Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

19 December 2008

Sinopsis Novel - Bukit Kepong

Sinopsis Keseluruhan Novel Bukit Kepong


Novel Bukit Kepong mengisahkan peristiwa benar yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Inggeris telah dating semula ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah dan terpaksa berdepan dengan ancaman Pati Komunis Malaya (PKM) yang berleluasa melakukan keganasa dan ugutan. Rakyat diugut dengan seribu ancaman untuk membantu perjuangan komunis. Banyak harta benda musnah dan rakyat yang tidak berdosa menjadi korban. Inggeris bertindak mengharamkan PKM dan pada tahun 1948, Inggeris mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Kesan pengisytiharan darurat bukan sahaja menyekat pergerakan anggota komunis, tetapi juga turut menjejaskan kehidupan rakyat. Perintah berkurung dan kawalan ketat di jalan-jalan raya telah menyulitkan pergerakan anggota komunis untuk mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan. Kejayaan Parti Komunis China telah mendorong PKM melancarkan gerakan perang gerila terhadap Inggeris. Gerakan PKM ini telah mengancam negara dan rakyat. Ramai rakyat terutama kaum Cina yang dianggap menjadi tali barut Inggeris dan enggan bekerjasama dengan PKM diseksa dan dibunuh dengan kejam. Inggeris mula berasa bahang kekejaman komunis apabila banyak ladang milik Inggeris menjadi sasaran serangan anggota komunis.
Keamanan negara yang tergugat menggamit semangat patriotik di kalangan pemuda Melayu. Seruan Inggeris supaya pemuda Melayu memasuki pasukan polis mendapat sambutan hangat di kalangan pemuda Melayu. Othman pemuda dari Kulim, Kedah telah berjaya mengikuti latihan polis selama enam bulan di Kuala Lumpur. Setelah tamat latihan, Othman bertugas di Pagoh, Muar, Johor. Dia membawa Limah, isteri yang baru dikahwininya atas dasar pilihan keluarga, tinggal di rumah kelamin di Rumah Pasung Pagoh.
Seperti daerah-daerah lain di Johor, Muar juga merupakan kawasan hitam yang menjadi sasaran keganasan komunis. Pagoh juga tidak terkecuali daripada perintah berkurung; memudahkan pihak keselamatan mengesan pergerakan komunis. Keadaan keselamatan di Pagoh juga tergugat dengan ancaman pengganas komunis. Penduduk Pagoh menjadi gempar apabila pengganas komunis yang diketuai oleh Lektuan telah membakar bas penumpang yang dalam perjalanan dari Muar ke Pagoh pada suatu petang. Pengganas komunis telah memaksa semua penumpang menyerahkan wang, harta benda, termasuklah barang-barang kemas penumpang-penumpang wanita. Pengganas komunis juga memaksa semua penumpang termasuk wanita menanggalkan pakaian mereka. Antara mangsa yang terlibat dalam kejadian ini ialah beberapa orang isteri anggota polis Pagoh yang dalam perjalanan balik dari Muar. Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota polis Pagoh dengan bantuan ketua Kampung Raja. Sejak kejadian itu, tahap keselamatan kompleks rumah pasung dan pangkalan sekatan jalan raya di daerah Pagoh telah diperketatkan. Beberapa cubaan menyeludup barang makanan dan ubat-ubatan oleh tali barut pengganas komunis telah berjaya dibanteras.
Mukim Bukit Kepong yang terletak di hulu Muar yang masih dianggap sebagai kawasan selamat telah mula menerima bahang gangguan kegiatan komunis. Menyedari keadaan mukimnya yang mula terancam, Penghulu Ali selaku ketua kampung telah berusaha berjumpa Pegawai Daerah Muar untuk mendapatkan khidmat anggota polis di Bukit Kepong. Enam anggota polis ditempatkan di sebuah rumah yang dijadikan rumah pasung sementara di Bukit Kepong, sebagai langkah berjaga-jaga. Tetapi, memandangkan keadaan di Bukit Kepong yang masih aman, khidmat anggota polis ini ditamatkan enam bulan kemudian. Kesempatan ini telah diambil oleh PKM untuk menyebarkan dakyah dan pengaruh mereka untuk mendapatkan sokongan penduduk kampung. Keamanan penduduk Bukit Kepong mula terancam, terutama orang-orang Cina yang menjadi sasaran utama komunis. Keadaan ini dilaporkan oleh Penghulu Ali kepada Pegawai Daerah Muar; kerajaan telah bersetuju menempatkan semula sepasukan polis di Bukit Kepong.
Komunis terus berusaha mempengaruhi penduduk Bukit Kepong dengan menghantar komunis Melayu yang bernama Madera untuk memujuk orang-orang Melayu supaya memberi sokongan kepada perjuangan komunis. Penghulu Ali berusaha memberi penerangan kepada penduduk kampung akan dakyah jahat komunis dan kekejaman yang telah dilakukan oleh komunis di tempat-tempat lain. Peristiwa pembunuhan dua pengganas komunis oleh tiga orang penduduk kampung yang terserempak dengan mereka, telah menjadikan keselamatan Bukit Kepong semakin terancam. Penghulu Ali telah berjaya mendapat kebenaran menubuhkan Unit Pengawal Keselamatan Kampung untuk membantu pihak polis berkawal di tempat-tempat strategic dalam mukim Bukit Kepong.
Pada Disember 1949, Rumah Pasung Bukit Kepong telah dinaikkan status, amggotanya ditambah sebanyak 16 orang dengan diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah untuk menghadapi ancaman komunis yang semakin mengganas. Peristiwa pembunuhan ibu, isteri dan anak Saibun ialah misi membalas dendam komunis di atas kematian dua anggotanya. Peristiwa ini sekali lagi menggemparkan penduduk mukim Bukit Kepong dan pasukan polis telah melancarkan gerakan kawalan yang lebih ketat.
Pergerakan komunis semakin sukar akibat daripada tekanan darurat, peningkatan gerakan pasukan keselamatan dan catuan makanan yang dilakukan oleh kerajaan Inggeris. Walaupun begitu, mereka terus mengganas dan menyerang penduduk kampung dan lading-ladang getah. Lamfong, ketua kompeni keempat rejimen ketiga PKM cawangan Muar bermaharajarela menyerang kampung dan pekan. Mereka membunuh dan merampas makanan serta ubat-ubatan. Mereka juga menyerang ladang-ladang getah kepunyaan syarikat Inggeris dan tauke Cina yang dianggap menjadi ‘mata telinga’ kerajaan Inggeris, serta enggan membantu perjuangan komunis; dibunuh dengan kejam.
Peristiwa serangan pos polis di pekan Simpang, pembakaran rumah kongsi di Ladang Getah Palaniapa dan pembunuhan tauke ladang getah di Batu 17, menunjukkan pengganas komunis yang dipimpinoleh Lamfong, Lektuan, dan Madera iaitu ketua pengganas komunis Melayu semakin mengganas di daerah Muar. Sehubungan itu, sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan anggota polis dipertingkatkan lagi. Rancangan Chanfei yang bergabung dengan Lamfong untuk menyerang Balai Polis Labis berjaya dikesan oleh perisik polis. Dalam satu operasi sulit, anggota polis yang diketuai oleh Inspektor Chin dan dibantu oleh beberapa pegawai kanan polis Kluang dan Johor Bahru bersama-sama dua platun pasukan jungle squad telah berjaya mematahkan rancangan komunis untuk menyerang Balai Polis Labis. Dalam serangan itu pihak polis telah berjaya membunuh 23 pengganas, menawan 17 komunis yang cedera dan merampas senjata pihak komunis.
Berikutan kejadian di Labis, kedudukan Rumah Pasung Bukit Kepong dan Lenga diperkuatkan bagi menghadapi kemungkinan serangan pengganas komunis yang akan membalas dendam kekalahan mereka di Labis. Lans Koperal Jidin Omar, Othman,Yusuf Rono, EPC Ahmad Khalid, dan EPC Mohd. Top Lazim yang bertugas di Pagoh telah diarah bertukar ke Bukit Kepong. Memandangkan keadaan keselamatan yang tidak selamat, mereka tidak dibenarkan membawa keluarga bersama-sama ke Bukit Kepong. Othman terpaksa menghantar isterinya pulang ke kampung.
Selepas perisitwa di Labis, pihak komunis telah merancang untuk membalas dendam dengan menjadikan Rumah Pasung Bukit Kepong sebagai sasaran. Mereka membuat perancangan teliti untuk memastikan kompleks polis Bukit Kepong dapat ditawan dengan mudah. Gerakan mereka menyerang polis ini sengaja dirancang semasa kesibukan kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina iaitu pada 23 Februari 1950. Pada 21 Februari 1950, pihak komunis memulakan derakan menawan Balai Polis Bukit Kepong dengan menghantar anggota-anggota perisik untuk meninjau kedudukan dan kekuatan polis di Rumah Pasung Bukit Kepong. Pada hari yang sama Rumah Pasung Bukit Kepong menerima lawatan OCPD Pagoh , Inspektor J.J Raj Jr. yang membawa bekalan senjata dan peluru untuk memperkuatkan pertahanan Rumah Pasung Bukit Kepong. Kawalan keselamatan di Bukit Kepong diperkuatkan dengan bantuan Pasukan Polis Bantuan (AP) dan pasukan pengawal kampung.
Pihak pengganas komunis seramai 200 orang mula mengatur serangan ke atas kompleks polis Bukit Kepong. Mereka berkumpul dan berkhemah di hutan Lenga berhampiran dengan Bukit Kepong. Di sini mereka mengatur misi memerangkap ketua balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah supaya masuk perangkap mereka dengan menghantar dua orang anggota yang menyamar sebagai orang kampung yang dalam kecemasan. Mereka merancang akan membunuh Sarjan Jamil dan memaksa semua anggota polis menyerah kalah. Tetapi rancangan ini tidak berjaya. Kemudian, mereka mula mengatur serangan dari semua arah dan mengepung kompleks polis Bukit Kepong. Dalam kesamaran awal pagi, anggota polis yang membuat kawalan telah melihat baying lembaga tubuh musuh. Dengan arahan Lektuan iaitu ketua pengganas, pihak komunis telah memuntahkan ledakan peluru ke arah Rumah Pasung Bukit Kepong.
Ledakan pertama daripada pihak komunis pada awal subuh 23 Februari 1950 telah mengejutkan seluruh anggota polis. Balasan tembakan awal AP Osman Yahya, EPC Jaafar Arshad, AP Mahmood Saat, Jaafar Hassan, dan Lans Koperal Jidin Omar mengejutkan seluruh anggota polis daripada tidur masing-masing. Dalam serangan awal ini, AP Osman Yahya telah menjadi mangsa pertama peluru pengganas komunis. Seluruh penduduk Bukit Kepong gempar apabila menyedari Rumah Pasung Bukit Kepong diserang komunis. Semua anggota polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil bin Mohd. Shah berjuang dengan berani mempertahankan Rumah Pasung Bukit Kepong, walaupun mereka telah dikepung dari segenap penjuru. Mereka tidak boleh berharap kepada bantuan penduduk kampung kerana pihak komunis telah menyekat pergerakan penduduk kampung yang cuba membantu pihak polis. Serangan komunis yang semakin hebat telah mengorbankan sebahagian besar anggota polis dan ahli keluarga polis yang berlindung di rumah kelamin. Anggota polis yang hidup masih tetap gagah dan bersemangat kental mempertahankan maruah negara dan bangsa. Komunis mula menawan berek kelamin, isteri-isteri dan anak-anak polis ditawan sebagai senjata untuk memaksa anggota polis yang masih berjuang mempertahankan Rumah Pasung Bukit Kepong supaya menyerahkan diri. Keengganan pihak polis menyerah diri telah menyebabkan komunis menghebatkan serangan dengan melemparkan bom tangan ke arah kubu pertahanan polis.
Jangkaan pihak komunis dapat menawan kompleks polis dengan mudah ternyata meleset. Pihak polis telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi sehingga ke titisan darah yang terakhir untuk mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman musuh negara. Bunyi tembakan dari arah Rumah Pasung Bukit Kepong mengejutkan pengawal-pengawal kampung yang sedang bertugas di kubu-kubu keselamatan pos pertahanan masing-masing. Pada mulanya mereka menyangka bunyi letupan itu ialah bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina. Penghulu Ali mengumpul semua AP dan mengatur pasukan penyiasat ke kompleks polis Bukit Kepong. Tetapi cubaan mereka telah dijangka oleh pihak pengganas yang telah membuat sekatan di semua arah yang memungkinkan bantuan sampai ke kompleks polis. Mereka bukan sahaja menyerang pasukan AP yang dipimpin oleh Penghulu Ali, malah telah menangkap beberapa keluarga orang kampung yang tinggal berdekatan dengan kompleks polis sebagai tawanan.
Dua jam pasukan komunis mengepung dan menggempur pertahanan anggota polis, tetapi mereka masih gagal menawan kompleks polis Bukit Kepong. Semua anggota polis yang masih hidup masih gagal bertahan mempertahankan kompleks polis. Ketika anggota polis Bukit Kepong berjuang mempertahankan kompleks polis, Sarjan Ali Bugis, OCS polis Lenga mengarahkan anggota semboyan menghantar berita serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong kepada OCPD Pagoh dan OSPC Muar. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor juga sudah dimaklumkan. Sepasukan bantuan dihantar ke Bukit Kepong dari Lenga dengan meredah jalan hutan menuju ke Bukit Kepong untuk memberi bantuan.
