Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

2 January 2019

Penggunaan Kata Pemeri "Adalah" (Bahagian 1)

CEMERLANG BAHASA GEMILANG BUDAYA TERBILANG BANGSA
2.1.2019
PENGGUNAAN KATA PEMERI "ADALAH" (BAHAGIAN 1)

Rakyat Malaysia bercita-cita mahu mengantarabangsakan bahasa kebangsaan. Di sebalik cita-cita yang tinggi itu, banyak usaha dan kegigihan perlu disemai agar akar bahasa yang kukuh sekian lama ini terus segar bugar dan membuahkan hasilnya yang lumayan. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia masih kurang cakna akan penggunaan tatabahasa yang betul dalam bicara mahupun wacana.

Lihat beberapa contoh penggunaan kata pemeri "ialah" dan "adalah" yang sering kali disalahgunakan.

*1. Penerima anugerah juara lagu ialah tinggi orangnya.
*2. Warna baju lelaki itu ialah hijau.
*3. Semua murid lelaki di kelas itu ialah rajin.

Segelintir pengguna bahasa yang kurang cakna akan penggunaan kata pemeri akan membina ayat seperti yang di atas. Kesalahan ini biasanya kita temukan dalam latihan bina ayat, karangan, mahupun surat kiriman dan ucapan.

Pengguna bahasa haruslah sedar bahawa setiap bahasa ada tatabahasanya atau peraturan bahasanya yang perlu dipatuhi. Satu daripada fungsi kata pemeri "adalah" ialah kata pemeri ini haruslah diikuti kata adjektif. Kata adjektif pula ada berapa cabang atau jenisnya? Jawapannya 9 jenis seperti yang berikut:

(1) kata adjektif sifat / sifatan
(2) kata adjektif warna
(3) kata adjektif masa
(4) kata adjektif ukuran
(5) kata adjektif bentuk
(6) kata adjektif pancaindera
(7) kata adjektif cara
(8) kata adjektif perasaan
(9) kata adjektif jarak

Kesembilan-sembilan jenis kata adjektif perlulah dikuasai oleh pengguna bahasa yang baik. Dengan berbuat begitu, setiap kali kata adjektif mahu kita tulis, sikap cakna akan jenis kata pemeri yang perlu digunakan akan terbit dalam sanubari. Dengan terbitan kesedaran dan kecaknaan atau kepekaan inilah, kesilapan bahasa dapat dibaiki sekali gus kualiti ayat dapat diperbaik.

Lihat ayat-ayat di bawah dengan telitinya.
1(a) Penerima anugerah juara lagu adalah tinggi orangnya. (FN+FA)
2(a)  Warna baju lelaki itu adalah hijau. (FN+FA)
3(a) Semua murid lelaki di kelas itu adalah rajin. (FN+FA)

Ayat 1(a) mengandungi kata adjektif ukuran, yakni "tinggi" pada predikatnya manakala ayat 2(a) pula menggunakan kata adjektif warna, iaitu "hijau". Sementara itu, ayat 3(a) pula menggunakan kata adjektif "sifat" iaitu "rajin".  Oleh hal yang demikian, penggunaan kata adjektif mengharuskan kata pemeri "adalah" hadir di hadapannya. Walau bagaimanapun, kehadiran kata pemeri tidak wajib sebenarnya. Tanpa kata pemeri sekalipun, ayat itu tetap gramatis. Oleh sebab itu, pengguna bahasa yang belum mahir dalam penguasaan kata pemeri bolehlah menggugurkan kata pemeri untuk menyelamatkan ayat daripada mengandungi kesalahan.

Lihat ayat di bawah dengan telitinya.
1(b) Penerima anugerah juara lagu tinggi orangnya. (FN+FA)
2(b)  Warna baju lelaki itu hijau. (FN+FA)
3(b) Semua murid lelaki di kelas itu rajin. (FN+FA)

Ayat-ayat di atas masih gramatis walaupun tidak menggunakan kata pemeri. Hal ini juga tidak memberikan kesan kepada pola ayat tersebut. Secara tidak langsung, kata pemeri "ialah" dan "adalah" juga memainkan peranan penting untuk menentukan pola ayat. Jika kata pemeri "ialah" hadir pada awal predikat, maka ayat tersebut pasti berpola FN+FN. Hal ini juga dapat membuktikan bahawa penggunaan kata pemeri "adalah" yang diikuti kata adjektif juga pastinya berpola FN+FA. Sebenarnya, kesalahan kata pemeri "adalah" tidaklah begitu serius berbanding dengan kesalahan kata pemeri "ialah". Walau bagaimanapun, keseriusannya berpunca daripada ketidakcaknaan terhadap hukum bahasa.

Selepas ini, kita akan mengetahui satu lagi fungsi kata pemeri "adalah". Apakah fungsi kata pemeri "adalah" yang seterusnya? Nantikan (Bahagian 2) dalam catatan yang akan datang. Oleh sebab sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, ilmu bahasa yang kita pelajari sedikit demi sedikit akan dapat memajukan diri sekali gus memperbaik kualiti bahasa dalam wacana mahupun bicara. Dengan penggunaan kata pemeri yang betul, kita dapat menjadi pengguna bahasa kebangsaan yang cemerlang demi menggemilangkan bahasa kebangsaan kita agar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa lain. Pada masa yang sama, keterbilangan bahasa Melayu tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa kerana rakyatnya atau pengguna bahasa Melayu itu sendirinya sudah memiliki kecintaan terhadap bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita kerana bahasa menunjukkan bangsa.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Jadilah pengguna bahasa kebangsaan yang bertanggungjawab dan yang berusaha untuk memartabatkan bahasa perpaduan ini.

Salam bahasa jiwa bangsa.
Hilang bahasa lenyaplah bangsa.

No comments: