Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

15 June 2017

INFORMASI BAHASA - KATA HUBUNG "SAMBIL" DAN "SEMENTARA"

INFORMASI BAHASA
KATA HUBUNG "SAMBIL" DAN "SEMENTARA"

Kata hubung sambil dan sementara tidak sama fungsinya. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh bergantian dalam ayat.

Sambil ➡️ Kata Hubung Gabungan
Maksud👉 sedang melakukan sesuatu yang lain juga.

Sementara➡️Kata Hubung Pancangan
Maksud 👉dalam tempoh atau dalam waktu tertentu.

PRINSIP: 📌tidak boleh bertukar ganti📌

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan kata hubung pancangan "sementara"  dan kata hubung gabungan "sambil".

1. Pak Azizi menyiram pokok bunga sementara❎ bernyanyi.
2. Kami bertepuk tangan sementara❎ bersorak apabila gawang pasukan lawan bolos.
3. Mereka bersenam sementara❎ menghirup udara segar di tepi pantai Teluk Cempedak.
4. Irsyad masih berada di surau sambil❎ menanti ketibaan waktu isyak.
5. Asri berjalan mundar-mundir di situ sambil ❎kakaknya menangis tidak henti-henti.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1. Pak Azizi menyiram pokok bunga sambil✔️ bernyanyi.
2. Kami bertepuk tangan sambil ✔️bersorak apabila gawang pasukan lawan bolos.
3. Mereka bersenam sambil ✔️menghirup udara segar di tepi pantai Teluk Cempedak.
4. Irsyad masih berada di surau sementara ✔️menanti ketibaan waktu isyak.
5. Asri berjalan mundar-mundir di situ sementara ✔️kakaknya menangis tidak henti-henti.

Catatan: Perkataan "sambil" dan "sementara" boleh bertukar ganti dalam keadaan tertentu.
1. Maimon membaca nota sementara menunggu bas tiba. ✅
2. Maimon membaca nota sambil menunggu bas tiba. ✅

UJI BAHASA
Isi tempat kosong dengan kata hubung "sementara" atau "sambil" dalam ruang yang disediakan.

1. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan sahabat akrab ___________ Hang Nadim pula anak saudaranya.
2. Mahani mendengar syarahan pensyarah itu ___________ mencatat apa-apa isi penting.
3. Tampuk pemerintahan parti itu diambil alih oleh Anwar Ibrahim  ___________ Hadi Awang menjadi timbalan presiden.
4. Zai dan Rasimi turun dari bas ___________ membawa barang menuju ke arah ibu.
5. Cikgu Naffsiah mengutamakan faktor kemanusiaan dalam kaedah pengajaran ___________ Cikgu Ashikin pula mendahulukan ilmu daripada nilai kemanusiaan.
6. Penari dari Mongolia melakukan gabungan tarian ___________ memegang kipas.
7. Gendang ibu menggunakan belulang lembu ___________ gendang anak dipasang dengan menggunakan belulang biri-biri.
8. Cikgu Ahmad berlari-lari ___________ membunyikan wisel menandakan perlawanan sudah ditamatkan.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

1 comment:

Unknown said...

kalau ada sedang boleh letak sambil ?