT PASIF DIRI PERTAMA DAN KEDUA
Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam.
(Ayat aktif= pelaku sebagai subjek)
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam.
(Ayat Pasif=objek sebagai subjek)
Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan "ber-" dan "ke-...-an"
4. Ayat pasif berimbuhan "ter-"
5. Ayat pasif dengan perkataan "kena" yang hadir sebelum kata kerja.
1.
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan "di-". Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan "di").
Contohnya:
(a)
Saya mengambil buku itu. (ayat aktif)
Buku itu diambil oleh saya. (salah)
Buku itu saya ambil. (betul)
(b)
Saya menduduki peperiksaan pertengahan tahun. (ayat aktif)
Peperiksaan pertengahan tahun diduduki oleh saya. (salah)
Peperiksaan pertengahan tahun saya duduki. (betul)
Walau bagaimanapun, kata kerja berimbuhan 'ter' boleh menerima kata sendi 'oleh' yang diikuti kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.
Contohnya seperti ayat di bawah ini.
(c)
Saya terangkat meja yang besar itu. (ayat aktif)
Meja yang besar itu terangkat oleh saya. (Betul)
(d)
Saya terambil buku Seroja Dewi. (ayat aktif)
Buku Seroja Dewi terambil oleh saya. (betul)
(e)
Saya terserempak Cikgu Lim di pasar pagi. (ayat aktif)
Cikgu Lim terserempak oleh saya di pasar pagi. (betul)
NASIHAT SAYA:
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua mesti ditulis bersebelahan dengan kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan "di" (hukum aneksi persona).
Kesalahan berlaku jika kata-kata lain seperti kata bantu (telah, perlu, sudah, akan dan lain-lain.) disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
Contohnya:
(f)
Awak harus memandu kereta itu. (ayat aktif)
Kereta itu awak harus pandu. (salah)
Kereta itu harus awak pandu. (betul)
(g)
Kami sedang menyiapkan kerja itu. (ayat aktif)
Kerja itu kami sedang siapkan. (salah)
Kerja itu sedang kami siapkan. (betul)
(h)
Saya akan menemui tuan pengetua esok.(ayat aktif)
Tuan Pengetua saya akan temui esok. (salah)
Tuan Pengetua akan saya temui esok. (betul)
Saya berharap agar anda memahami dan menulis ayat pasif diri pertama dan kedua dengan betul.
Saya akan membicarakan ayat aktif diri ketiga esok. Hal ini dikatakan demikian kerana murid juga sering menulis jawapan ayat pasif diri ketiga dengan cara yang salah.
Selamat belajar!
Di dunia yang penuh onak dan duri cabaran ini, tidak pernah ada seorang guru pun yang sanggup melihat anak muridnya gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, saya diberi dorongan dan sokongan padu oleh murid-murid kesayangan saya untuk membuka laman web yang bertujuan murni. Laman ini bukan sahaja dapat memanfaatkan murid-murid kepada skema pemarkahan, tetapi juga dapat memberikan gambaran sebenar permintaan soalan dalam peperiksaan.
Selamat Melayari Blog Saya!
- CIKGU TAN CL
- Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN
No comments:
Post a Comment