Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

27 January 2011

KEPUTUSAN RASMI MENTERI PELAJARAN BERKAITAN DENGAN NOVEL INTERLOK

Interlok diteruskan dengan pindaan: Muhyiddin
Berita Harian Online , pada 2011/01/27

KUALA LUMPUR: Novel Interlok akan diteruskan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi pelajar tingkatan lima tetapi dengan pindaan di bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel itu akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India. "Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk G Palanivel dipetik berkata, isu perkataan pariah digugur dalam Interlok perlu ditutup.

Memandangkan ia bukan isu politik, ia bagaimanapun, suatu yang sensitif kepada kaum India di negara ini, Palavivel berkata, parti itu tidak akan berganjak supaya perkataan itu digugurkan daripada novel itu.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Palanivel dan Timbalannya, Datuk Dr S Subramaniam semalam mengenai isu novel berkenaan.
"Pagi ini, saya, Palanivel dan Subramaniam sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini.

"Dalam semangat muafakat Barisan Nasional (BN), kita sudah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid tingkatan lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sementara pindaan itu disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.

Katanya, novel Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah.

"Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambilkira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya," katanya.

No comments: