Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

6 November 2019

10 SEBAB CALON SPM 2019 PASTI AKAN SKOR CEMERLANG

10 SEBAB CALON SPM 2019 PASTI AKAN SKOR CEMERLANG 

1. Karangan Bahan Rangsangan, Bahagian A, Kertas 1 BM SPM yang diuji pada tahun 2019 antara soalan yang paling mesra calon peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pusat sumber sekolah ialah tempat yang sangat rapat dengan kehidupan murid. Selain itu, idea yang tersedia ada pada kertas soalan pula amat rapat dengan murid yang banyak menulis karangan, terutamanya topik amalan membaca buku. Oleh sebab hendak seribu saya, tak hendak seribu dalih, murid yang rajin menulis karangan pasti akan menikmati hasilnya pada hari peperiksaan daripada murid yang banyak memberikan alasan untuk tidak menyiapkan tugasan karangan yang diberikan oleh guru. Lebih-lebih lagi, soalan percubaan daripada koleksi soalan percubaan Negeri Sembilan 2017 juga cocok dengan soalan sebenar 2019.

2. Karangan Umum, Bahagian B yang diuji pada tahun 2019 sangat mesra tema buku teks dan menyantuni murid. Soalan berkaitan dengan amalan membaca, pelancongan, kebersihan, industri makanan, dan ekspo pendidikan sangat jelas dipilih daripada subtajuk dalam buku teks tingkatan 4 dan 5. Soalan peranan ibu bapa dan soalan pelancongan dijangka menjadi pilihan utama calon peperiksaan di samping soalan langkah mengatasi masalah sampah. Soalan berbentuk "peranan" dan "langkah" serta "faedah" ialah soalan paling popular dalam SPM setiap tahun. Oleh hal yang demikian, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didiklah anak-anak murid kita dengan arahan yang mesra soalan peperiksaan jika mahu mendapat skor cemerlang dalam BM SPM. Tahun ini, calon SPM 2019 pasti dapat membuktikannya. 

3. Soalan rumusan dalam Kertas 2, BM SPM tahun ini merupakan lubuk emas kepada calon SPM. Maklumlah, soalannya mesra dengan kehidupan murid, yakni soalan berkaitan dengan kata kunci "peranan" yang lazimnya muncul dalam mana-mana buku rujukan, topikal, dan kertas peperiksaan percubaan. Saya bersyukur kepada Tuhan kepada rakan guru di PPD Temerloh sudi berkongsi soalan percubaan daerah untuk kegunaan latih tubi anak-anak murid kita. Oleh sebab genggam bara api, biar sanpai jadi arang, murid yang menyiapkan kesemua 25 set soalan rumusan yang saya kongsikan dalam blog dan laman sesawang Facebook pasti dapat menjawab soalan rumusan ini dengan senyuman yang puas. 

4. Soalan pemahaman tahun ini, iaitu soalan 2(a) tahun ini juga bakal menyaksikan murid mudah menjawab soalan-soalan yang diberikan. Hal ini dikatakan demikian kerana "kata kerja" dan "objek" yang diuji pasti mudah difahami oleh murid yang cemerlang, sederhana, dan sederhana lemah. Maksud rangkai kata yang diuji pada tahun ini amat mesra calon peperiksaan kerana arasnya dikatakan rendah. Saya yakin bahawa calon yang biasa menggunakan perkataan "memandang enteng" dalam penulisan dapat menjawabnya dengan baik. Soalan pemahaman dan pendapat (KBAT) juga mudah tahun ini. Jika skema jawaban dan teknikal penyemakan tidak tegas, calon SPM tahun ini pasti akan memperoleh markah yang tinggi. 

5. Soalan cerpen, prosa tradisional, dan puisi moden yang diuji pada 2019 sememangnya dalat diramalkan oleh pelbagai pihak. Kelahiran banyak Pak Nujum Belalang dalam kalangan guru bukan sahaja dapat membantu murid membuat persediaan rapi, tetapi juga soalan komsas dalam kertas-kertas percubaan se-Malaysia juga memberikan gambaran bahawa populariti tajuk cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, prosa tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada yang muncul dalam kebanyakan kertas peperiksaan percubaan sekolah, daerah, dan negeri tidak dapat disangkal lagi. Di sebalik itu, soalan puisi moden, iaitu Sajak WWW.SIBERMERDEKA.COM.MY yang turut tersenarai dalam soalan sasaran turut menjadi hidangan mesra kepada murid. Jika murid faham akan erti sediakan payung sebelum hujan, mereka akan membuat persiapan rapi untuk menghadapi soalan puisi kali ini. 

6. Soalan Bina ayat yang keluar pada tahun ini juga tidak mengejutkan calon peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kertas-kertas percubaan tahun 2016, 2017, 2018, 2019 juga banyak menguji calon tentang imbuhan pinjaman. Soalan peperiksaan percubaan SM Chung Hwa, Miri, Sarawak yang mempertaruhkan istilah kata berimbuhan pinjaman pasti tersenyum mesra. Di samping itu, calon SPM 2019 yang menduduki PT3 pada tahun 2017 juga pasti mengenali fungsi imbuhan pinjaman kerana imbuhan pinjaman sudah didedahkan kepada calon PT3 sejak Tingkatan 1 lagi. Demikianlah jelasnya bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Calon SPM 2019 sepatutnya tidak menghadapi apa-apa cabaran untuk menjawab soalan bina ayat kecuali mereka tidak dapat membuktikan makna kata berimbuhan pinjaman itu dengan ayat yang mantap dan gramatis. 

7. Soalan sintaksis kali ini, soalan gabungkan ayat sudah semestinya dijangkakan kerana lama menyepikan diri daripada menjadi soalan sebenar SPM. Murid hanya perlu mengenali kata hubung yang sesuai untuk menghubungkan ayat-ayat dalam petikan yang diberikan. Dengan latih tubi yang mencukupi, saya yakin bahawa calon SPM dapat menjawab soalan ini dengan baiknya. Sebaliknya, calon yang tidak memahami erti kata hubungkan ayat dan penggunaan kata hubung akan menghadapi masalah. Pada masa yang sama, soalan gabungkan ayat adakah antara soalan yang paling popular tahun ini kerana soalan percubaan negeri Melaka, Yayasan Islam Kelantan (YIK), SM Chung Hwa Miri, Sarawak dan Perlis juga mempertaruhkan soalan gabungkan ayat. Dengan menggunakan soalan percubaan sebagai latihan saat-saat akhir, calon yang lemah jika rajin pun dapat menjawabnya dengan cemerlang.

8. Soalan kesalahan ejaan dan imbuhan serta soalan kesalahan penggunaan istilah dan bahawa tahun ini ialah kenangan paling manis buat diri saya. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa hari sehinggalah sehari sebelum peperiksaan sebenar, saya menggagahkan diri membuat analisis soalan sebenar SPM tahun 2005 hingga SPMU 2019 untuk membantu guru-guru dan murid-murid. Firasat saya tentang pengulangan bentuk kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa rupa-rupanya berhasil apabila kesemua kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa ialah kesalahan yang diuji semula. Kesalahan ejaan BM SPM 2019 ialah "masyhur" yang pernah diuji pada soalan SPMU 2014 manakala ejaan "infrastruktur" pernah diuji dalam kertas soalan SPM 2013. Sementara itu, kesalahan ejaan "kafeteria" pula pernah diuji dalam kertas BM SPM pada tahun 2009. Pada masa yang sama, kesemua kesalahan bahasa dalam soalan 3(d) sebenarnya pernah diuji pada tahun 2005, 2007, 2008, 2013, dan 2014. Bertuah tak calon SPM 2019? Tepuk dada tanyalah selera. 

9. Soalan peribahasa tahun ini juga antara soalan paling mudah jika dibandingkan dengan soalan peperiksaan BM SPM yang lalu. Hal ini dikatakan demikian kerana SPM 2019 menyaksikan peribahasa "sediakan payung sebelum hujan" (Buku Teks Ting 5, Halaman 189), "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri" (Buku Teks Ting 4) dan "seperti ulat lupakan daun"/ "seperti kacang lupakan kulit" pernah diuji dalam kertas BMSPMU 2007, SPMU 2013) dan peribahasa itu ada pada halaman 98, Buku Teks Ting 4. Kesemua analisis peribahasa dan senarainya sudah saya kongsikan kepada umum melalui blog dan laman FB. Jika sempat membuat ulang kaji, calon peperiksaan pasti dapat menjawabnya.

10. Soalan novel yang digubal untuk calon SPM 2019 ialah soalan paling popular dalam saat-saat ulang kaji. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan peperiksaan percubaan Yayasan Islam Kelanta, Selangor, JPN Kelantan, Pulau Pinang, MRSM, Melaka, Negeri Sembilan dan soalan percubaan BM SPM daripada SMK Sungai Karangan, Kulim, Kedah berkongsi ramalan atau soalan yang sama, iaitu soalan latar tempat. Di samping itu, soalan peperiksaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Selangor juga menguji calon dengan soalan peristiwa yang memberikan kesedaran. Oleh hal yang demikian, calon SPM tahun 2019 harus bersyukur kerana dapat menjawab soalan sebenar 2019. Guru-guru BM yang hebat di seluruh negara telah menggubal soalan yang hebat dan menepati soalan sebenar BM SPM 2019. Tahniah, teruskan usaha kalian untuk membantu anak-anak murid dengan soalan peperiksaan yang berkualiti. 

Sekian analisis soalan sebenar BM SPM 2019 dengan 10 alasan calon pasti mendapat keputusan cemerlang.

2 comments:

aliza said...

Alhamdulillah, DR.. memang hampir kesemua soalan yang diramalkan benar2 keluar dalam SPM 2019, cuma.. takut2 cara penyampaian jawapan calon tidak menepati kehendak skema pemarkahan..

monyet said...


AJOQQ menyediakan 8 permainan yang terdiri dari :
Poker,Domino99 ,BandarQ,BandarPoker,Capsa,AduQ,Sakong,Bandar66 ( NEW GAME )
Ayo segera bergabung bersama kami di AJOQQ :)
Bonus : Rollingan 0.3% dan Referral 20% :)