Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

22 February 2020

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU

5 PETUA MEMANTAPKAN KUALITI TATABAHASA DALAM DIRI GURU SUBJEK BAHASA MELAYU
1. SUMBER RUJUKAN
Semua guru subjek
Bahasa Melayu mestilah memiliki sumber rujukan yang betul, tepat, dan memenuhi keperluan peperiksaan. Antara sumber rujukan yang wajib dimiliki adalah seperti Kamus Dewan, Kamus Pelajar, Tatabahasa Dewan, Buku Teks, dan Gaya Dewan. Bukan semua buku dalam senarai ini telah anda miliki, bukan? Maka, carilah buku-buku tersebut dengan melayari laman web kedai buku DBP.
2. MINAT
Semua guru haruslah memiliki minat yang mendalam terhadap tatabahasa dan sentiasa tidak jemu mencari maklumat serta menyimpan fail-fail/dokumen/buku berkaitan dengan tatabahasa. Minat terhadap tatabahasa bukanlah dapat ditimbulkan dalam masa sehari dua, tetapi memerlukan usaha yang berpanjangan dan langkah yang berterusan untuk mencari gali ilmu.
3. CAKNA BAHASA
Guru yang memiliki tahap kecaknaan terhadap bahasa, terutamanya ejaan dan kesalahan bahasa iklan, akhbar, poster, majalah, buku, dan lirik lagu serta bahan-bahan lain akan dapat menguasai tatabahasa dengan mudahnya. Bahan-bahan tersebut bolehlah dirakamkan dalam bentuk gambar untuk dijadikan bahan bantuan mengajar (BBM) dalam kelas tatabahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kesilapan umum dan kesilapan yang lazim inilah yang berulang dalam peperiksaan dan kertas-kertas peperiksaan. Jika guru cakna bahasa, murid bijak berbahasa.
4. PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Guru subjek bahasa Melayu mestilah mengikuti mana-mana kursus tatabahasa atau bengkel audit tatabahasa mahupun ceramah tatabahasa yang dianjurkan oleh DBP atau pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Para Munsyi Dewan juga banyak mengadakan kursus sebegini secara persendirian mahupun berkumpulan. Tuntutlah ilmu bahasa dengan bersungguh-sungguh. Saya yakin bahawa cikgu akan berjaya. Janganlah segan menuntut ilmu bahasa kerana peribahasa Melayu juga sering mengingatkan kita bahawa malas berkayuh perahut tak hanyut, segan bertanya sesat jalan.
5. MODUL TATABAHASA
Guru-guru boleh membina modul tatabahasa berlandaskan DSKP dan soalan berbentuk model peperiksaan. Jika setiap minggu ada satu model bahan, pada setiap tahun cikgu dapat menerbitkan buku tatabahasa yang sesuai dengan tahap murid di sekolah dan murid di dalam kelas. Murid-murid juga boleh dibimbing untuk menggubal soalan tatabahasa, terutamanya soalan kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa. Guru-guru boleh memurnikan bahan tersebut lalu menjadikannya bahan bantuan mengajar murid yang sangat efektif. Bengkel pembinaan item tatabahasa juga penting untuk diadakan di sekolah agar dapat membantu guru memahami konsep, format, standard, dan kemahiran menggubal soalan dengan memasukkan unsur kesahan, unsur pengganggu, dan unsur penentu jawaban dalam soalan.

Setitis perkongsian daripada pengalaman hamba ini diharapkan dapat memberikan pedoman dan maklumat berguna kepada guru-guru, terutamanya ketua panitia subjek Bahasa Melayu. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.