Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

26 January 2010

Sudut Pandangan Dalam Penceritaan

Sehingga kini, masih banyak guru sekolah yang tidak tahu atau belum mengenal pasti cara memahamkan pelajar tentang sudut pandangan dalam cerpen dan novel. Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa nota peribadi saya di bawah ini mungkin akan membantu pelajar dan guru untuk memahami apakah erti sebenar sudut pandangan dan cara untuk memahamkan pelajar.

SUDUT PANDANGAN

Pengenalan
Sudut pandangan ialah cara seseorang pengarang mempersembahkan cerita kepada pembaca. Sudut pandangan dalam sesebuah cerita dapat menjelaskan bagaimana cara seseorang pengarang itu mengisahkan ceritanya. Dalam sesebuah cerita, ada kalanya pengarang sendiri memainkan peranan sebagai watak, dan ada kalanya pula pengarang hanya bertindak sebagai pencerita sahaja, tanpa melibatkan dirinya dalam cerita tersebut. Melalui sudut pandangan yang digunakan, pembaca akan mengetahui sejauh mana pengarang itu menguasai peristiwa-peristiwa atau watak-watak yang dipaparkannya dalam cerita. Secara ringkasnya, sudut pandangan dapatlah dikatakan sebagai pusat pengisahan sesebuah cerita.

1. Sudut pandangan orang pertama
Sudut pandangan orang pertama memperlihatkan keterlibatan pengarang secara langsung dalam sesebuah cerita. Cerita yang mempunyai sudut pandangan jenis ini melibatkan pengarang berperanan sebagai salah seorang watak dalam cerita. Biasanya, pencerita akan menggunakan ganti nama diri pertama seperti aku atau saya dalam ceritanya. Di sini, pengarang berfungsi sebagai watak utama ataupun watak sampingan. Dalam sudut pandangan jenis ini kita dapati, cerita berpusatkan pengarang atau diri pencerita sendiri. Oleh sebab kata ganti aku atau saya digunakan, seseorang pembaca akan berasa diri mereka turut terlibat dalam cerita. Dengan itu, sesebuah cerita yang dibaca, akan mendatangkan kesan yang mendalami kepada pembaca.
Rajah di atas menunjukkan sudut pandangan orang pertama. Bulatan besar menunjukkan keseluruhan cerita. P = A berada dalam bulatan besar. P ialah pengarang yang menggantikan dirinya dengan watak A. A berada dalam bulatan merupakan watak utama dan menjadi fokus dalam cerita. Manakala B, C dan D merupakan watak sampingan dan diceritakan oleh pengarang melalui watak A.

2. Sudut pandangan orang ketiga
Sudut pandangan orang ketiga ini, memperlihatkan pengarang berperanan sebagai pencerita. Pengarang menyampaikan segala peristiwa serta tindak-tanduk watak dalam cerita tanpa melibatkan dirinya. Biasanya, pengarang akan menggunakan kata ganti diri dia atau mereka kepada watak-watak yang terlibat dalam cerita, di samping menggunakan nama watak seperti Tuan Robert, perempuan tua, Encik X, Ali, dan lain-lain. Sudut pandangan orang ketiga ialah sudut pandangan yang paling awal dan paling kerap digunakan dalam cereka.
Sudut pandangan orang ketiga ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:
(i) Sudut pandangan orang ketiga serba tahu
Sudut pandangan orang ketiga serba tahu bermaksud pengarang sebagai pencerita, mengetahui serba-serbi peristiwa serta watak-watak dalam cerita. Pengarang dapat menceritakan secara terperinci segala-galanya tentang watak termasuk fikiran, perasaan serta tingkah laku watak tanpa batasan.

(i) Sudut pandangan orang ketiga terbatas
Sudut pandangan jenis ini juga memperlihatkan pengarang sebagai pencerita. Tetapi pencerita tidak menceritakan semua peristiwa atau watak seperti yang dilakukan oleh pencerita dalam sudut pandangan orang ketiga serba tahu. Pengarang hanya memilih watak-watak tertentu sahaja dan penceritaan bertumpu kepada watak tersebut. Watak yang dipilih diceritakan dengan jelas dan terperinci. Manakala, penceritaan terhadap watak-watak lain adalah terhad atau terbatas.
Rajah menunjukkan sudut pandangan orang ketiga terbatas. P ialah pengarang yang berada di luar cerita. Pengarang bercerita mendalami tentang watak A. Manakala, penceritaan pengarang terhadap watak B dan C adalah terbatas.

(i) Sudut pandangan orang ketiga objektif
Sudut pandangan orang ketiga objektif memperlihatkan pengarang sebagai pencerita, hanya dapat menceritakan apa-apa yang dilihat atau didengarnya sahaja tentang sesuatu watak atau peristiwa dalam cerita.
Sudut pandangan jenis ini didapati pengarang bertindak sebagai pelapor atau pencatat terhadap keseluruhan pergerakan cerita. Oleh sebab pengarang tidak memerihalkan setiap watak atau peristiwa secara terperinci; maka pembaca akan dapat membuat tafsiran sendiri tentang watak atau peristiwa yang dipaparkan dalam cerita. Penceritaan terhadap watak-watak lain adalah terhad atau terbatas.

Rajah di atas menunjukkan sudut pandangan orang ketiga objektif. Kita dapati P masih berada di luar cerita. Pengarang hanya menceritakan tentang ketiga-tiga watak iaitu A, B dan C secara objektif, yakni, terhad kepada apa-apa yang terlihat dan didengarnya sahaja. Sudut pandangan jenis ini lazimnya digunakan dalam skrip drama.

No comments: