Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

18 March 2025

Apakah perbezaan antara "murid" dengan "murid - murid"?

 ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB 


SOALAN

Salam sejahtera cikgu Tan. Maaf mengganggu cikgu. Ada satu persoalan yang agak mengelirukan saya. Perkataan murid bersifat jamak atau tidak jamak ? Kalau jamak, apakah perbezaan antara murid dengan murid-murid?


Terima kasih cikgu.


JAWABAN:


Perkataan murid boleh mendukung makna tunggal mahupun jamak mengikut konteks cerita. Lihat contoh ayat di bawah:


(1) Murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 

(2) Murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 


Ayat (1) dan (2) juga gramatis dan tidak berlaku unsur kelewahan. Maksudnya juga sama tetapi fungsinya jamak atau tunggal sahaja. 


Namun, jika ada kata bilangan yang membawa maksud jamak terletak di hadapan kata ganda “murid-murid” yang sudah membawa makna jamak, maka lewahlah ayat tersebut


Contoh:

(2a) Semua murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2b) Para murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2c) Sesetengah murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2d) Sekumpulan murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah) 


Kesimpulannya, “murid” dan “murid-murid” sama maksud tetapi fungsinya berbeza dari segi semantik makna. 


Murid membawa maksud anak atau orang yang sedang belajar atau berguru. 


“Murid-murid” ialah gandaan kepada “murid” yang membawa makna banyak. 

 

Dalam konteks lain, “murid” boleh digandakan supaya membawa makna jamak. “Murid” juga boleh dikekalkan tanpa gandaan untuk membawa makna tunggal agar tidak berlaku kelewahan jika frasa kerja/adjektif pada predikatnya membawa makna jamak. 


Lihat senarai ayat sampel di bawah:

Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai.✅



Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai belaka. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai belaka.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai belaka.✅


Perkataan “belaka” dalam ayat di atas membawa konsep adverba, tidak menjejaskan maksud ayat asal. Konsep adverba ialah konsep pilihan. Jika digugurkan “belaka”, makna ayat tersebut masih sama. Adverba tidak wajib hadir dalam ayat. 


Harap anda faham akan penjelasan saya dan suka akan penjelasan mantap saya.


Cikgu Tan CL

No comments: