1 June 2015

INFORMASI BAHASA - AYAT PASIF DIRI PERTAMA, KEDUA, DAN KETIGA

INFORMASI BAHASA

AYAT PASIF DIRI PERTAMA, KEDUA, DAN KETIGA

Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam.
(Ayat aktif= pelaku sebagai subjek)

Kerja itu sudah saya laksanakan semalam.
(Ayat Pasif=objek sebagai subjek)

Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan "ber-" dan "ke-...-an"
4. Ayat pasif berimbuhan "ter-"
5. Ayat pasif dengan perkataan "kena" yang hadir sebelum kata kerja.

1.
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.

Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan "di-". Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan "di").
Contohnya:

(a)
Saya mengambil buku itu. (ayat aktif)
Buku itu diambil oleh saya. (salah)
Buku itu saya ambil. (betul)

(b)
Saya menduduki peperiksaan pertengahan tahun. (ayat aktif)
Peperiksaan pertengahan tahun diduduki oleh saya. (salah)
Peperiksaan pertengahan tahun saya duduki. (betul)

Walau bagaimanapun, kata kerja berimbuhan 'ter' boleh menerima kata sendi 'oleh' yang diikuti kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.
Contohnya seperti ayat di bawah ini.

(c)
Saya terangkat meja yang besar itu. (ayat aktif)
Meja yang besar itu terangkat oleh saya. (Betul)

(d)
Saya terambil buku Seroja Dewi. (ayat aktif)
Buku Seroja Dewi terambil oleh saya. (betul)

(e)
Saya terserempak Cikgu Lim di pasar pagi. (ayat aktif)
Cikgu Lim terserempak oleh saya di pasar pagi. (betul)


NASIHAT SAYA:
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua mesti ditulis bersebelahan dengan kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan "di" (hukum aneksi persona).

Kesalahan berlaku jika kata-kata lain seperti kata bantu (telah, perlu, sudah, akan dan lain-lain.) disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
Contohnya:

(f)
Awak harus memandu kereta itu. (ayat aktif)
Kereta itu awak harus pandu. (salah)
Kereta itu harus awak pandu. (betul)

(g)
Kami sedang menyiapkan kerja itu. (ayat aktif)
Kerja itu kami sedang siapkan. (salah)
Kerja itu sedang kami siapkan. (betul)

(h)
Saya akan menemui tuan pengetua esok.(ayat aktif)
Tuan Pengetua saya akan temui esok. (salah)
Tuan Pengetua akan saya temui esok. (betul)

AYAT PASIF DENGAN KATA GANTI DIRI KETIGA

Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga
(termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).

Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif "di-"
Contohnya:

1.
Rahim telah menunggang motosikal itu. (ayat aktif)
Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (betul)
Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (salah)

2.
Murid kelas 3 Aranda sudah menyusun kerusi dan meja itu pago tadi. (ayat aktif)
Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3 Aranda pagi tadi. (betul)
Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3 Aranda susun pagi tadi. (salah)

3.
Helmi menendang bola itu dengan kaki kirinya. (ayat aktif)
Bola itu ditendang oleh Helmi dengan kaki kirinya. (betul)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri oleh Helmi. (betul)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri Helmi. (salah)
Bola itu Helmi tendang dengan kaki kiri. (salah)

4.
Mereka akan menghadiri persidangan bahasa kebangsaan di USM esok. (ayat aktif)
Persidangan bahasa kebangsaan akan dihadiri oleh mereka di USM esok. (betul)
Persidangan bahasa kebangsaan di USM esok.akan dihadiri oleh mereka (betul)
Persidangan bahasa kebangsaan akan mereka hadiri di USM esok. (salah)

Saya akan menjelaskan ayat pasif berimbuhan "ter-" dalam infomasi bahasa yang akan datang.


1 comment:

Unknown said...

Bagaimana pula pengolahan ayat aktif kepada ayat pasif :
Pemuda itu selalu membantu saya.
Adakah betul sekiranya jawapan saya ialah :
Saya selalu dibantu oleh pemuda itu?