16 August 2017

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?

Jika kita menyelusur dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya bersemangat patriotik. Remaja yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. Jiwa patriotik remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.

Remaja yang berilmu dan sudi berkongsi ilmu pasti mencapai kecemerlangan dari segi akademik. Hal ini merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki mentaliti kelas pertama.

            Tidak dapat dinafikan bahawa remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pelbagai kemahiran. Antara kemahiran utama yang harus dimiliki oleh remaja kita ialah kebolehan berbicara dalam multibahasa. Mereka boleh menguasai bahasa asing ini dengan memasuki kelas bahasa secara peribadi atau  berbual-bual dengan rakan yang berlainan keturunan itu ketika berada di sekolah. Kemampuan berbahasa selain bahasa ibunda ini memberikan keyakinan diri kepada remaja dan peluang untuk memperoleh sesuatu kerjaya pada masa depan juga lebih cerah. Ringkasnya, kemampuan untuk bercakap dalam pelbagai bahasa boleh menjadikan diri remaja itu lebih berketerampilan dalam menjalani kehidupan masyarakat moden itu. Selain itu, kemahiran menggunakan komputer dan perisian juga memastikan remaja mampu berlari pada alaf baharu untuk mengejar perkembangan teknologi. Dengan berbuat demikian, mereka dapat bersaing secara sihat sekali gus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara-negara yang maju dan moden.


Tuntas bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang berwawasan perlulah seimbang dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan agar sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjadi remaja yang berwawasan kerana di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam konteks ini semua pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Transformasi Negara 2050 (TN50) mampu direalisasikan dengan jayanya.

4 August 2017

Kepentingan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE) di Malaysia



Pendahulauan
Persekitaran Pembelajaran virtual (VLE)
-konsep pembelajaran abad ke-21
-memanfaatkan kemudahan Internet
-zaman siber yang moden dan berteknologi tinggi.
-murid mula menggunakan FROG VLE di sekolah
--nama pengguna,kata laluan
- banyak faedah yang dapat kita kenal pasti kerana tak kenal maka tak cinta
Isi 1
FROG VLE
 -menambah ilmu pengetahuan
 - bidang komunikasi dan teknologi maklumat.
- contohnya, kemudahan melayari Internet
- mencari pelbagai informasi,nota, maklumat yang diperlukan
- tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Isi 2
-dapat berkomunikasi dengan guru dan rakan.
-mempunyai platform pembelajaran yang terkini.
-dapat belajar luar waktu persekolahan.
-tidak berasa bosan kerana pengalaman yang berbeza kerana masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
-menaikkan semangat murid untuk menggunakan VLE dalam pembelajaran.

Isi 3
VLE
- memudahkan pembelajaran di dalam kelas.  
- nota dikongsi dalam sistem data kerana konsep berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing diamalkan
- dapat meringankan beban bagi pelajar.
- dapat menghantar tugasan kepada guru melalui Internet.
- konsep pembelajaran alaf baharu yang unik dan mengujakan.

Penutup
Semua murid
-perlu memanfaatkan VLE dalam pelajaran.
-dapat bersaing dalam dunia yang bergerak pantas dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan murid dari luar negara
-tidak ketinggalan dalam arus pemodenan pentas pendidikan.
- tugasan guru juga dipermudah kerana ibu bapa dapat berkomunikasi dengan guru.

KARANGAN:
FROG VLE atau Persekitaran Pembelajaran Virtual ialah konsep pembelajaran abad ke-21 yang semakin popular dalam kalangan murid sekolah. Teknologi ini memanfaatkan kemudahan Internet seiring dengan kemajuan bangsa dan kemodenan negara. Maklumlah, kita sudah mendayung sampan pendidikan negara merentas zaman siber yang moden dan berteknologi tinggi. Oleh sebab itu, murid pada zaman globalisasi ini mula menggunakan FROG,VLE di sekolah dengan diberikan nama pengguna dan kata laluan. Oleh sebab jauhari jua yang mengenal manikam, kita perlu menggunakan FROG VLE untuk mengenali dan menghayati kebaikannya. Realitinya, banyak faedah yang dapat kita kenal pasti apabila menggunakan FROG VLE kerana tak kenal maka tak cinta.


Faedah utama penggunaan FROG VLE adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang komunikasi dan teknologi maklumat merupakan bidang penting pada alaf baharu. Sebagai contohnya, murid-murid dapat didedahkan kepada kemudahan melayari Internet untuk mencari pelbagai informasi seperti nota dan maklumat yang diperlukan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan PdPc. Usaha ini adalah penting agar golongan muda tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.


Di samping itu, murid-murid juga dapat berkomunikasi dengan guru dan rakan secara maya. Mereka juga mempunyai platform pembelajaran yang terkini selain di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka dapat belajar luar waktu persekolahan sama ada di rumah atau di pusat sumber sekolah yang menawarkan perkhidmatan Internet. Dengan gaya pembelajaran yang baharu ini, golongan muda pasti tidak berasa bosan kerana pengalaman yang berbeza dapat dialami oleh mereka. Saya yakin bahawa mereka dapat masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak sewaktu belajar. Trend pembelajaran moden ini dapat menaikkan semangat murid untuk menggunakan VLE dalam pembelajaran.


Selain itu, perisian FROG VLE juga memudahkan pembelajaran di dalam kelas. Perkara ini ada kebenarannya kerana nota dikongsi dalam sistem data. Murid-murid dan guru dapat mengamalkan konsep berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing dalam perkongsian maklumat dan nota. Usaha ini diyakini dapat meringankan beban bagi pelajar yang amat memerlukan nota untuk membuat ulang kaji di rumah. Pada masa yang sama, mereka juga dapat menghantar tugasan kepada guru melalui Internet demi merealisasikan konsep mesra alam dan konsep tanpa kertas demi bumi yang lebih hijau. Impaknya, saya yakin bahawa pengaplikasian FROG VLE merupakan konsep pembelajaran alaf baharu yang unik dan mengujakan.


Kesimpulannya, semua murid perlu memanfaatkan FROG VLE dalam pelajaran mereka. Langkah yang pragmatik ini dapat memastikan mereka mampu bersaing dalam dunia yang bergerak pantas agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan murid dari seluruh dunia. Dengan penggunaan aplikasi pembelajaran maya ini, murid-murid juga tidak ketinggalan dalam arus pemodenan pentas pendidikan negara. Pada masa yang sama, tugasan guru juga dipermudah kerana ibu bapa dapat berkomunikasi dengan guru di mana-mana sahaja demi langkah melahirkan pemimpin masa depan yang berilmu, bermaklumat dan berdaya maju.

KERTAS PERCUBAAN BM UPSR SE-MALAYSIA 2017

Klik https://drive.google.com/open… untuk mendapatkan soalan dan skema jawapan untuk Kertas Percubaan BM UPSR se-Malaysia.
SETAKAT INI
1. Pulau Pinang - (3 set)
2. Terengganu - (BK 3)
3. Pahang
4. Kelantan
5. Perak
6. Selangor
Perkongsian ini untuk manfaat semua.