Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

16 June 2017

INFORMASI BAHASA - Frasa "di mana" dan "yang mana" sebagai Kata Hubung

INFORMASI BAHASA
Frasa "di mana" dan "yang mana" sebagai Kata Hubung

Penggunaan frasa "di mana" dan "yang mana", 'yang" dipadankan dengan perkataan "where" dan "which" dalam bahasa Inggeris, tidak boleh berfungsi sebagai kata hubung dalam bahasa Melayu. Demikianlah indahnya bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.

Prinsip: di mana/yang mana → 📌salah jika dijadikan kata hubung📌

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan frasa "yang mana" dan " di mana".
1. Kami telah menerima surat di mana ❌saudari akan menetap di Kanada tidak lama lagi.
2. Tibi ialah penyakit sebaran udara yang mana ❌berbahaya kepada kanak-kanak.
3. Biri-biri itu ditambat pada pokok pisang di mana ❌bersebelahan dengan rumahnya.
4. Dalam pertandingan akhir itu, kita akan mengetahui pasukan yang mana ❌menjadi juara.
5. Polis telah pergi ke tempat di mana ❌kereta itu terbabas.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1. Kami telah menerima surat bahawa ✅saudari akan menetap di Kanada tidak lama lagi.
2. Tibi ialah penyakit sebaran udara yang ✅berbahaya kepada kanak-kanak.
3. Biri-biri itu ditambat pada pokok pisang yang ✅bersebelahan dengan rumahnya.
4. Dalam pertandingan akhir itu, kita akan mengetahui pasukan yang ✅menjadi juara.
5. Polis telah pergi ke tempat✅ kereta itu terbabas.

💊Catatan💊:
Penggunaan frasa "di mana" dan "yang mana" harus dielakkan malah tidak perlu digunakan dalam bahasa Melayu kecuali ayat tanya.

UJI BAHASA
Nyatakan penggunaan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [✔️] ataupun salah [❌].

1. Lihatlah peta yang mana saya lakar tadi untuk memudahkan kefahaman awak. (______)
2. Hasil karya Sasterawan Negara itu diletakkan di dalam almari kaca yang mana akan dijadikan filem kelak. (______)
3. Tajuk drama itu ialah metafora yang digunakan di mana lelaki kacak sebagai hero. (______)
4. Balai raya itu merupakan tempat di mana penduduk kampung boleh bertemu dan mengadakan perbincangan. (______)
5. Haji Samat tercenggang apabila melihat keindahan suasana yang mana amat luar biasa baginya. (______)
6. Tokoh sejarah yang masyhur itu telah membongkar misteri Hang Tuah di mana perkara ini akan membuka mata orang ramai. (______)
7. Belanja projek mega itu sebanyak RM250 juta di mana 58 peratus dibiayai oleh kerajaan China. (______)
8. Penyelidikan ini berhasil di mana teori penyongsang berjaya membuktikan bahawa lohong hitam berlaku disebabkan letupan atom. (______)

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

3 comments:

Awang said...

Terima kasih atas penjelasan Cikgu.

Zuraida said...

Jarang terdapat cikgu berbangsa Cina pakar dalam bahasa kebangsaan kita. Berbanyak terima kasih Cikgu Tan CL. Teruskan berbakti untuk anak2 bangsa warga Malaysia.

Anonymous said...

Guru yang dapat memberi penerangan yang jelas tentang kesalahan penggunaan bahasa Melayu