Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

18 June 2016

INFORMASI BAHASA - FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA

INFORMASI BAHASA
FRASA ADJEKTIF DENGAN PELBAGAI KEADAAN BINAAN UNSUR-UNSURNYA
Kata Bantu + Kata Penguat + Kata Adjektif + Kata Adjektif + Kata Penguat + Unsur Keterangan + Ayat Komplemen
Frasa adjektif boleh mengandungi kata bantu, dua kata penguat, dua kata adjektif, unsur keterangan, dan ayat komplemen. Kata adjektif yang pertama merupakan inti yang wajib bagi seluruh binaan itu, sementara unsur-unsur lain ialah unsur tambahan yang bersifat pilihan yang menerangakan unsur inti.
Jika dua kata adjektif hadir berderetan yang membawa makna yang berlawanan, maka kedua-duanya tidak boleh digugurkan. Misalnya:
(a) tinggi rendah
(b) baik buruk
(c) kecil besar
Sebaliknya, jika unsur adjektif yang kedua membawa maksud keserasian atau berunsur rima, maka perkataan yang kedua boleh digugurkan. Contohnya:
(a) riang gembira
(b) hitam legam
(c) gemok gedempol
Di bawah ini diberikan contoh frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya.
1
Kata bantu + kata adjektif
(a) masih kuat
(b) sudah kurus
(c) belum sihat
(d) mahu cantik
(e) telah gering
2
Kata penguat + kata adjektif
(a) sunguh cantik
(b) amat dalam
(c) lebih baik
(d) paling tinggi
(e) agak kecil
3
Kata bantu + kata penguat + kata adjektif
(a) masih agak kecil
(b) belum terlalu lewat
(c) mahu benar pandai
(d) masih terlalu banyak
(e) sudah amat jelas
4
Kata adjektif + kata penguat
(a) besar sekali
(b) cantik sekali
(c) baik benar
(d) banyak sungguh
(e) panjang sangat
5
Kata bantu + kata adjektif + kata penguat
(a) masih awal sangat
(b) sudah baik sungguh
(c) belum masak benar
(d) mahu pandai sekali
(e) sudah tua betul
6
Kata penguat + kata adjektif + kata penguat
(a) amat cantik sekali
(b) sangat indah sekali
(c) sungguh tinggi sekali
(d) sungguh indah nian
(e) sungguh permai nian
7
Kata penguat + kata adjektif + unsur keterangan
(a) sangat manis pada bahagian pangkalnya
(b) sungguh cinta akan tanah airnya
(c) sangat sibuk dengan pekerjaan
(d) amat malas oleh sebab kejemuan
(e) sungguh halus ibarat sutera
8
Kata penguat + kata adjektif + ayat komplemen
(a) sungguh yakin bahawa mereka telah tiba
(b) amat percaya bahawa budak itu pernah datang
(c) sangat sedar bahawa kita masih lemah
(d) amat insaf bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) agak ragu bahawa berita itu benar
9
Kata adjektif + kata penguat + ayat komplemen
(a) sedar sungguh bahawa persiapannya tidak mencukupi
(b) percaya benar bahawa anaknya telah berjaya
(c) yakin betul bahawa pasukannya akan menang
(d) insaf benar bahawa kelemahannya menyebabkan kekalahan itu
(e) percaya sungguh bahawa ayahnya akan pulang
10
Kata bantu + kata adjektif + kata adjektif
(a) masih riang gembira
(b) tetap gagah berani
(c) sudah besar panjang
(d) pasti letih lesu
(e) pasti gemuk gedempol
Ingatlah bahawa frasa adjektif yang terdiri daripada dua kata adjektif boleh didahului oleh kata bantu tetapi tidak boleh disertai kata penguat. Contohnya:
(a) *masih amat riang gembira
(b) *tetap sangat gagah berani
(c) *sudah besar panjang sungguh
(d) *pasti terlalu letih lesu
(e) *pasti amat gemuk gedempol
Kesimpulannya, kita harus menguasai frasa adjektif dengan pelbagai keadaan binaan unsur-unsurnya. Dengan penguasaan tatabahasa ini, penulisan kita menjadi lebih gramatis dan kesalahan bahasa dalam soalan mudah kita kenal pasti. Saya yakin bahawa soalan tatabahasa dalam peringkat UPSR, PT3, SPM, mahupun SPTM akan menguji calon tentang topik frasa adjektif. Saya berharap semoga nota di atas dapat membantu kita menguasai frasa adjektif dengan lebih baik agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan keyakinan yang tinggi.

No comments: