ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB
SOALAN(3)
PERBEZAAN “CINTA AKAN” DAN “CINTA KEPADA”
EPITOME BAHASA 15
[KATA SENDI NAMA "AKAN"]
JAWABAN:
Kata tugas mempunyai fungsi yang pelbagai dan variasi makna. Untuk menjawab soalan anda, lihatkan makna dan fungsi kata sendi nama “akan” dan “kepada” dalam Tatabahasa Dewan. Kata sendi nama “akan” mempunyai peranan yang penting dalam ayat berbahasa Melayu selain berfungsi sebagai kata sendi nama.
Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif.
Kesilapan umum penggunaan kata sendi nama "akan" ialah penggunaan kata adjektif emotif/perasaan yang diikuti akhiran -kan yang dianggap berfungsi sebagai kata sendi nama. Kata sendi nama "akan" dan akhiran "-kan" berbeza. Jangan rojakkan penggunaannya.
Contohnya:
1.
Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅
Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌
2.
Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. ✅
Semua rakyat mesti sayangkan negara tempat tumpah darahnya. ❌
3
Anak raja itu berahi akan Tuan Puteri Bongsu. ✅
Anak raja itu berahikan Tuan Puteri Bongsu. ❌
4.
Kami sungguh benci akan kelakuannya yang buruk itu. ✅
Kami sungguh bencikan kelakuannya yang buruk itu. ❌
5.
Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅
Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌
Lihat pula fungsi dan peranan kata sendi nama “kepada”. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:
(h) sasaran merujuk manusia
...... menghantar surat kepada ibu.... ✅
...... menghantar surat ke ibu ...... ❌
(i) sasaran merujuk haiwan
...... menghadiahkan kucing kepada kakak...... ✅
...... menghadiahkan kucing ke kakak ...... ❌
(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)
...... penting kepada negara Malaysia.... ✅
...... penting pada negara Malaysia ...... ❌
(k) menyatakan pecahan
...... terbahagi kepada dua kumpulan...... ✅
...... terbahagi ke dua kumpulan ...... ❌
(l) menyatakan perubahan keadaan
...... daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ......✅
...... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ...... ❌
...... daripada sedih kepada gembira...... ✅
...... daripada sedih ke gembira ......❌
Langkah seterusnya ialah kita harus mengkaji “Kata Adjektif Perasaan”. Kata adjektif ini terdiri daripada perkataan yang membawa pengertian konsep perasaan, sebagai penerang kata nama dan diikuti oleh kata sendi nama.
Contohnya:
rindu berahi
benci ragu
segan kasih
suka cinta
gembira marah
Contoh penggunaannya dalam ayat:
75. Dia amat rindu akan emaknya.
76. Saya sungguh benci dengan kelakuan buruknya.
77. Gadis itu amat segan untuk bertanya.
78. Dia suka sungguh dengan perangai pemuda itu.
79. Anak kecil itu gembira sekali dengan permainan itu.
80. Kami semua amat kasih akan guru itu.
81. Anak raja itu berahi akan Puteri Bongsu.
82. Dia masih ragu terhadap kejujuran pembantunya.
83. Setiap rakyat harus cinta pada tanah airnya.
84. Ketua pejabat itu marah terhadap kecuaian keraninya.
SUMBER ILMU: Tatabahasa Dewan
Daripada ayat contoh 75 - ayat contoh 84, kita boleh melihat pelbagai kata sendi yang menerima kata adjektif perasaan. Kata sendi nama “akan”, “terhadap”, “pada”, “dengan” mahupun “kepada” juga sesuai mengikut semantik ayat.
Oleh sebab itu, adakah kata adjektif perasaan boleh diikuti kata sendi nama lain daripada “akan”? Jawabannya boleh tetapi bersyarat dengan memastikan maknanya tidak tersimpang oleh fungsi kata sendi nama atau kata tugas yang tertentu.
Saya cinta akan negara. ✅
Saya meluahkan perasaan cinta kepada Ivvy. ✅
Saya menghantar surat cinta kepada Fazleen. ✅
ALAM BIMBINGAN CIKGU TAN (ABCT)
Pautan Grup Telegram ABCT: https://t.me/+NvDP8gPhZFIwNDJl
NOTA DAN LATIHAN DIKONGSIKAN DARI MASA KE MASA
TEL: 0122099440 (Sebarang pertanyaan bahasa, bengkel, kelas, dan bimbingan subjek Bahasa Melayu.)
No comments:
Post a Comment