Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

14 June 2017

INFORMASI BAHASA- Kata Hubung Pancangan Komplemen dan Relatif

INFORMASI BAHASA
Kata Hubung Pancangan Komplemen dan Relatif

Kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan relatif tidak boleh bertukar ganti dalam ayat. Kedua-dua kata hubung ini mempunyai tugas yang berbeza.

KATA HUBUNG PANCANGAN RELATIF ➡️ yang
KATA HUBUNG PANCANGAN KOMPLEMEN ➡️bahawa

PRINSIP: 📌TIDAK BOLEH BERTUKAR GANTI📌
Penggunaan yang, yang digantikan dengan bahawa dalam bahasa lisan, adalah tidak baku.

Ayat-ayat berikut tidak gramatis kerana kesilapan penggunaan kata hubung pancangan relatif dan kata hubung pancangan komplemen:
1. Dia menyatakan yang❌ kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
2. Gadis itu menyedari yang❌ dia dalam bahaya sekarang.
3. Pelakon itu sedar yang❌ dia sudah tidak popular seperti dahulu.
4. Rashid Sidek merupakan pemain badminton bahawa❌ dikenali ramai pada tahun 80-an.
5. Menara Eiffel ialah bahawa❌ paling terkenal antara banyak menara sedemikian di Perancis.

Pembetulannya adalah seperti yang berikut:
1a. Dia menyatakan bahawa✅ kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
2a. Gadis itu menyedari bahawa✅ dia dalam bahaya sekarang.
3a. Pelakon itu sedar bahawa✅ dia sudah tidak popular seperti dahulu.
4a. Rashid Sidek merupakan pemain badminton yang✅ dikenali ramai pada tahun 80-an.
5a. Menara Eiffel ialah yang✅ paling terkenal antara banyak menara sedemikian di Perancis.

Nyatakan ayat di bawah sama ada betul (✔️) ataupun salah (❌). Jika ayat tersebut salah, berikan kata hubung yang sesuai.
1. Kami berpendapat yang mutu sukan bola sepak negara kita semakin merudum. (_____)
2. Mereka berpendirian bahawa usaha itu akan mendatangkan kejayaan yang cemerlang. (_____)
3. Pegawai itu mengesahkan yang tembikar itu tulen seperti yang dilihatnya di China. (_____)
4. Usaha tersebut sangat sukar setelah pihak bomba memaklumkan yang tiada mangsa yang ditemukan. (_____)
5. Beliaulah tokoh yang memenangi anugerah tersebut bersempena dengan Hari Bapa pada tahun ini. (_____)
6. Polis bersetuju yang kebanyakan kejadian jenayah di negeri itu dilakukan oleh pendatang asing. (_____)
7. Kerajaan telah mengisytiharkan yang hari Jumaat ini merupakan hari kelepasaan am bagi seluruh Malaysia. (_____)
8. Roslin memberitahu Hafizullah yang dia tidak dapat mengikuti kursus kejurulatihan di Kulim. (_____) 

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

No comments: