23 June 2017

KOLEKSI IKLAN RAYA 2017

MARA


TELEKOM MALAYSIA


MYNIC BERHAD


AKPK


BANK SIMPANAN NASIONAL


HYPP INSPIRASI


KFC


POS MALAYSIA


ASTRO


PETRONAS


JABATAN KESENIAN DAN KEBUDAYAAN NEGARA


LEMONADE XPRESH


JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA


POLIS DIRAJA MALAYSIA (PERAK)


MYEG


THE BALANG COOKIES


THISSIGN PRODUCTION


MRCB (SENTRAL SUITES)


SETIA 


SBU


SINAR TV


BATERIKU.COM


LAZZ


PUSAT PAKAIAN HARI-HARI


AIR ANUGERAH




TENAGA NASIONAL BERHAD


UDA


CANDY FACTORY STUDIOS


RHB



SYARIKAT PENERBANGAN MALAYSIA (MALAYSIA AIRLINES)


CELCOM


CIMB


MAXIS


ERA


YEO'S


POLITEKNIK MALAYSIA


OPPO


ZALORA


MISTER POTATO


UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA


PKNS


TV3


EATLAH.COM


WATSON


CALLISTA BEAUTY


EZIPPROJECT


22 June 2017

INFORMASI BAHASA - Penggunaan Kata Sendi Nama "dari" dan "daripada"

Penggunaan Kata  Sendi Nama "dari" dan "daripada"

Pengguna bahasa Melayu beranggapan bahawa "from" dalam bahasa Inggeris dapat menggantikan fungsi kata sendi nama "dari" dan "daripada". Oleh hal yang demikian, kekhilafan bahasa terjadi apabila pencacamarbaan bahasa terjadi. Walau bagaimanapun, kesilapan kecil ini tidak boleh dipandang enteng oleh pengguna bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kesilapan bahasa yang remeh ini mungkin membawa impak yang lebih besar kepada anak bangsa dan bahasa kita. Sebenarnya,  kata sendi nama "dari" digunakan bagi Arah, Tempat dan Masa (ATM). Sebaliknya, kata sendi nama "daripada" pula digunakan untuk Keanggotaan, Abstrak, Benda, Organisasi atau Orang, dan Sumber (KABOS).

PRINSIP:
📌dari 👉 ATM📌
📌daripada  👉 KABOS📌

Dalam penulisan formal atau peperiksaan, fenomena kesilapan penggunaan kata sendi "dari" dan "daripada" adalah tidak sihat kepada imej bahasa kebangsaan kita. Selain itu, kesilapan penggunaan kata sendi ini dalam lisan lebih ketara dan memerlukan perhatian yang intensif. Lihat contoh di bawah:

1. Cikgu Bungaros berasal daripada ❌Bachok, Kelantan.
2. Norzilah berada di Manchester daripada ❌bulan Mei lagi.
3. Pasukan bola baling itu terdiri dari ❌12 orang pemain.
4. Harga ikan di Pasar Taiping meningkat dari ❌RM10 sekilo kepada RM15.
5. Pedang bertatahkan berlian itu diperbuat dari ❌ besi meteorit.

Pembetulannya:
1. Cikgu Bungaros berasal dari  ✅Bachok, Kelantan.
2. Norzilah berada di Manchester dari  ✅bulan Mei lagi.
3. Pasukan bola baling itu terdiri daripada  ✅12 orang pemain.
4. Harga ikan di Pasar Taiping meningkat daripada  ✅RM10 sekilo kepada RM15.
5. Pedang bertatahkan berlian itu diperbuat daripada  ✅ besi meteorit.

💊Catatan:💊
Terdapat ayat yang membawa maksud organisasi yang disalahtafsirkan sebagai tempat, seperti yang berikut:
1. Surat itu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
2. Bingkisan itu daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Polo.

UJI BAHASA
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama dari atau daripada yang sesuai.

1. Pada waktu asar esok, akan muncul sebuah kapal __________ Vietnam.
2. Sesiapa yang makan durian haruslah menjauhkan diri __________ kami.
3. Perlahan-lahan orang tua itu bangkit __________ kerusi lalu berjalan ke beranda.
4. Gambar sinar-X diambil __________ sudut pandangan belakang untuk memastikan semua tulang kelihatan pada filem itu.
5. Keputusan yang diambil oleh Suren hanya __________ agakan belaka.
6. Satu ayat yang mengisahkan pengorbanan suami kepada isterinya diambil __________ al-Quran.
7. Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pernah disandang oleh tokoh __________ MCA, iaitu Tan Sri Wong Pow Nee.
8. Pak Muslim tersentak __________ lamunan apabila disapa oleh Lebai Leman ketika berada di anjung surau.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

21 June 2017

INFORMASI BAHASA - Penggunaan Kata bila dan apabila

INFORMASI BAHASA
21.6.2017
Penggunaan Kata bila dan apabila

Dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, "bila" dan "apabila" disamaertikan kerana pengaruh bahasa Inggeris "when" yang mendukung maksud "bila" dan "apabila". Sebenarnya, dalam bahasa Melayu, pengkhususan fungsinya lebih teratur dan spesifik. Kata tanya "bila" tidak boleh digunakan secara bergantian dengan kata hubung "apabila". Kata "bila" digunakan dalam ayat tanya sahaja manakala kata "apabila" digunakan dalam ayat majmuk sebagai kata hubung.


kata tanya 👉 (bila)
kata hubung  👉(apabila)

PRINSIP: 📌 "bila" dan "apabila" tidak boleh bertukar ganti kerana fungsi berbeza.📌

Lihat contoh di bawah:
1. Azman ke Pontian bila ❌datuknya kembali dari Mekah.
2. Penyewa akan membayar sewa bila ❌dituntut oleh tuan rumah.
3. Bila ❌tiba musim kemarau, petani tidak dapat bercucuk tanam.
4. Harta Bill Gates bertambah bila ❌saham Microsoft melambung.
5. Bila ❌kereta itu merempuh pembahagi jalan, mereka cedera parah.

Pembetulannya:
1. Azman ke Pontian apabila ✅datuknya kembali dari Mekah.
2. Penyewa akan membayar sewa apabila ✅dituntut oleh tuan rumah.
3. Apabila ✅tiba musim kemarau, petani tidak dapat bercucuk tanam.
4. Harta Bill Gates bertambah bila ✅saham Microsoft melambung.
5. Apabila ✅kereta itu merempuh pembahagi jalan, mereka cedera parah.

UJI BAHASA
Ayat di bawah ini mungkin betul dan mungkin salah. Tandakan (✔️) bagi ayat yang betul dan (❌) bagi ayat yang salah. Betulkan ayat yang salah dengan meletakkan kata hubung yang sesuai.

1. Richard tersenyum sipu bila diusik bahawa wajahnya mirip artis Korea. (_____)
2. Sedih dan remuk hatinya tidak terkira bila dirinya dikatakan sebagai pengkhianat bangsa. (_____)
3. Pegawai sementara itu yang diperlukan oleh beliau bila sesuatu kerja yang dilakukannya semakin bertambah. (_____)
4. Topik perbualan mereka terhenti bila pelayan itu membawa pesanan makanan. (_____)
5. Acuan kuih yang berbentuk bulat itu disapu dengan marjerin agar adunan tidak melekat bila sudah dimasak. (_____)
6. Sejak bilakah promosi kedai baharu itu dijalankan secara lewa begini? (_____)
7. Saya merujuk buku Tatabahasa Dewan bila isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu ditimbulkan oleh murid. (_____)
8. Ibu bapa pasti gembira dan bangga bila melihat kejayaan anak mereka, lebih-lebih menyandang jawatan yang besar-besar. (_____)

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

16 June 2017

INFORMASI BAHASA - Frasa "di mana" dan "yang mana" sebagai Kata Hubung

INFORMASI BAHASA
Frasa "di mana" dan "yang mana" sebagai Kata Hubung

Penggunaan frasa "di mana" dan "yang mana", 'yang" dipadankan dengan perkataan "where" dan "which" dalam bahasa Inggeris, tidak boleh berfungsi sebagai kata hubung dalam bahasa Melayu. Demikianlah indahnya bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.

Prinsip: di mana/yang mana → 📌salah jika dijadikan kata hubung📌

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan frasa "yang mana" dan " di mana".
1. Kami telah menerima surat di mana ❌saudari akan menetap di Kanada tidak lama lagi.
2. Tibi ialah penyakit sebaran udara yang mana ❌berbahaya kepada kanak-kanak.
3. Biri-biri itu ditambat pada pokok pisang di mana ❌bersebelahan dengan rumahnya.
4. Dalam pertandingan akhir itu, kita akan mengetahui pasukan yang mana ❌menjadi juara.
5. Polis telah pergi ke tempat di mana ❌kereta itu terbabas.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1. Kami telah menerima surat bahawa ✅saudari akan menetap di Kanada tidak lama lagi.
2. Tibi ialah penyakit sebaran udara yang ✅berbahaya kepada kanak-kanak.
3. Biri-biri itu ditambat pada pokok pisang yang ✅bersebelahan dengan rumahnya.
4. Dalam pertandingan akhir itu, kita akan mengetahui pasukan yang ✅menjadi juara.
5. Polis telah pergi ke tempat✅ kereta itu terbabas.

💊Catatan💊:
Penggunaan frasa "di mana" dan "yang mana" harus dielakkan malah tidak perlu digunakan dalam bahasa Melayu kecuali ayat tanya.

UJI BAHASA
Nyatakan penggunaan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [✔️] ataupun salah [❌].

1. Lihatlah peta yang mana saya lakar tadi untuk memudahkan kefahaman awak. (______)
2. Hasil karya Sasterawan Negara itu diletakkan di dalam almari kaca yang mana akan dijadikan filem kelak. (______)
3. Tajuk drama itu ialah metafora yang digunakan di mana lelaki kacak sebagai hero. (______)
4. Balai raya itu merupakan tempat di mana penduduk kampung boleh bertemu dan mengadakan perbincangan. (______)
5. Haji Samat tercenggang apabila melihat keindahan suasana yang mana amat luar biasa baginya. (______)
6. Tokoh sejarah yang masyhur itu telah membongkar misteri Hang Tuah di mana perkara ini akan membuka mata orang ramai. (______)
7. Belanja projek mega itu sebanyak RM250 juta di mana 58 peratus dibiayai oleh kerajaan China. (______)
8. Penyelidikan ini berhasil di mana teori penyongsang berjaya membuktikan bahawa lohong hitam berlaku disebabkan letupan atom. (______)

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

15 June 2017

INFORMASI BAHASA - KATA HUBUNG "SAMBIL" DAN "SEMENTARA"

INFORMASI BAHASA
KATA HUBUNG "SAMBIL" DAN "SEMENTARA"

Kata hubung sambil dan sementara tidak sama fungsinya. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh bergantian dalam ayat.

Sambil ➡️ Kata Hubung Gabungan
Maksud👉 sedang melakukan sesuatu yang lain juga.

Sementara➡️Kata Hubung Pancangan
Maksud 👉dalam tempoh atau dalam waktu tertentu.

PRINSIP: 📌tidak boleh bertukar ganti📌

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan kata hubung pancangan "sementara"  dan kata hubung gabungan "sambil".

1. Pak Azizi menyiram pokok bunga sementara❎ bernyanyi.
2. Kami bertepuk tangan sementara❎ bersorak apabila gawang pasukan lawan bolos.
3. Mereka bersenam sementara❎ menghirup udara segar di tepi pantai Teluk Cempedak.
4. Irsyad masih berada di surau sambil❎ menanti ketibaan waktu isyak.
5. Asri berjalan mundar-mundir di situ sambil ❎kakaknya menangis tidak henti-henti.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1. Pak Azizi menyiram pokok bunga sambil✔️ bernyanyi.
2. Kami bertepuk tangan sambil ✔️bersorak apabila gawang pasukan lawan bolos.
3. Mereka bersenam sambil ✔️menghirup udara segar di tepi pantai Teluk Cempedak.
4. Irsyad masih berada di surau sementara ✔️menanti ketibaan waktu isyak.
5. Asri berjalan mundar-mundir di situ sementara ✔️kakaknya menangis tidak henti-henti.

Catatan: Perkataan "sambil" dan "sementara" boleh bertukar ganti dalam keadaan tertentu.
1. Maimon membaca nota sementara menunggu bas tiba. ✅
2. Maimon membaca nota sambil menunggu bas tiba. ✅

UJI BAHASA
Isi tempat kosong dengan kata hubung "sementara" atau "sambil" dalam ruang yang disediakan.

1. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan sahabat akrab ___________ Hang Nadim pula anak saudaranya.
2. Mahani mendengar syarahan pensyarah itu ___________ mencatat apa-apa isi penting.
3. Tampuk pemerintahan parti itu diambil alih oleh Anwar Ibrahim  ___________ Hadi Awang menjadi timbalan presiden.
4. Zai dan Rasimi turun dari bas ___________ membawa barang menuju ke arah ibu.
5. Cikgu Naffsiah mengutamakan faktor kemanusiaan dalam kaedah pengajaran ___________ Cikgu Ashikin pula mendahulukan ilmu daripada nilai kemanusiaan.
6. Penari dari Mongolia melakukan gabungan tarian ___________ memegang kipas.
7. Gendang ibu menggunakan belulang lembu ___________ gendang anak dipasang dengan menggunakan belulang biri-biri.
8. Cikgu Ahmad berlari-lari ___________ membunyikan wisel menandakan perlawanan sudah ditamatkan.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

14 June 2017

INFORMASI BAHASA- Kata Hubung Pancangan Komplemen dan Relatif

INFORMASI BAHASA
Kata Hubung Pancangan Komplemen dan Relatif

Kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan relatif tidak boleh bertukar ganti dalam ayat. Kedua-dua kata hubung ini mempunyai tugas yang berbeza.

KATA HUBUNG PANCANGAN RELATIF ➡️ yang
KATA HUBUNG PANCANGAN KOMPLEMEN ➡️bahawa

PRINSIP: 📌TIDAK BOLEH BERTUKAR GANTI📌
Penggunaan yang, yang digantikan dengan bahawa dalam bahasa lisan, adalah tidak baku.

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan kata hubung pancangan relatif dan kata hubung pancangan komplemen:
1. Dia menyatakan yang❌ kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
2. Gadis itu menyedari yang❌ dia dalam bahaya sekarang.
3. Pelakon itu sedar yang❌ dia sudah tidak popular seperti dahulu.
4. Rashid Sidek merupakan pemain badminton bahawa❌ dikenali ramai pada tahun 80-an.
5. Menara Eiffel ialah bahawa❌ paling terkenal antara banyak menara sedemikian di Perancis.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1a. Dia menyatakan bahawa✅ kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
2a. Gadis itu menyedari bahawa✅ dia dalam bahaya sekarang.
3a. Pelakon itu sedar bahawa✅ dia sudah tidak popular seperti dahulu.
4a. Rashid Sidek merupakan pemain badminton yang✅ dikenali ramai pada tahun 80-an.
5a. Menara Eiffel ialah yang✅ paling terkenal antara banyak menara sedemikian di Perancis.

Nyatakan ayat di bawah sama ada betul (✔️) ataupun salah (❌). Jika ayat tersebut salah, berikan kata hubung yang sesuai.
1. Kami berpendapat yang mutu sukan bola sepak negara kita semakin merudum. (_____)
2. Mereka berpendirian bahawa usaha itu akan mendatangkan kejayaan yang cemerlang. (_____)
3. Pegawai itu mengesahkan yang tembikar itu tulen seperti yang dilihatnya di China. (_____)
4. Usaha tersebut sangat sukar setelah pihak bomba memaklumkan yang tiada mangsa yang ditemukan. (_____)
5. Beliaulah tokoh yang memenangi anugerah tersebut bersempena dengan Hari Bapa pada tahun ini. (_____)
6. Polis bersetuju yang kebanyakan kejadian jenayah di negeri itu dilakukan oleh pendatang asing. (_____)
7. Kerajaan telah mengisytiharkan yang hari Jumaat ini merupakan hari kelepasaan am bagi seluruh Malaysia. (_____)
8. Roslin memberitahu Hafizullah yang dia tidak dapat mengikuti kursus kejurulatihan di Kulim. (_____) 

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

13 June 2017

INFORMASI BAHASA - Penggunaan "dalam" Bukan sebagai Kata Hubung

INFORMASI BAHASA
13.6.2017
Penggunaan "dalam" Bukan sebagai Kata Hubung

Perkataan "dalam" berfungsi sebagai kata arah, kata sendi nama, atau kata adjektif mengikut konteks ayat. Perkataan "dalam" bukan kata hubung. Oleh sebab itu, perkataan ini tidak dibenarkan untuk menjadi kepala klausa.

