Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

22 June 2016

INFORMASI BAHASA - RUMUS ANEKSI PERSONA

INFORMASI BAHASA
22.6.2016
RUMUS ANEKSI PERSONA

RUMUS ANEKSI PERSONA

Aneksi - susunan serangkai yang hubungannya sangat erat dan tidak dapat disisipi oleh sebarang unsur.
Persona - merujuk nama diri, pembicara, atau orang yang berperanan dalam pembicaraan.
Aneksi Persona - merujuk penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama kedua dalam frasa kerja pasif.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Pertama)
Contoh:
1a.     Saya telah membeli buku itu di Syarikat Muda Osman.
1b.     Buku itu telah saya beli di Syarikat Muda Osman.
1c.     Telah saya beli buku itu di Syarikat Muda Osman.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Kedua)
Contoh:
2a.     Engkau tidak menjelaskan bil itu.
2b.     Bil itu tidak engkau jelaskan.
2c.     Tidak engkau jelaskan bil itu.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Ketiga)
Contoh:
3a.     Beliau akan menyampaikan piala itu kepada pasukan Harimau Malaya.
3b.     Piala itu akan disampaikan oleh beliau kepada pasukan Harimau Malaya.
3c.     Akan disampaikan oleh beliau piala itu kepada pasukan Harimau Malaya.

Kenal pasti dan betulkan ayat-ayat yang berikut:

1. Buku itu saya telah baca kelmarin
2. Gadis itu saya pernah lihat di pusat beli-belah.
3. Khemah kalian sudah dirikan.
4. Tuanku patik baru hadap sebentar tadi.
5. Pemandangan yang indah itu beta sedang nikmati.
6. Aku masih sayangi Nadia kerana dia cinta pertamaku.
7. Mengapakah kamu enggan ikuti program ini?
8. Awak patut laporkan hal ini kepada pihak polis.
9. Usul itu kami mungkin kemukakan kepada Perdana Menteri.
10. Jersi itu engkau belum kembalikan kepada jurulatih.
11. Kamu akan selesaikan masalah ini.
12. Kepada beliau kita perlu hadiahkan cenderamata.
13. Encik mesti sertakan salinan kad pengenalan untuk urusan bank.
14. Pensyarah itu kami tidak hormati kerana sikapnya yang panas baran.
15. Nasi makan saya.
Sumber:
http://chaimestm.blogspot.my/2014/10/rumus-aneksi-persona.html
http://cuit-cuitbahasa.blogspot.my/2014/10/rumus-aneksi-pesona.html

18 June 2016

INFORMASI BAHASA - PERIBAHASA YANG MELIBATKAN PENGUNAAN KATA “RAJA"

INFORMASI BAHASA
PERIBAHASA YANG MELIBATKAN PENGUNAAN KATA “RAJA"

1.
(a) Raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah.
(b) Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
maksud: Raja yang adil disayangi dan raja yang tak adil dilawan.

2.
(a) Kerja raja dijunjung, kerja kita dikelek.
(b) Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek.
maksud: Menyambilkan pekerjaan sendiri ketika mengerjakan pekerjaan orang lain

3.
Kasihkan raja di atas usungan.
maksud: Kasihan yang tidak pada tempatnya.

4.
Permaisuri raja berurap-urapan, lipas di dinding timpa perasaan.
maksud: Orang miskin yang ingin menyamai perbuatan orang kaya-kaya.

5.
Seperti raja dengan menteri.
maksud: Seia-sekata dalam semua perkara.

6.
(a) Tohok raja tiada dapat dielak
(b) Tohok raja tiada dapat dielakkan
maksud: Kehendak orang yang berkuasa sukar menolaknya.

7.
Tiada raja menolak sembah.
maksud: Tidak ada orang yang tak suka dihormati.

8.
Malang celaka Raja Genggang, tuak terbeli tunjang hilang.
maksud: Nasib yang malang, waktu maksud yang kedua diperoleh, barang yang sudah di tangan pula hilang.

9.
(a) Nafsu-nafsu, raja di mata sultan di hati.
(b) Beraja di hati, bersultan di mata
(c) Bersultan di mata, beraja di hati
maksud: Menuruti kehendak hati sendiri.

10.
Ayam itik, raja pada tempatnya.
maksud: Tiap-tiap orang ahli dalam urusannya masing-masing.

11.
Besar, besar istana raja; kecil, kecil pondok sendiri.
maksud: Walau bagaimanapun senang di rumah besar kepunyaan orang, tidaklah sama dengan kesenangan di rumah sendiri.

12.
Menunduk kepala menghadap raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap musuh.
maksud: Melakukan sesuatu haruslah menurut tempat dan keadaannya.

13.
Sungguhpun putarwali itu raja segala penawar, tetapi pada kebanyakan selera ia hamba segala makanan.
maksud: Sungguhpun segala pengajaran yang baik itu berguna, tetapi kebanyakan orang memandang rencah dan menyia-nyiakannya, tiada hendak menerimanya.

14.
Anjing kepada orang, raja kepada kita.
maksud: Buruk baik anak sendiri juga.

15.
Ternanti-nanti bagai berlakikan raja.
maksud: Berhajat kepada orang yang tidak berkehendak kepadanya.

16.
(a) Enggang lalu atal jatuh, anak raja ditimpanya.
(b) Enggang lalu atal jatuh, anak raja mati ditimpanya.
maksud: Lain yang bersalah, lain yang menerima hukuman.
atal = buah kayu makanan enggang.

17.
Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja.
maksud:
Pemberian yang tidak ada ertinya.

18.
Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.
maksud: Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.

SELAMAT MEMBACA!

PENGGUNAAN ISTILAH "TERHARU"

PENGGUNAAN ISTILAH "TERHARU"
1. Saya terharu atas pemberian saudara.
2. Saya berasa terharu atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis perkahwinan saya.
3. Saya amat terharu kerana mendapat pengiktirafan daripada kalian.
Penggunaan "terharu" dalam ketiga-tiga ayat di atas tepat atau tidak tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana mengikut Kamus Dewan, "terharu" membawa maksud "berasa hiba (kasihan, rawan hati, dan sebagainya)
Contoh:
Dia memandang ayahnya yang sedang terbaring itu dengan hati yang amat terharu.
Kamus Pelajar pula memberikan maksud "terharu" kepada beberapa erti yang berikut:
1. berasa hiba atau sedih; berasa kasihan kerana me­lihat sesuatu yang tidak menyenangkan.
Contoh:
Dia memandang ayahnya yg sedang terba­ring itu dengan hati yg amat terharu.
2. berasa tidak aman (kacau); terganggu:
Contoh:
Fikirannya terharu apabila memikirkan masalah-masalah yang akan timbul nanti.
Jika ada pandangan, mohon berikan. Terima kasih.

CAKNA EJA

CAKNA EJA
semi-profesional
semiprofesional
semi profesional 
semipro
semi-pro
semi pro
semikonduktor
semi-konduktor
semi konduktor
semiparasit
semi-parasit
semi parasit 

INFORMASI BAHASA - PERIBAHASA YANG SAMA MAKSUD (CATATAN KETIGA)

INFORMASI BAHASA
PERIBAHASA YANG SAMA MAKSUD (CATATAN KETIGA)
1.sangat karib
(a) Setikar seketiduran
(b) Dua badan senyawa
(c) Satu nyawa dua badan
(d) Sejiwa dua tubuh
(e) Sekain sebaju, sebantal sekalang hulu, setikar seketiduran
(f) Selapik seketiduran, sebantal sekalang hulu
(g) Selauk senasi
(h) Seperti dua senyawa).
2. Urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan orang lain
(a) Laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan
(b) Anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan
(c) Anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui
(d) Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran
(e) Anak monyet di hutan disusui, anak sendiri di rumah kekeringan
3. Sesuai benar
(a) Seperti telap dengan tudungnya
(b) Bagai cembul dapat tutupnya
(c) Bagai dulang dengan tudung saji
(d) Cembul dengan tutupnya
(e) Seperti telepa dengan tudungnya
4. kembali ke asalnya / pulang ke asal
(a) belut pulang ke lumpur
(b) misai pulang ke bibir
(c) pulang ke kandang
(d) Ikan pulang ke lubuk
(e) Sirih pulang ke gagangnya
5. Berturut-turut mendapat kesusahan
(a) Sudah basah kehujanan
(b) Lagi jatuh ditimpa tangga
(c) Sudah hamba diperhambakan pula
(d) Sudah jatuh ditimpa tangga
(e) Sudah kering terjemur pula, sudah garing kena ramas pula
(f) Terjatuh dihimpit janjang
6. Seia-sekata; sehina semalu.
(a) Sekebat bagai sirih
(b) Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai
(c) Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai
(d) Serangkap bak lembing, serumpun bak serai
(e) Serumpun bagai serai, selubang bagai tebu
(f) Serumpun bagai serai, selubang seliang bagai tebu
7. Besar belanja daripada penghasilan
(a) Masuk tiga, keluar empat
(b) Masuk bagai lubang penjahit, keluar bagai lubang tabuh
(c) Masuk sebesar lubang penjahit, keluar sebesar lubang tabuh
(d) Masuk lima keluar sepuluh
(e) Masuk meliang penjahit, keluar meliang tabuh
8. Mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah
(a) Dapat durian runtuh
(b) Dapat harta karun
(c) Dapat kijang teruit
(d) Dapat tebu rebah
(e) Dapat harta timbul
9. Lahirnya baik, batinnya jahat
(a) Di luar merah di dalam pahit
(b) Di luar bagai madu, di dalam bagai empedu
(c) Di luar berkilat di dalam berongga
10. Kalau segan berusaha tak akan mendapat kemajuan
(a) Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung perahu hanyut
(b) Malu bertanya sesat di jalan, malu berkayuh perahu hanyut
(c) Segan bergalah, hanyut serantau
(d) Segan berkayuh, perahu hanyut
(e) Malu berkayuh, perahu hanyut
Oh, indahnya peribahasa Melayu!

INFORMASI BAHASA - FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA

INFORMASI BAHASA
FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA
Kata Bantu + Kata Penguat + Kata Adjektif + Kata Adjektif + Kata Penguat + Unsur Keterangan + Ayat Komplemen
Frasa adjektif boleh mengandungi kata bantu, dua kata penguat, dua kata adjektif, unsur keterangan, dan ayat komplemen. Kata adjektif yang pertama merupakan inti yang wajib bagi seluruh binaan itu, sementara unsur-unsur lain ialah unsur tambahan yang bersifat pilihan yang menerangakan unsur inti.
Jika dua kata adjektif hadir berderetan yang membawa makna yang berlawanan, maka kedua-duanya tidak boleh digugurkan. Misalnya:
(a) tinggi rendah
(b) baik buruk
(c) kecil besar
Sebaliknya, jika unsur adjektif yang kedua membawa maksud keserasian atau berunsur rima, maka perkataan yang kedua boleh digugurkan. Contohnya:
(a) riang gembira
(b) hitam legam
(c) gemok gedempol
Di bawah ini diberikan contoh frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya.
1
Kata bantu + kata adjektif
(a) masih kuat
(b) sudah kurus
(c) belum sihat
(d) mahu cantik
(e) telah gering
2
Kata penguat + kata adjektif
(a) sunguh cantik
(b) amat dalam
(c) lebih baik
(d) paling tinggi
(e) agak kecil
3
Kata bantu + kata penguat + kata adjektif
(a) masih agak kecil
(b) belum terlalu lewat
(c) mahu benar pandai
(d) masih terlalu banyak
(e) sudah amat jelas
4
Kata adjektif + kata penguat
(a) besar sekali
(b) cantik sekali
(c) baik benar
(d) banyak sungguh
(e) panjang sangat
5
Kata bantu + kata adjektif + kata penguat
(a) masih awal sangat
(b) sudah baik sungguh
(c) belum masak benar
(d) mahu pandai sekali
(e) sudah tua betul
6
Kata penguat + kata adjektif + kata penguat
(a) amat cantik sekali
(b) sangat indah sekali
(c) sungguh tinggi sekali
(d) sungguh indah nian
(e) sungguh permai nian
7
Kata penguat + kata adjektif + unsur keterangan
(a) sangat manis pada bahagian pangkalnya
(b) sungguh cinta akan tanah airnya
(c) sangat sibuk dengan pekerjaan
(d) amat malas oleh sebab kejemuan
(e) sungguh halus ibarat sutera
8
Kata penguat + kata adjektif + ayat komplemen
(a) sungguh yakin bahawa mereka telah tiba
(b) amat percaya bahawa budak itu pernah datang
(c) sangat sedar bahawa kita masih lemah
(d) amat insaf bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) agak ragu bahawa berita itu benar
9
Kata adjektif + kata penguat + ayat komplemen
(a) sedar sungguh bahawa persiapannya tidak mencukupi
(b) percaya benar bahawa anaknya telah berjaya
(c) yakin betul bahawa pasukannya akan menang
(d) insaf benar bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) percaya sungguh bahawa ayahnya akan pulang
10
Kata bantu + kata adjektif + kata adjektif
(a) masih riang gembira
(b) tetap gagah berani
(c) sudah besar panjang
(d) pasti letih lesu
(e) pasti gemuk gedempol
Ingatlah bahawa frasa adjektif yang terdiri daripada dua kata adjektif boleh didahului oleh kata bantu tetapi tidak boleh disertai kata penguat. Contohnya:
(a) *masih amat riang gembira
(b) *tetap sangat gagah berani
(c) *sudah besar panjang sungguh
(d) *pasti terlalu letih lesu
(e) *pasti amat gemuk gedempol
Kesimpulannya, kita harus menguasai frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya. Dengan penguasaan tatabahasa ini, penulisan kita menjadi lebih gramatis dan kesalahan bahasa dalam soalan mudah kita kenal pasti. Saya yakin bahawa soalan tatabahasa dalam peringkat UPSR, PT3, SPM, mahupun SPTM akan menguji calon tentang topik frasa adjektif. Saya berharap semoga nota di atas dapat membantu kita menguasai frasa adjektif dengan lebih baik agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan keyakinan yang tinggi.

PERIBAHASA YANG MEMBAWA MAKNA PERBUATAN YANG SIA-SIA

PERIBAHASA YANG MEMBAWA MAKNA PERBUATAN YANG SIA-SIA
(a) menjaring angin
(b) menghasta kain sarung
(c) menanam bumbang 
(d) menaikkan bendar sondai
(e) wau melawan angin
(f) bakarlah air ambil abunya
(g) bakar air hendakkan abu
(h) bagai menghitung bulu kambing
(i) bagai mengail kucing hanyut
(j) didengar ada dipakai tidak
(k) itik diajar berenang
(l) menohokkan lembing ke semak
(m) menjual bedil kepada lawan
(n) menggantang anak ayam
(o) membandarkan air ke bukit
(p) pisang ditanam tak berjantung
(q) seperti membubul jala buruk
(r) tertanam di biji hampa
(s) arang habis besi binasa
(t) anjing diberi makan nasi takan kenyang
(u) berkelahi di dalam mimpi
(v) bagai si kudung pergi berbelut
(w) bagai si buta pergi bergajah
(x) laksana layang-layang melawan angin
( y) menyurat di atas air
(z) menulis di atas air

16 June 2016

SOALAN SEBENAR SPM ULANGAN 2016

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan soalan BM SPM Ulangan 2016 yang baru diduduki oleh calon semalam, mohon muat turun soalan-soalan tersebut melalui pautan di bawah.

(BM SPMU KERTAS 1)

(BM SPMU KERTAS 2)