Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

18 March 2025

Adakah waktu malam , waktu tengah hari, waktu petang dan pagi dikira kata adjektif waktu?

 SOALAN:

Slmat pagi cg nak tnya kata adjektif waktu adakah waktu malam , waktu tengah hari, waktu petang dan pagi dikira kata adjektif waktu?


JAWABAN:

Cuba anda padankan dengan kata penguat, bentuknya betul atau salag?

Contoh:

sangat malam❌

malam sekali❌

paling pagi❌


Oleh sebab tidak dapat dipasangkan dengan kata penguat, maka pagi, malam, petang bukan adjektif. 


Perkataan “pagi”, “petang”, “malam”, dan “tengah hari” ialah kata nama. 


Kenapa? 

Sebab 1: dapat dipadankan dengan kata sendi nama

Contoh: pada pagi ini, pada tengah hari esok, pada malam lusa, sejak petang tadi


Sebab 2: boleh menjadi subjek ayat.

Contoh: 

Pagi ialah waktu kesukaan saya. 

Tengah hari pula waktu saya sibuk. 


Sebab 3: boleh diikuti kata pemeri “ialah”


Waktu yang sesuai untuk makan ubat ialah pagi. 


Waktu sesuai untuk mengambil makan berat ialah tengah hari. 


Waktu kelahiran adik saya ialah malam. 


Harap penjelasan saya mantap dan anda sukai. 

Terima kasih

Apakah perbezaan antara "murid" dengan "murid - murid"?

 ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB 


SOALAN

Salam sejahtera cikgu Tan. Maaf mengganggu cikgu. Ada satu persoalan yang agak mengelirukan saya. Perkataan murid bersifat jamak atau tidak jamak ? Kalau jamak, apakah perbezaan antara murid dengan murid-murid?


Terima kasih cikgu.


JAWABAN:


Perkataan murid boleh mendukung makna tunggal mahupun jamak mengikut konteks cerita. Lihat contoh ayat di bawah:


(1) Murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 

(2) Murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. 


Ayat (1) dan (2) juga gramatis dan tidak berlaku unsur kelewahan. Maksudnya juga sama tetapi fungsinya jamak atau tunggal sahaja. 


Namun, jika ada kata bilangan yang membawa maksud jamak terletak di hadapan kata ganda “murid-murid” yang sudah membawa makna jamak, maka lewahlah ayat tersebut


Contoh:

(2a) Semua murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2b) Para murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2c) Sesetengah murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah)

(2d) Sekumpulan murid-murid di sekolah itu pandai bernyanyi. (Lewah) 


Kesimpulannya, “murid” dan “murid-murid” sama maksud tetapi fungsinya berbeza dari segi semantik makna. 


Murid membawa maksud anak atau orang yang sedang belajar atau berguru. 


“Murid-murid” ialah gandaan kepada “murid” yang membawa makna banyak. 

 

Dalam konteks lain, “murid” boleh digandakan supaya membawa makna jamak. “Murid” juga boleh dikekalkan tanpa gandaan untuk membawa makna tunggal agar tidak berlaku kelewahan jika frasa kerja/adjektif pada predikatnya membawa makna jamak. 


Lihat senarai ayat sampel di bawah:

Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai.✅



Murid-murid di sekolah itu pandai-pandai belaka. ❌

Murid di sekolah itu pandai-pandai belaka.✅

Murid-murid  di sekolah itu pandai belaka.✅


Perkataan “belaka” dalam ayat di atas membawa konsep adverba, tidak menjejaskan maksud ayat asal. Konsep adverba ialah konsep pilihan. Jika digugurkan “belaka”, makna ayat tersebut masih sama. Adverba tidak wajib hadir dalam ayat. 


Harap anda faham akan penjelasan saya dan suka akan penjelasan mantap saya.


Cikgu Tan CL

PERBEZAAN “CINTA AKAN” DAN “CINTA KEPADA”

 ANDA TANYA CIKGU TAN JAWAB

SOALAN(3)

PERBEZAAN “CINTA AKAN” DAN “CINTA KEPADA”

EPITOME BAHASA 15

[KATA SENDI NAMA "AKAN"]


JAWABAN: 

Kata tugas mempunyai fungsi yang pelbagai dan variasi makna. Untuk menjawab soalan anda, lihatkan makna dan fungsi kata sendi nama “akan” dan “kepada” dalam Tatabahasa Dewan. Kata sendi nama “akan” mempunyai peranan yang penting dalam ayat berbahasa Melayu selain berfungsi sebagai kata sendi nama.


Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. 


Kesilapan umum penggunaan kata sendi nama "akan" ialah penggunaan kata adjektif emotif/perasaan yang diikuti akhiran  -kan yang dianggap berfungsi sebagai kata sendi nama. Kata sendi nama "akan" dan akhiran "-kan" berbeza. Jangan rojakkan penggunaannya.


Contohnya: 

1. 

Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅

Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌


2. 

Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. ✅

Semua rakyat mesti sayangkan negara tempat tumpah darahnya. ❌


3

Anak raja itu berahi akan Tuan Puteri Bongsu. ✅

Anak raja itu berahikan Tuan Puteri Bongsu. ❌


4. 

Kami sungguh benci akan kelakuannya yang buruk itu. ✅

Kami sungguh bencikan kelakuannya yang buruk itu. ❌


5.

Wanita itu amat rindu akan anaknya. ✅

Wanita itu amat rindukan anaknya. ❌


Lihat pula fungsi dan peranan kata sendi nama “kepada”.  Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:


(h) sasaran merujuk manusia

...... menghantar surat kepada ibu.... ✅

...... menghantar surat ke ibu ...... ❌


(i) sasaran merujuk haiwan

...... menghadiahkan kucing kepada kakak...... ✅

...... menghadiahkan kucing ke kakak ...... ❌


(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)

...... penting kepada negara Malaysia.... ✅

...... penting pada negara Malaysia ...... ❌

(k) menyatakan pecahan

...... terbahagi kepada dua kumpulan...... ✅

...... terbahagi ke dua kumpulan ...... ❌


(l) menyatakan perubahan keadaan

...... daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ......✅

...... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ...... ❌


...... daripada sedih kepada gembira...... ✅

...... daripada sedih ke gembira ......❌


Langkah seterusnya ialah kita harus mengkaji “Kata Adjektif Perasaan”.  Kata adjektif ini terdiri daripada perkataan yang membawa pengertian konsep perasaan, sebagai penerang kata nama dan diikuti oleh kata sendi nama. 


Contohnya: 

rindu     berahi 

benci     ragu 

segan     kasih 

suka     cinta 

gembira   marah 


Contoh penggunaannya dalam ayat: 

75. Dia amat rindu akan emaknya. 

76. Saya sungguh benci dengan kelakuan buruknya. 

77. Gadis itu amat segan untuk bertanya. 

78. Dia suka sungguh dengan perangai pemuda itu. 

79. Anak kecil itu gembira sekali dengan permainan itu. 

80. Kami semua amat kasih akan guru itu. 

81. Anak raja itu berahi akan Puteri Bongsu. 

82. Dia masih ragu terhadap kejujuran pembantunya. 

83. Setiap rakyat harus cinta pada tanah airnya. 

84. Ketua pejabat itu marah terhadap kecuaian keraninya.


SUMBER ILMU: Tatabahasa Dewan


Daripada ayat contoh 75 - ayat contoh 84, kita boleh melihat pelbagai kata sendi yang menerima kata adjektif perasaan. Kata sendi nama “akan”, “terhadap”, “pada”, “dengan” mahupun “kepada” juga sesuai mengikut semantik ayat. 


Oleh sebab itu, adakah kata adjektif perasaan boleh diikuti kata sendi nama lain daripada “akan”? Jawabannya boleh tetapi bersyarat dengan memastikan maknanya tidak tersimpang oleh fungsi kata sendi nama atau kata tugas yang tertentu. 


Saya cinta akan negara. ✅

Saya meluahkan perasaan cinta kepada Ivvy. ✅

Saya menghantar surat cinta kepada Fazleen. ✅


ALAM BIMBINGAN CIKGU TAN (ABCT)

Pautan Grup Telegram ABCT: https://t.me/+NvDP8gPhZFIwNDJl 

NOTA DAN LATIHAN DIKONGSIKAN DARI MASA KE MASA


TEL: 0122099440 (Sebarang pertanyaan bahasa, bengkel, kelas, dan bimbingan subjek Bahasa Melayu.)