Baca dan perhatikan ayat-ayat di bawah:
1.Baju Melayu itu ada dalam almari hitam.
2.Perigi yang terbiar itu sungguh di dalam.
3.Bidang pendidikan amat penting dalam memajukan bangsa dan negara.
3.Editor itu sangat berhati-hati dalam menterjemahkan bahasa Perancis.
4.Nasi goreng itu akan disiapkan di dalam masa setengah jam lagi.

Semua ayat di atas tidak gramatis kerana pengguna bahasa tidak cakna akan fungsi kata sendi "dalam", kata adjektif 'dalam", dan kata sendi nama "dalam" dan "di dalam".

Jawapan yang betul adalah seperti yang berikut:
1a. Baju Melayu itu ada di dalam almari hitam.
2a. Perigi yang terbiar itu sungguh dalam.
3a. Bidang pendidikan amat penting untuk memajukan bangsa dan negara.
4a. Editor itu sangat berhati-hati ketika menterjemahkan bahasa Perancis.
5a. Nasi goreng itu akan disiapkan dalam masa setengah jam lagi.

UJI BAHASA
Nyatakan fungsi perkataan dalam sebagai kata arah (kar), kata sendi nama (ksn) atau kata adjektif (kadj).

1. Guru berperanan penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. (_____)
2. Semua murid perlu berkumpul di dalam dewan semasa majlis pelancaran Bulan Patriotik.
3. Dalam hal ini, kami tidak berani untuk bercakap apa-apa. (_____)
4. Perigi yang terletak di hujung kampung itu sangat dalam. (_____)
5. Kritikan yang dilakukan oleh Haji Morsidi itu mempunyai makna yang dalam. (_____)
6. Pegawai itu memiliki kelulusan dalam bidang ekonomi. (_____)
7. Kumpulan USM sesat di dalam hutan selama dua hari. (_____)
8. Penagih dadah itu berada dalam ketakutan kerana telah membunuh gadis secara tidak sengaja. (_____)

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

8 June 2017

KERTAS SOALAN SEBENAR SUBJEK BAHASA MELAYU SPM ULANGAN 2017

SILA KLIK PADA PAUTAN DI BAWAH UNTUK MEMUAT TURUN SOALAN


KERTAS 1 DAN KERTAS 2 SPMU 2017 


TERIMA KASIH KERANA MELAYARI LAMAN BLOG SAYA

MODUL POTENSI LULUS BM SPM - JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR

1 June 2017

LATIHAN NOVEL - TEMA NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN DAN NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS

SOALAN 1
Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, huraikan tema novel tersebut.
JENDELA MENGHADAP JALAN
Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, pengarang memaparkan tema kecekalan seorang gadis dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
Lili cekal menghadapi kerenah ibunya yang menyuruh dia menghabiskan cuti persekolahan di Kampung Sentosa, tempat kelahiran ibunya. Lili akur akan cadangan tersebut kerana dia amat menyayangi ibunya.
Lili juga cekal berusaha untuk menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh jiran datuknya, Che Jah yang selalu dipukul dan dicemuh oleh suaminya, Seman. Akhirnya, Seman berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas perbuatan kejamnya itu.
Lili cekal menghadapi dugaan semasa dirinya dikurung dan diikat oleh Rafiq dan Haziq di sebuah pondok buruk yang terletak di dalam hutan di Kampung Sentosa.
Lili cekal menghadapi kerenah penduduk kampung yang tidak bersepakat dalam isu pemasangan kubah pada bumbung surau lama kerana kekurangan nilai keagamaan. Akhirnya, penduduk kampung menerima cadang Lili untuk membina masjid baharu.


SONGKET BERBENANG EMAS
Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 pula Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip, pengarang memaparkan tema kegigihan seorang gadis dalam mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupannya.
Dahlia gigih menghadapi ujian dalam hidupnya serta tidak pernah menjalankan nasib malang yang menimpa diri dan keluarganya. Sebaliknya dia berusaha untuk menempuh semua ujian tersebut dengan jiwa dan semangat yang kental.
Dahlia gigih menghadapi dugaan apabila ibunya, Saleha terpaksa dihantar ke hospital Batu Pahat, kemudian dipindahkan ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalani rawatan pemulihan akibat menghadapi penyakit kemurungan.

Kegigihan Dahlia yang seterusnya dapat dilihat apabila dia dapat menghadapi sikap prejudis neneknya, Nek Kiah terhadap mereka sekeluarga dengan tenang. Dahlia juga mendepani cacian dan tohmahan Aton yang menuduhnya membunuh Said dan menggelarnya perempuan murahan serta kenalan ramai lelakinya.

TERIMA KASIH CIKGU MEGANATHAN DARIPADA SMK SUNGAI KARANGAN, KULIM, KEDAH

ULANG KAJI NOVEL SPM (SONGKET BERBENANG EMAS)

Latihan  1 
SOALAN 4 (a)
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua persoalan kasih sayang berserta contoh sesuai seperti yang terdapat dalam novel tersebut.             

JENDELA MENGHADAP JALAN TINGKATAN 4
Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah Jendela Menghadap Jalan hasil karya Ruhaini Matdarin. Pengarang mengemukakan persoalan kasih sayang dalam novel ini.
Antaranya, persoalan kasih sayang anak terhadap ibunya. Contohnya, Lili amat menyayangi ibunya kerana dia mempertahankan maruah ibunya apabila datuknya memperkatakan sesuatu yang kurang baik tentang ibunya itu. Lili tidak setuju dengan ungkapan yang dikatakan oleh datuknya lalu mempertahankan maruah ibunya.
Seterusnya, persoalan kasih sayang seorang sahabat. Contohnya, Danel sayang akan Lili kerana dia sanggup bertindak seorang diri untuk menyelamatkan Lili yang dikurung oleh Raik dan Haziq di dalam sebuah pondok usang pada suatu malam. Danel sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan Lili daripada tahanan Rafik dan Haziq.

SONGKET BERBENANG EMAS TINGKATAN 5
            Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Pengarang mengemukakan persoalan kasih sayang dalam novel ini.
            Antaranya, persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu. Contohnya, Dahlia amat menyayangi ibunya kerana dia berusaha untuk mengunjungi ibunya, Saleha yang sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru dengan sanggup mengeluarkan wang biasiswanya untuk membeli tiket bas dan membayar tambang teksi.
            Seterusnya, persoalan kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Contohnya, Embong sangat menyayangi isterinya, Saleha yang sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, akibat penyakit kemurungan. Dia sentiasa berdoa agar isterinya itu sihat dan kembali dengan segera ke pangkuan mereka sekeluarga.
SOALAN 4 (b)
Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu pengajaran berkaitan dengan semangat bekerjasama yang terdapat dalam setiap novel tersebut.   
Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah Jendela Menghadap Jalan hasil karya Ruhaini Matdarin. Pengarang mengemukakan pengajaran berkaitan dengan semangat bekerjasama dalam novel ini. Antaranya, kita hendaklah bekerjsama untuk membantu masalah orang lain. Contohnya, Lili bersimpati dengan masalah keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh jiran datuknya, Che Jah yang telah dipukul dan dicemuh oleh suaminya Seman. Lili bersetuju untuk menjadi saksi untuk kes keganasan tersebut. Dia bekerjsama dengan Kak Mimah untuk menyelesaikan masalah rumah tangga Che Jah. Akhirnya, Seman telah ditangkap oleh polis.
Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Pengarang mengemukakan pengajaran berkaitan dengan semangat bekerjasama dalam novel ini. Antaranya, kita mestilah bekerjasama untuk menyelesaikan masalah di tempat tinggal kita. Contohnya, rumah Embong musnah akibat dilanda banjir. Haji Sulaiman dan penduduk kampung bekerjasama membina semula rumah Embong yang roboh akibat dilanda banjir. Selain itu, penduduk kampung juga bekerjasama mengumpulkan wang untuk diserahkan kepada Dahlia yang akan melanjutkan pelajaran. Haji Sulaiman bekerjasama dengan pihak Hospital Batu Pahat untuk membawa Saleha ke hospital tersebut bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.


Latihan  2
Jelaskan dua peristiwa yang berkaitan dengan pengajaran tentang ketaatan dalam sebuah novel yang anda pelajari.           

JENDELA MENGHADAP JALAN TINGKATAN 4
            Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah Jendela Menghadap Jalan hasil karya Ruhaini Matdarin. Pengarang mengemukakan pengajaran tentang ketaatan dalam novel ini.
            Peristiwa pertama yang berkaitan dengan pengajaran tentang ketaatan ialah ialah Lili taat akan perintah ibunya pulang ke kampung. Pada mulanya, Lili bercadang untuk menghabiskan cuti sekolah bersama dengan rakan sekelasnya. Dengan permintaan ibunya Lili bersetuju untuk menghabiskan cuti sekolah di kampung kelahiran ibunya, di Dungun Terengganu bagi menggembirakan hati ibunya. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kita mestilah mentaati arahan ibu bapa.
            Peristiwa kedua yang berkaitan dengan pengajaran tentang ketaatan ialah Lili taat akan perintah neneknya. Lili mahu pergi melawat Che Jah kerana bersimpati kepada Haziq dan Rafik. Neneknya melarangnya dan tidak membenarkan Lili pergi ke rumah Che Jah kerana risaukan keselamatannya. Nenek takut anak-anak Che Jah mengapa-apakan Lili. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kita mestilah mentaati arahan orang tua.
           
SONGKET BERBENANG EMAS TINGKATAN 5
            Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Pengarang mengemukakan pengajaran tentang ketaatan dalam novel ini.
            Peristiwa pertama yang berkaitan dengan pengajaran tentang ketaatan ialah Dahlia taat akan perintah ibu bapanya. Dahlia menunjukkan sifat taat akan suruhan ibu bapanya apabila Dahlia sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk memastikan adik-adiknya mendapat penjagaan sempurna. Dahlia menjaga adiknya bongsunya Anggerik ketika ibunya terlantar di hospital. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kita hendaklah mentaati arahan kedua-dua orang ibu bapanya.
            Peristiwa kedua yang berkaitan dengan pengajaran tentang ketaatan ialah Melati, Mawar dan Kiambang taat akan suruhan bapa mereka dengan bergilir-gilir menjaga adik bongsunya, Anggerik semasa ketiadaan ibu mereka yang sedang menerima rawatan di hospital akibat penyakit kemurungan. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kita mestilah mentaati permintaan ibu bapanya.




SOALAN 4 (b)
Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.
JENDELA MENGHADAP JALAN TINGKATAN 4
            Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah Jendela Menghadap Jalan hasil karya Ruhaini Matdarin. Pengarang mengemukakan latar masyarakat dalam novel ini.
            Antaranya, masyarakat yang mengamalkan perubatan tradisional. Contohnya, Datuk Lili, Tuan Haji Abdul Rahman merupakan seorang pengamal perubatan tradisional. Datuk sedaya upaya membantu pesakit yang datang berubat dengannya menggunakan kaedah perubatan tradisional yang berasaskan akar-akar kayu dan daun-daun herba.
            Seterusnya, masyarakat yang bersimpati atas penderitaan orang lain. Contohnya, Lili berasa simpati dengan nasib Che Jah yang selalu didera dan dimaki hamun oleh suaminya, Seman sehingga Lili mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Lili bersetuju untuk menjadi saksi untuk kes keganasan rumah tangga itu.
SONGKET BERBENANG EMAS TINGKATAN 5
            Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Pengarang mengemukakan latar masyarakat dalam novel ini.
            Antaranya, masyarakat yang penyayang. Contohnya, Dahlia amat sayang akan ibunya kerana Dahlia sanggup melawat ibunya yang sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru dengan mengeluarkan wang biasiswanya untuk membayar tambang bas dan teksi.

            Selain itu, masyarakat yang tabah. Contohnya, Dahlia tabah berdepan dengan pelbagai dugaan termasuklah ibunya, Saleha terpaksa dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk menjalani rawatan pemulihan akibat menghidap penyakit kemurungan. Di samping itu, Dahlia tabah menghadapi kerenah neneknya, Nek Kiah yang sentiasa memandang serong terhadap Dahlia sekeluarga.

TERIMA KASIH CIKGU MEGANATHAN DARIPADA SMK SUNGAI KARANGAN, KULIM, KEDAH