Berek kelamin sudah ditawan. Anggota polis yang masih ada tetap bertahan. Ramai yang telah terkorban, termasuk Sarjan Jamil Mohd. Shah. Isteri-isteri dan anak-anak polis yang masih hidup ditawan oleh komunis. Berek kelamin dibakar bersama-sama mayat-mayat polis, isteri-isteri dan anak-anak polis yang telah terbunuh. Dalam keadaan genting, setelah melihat ramai rakan seperjuangan gugur, Othman berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam Sungai Muar. Seluruh kompleks polis sudah hangus terbakar. Jam 8.20 pagi, semua anggota komunis beredar meninggalkan kawasan kompleks polis. Kesempatan ini digunakan oleh isteri-isteri dan anak-anak polis untuk mencari keluarga masing-masing. Pasukan bantuan yang diketuai oleh Penghulu Ali yang berjaya masuk ke kompleks polis memberi bantuan kepada mangsa serangan komunis dan memadamkan api yang masih marak. Suasana pilu menyelubungi seluruh kompleks polis. Orang-orang kampung tidak kira bangsa turut memberi bantuan pakaian dan makanan. Sebuah pondok didirikan untuk menempatkan anggota polis yang cedera dan terkorban. Kehadiran OCPD dan rombongan, telah mempercepatkan proses menyelamat dan memadamkan kebakaran. Mereka mencari anggota polis yang mungkin tertimbus dan terbakar. Othman diberi rawatan kecemasan. Dengan bantuan Othman semua mangsa yang terbunuh dan mayat-mayat yang rentung dapat dikenal pasti.
Pada pukul 3.00 petang, semua anggota polis yang cedera dan keluarga polis yang terselamat dibawa ke Pagoh menaiki bot polis marin. Mereka seterusnya meneruskan perjalanan ke Hospital Muar untuk menerima rawatan. Kerja-kerja pembersihan di Bukit Kepong diteruskan. Pasukan keselamatan yang tiba telah melakukan operasi menjejak dan mengesan pengganas komunis secara besar-besaran di persekitaran Bukit Kepong, Labis, Pagoh, Yong Peng, dan Batu Pahat. Pada 24 Februari 1950, semua anggota polis, AP dan keluarga polis yang terkorban dikebumikan di satu kawasan yang dijadikan sebagai makam pahlawan. Upacara pengebumian yang penuh dengan kepiluan ini turut dihadiri oleh Dato’ Onn Ja’afar, pegawai tinggi polis, anggota polis, dan penduduk Bukit Kepong. Di Muar, anggota polis yang cedera dan dirawat, telah dikunjungi oleh ramai orang kenamaan dan pegawai kanan kerajaan Muar.
Berita utama Radio Malaya memuatkan berita Rumah Pasung Bukit Kepong diserang komunis dan disiarkan ke seluruh negara. Setelah empat minggu dirawat di Hospital Muar, Othman dibenarkan pulang bercuti selama sebulan. Kepulangan Othman disambut dengan rasa terkejut oleh seluruh keluarga kerana sebulan yang lalu mereka diberitahu yang Othman telah terkorban dalam serangan komunis di Bukit Kepong. Kecederaannya masih belum sembuh. Perasaan Othman bertambah kecewa apabila mendapati isteri tercinta, Limah telah menjadi tidak siuman, akibat menerima berita yang tidak benar tentang kematian Othman.
Tamat cuti, Othman kembali bertugas di Muar. Hatinya berat meninggalkan isteri yang masih belum pulih. Malah keadaan Limah semakin teruk. Di Muar, Othman meluahkan semua masalah yang dihadapinya kepada pihak atasan. Memahami tekanan fizikal dan perasaan Othman, pihak atasan telah membenarkan pertukaran Othman ke Alor Setar. Di Alor Setar, Othman telah ditugaskan di Rumah Pasung Kota Sarang Semut. Kecederaan yang dialaminya masih menyeksa hidupnya. Dia sentiasa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas tiga minggu bertugas di Kota Sarang Semut, Othman mengambil keputusan meletak jawatan. Keadaan kesihatannya tidak memungkinkan dia untuk terus kekal dalam tugas yang amat diminatinya. Othman akhirnya akur dengan nasihat doktor supaya kakinya dipotong untuk menyelamatkan nyawanya. Walaupun cacat, Othman masih menyumbangkan tenaganya melatih pasukan sukarelawan kampung.

No comments: